TUN M DIMASUKKAN KE IJN

Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur kerana mengalami masalah jangkitan.

Memetik kenyataan institut itu, laporan menyebut bekas perdana menteri 91 tahun itu dijangka diletak bawah pemerhatian untuk beberapa hari.

“Buat masa sekarang, Tun (Dr Mahathir) sedang dirawat di Wad Am IJN dan berdasarkan atas nasihat pakar perubatan, hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat beliau,” kata kenyataan itu.

Beliau dimasukkan ke wad atas nasihat pasukan perubatan dan kunjungan dibataskan terhadap anggota keluarga sahaja.

Keadaan itu membuatkan beliau tidak dapat bersama bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendaftarkan sebuah parti politik baru di Putrajaya.

Dr Mahathir, perdana menteri keempat, dilantik sebagai pengerusi parti yang menyasarkan penyertaan anggota Umno yang tidak puas hati dengan kepimpinan presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Beliau pernah dimasukkan ke IJN pada 16 November 2013 atas penyakit sama tetapi beliau dibenarkan keluar beberapa hari selepas itu setelah mendapat rawatan.

Beliau juga pernah menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Kuala Lumpur, 27 tahun yang lalu pada 24 Januari 1989 dan pembedahan pintasan koronari susulan pada 4 September 2007 di IJN.

No Comments

    Leave a reply