UKURAN HAJI MABRUR

Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima.Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT mempunyai hikmahnya, dan kerana itulah setiap orang Islam bercita-cita untuk menunaikan ibadat tersebut sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Secara jelasnya, ibadat haji yang disyariatkan sebagai rukun Islam adalah berasaskan beberapa falsafah bagi menghindarkan diri dari sebarang bentuk permusuhan, kesedaran sosial, menghapuskan hasad dengki dan sebagai proses pembersihan diri daripada pelbagai kekotoran perilaku ataupun tuturkata.

Setiap kali musim haji tiba, kita dengan sedarnya mengetahui berhimpunnya umat manusia dari pelbagai latar belakng, geografi dan warna kulit berhimpun dalam satu tujuan, iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT menerusi amalan dan niat yang tulus ikhlas agar seusainya peribadatan tersebut, ia akan membentuk akhlak dan peribadi kita seolah-olah “dilahirkan kembali dalam keadaan serba bersih dan suci.”

Ibadat haji merupakan kemuncak penyerahan diri manusia sebagai hamba kepada Allah SWT dan pada ketika itu, segala urusan keduniaan dilupakan dengan rela hati. Seluruh waktu digunakan untuk melakukan pelbagai ritual dan dihabiskan dengan mengingati kebesaran nikmat yang telah dianugerahkan sepanjang hidup agar memperoleh keberkatan-Nya sebagai bekalan memburu syurga di alam yang lebih kekal.

Setiap muslimin akan menggunakan satu bentuk bahasa yang penuh makna penyerahan sebagai “perjumpaan kudus” dengan Allah SWT. Sebaik sahaja memulakan langkah pertama menuju ke tempat berkumpul sebelum berangkat ke Tanah Suci, bermula dengan doa selamat agar sepanjang tempoh peribadatan itu mendapat “Haji Mabrur.”

Maksud “Haji Mabrur” ialah ibadah haji yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Dari segi istilah, mabrur membawa dua maksud, iaitu “bersih, suci dan baik”; dan “diterima dan mendapat keredhaan Allah SWT. Ini membawa maksud, haji mabrur itu berlaku dalam keadaan yang baik, suci dan bersih kerana sifat-sifat tersebut itulah yang menjadi tujuan dalam setiap perintah-Nya. Haji mabrur ialah haji yang memperoleh kebaikan oleh pelakunya hasil pengamalan ritual kepada Allah SWT dengan hati yang bersih, suci dan kudus.

Haji mabrur merupakan haji yang sangat mulia dan berharga justeru ia menjadi harapan setiap orang yang beriman. Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa di antara kedua-duanya. Dan haji mabrur ada balasannya iaitu syurga. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah kesedaran, barulah dapat disebut haji mabrur.

Dalam ibadah haji yang menjadi ukuran mabrur atau tidak ialah dengan ukuran seberapa banyak amal ibadah haji yang telah dilakukan itu berupaya melahirkan suatu kesedaran moral dan spirituil yang dapat pula melahirkan semangat untuk melakukan perkara-perkara kebaikan sehingga berjaya mengubah diri daripada sikap negatif kepada sikap positif.Dari sikap tamak kepada pemurah dari sikap sombong kepada rendah diri, dari bakhil kepada pemurah.

Disebutkan dalam sahih Muslim, bahawa Rasulullah ditanya tentang kebaikan. “Baginda menjawab, akhlak yang baik.” Ibnu Umar pula berkata, “Sesungguhnya kebaikan merupakan sesuatu yang mudah, iaitu wajah yang berseri dan perkataan yang lembut.” Perilaku seperti inilah yang seharusnya menjadi perhiasan seseorang ketika mengerjakan ibadah haji. Ia harus sentiasa menjalinkan hubungan sesama manusia dengan kata-kata dan perlakuan yang terpuji.

Mereka yang memperoleh haji mabrur, sebaik sahaja selesai mengerjakan ritual itu dengan tekun dan penuh keinsafan akan memperoleh ketenangan psikologi sehinggalah apabila kembali semula ke kampong halaman, akan menceritakan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang amat berkesan dan terbaik sepanjang hayat. Kerana itulah setiap daripada mereka bertekad, jika boleh dan berkemampuan akan melakukan ibadat tersebut untuk kesekian kalinya. Mereka sanggup meletakkan azam itu dengan kesungguhan dan mula menabung semula agar berjaya menjadi tetamu Allah SWT di rumah-Nya.

Rindu begitu mendalam untuk berada di kota Mekah dan Madinah, dua buah kota yang begitu suci dalam setiap hati umat Islam sehinggakan mereka mudah boleh memaafkan jika berlaku sebarang masalah dan kekurangan sepanjang tempoh peribadatan, kerana ia adalah satu bentuk percubaan Allah SWT mengenai kesabaran manusia. Maka, ketika itulah setiap muslim menjadi seorang yang berjiwa pemaaf, penuh kesyukuran dan redha dengan apa musibah yang menimpa.

