Ubah persepsi buruk terhadap pihak Keselamatan

Kewujudan kumpulan militan dan penangkapan dua tokoh politik iaitu exco Melaka G Saminathan dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya P Gunasekaran yang dikatakan terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) seperti yang didedahkan oleh pihak berkuasa jelas menggambarkan jika ia tidak dibanteraskan, situasi itu akan membimbangkan rakyat dan boleh mengancam keselamatam negara.

Justru itu, PUTRA amat dukacita kerana akhir-akhir ini kalimat yang menganggap pihak berkuasa keselamatan tidak saksama dan berat sebelah begitu mudah sekali ditaburkan kepada orang ramai cuma bagi tujuan mencari pengaruh dan kepentingan politik parti mereka.

Paling dukacita, kalimat itu digunakan untuk menjejaskan golongan tertentu sebagai isu politik pilihan raya semata-mata, kemudian dikaitkan agama sebagai hujah pula. Seringkali manusia melihat kezaliman dan keadilan lalu menilainya menurut kayu ukur yang ada pada diri sendiri berpandukan nafsu semata-mata.

Apabila sesuatu hasrat dan cita-citanya gagal mencapai maksud yang dikehendaki oleh kepentingan politik mereka, maka penghalang itu dianggap zalim dan tidak adil.

Kesilapan dan sengaja membuat silap ini kerana hendak menutup kelemahan diri sendiri atau kerana ingin menarik perhatian umum bagi kepentingan tertentu atau sebagainya adalah merupakan suatu sikap yang amat tidak bermoral dan bermaruah, kerana sikap ini adalah meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya yang hak.

Jika kehendak golongan ini dipenuhi oleh sistem demokrasi yang ada sekarang, mereka akan mengatakan pihak berkuasa berlaku adil. Tetapi disebaliknya, jika tuntutan mereka tidak dipenuhi, maka dikatakan pihak berkuasa keselamatan sekarang sebagai satu sistem pentadbiran yang tidak adil. Pendek kata ukuran kezaliman dan keadilan golongan ini terletak kepada kepuasan kehendak dan keperluan mereka sahaja, bukan keperluan pihak yang menjaga keselamatan negara. Justeru, dalalm hal berhubungan penankapan golongan tersebut, PUTRA menyokong dan mengalu-alukan cadangan PAS agar kertas putih berkaitan LTTE dibentangkan di Parlimen.

Ini adalah kerana, sejarah kehidupan manusia membuktikan betapa fenomena kekerasan telah banyak mengorbankan orang tidak berdosa di tangan golongan pelampau atau ekstremis. Terorisme sebenarnya memiliki `sejuta wajah’. Terorisme juga dapat berselindung di sebalik nama agama, politik atau apa sahaja. Terorisme adalah suatu tindakan yang dilakukan untuk meraih tujuan yang tidak manusiawi dan buruk serta mengancam segala macam jenis keamanan, dan pelanggaran atas hak asasi yang ditegaskan oleh agama atau manusia.

Kekerasan yang dianjurkan oleh golongan ini pada umumnya didorong oleh keyakinan keagamaan, bahawa tindakan mereka adalah sejajar dengan perintah Tuhan yang terdapat dalam teks-teks kitab suci mereka. Hak sebuah masyarakat dalam menentukan tahap golongan pelampau serta sumber kegiatan mereka adalah tertakluk kepada aktiviti pelampau yang sampai kepada tahap pertembungan dengan pelbagai sistem masyarakat serta undang-undang kecuali sistem yang diikuti dan diterima oleh mereka.

Di Asia Barat terjadi konflik antara orang Islam dan Yahudi. Konflik antara agama Kristian pula ialah antara penganut agama Protestan dan Katolik di Ireland Utara. Di Asia Selatan, berlaku konflik antara Islam dan Hindu. Ini semua berlaku kerana perbezaan dalam mentafsirkan ajaran agama masing-masing.

Kekerasan atas nama agama sememangnya bukan mudah untuk dibendung. Peristiwa pembunuhan yang dilakukan atas nama agama, seperti pembunuhan Anwar Sadat, yang dilakukan oleh kelompok Takfir Wa al-Hijrah di Mesir, pada bulan Oktober 1981, adalah salah satu contoh yang nyata bahawa kekerasan dilakukan atas nama agama dalam dunia Islam moden. Demikian juga pembunuhan terhadap Indira Gandhi, Perdana Menteri India, pada 1984 oleh pengawal peribadinya sendiri dari kelompok Sikh, juga didorong oleh faktor keagamaan.

Sesiapa pun harus menolak kekerasan yang dilakukan atas nama agama. Apa yang diharapkan kepada tokoh-tokoh agama, terutama Islam, Hindu muhupun Kristian, agar mereka mampu mencegah timbulnya pentafsiran keagamaan yang boleh membakar sikap radikalisme dan kekerasan di kalangan penganutnya yang akhir akan menggugat keselamatan sesebuah negara.

Dalam hal yang membabitkan keselamatan negara lebih-lebih lagi, pihak berkuasa tidak harus berkompromi atas desakan politik dari mana-mana parti politik. Justeru, PUTRA menggesa supaya hukuman yang berat dikenakan kepada mana-mana individu atau kumpulan yang disahkan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Oleh Datuk Dr. Aziz Jamaluddin Mhd Tahir

Sumber : malaysiadateline.com

No Comments

    Leave a reply