Turki, Iran dan Malaysia: Mana lebih Islam?

Saya masih ingat lagi, namanya Ali Hakan Arar. Usianya awal 30-an, dia pengurus agensi pelancongan yang membawa saya dan seorang lagi rakan melawat negaranya, Turki, pada pertengahan 2002.

Pemandu pelancong kami di sana bernama Mustaffa. Tapi saya bukan mahu ceritakan perihal keindahan Turki. Sebaliknya saya mahu ceritakan kisah di sebalik lawatan itu. Lebih tepat lagi, tentang persepsi saya terhadap Turki.

Begini… sebelum ke Turki, saya telah membaca pelbagai cerita tentang negara berkenaan. Khabarnya, Turki sebuah negara liberal dan sekular yang rakyatnya hampir melupakan Islam. Anak-anak mudanya suka berhibur, minum arak dan berpakaian seksi. Mereka bergaul bebas lelaki dan perempuan tanpa ada sekatan.

Ringkasnya, tanah ahli sufi Jalaludin Rumi itu kini lebih mirip ke Barat. Orang yang bertanggungjawab merosakkannya daripada pusat kuasa besar Islam melalui empayar Uthmaniyah kepada negara sekular pro-Barat tidak lain dan tidak bukan, Mustafa Kamal Attaturk. Dia digelar Bapa Turki Moden. Malaysia jangan jadi macam Turki. Islam kita sangat kuat.

Sampai di Istanbul, saya melihat anak-anak mudanya berkeliaran sehingga dinihari. Kelab malam membingitkan telinga. Gadis-gadis seksi boleh dilihat di sana sini.

Malah ada gadis seksi mengajak saya ke disko berdekatan. Mustafa, si pemandu pelancong kami pula akan memesan minuman keras setiap kali kami berhenti rehat di restoran.

Kebetulan kami ada waktu terluang, lalu Ali Hakan memperkenal saya dengan seorang kenamaan dan usahawan Turki, namanya Mehmet. Beliau berusia pertengahan 70-an dan sudah sering datang ke Malaysia. Di dinding pejabatnya tergantung potret besar Kamal Attaturk.

Selepas bercerita tentang Malaysia dan Turki, saya menanyakan soalan panas: Mengapa Tuan begitu sayang dan hormat kepada Kamal Attaturk? Bukankah beliau telah mensekularkan Turki, menjauhkan Islam dari rakyatnya, hingga azan pun ditukar ke dalam Bahasa Turki?

Mehmet tersenyum. Kata Mehmet, setiap rakyat Turki mesti menyanjung Kamal Attaturk dan menghargai jasanya membebaskan negara daripada penaklukan tentera Britain, Perancis, Greek, Itali dan Armenia semasa Perang Dunia Pertama. Ia dilakukan dalam Perang Kemerdekaan Turki pada 1922. Kamal Attaturk adalah panglima perang dan Pengasas Kemerdekaan Turki.

Tentang perbuatannya membaratkan Turki, Mehmet enggan mengulas panjang. Baginya, yang penting Kamal Attaturk telah menebus maruah Turki yang sebelum itu gagal dipertahankan oleh Sultan Empayar Uthmaniyah.

Mengenai anak-anak mudanya yang cenderung ke Barat, Mehmet tidak berasa gusar. Katanya, itu sudah lumrah. Di mana-mana pun sama. Semasa muda mereka memang berada di sebelah kiri, nanti apabila meningkat dewasa dan berusia, mereka akan beransur-ansur bergerak ke kanan (agama). Begitulah juga dengan dirinya.

Hari-hari berikutnya, sepanjang perjalanan dari Istanbul ke Gallipoli, kemudian ke Cannakale, Pamukkale, Cappadocia, Ankara dan sebagainya, saya melihat dua pemandangan berbeza. Pertama, warga kota yang hidup kebaratan. Kedua, masjid-masjid yang bertaburan di sana-sini.

Setiap masjid ditandai dengan sebuah menara. Pada waktu malam ia dipasang lampu berkalimah `Allah’ dan `Muhamamad’. Pemandangan ini sangat mengasyikkan, seolah-olah jari telunjuk yang menuding ke langit sambil mengucapkan syahadah.

Pada siang hari, apabila kami merentas kawasan pekan dan kampung, saya melihat masjid ada di mana-mana. Saiznya kecil, seperti surau di negara kita. Di beranda dan halaman rumah kelihatan warga-warga tua duduk berbual sambil bertasbih.

Banyaknya sehinggakan di sebuah kampung terdapat hampir 10 buah masjid. Ketika azan saya melihat penduduknya pergi ke masjid-masjid ini, sebahagiannya orang dewasa dan tua.

Oleh kerana kahgum dengan pemandangan itu, sewaktu di Cappadocia saya menghalakan lensa kamera saya ke satu arah dan memetiknya tanpa memberikan fokus kepada mana-mana subjek. Kemudian saya besarkan gambar tersebut dan mengira jumlah masjid yang terdapat dalam sekeping gambar tersebut.

