Baru-baru ini ketika ditanya pihak media pasal himpunan itu pun Perdana Menteri bersikap terbuka dengan komennya yang ringkas:

Jadi, Tumpang fikir pihak-pihak lain usah gemuruh sangat pasal himpunan ini. Ia bukan isu ICERD semata-mata tetapi melangkaui isu-isu rakyat antaranya kejatuhan harga getah dan sawit selain hal ehwal kepentingan Melayu turut akan dibangkitkan dalam himpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu.

Kalau difikirkan, ada benarnya juga keresahan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan kecelaruan kalangan menteri yang bercanggah dengan pendirian rasmi kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah Tun menolak ratifikasi ICERD.

Lebih membimbangkan Pas bila mana kerajaan PH waktu ini dikuasai 66 kerusi Ahli Parlimen bukan Islam berbanding 59 Ahli Parlimen beragama Islam.

Semalam pun Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengarah Koordinator himpunan itu dari UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sudah komen sebab apa 8 Disember ini perlu dilangsungkan. Pas-UMNO yang akan menyertai Ummah di lokasi himpunan – sama ada di Padang Merbok atau Dataran Merdeka – itu risau kalau-kalau kerajaan buat pusingan U meratifikasi semula ICERD.

Berpegang kepada kenyataan Perdana Menteri di perenggan kedua kolum ini, Tumpang yakin Tun sendiri menggalakkan keterbukaan, asalkan tidak melampaui batas.

Tumpang ingat lagi bagaimana Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi gambar Tun yang berbaju-t warna kuning dalam laman facebooknya dan menulis, Tun bergegas dari mesyuarat di Sudan untuk menyertai Bersih 5 pada 19 November 2016.

Seruan turut dibuat masa itu oleh Tun melalui satu rakaman video ringkas supaya rakyat Malaysia turun ke jalan raya sebagai protes untuk selamatkan Malaysia. Tahun sebelumnya (2015) pun Tun menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara.

Hakikatnya Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10 (1) (b) telah pun beri hak untuk berhimpun kepada rakyat Malaysia.

Tapi bersyarat selagi mana himpunan itu dianjurkan secara aman dan tanpa melibatkan senjata.

Walaupun ada tanggapan skeptikal mengatakan penganjuran himpunan ini secara tidak langsung menyerlahkan kegagalan PH dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, bumiputera dan Islam, Tumpang tidak fikir Tun ‘mengiakan’ persepsi demikian.

Awal September lalu, Tun sendiri telah beri jaminan kerajaan PH tidak akan menganiaya golongan bumiputera, sebaliknya akan membantu memperkasakan ekonomi kaum tersebut. Tun akui beliau terpaksa menegur, marah dan berleter pasal ‘budaya’ bumiputera itu sejak menjadi Perdana Menteri kali pertama lagi pada 1981. Malah kerana sayangkan Melayu/bumiputera, Tun sudah pun bermadah, Melayu mudah lupa.

Cuma himpunan 8 Disember ini difikirkan Ummah dan Pas-UMNO perlu diteruskan kerana risaukan dasar negara akan menuju kepada sekularisme total.

Antaranya ada individu penting dalam kerajaan tempoh hari mengkritik perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Isu membabitkan bahasa Melayu juga menjadi modal kepada pembangkang untuk menyerang dasar kerajaan ekoran tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan media tambahan dalam bahasa Cina. Kemudian, tindakan peguam negara, Tommy Thomas yang mahu menggunakan bahasa Inggeris ketika sidang media di mahkamah turut panas.

Gelagat beberapa pemimpin DAP yang menuntut Tun mengusir pendakwah Islam, Dr. Zakir Naik juga cukup menggores perasaan umat Islam. Tapi syukurlah Tun tidak layan kehendak Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy. Itu belum lagi isu membabitkan Islam apabila ada gesaan supaya sekolah tahfiz ditutup dan kisah penyebaran Bible di sekolah-sekolah.

Tumpang yakin Pas-UMNO berpotensi, malah berfungsi dan bertangggungjawab penuh untuk menjadi check and balance kepada kerajaan hari ini apabila tiba perihal isu-isu berkepentingan Melayu-Islam.

Realiti politik Malaysia Baharu hari ini sangat berhajat kepada perpaduan orang Melayu dalam mempertahankan agenda Islam dan agenda bangsa.

Perkembangan terbaharu kerjasama Pas-UMNO inipun selaras mengikut konsep ‘mutaghayirat’ iaitu kerjasama yang boleh berubah mengikut keadaan semasa.