UBAH SIKAP JIKA MAHU SYURGA

Oleh: Dr. Mohd Ridhuan Tee Bin Abdullah

Tidak tercapai oleh pemikiran manusia betapa indahnya syurga. Itu nikmat kurniaan Allah SWT yang tidak ternilai harganya kepada manusia pilihan-Nya. Insan beriman dan bertakwa. Setiap insan pasti mahu ke syurga.

Banyak sekali ayat al-Quran dan Hadis menceritakan tentang keindahan syurga dan manusia selayaknya. Antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan (As-Sajadah 32:17)

Begitu juga dalam ayat-ayat yang lain, at-Taubah: 72, Ali Imran: 133, az-Zumar: 73, ar-Rahman: 72, al-Baqarah: 25, ar-Rahman: 56, an-Naba: 31-33, al-Waqiah: 32-37, al-Haqqah: 23-24, al-Insan: 5-6, al-Insan: 17-18, Muhammad: 15, al-Qiyamah: 22-23, Yunus: 26 dan banyak lagi.

Persoalannya, bagaimana untuk menjejaki jalan ke syurga? Mudahkah? Terdapatkah jalan pintas? Sedangkan tanggungjawab asas sebagai khalifah di muka bumi tidak dilaksanakan. Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Berbanding dengan umat terdahulu, yakni para Anbiya, para sahabat, para ulamak yang baik dan mereka yang mati syahid. Sudah tentu mereka ada jalan pintas, kerana mereka menyerahkan sepenuh kehidupan berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi.

Kita pula bagaimana? Melihat sahaja? Kita selalu berkata; “sejahat manapun umat Islam, selagi mana dia beragama Islam, maka tetap syurgalah habuannya, sekali disiksa di neraka terlebih dahulu. Orang kafir akan kekal selama-lamanya di neraka”. Melalui persepsi ini, kita buat kehidupan ini sebagai ala kadar sahaja. Apakah orang kafir yang baik, dalam keadaan Islam tidak sampai kepada mereka disebabkan oleh umat Islam tidak memberikan contoh?

Kadang kala naik lemas mendengar ceramah ustaz-ustaz kampung yang berkata lelaki di syurga dijanjikan bidadari cantik keliling pinggang dan wanita pula dengan pinggan mangkuk dan alat perhiasan. Dalam maksud, kerja lelaki melayani nafsu dengan perempuan. Manakala wanita, oleh kerana nampak hodoh jika melayan melayani lelaki, maka kalangan kita berkata, Allah SWT menyediakan pinggan mangkok dan alat perhiasan untuk mereka. Wajarkan cerita disampaikan?

Bagaimana keadaan syurga yang sebenar, bagi saya tidak penting. Apa yang penting, kita perlu memasuki untuk mendapatkan nikmat selama-lamanya.

Ini tidak, sibuk bercakap tentang bidadari syurga, sedangkan yang berceramah itu belum tentu masuk syurga. Tidak perlulah ditekankan soal seks. Letih memikirkannya. Kadang kala menjadi bahan ketawa bukan Islam, kita otak kita asyik memikirkan seks.

Apakah benarkah semua umat Islam dijanjikan syurga, tidak kira apa jua kejahatan yang dilakukan?

Apakah benar mereka yang mengerjakan umrah acap kali dan mengerjakan haji setiap tahun lebih mudah masuk syurga? Jika begitu keadaannya sudah tentu rugilah orang Melayu dan orang yang tinggal berjauhan daripada Mekah? Sudah tentu dalam syurga nanti penuh orang Arab, sebab kaabah berada di depan mata, mereka boleh melakukan umrah saban hari dan haji saban tahun?

Sebelum menelusuri lebih lanjut, eloklah direnung terlebih dahulu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Pernah seorang lelaki menemui Rasulullah SAW sambil berkata “Beritahu aku tentang sebuah amalan yang dapat mendekatkanku kepada syurga dan menjauhkanku dari neraka. Rasulullah SAW menjawab: “Engkau beribadah kepada Allah, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatupun, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan menyambung hubungan dengan orang-orang yang memiliki ikatan rahim denganmu”.

Ada kalangan ulama memberikan 10 jalan untuk ke syurga iaitu, pertama,  Melafazkan kalimah Lailahaillallah. Kedua, membaca al-Quran, ketiga, membaca ayat qursi selepas solat lima waktu. Keempat, membaca surah Al-Mulk (awal juzuk 29). Kelima, membaca surah ‘Al-Ikhlas’, Keenam, mengamalkan zikir. Ketujuh membaca doa. Kelapan, memelihara anak-anak yatim. Kesembilan, mengawal amarah kerana Allah SWT. Kesepuluh berbuat baik kepada ibubapa.

Pendek kata, begitu banyak jalan menuju ke syurga, jika dikaji dan digali lagi dalam Hadis dan pendapat para ulamak. Namun, perlu dingat, semua itu akan menjadi realiti jika teras adalah akidah. Tidak ada ertinya amalan di atas, jika akidah tidak betul.