Tahukah anda, berapa jumlahnya? Dua belas. Saya ulangi, 12 buah. Kalau di negara kita, bolehkah kita dapat 12 buah masjid dalam sekeping gambar? Anda tahu jawapannya.

Saya tanyakan kepada Mustafa, kenapa dia suka minum arak? Adakah arak halal di Turki? Cepat-cepat Mustafa menafikannya. Kata Mustafa, kalau ada orang alim nampak dia sedang minum arak, pasti kulitnya akan disiat-siat!

Sebelum pulang ke tanah air, saya bertanya kepada Ali Hakan satu soalan yang telah lama saya simpan untuknya. Soalan pertama, kenapa orang Turki menghormati Kamal Attaturk, sedangkan beliau kaki perempuan dan `tidak suka’ kepada Islam?

Muka Ali Hakan berubah. Pipinya yang putih menjadi merah. Dengan suara tegas dia menegur saya: “Kamu tidak patut bertanya soalan itu! Dia negarawan kami. Walau bagai mana buruk pun perangainya, dia adalah orang yang membebaskan Turki daripada penjajahan semasa Perang Dunia Pertama. Mustaffa telah membina semula Turki yang telah rosak dan memodenkannya.

“Adakah kamu tidak menghormati negarawan kamu? Adakah kamu tidak menghormati Pengasas negara kamu, yang telah memerdekakan negara kamu daripada penjajah? Adakah kerana kamu tidak suka dengan perwatakan dan keperibadian negarawan kamu, maka kamu tidak perlu menghormatinya?”

Saya bertanya lagi: Bukankah mayatnya tidak diterima bumi?

Mustafa bertambah bengang. “Mana kamu dapat cerita ini? Itu cerita bohong!”
Berderau darah saya mendnegar jawapannya. Tapi saya tahan saja telinga, dan ajukan soalan paling panas: Kenapa anak-anak muda di Turki sangat kebaratan? Mereka seperti lebih Barat daripada Barat.

Ali Hakan pandang saya, mukanya serius. “Zulkarnain, sudah tiga tahun saya tinggal di Malaysia. Apa kamu fikir saya tidak tahu keadaan anak-anak muda di negara kamu? Apa kamu fikir saya tidak tahu apa yang ada di Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Bukit Bintang, Chow Kit Road…?”

Sampai di sini saya terdiam. Ali Hakan pun terdiam.

Pada 2003, seorang sahabat saya dari Iran datang ke Kuala Lumpur. Namanya Shahram, usianya pertengahan 20-an, seorang pemandu pelancong dan ini kali pertama dia sampai di Malaysia.

Shahramlah yang membawa saya dan seorang lagi sahabat sewaktu kami melawat Teheran, Shiraz dan Esfahan pada 2001.
Sebelum ke Iran, saya membayangkan negara itu sebagai sangat Islamik. Rakyatnya pun tentulah Islamik dan menghormati mullah-mullah seperti imam yang tidak wajar dipertikaikan kedudukannya.

Tetapi di sana, saya terkejut, Shahram sering saja membebel tentang mullah. Apabila melihat seorang mullah yang boleh dikenali dengan jubah serta serban besarnya, Shahram memberitahu saya, dia tidak hormat kepada golongan ini.

Kata Shahram, Mullah ini ramai yang rasuah dan kaki perempuan. Malah mereka mempunyai rumah-rumah rahsia yang dijadikan tempat untuk berpoya-poya dan dengan perempuan. Mereka memperdaya masyarakat dengan lagak Islamik.

Sewaktu Shahram di Kuala Lumpur, seorang kawan bernama Azhar membawanya bersiar-siar di sekeliling ibu kota pada waktu malam. Saya bertanya kepada Shahram, apa pandangannya tentang Kuala Lumpur?

Shahram terus ketawa. Kata Shahram, sebelum sampai ke Malaysia, dia membayangkan Malaysia adalah sebuah negara yang sangat Islamik. Tapi apabila bersiar-siar di Kuala Lumpur, dia terkejut. Anak-anak mudanya seperti anak-anak muda Barat, seksi dan bersuka-ria sampai dinihari. Disko ada di mana-mana, dan yang paling dia terkejut…

“Malam tadi kami pergi ke Chow Kit. Ada pondan nak tawarkan kami seks. Kami tak mahu, dia tendang kereta kami. Kami terus lari… hahaha.”

Waktu itu saya berasa benar-benar malu.
Ya, sebenarnya kita ini makhluk yang sering rasa diri kita lebih baik daripada orang lain. Kita melihat orang lain daripada perspektif diri kita lalu kita beranggapan kita lebih Islam daripada orang lain. Kita memperlekeh orang lain, sedangkan kita sebenarnya tertipu dengan keegoan serta persepsi diri kita sendiri…

NOTA: Pada 2013 terdapat sejumlah 82,693 buah masjid di seluruh Turki. Itu enam tahun lalu. Sebagai perbandingan, terdapat 6,382 buah masjid dan 17,493 buah surau di seluruh negara kita pada 2016 (Jumlah keseluruhan, 23,875 buah).

Oleh: ZULKARNAIN ZAKARIA

Sumber. bebasnews.my

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply