Tutup pusat tahfiz tindakan salah

KUALA TERENGGANU: “Takkanlah marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Tak betul tindakan begitu.”

Demikian komen Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat, berhubung tindakan Kerajaan Persekutuan menutup pusat tahfiz yang pemilik atau pengetuanya dibuktikan terbabit kes gangguan seksual.

Beliau berkata, dalam kes seperti itu, yang bersalah ialah guru berkenaan, manakala warga pusat tahfiz secara keseluruhannya termasuk tenaga pengajar, pelajar dan orang persendirian yang menderma untuk operasi pusat tahfiz tidak sepatutnya menerima kesan.

“Kenapa apabila ada kes orang mati sebab minum arak, kerajaan tak arah kilang arak ditutup, tetapi sebab satu kes gangguan seksual di pusat tahfiz, kerajaan nak arah pusat tahfiz ditutup? Kalau berlaku kes liwat di balai polis adakah kerajaan akan tutup balai polis?

“Dalam isu seperti ini, yang bersalah adalah seorang individu, tidak kiralah pemilik, pengetua atau guru pusat tahfiz dan kita pun tidak bersetuju dengan perbuatan tidak bermoral seperti melakukan gangguan seksual.

“Tetapi mana boleh apabila berlaku kes sebegini terus nak tutup pusat tahfiz. Habis bagaimana nasib pelajar, tenaga pengajar dan harapan pihak yang menyalur dana untuk operasi pusat tahfiz?” katanya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menutup pusat tahfiz yang pengetua atau pemiliknya terbabit kes gangguan seksual.

Mujahid dilaporkan berkata, kesalahan meliwat atau mencabul di pusat tahfiz bukan sahaja mencemarkan institusi tahfiz, tetapi juga agama Islam itu sendiri.

Ia susulan kes seorang pemilik pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur, yang ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual selain meliwat sembilan penuntut berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu.

Suspek berusia 30-an sudah didakwa dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Mahkamah Sesyen, Putrajaya, Rabu lalu.

Satiful Bahri berkata, kerajaan negeri mengakui kejadian seumpamanya mencemarkan imej Islam dan sama sekali tidak bersetuju dengan perbuatan tidak bermoral seperti itu, namun sebarang tindakan yang mahu diambil haruslah munasabah.

“Kes sebegini satu dalam seribu. Kita kena ambil tindakan munasabah dengan menghukum individu yang bersalah, bukan menghukum orang lain yang tidak sepatutnya menerima kesan,” katanya.

No Comments

    Leave a reply