Tentunya ramai dalam kalangan kita yang telah membaca kita kalangan Bani Israel, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, seorang pemuda kejam yang telah membunuh 99 orang.

Menyedari kesalahannya dan dosa yang telah dilakukan, pemuda terfikir untuk bertaubat. Apakah dosa boleh diampunkan oleh Allah SWT. Maka, beliaupun telah pergi berjumpa dengan seorang ahli ibadah dan bertanyakan sama ada dosanya boleh diampunkan atau tidak. Rahib itupun menjawab, tidak ada taubat bagimu.

Lantas, pemuda tersebut menghunuskan pedang dan menggenapkan 100 orang yang telah dibunuhnya.

Selanjutnya, beliau bertanya lagi kepada seorang alim lalu bertanya, masih adakah jalan untuk ber­taubat baginya. Kali ini jawapan yang diterima lain.

Orang alim itu pun tersenyum menyambut kedatangannya. Begitu melihatnya, ia langsung menyambutnya dengan penuh hikmah. Lalu bertanya si alim kepada pemuda tersebut: “Apakah keperluanmu datang kemari?”

Pemuda tersebut menjawab: “Aku telah membunuh 100 orang, maka masih adakah jalan taubat bagiku?”

Orang alim itu balik bertanya: “Adakah sesiapa menghalang atau mencegah kamu untuk bertaubat? Pintu Allah terbuka lebar bagimu, maka bergembiralah dengan keampunan; bergembiralah dengan perkenan dari-Nya; dan bergembiralah dengan taubat yang tulus ikhlas.”

Pemuda tersebut beredar dengan hati yang gembira dengan berita atas pengharapan ini. Ketika dalam perjalanan, beliau meninggal dalam keadaan mengucap.

Apakah ada jalan pintas untuk ke syurga? sedangkan beliau belum pernah bersolat, berpuasa, bersedekah, berzakat dan belum pernah mengerjakan kebaikan sama sekali, namun dia kembali kepada Allah dengan bertaubat, menyesal, berharap, dan takut kepada-Nya.

Cerita ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua. Terlalu banyak cerita tentang syurga dan neraka. Cukup sekadar satu dua untuk dijadikan teladan. Cuma saya ingin mengajak para pembaca berfikir, apakah ada jalan pintas untuk ke syurga jika tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar? Bagaimana pula dengan persekitaran umat Islam hari ini termasuk mereka yang dikatakan malas bekerja?

Saya lontarkan satu contoh terkini, dilema umat Islam Melayu di negara ini. Mampukah belia Melayu menceburi bidang kerja 3D (Dirty, Difficult dan Dangerous) seperti yang dilakukan oleh buruh asing, kaitan dengan cadangan untuk membawa masuk 1.5 juta Bangladesh? Jawapannya, sudah tentu mampu jika Melayu sedar diri dan mahu berubah.

Bacalah buku Pendeta Za’ba (2009), khusus untuk Melayu, perangai bergantung kepada diri sendiri. Mitos Pribumi Malas (Syed Hussein alatas, 1989). Jika nak sesuatu itu berubah, mesti datang dari diri sendiri terlebih dahulu. Yang lain, hanya boleh membantu. Jangan pergi jauh, sektor pembantu rumah, berapa ramai orang melayu yang sanggup bekerja? Hampir tiada.

Mengenali hakikat kejadian manusia, tidak ada satu bangsapun yang Allah jadikan dengan serba kekurangan. Kita adalah sebaik-baik makhluk. Bacalah sejarah manusia dan sejarah Melayu. Setiap insan atau bangsa ada kelebihan tertentu, sama ada sedar atau tidak.

Tidak timbul isu, hanya Cina sahaja rajin, Melayu tidak. Masa Melayu, selalu lambat, orang lain tidak. Kita memperlekehkan dan memandang rendah bangsa sendiri. Sedangkan proses kejadian manusia sangat hebat. Jika tidak, apa beza kita dengan haiwan? Jika sekadar belajar untuk belajar, bekerja untuk bekerja, binatang di hutan juga belajar dan bekerja.

Masalahnya, bukan berkaitan dengan bangsa tetapi sikap. Mahu berubah atau tidak? Apa pula tanggungjawab pemimpin terhadap umatnya. Kenapa Melayu di luar negara boleh berjaya? Kenapa tidak dalam negara? Apa punca masalahnya?

Ya, tidak dinafikan segelintir Melayu hanya mahu kerja glamour. Yakinlah! Jika ada program realiti pastinya orang Melayu yang berbaris panjang, walaupun mungkin bakat seni tidak ada. Sebabnya, mereka mahu jadi glamour, popular dan kaya. Lihat sahaja bagaimana jutawan Melayu begitu bersungguh menaja program realiti hiburan TV. Siapa yang menjadikan Melayu sedemikian, kalau bukan kita?

Justeru, mari bersama kita cari ubat Melayu. Pertama, ubatilah hatinya agar sikapnya merubah. Hati yang bersih tanpa hasad dengki. Tidak saling jatuh-menjatuh, tikam-menikam. Bersangka baik sesama sendiri. Letih kadangkala membaca grup WhatsApp Melayu. Asyik menfitnah dan mengeji. Semua berpunca dari hati. Tanpa hati yang tulus ikhlas, Melayu akan tetap sebegini. Melayu perlu belajar erti hati ikhlas. Ikhlas dalam perjuangan, ikhlas menjadi pemimpin.

Konsep ikhsan mesti dikhatam dan dihadam. Bekerja seolah-olah Allah nampak kita walaupun kita tidak nampak Allah. Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Esok mesti baik daripada hari ini. Kata-kata siapakah itu?

Kedua, Melayu mesti menolong Melayu berasaskan Islam. Agama Islam sangat mulia dan terpuji. Praktikkanlah. Sediakan sekumpulan pakar untuk mengajar subjek agama Islam sebagai agama yang positif dan dinamik. Islam sangat menentang sikap bermalas-masalan. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Jika boleh, masukkan kurikulum dan kursus kahwin, bukan hanya pendidikan seks semata.

Mereka yang berkebolehan, berbakat dan berilmu mesti diketengahkan. Jangan dipetiaiskan kerana takut memberi ancaman. Ada pemimpin politik (menteri) takut melantik orang yang lebih pandai daripadanya, takut-takut akan dicatas. Maka dilantiklah ahli yang lebih bodoh daripadanya agar mudah diperkudakan. Kerjanya asyik membodek dan kata ‘yes’. Maka kekallah dia sebagai pemimpin sampai mati. Inilah yang berlaku di peringkat cawangan dan bahagian. Hati dan sikap Melayu sebegini perlu diubati.

Ketiga, sikap Melayu (Attitude). ATTITUDE jika disusun susun huruf A = 1 markah sehingga Z = 25, hasilnya 100%. 1(A)+20(T)+20(T)+I(9)+T(20)+U(21) +D(4)+E(5)=100. Susunlah perbuatan lain, tidak dapat 100 peratus. Inilah perkara lama yang telah dibincangkan saban hari. Bagaimana nak ubah sikap, juga berpunca dari hati.

Dalam Islam, apa jua sektor kerja yang diceburi, yang paling penting,  HALAL, baharulah berkat. Sanggupkah kita cuci longkang, potong rumput, bina bangunan di tengah panas terik matahari. Sanggup. Pokoknya, bayaran mesti setimpal. Kenapa kebanyakan orang suka berhijrah mencari pekerjaan di tempat lain? Bayarannya berbaloi. Jika Melayu diberikan gaji minima RM2000 dan insentif lain, pasti ada yang sanggup. Negara untung, duit tidak mengalir keluar. Gejala sosial boleh dikurang, kerana pekerja asing selalu dahagakan seks.

Keempat, terdapat begitu banyak institusi berkaitan Melayu dan Islam di negara ini dan dibiayai kerajaan kerana perlembagaan membenarkan, termasuk Majlis Profesor Negara. Buatlah kajian. Kerajaan dengarlah. Kenapa sampai sekarang masih membincangkan isu Melayu. Apa kita buat? Sudah berapa lama merdeka?

Lihat NGO-NGO Cina, segala jenis persatuan mereka ada. Persatuan bahasa (dialek), ikan, ayam, itik, sayur, buah, lori bas dan sebagainya. Bersatu dan dinamik. Sekali mereka gegar… kecut! Ramai yang tunduk.

Kita asyik bergaduh. Dalam semua sektor. Kalangan cendekiawan, agamawan, penjawat awam, orang pencen dan lain-lain tidak kurang politikingnya. Bila ada masa untuk membincangkan kekuatan Melayu. Melayu semakin melayu.

Kelima, teringat kata hikmah Ungku Aziz, (1) rajin bercakap-rajin bekerja=bagus, (2) rajin bekerja-malas bercakap=kena buli, (3) malas bekerja-rajin bercakap=wayang Cina, (4) malas bekerja-malas bercakap=tak guna, (5) malas bekerja-suka mengadu=nyanyuk, (6) malas bekerja-selalu ponteng=baik berhenti, (7) malas bekerja-suka menyibuk=baik mati. Kategori mana duduk Melayu? Jarang yang duduk pada 1. Rata-rata berada 2-7. Biar papa asal bergaya

Melayu tidak boleh berlengah lagi. Perlu ada perancangan strategik jangka panjang dengan memberikan keutamaan kepada isu yang mendesak. Lakarkan visi strategik untuk melayari masa depan. Melayu juga perlu gigih mencari kumpulan pemimpin yang lebih baik yang mampu mewakili mereka  dengan lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan dan aspirasinya.

Saya amat mengharapkan para pembaca dapat merenung sejenak, apakah ada jalan pintas untuk kita memasuki syurga, jika umat Islam yang Allah pilih untuk memakmurkan buminya sendiri tidak menjalankan tanggungjawab sebenar berteraskan akidah yang benar?

dr. Ridhuan Tee-1

Dr. Mohd Ridhuan Tee Bin Abdullah

Felo Utama/Profesor

Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE)

Pusat Penataran Ilmu (PPI)

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

No Comments

    Leave a reply