Sepanjang mengerjakan ibadat haji, umat Islam sebenarnya sedang berkelana menuju ke Rumah Allah dan sebagai tetamu-Nya, kita akan menyaksikan begitu banyaknya manfaat sama ada bersifat duniawi ataupun ukhrawi. Ia memberikan satu pengalaman yang paling berharga dan amat bernilai dalam kehidupan.

Saat itulah setiap muslim akan menghargai keseluruhan dimensi kehidupan kerana setiap aspek positifnya akan diterjemahkan sebaik mungkin. Ia dijadikan kerangka dan pedoman dalam meneruskan hari-hari berikutnya dengan penuh keinsafan agar mampu meraih pahala dan keredhaan Allah SWT.

Ibadat haji juga turut mengajak manusia untuk mengimbas semula sejarah lama yang penuh dengan ketekunan dan pengorbanan para nabi yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan kebaikan. Sejarah permulaan ibadat haji tetap dikaitkan dengan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya, dan kerana itulah selepas mengerjakan wukuf, umat Islam diwajibkan “berkorban” dengan menyembelihkan binatang ternakan.

Di samping semangat pengorbanan dan keredhaan Nabi Ismail AS terhadap mimpi ayahandanya sendiri, Nabi Ibrahim AS, kisah sedih yang menimpa Siti Hajar yang mundar-mandir mencari air untuk diminum oleh anaknya yang terlalu haus turut dibawa pulang oleh jemaah haji dengan penuh hormat dan keinsafan.

Air zam-zam akan dibahagi-bahagikan kepada sanak saudara dan kenalan sekembalinya ke tanah air dengan harapan ada keberkatannya. Para sanak saudara yang menerima seteguk dua air zam-zam itu secara automatisnya mengingatkan kisah itu. Semangat tawakal Siti Hajar yang dijelmakan menerusi saei Safa dan Marwah menjadi petunjuk kesabaran dan penyerahan kasih sayang hamba. Atas kasih sayang itulah Allah SWT kemudiannya menganugerahkan pancuran air di tengah padang pasir bukan sahaja sebagai penghilang dahaga bahkan lambang ketenangan dan kemenangan dalam kesabaran.

Dalam keadaan bermusafir, terserlah peribadi sebenar seseorang terutama apabila berhadapan dengan dugaan dan cabaran. Ada ketikanya kita mendengar, oleh kerana berlaku sedikit penyimpangan dalam urusan sebelumnya, orang berkenaan ditimpa musibah, kesesatan walaupun jalan yang dilalui itu adalah jalan yang sama setiap masa, orang itu tidak menemui jalan pulang. Ada yang sesat hingga ketika kemuncak ibadat haji menyebabkan tidak memperoleh “haji mabrur.”

Sepanjang bergaul dan berinteraksi dengan pelbagai jenis manusia di musim haji, pelbagai tingkah laku diterima sehingga boleh menggoreskan hati dan menyinggung perasaan. Tidak kurang juga dengan mereka yang benar-benar mempunyai akhlak yang mulia, menunjukkan perilaku yang penuh empati dan prihatin. Jiwanya suci bersih tanpa paksaan menghulurkan kerjasama dan pertolongan atas keinsafannya membantu sesama manusia.

Itulah yang sepatutnya berlaku kepada kita semua. Sepatutnya, selepas memasuki madrasah haji dan menerima panggilan nama di depan sebagai “Tuan Haji” atau “Puan Hajjah”, iaitu sudah bergraduasi dengan kemabrurannya, kita berubah lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan terdahulu. Kita pulang membawa misi mabrur maka seluruh kehidupan dan masa-masa yang kita lalui kemudiannya mestilah memakaikan seluruh sifat mahmudah, bersalaman dan menyemaikan peradaban salam, sebagaimana diteladani oleh Rasullullah SAW.

Apakah sekembalinya dari tanah suci, masih ada keangkuhan di dalam jiwa? Masih terasa adanya perbedaan darjat kemanusiaan? Masih ingin hipokrit menindas orang lain? Masih mahu berpura-pura alim tetapi hakikatnya jahil. Kalau masih ada maka kita masih mengenakan pakaian biasa dan belum menanggalkannya.

Seseorang yang pulang dari menunaikan haji, bukan sahaja merasakan dirinya kembali ke fitrah kesucian tetapi juga tumbuh dalam dirinya perasaan menjadi sebahagian daripada satu masyarakat dunia bernama bangsa Muslim. Suatu bangsa yang merapatkan barisan atas landasan tauhid yang menyatukan raja dan rakyat jelata, ulama dan kaum dhuafa, jeneral dengan rakyat jajahan.

Catatan: Ibnu Hayyan

No Comments

    Leave a reply