ULAMA DAN NASIONALIS

Sheikh Ismail Haji Muhammad Salleh atau lebih dikenali dengan panggilan Sheikh Ismail sahaja, dilahirkan pada 17 Syaaban 1311 Hijrah. Beliau merupakan anak kepada Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim, juga cicit kepada Haji Ishak, pengasas Pondok Pulau Pisang dan Kadi Besar Negeri Kubang Pasu semasa pemerintahan Tunku Anom.

Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahnya di Pondok Pulau Pisang. Pada tahun 1330 H, beliau berangkat ke Mekah bersama ayahnya untuk menyambung pengajian di Masjidil Haram. Setelah tamat, beliau menyambung lagi pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir selama lima tahun mulai 1346 H hingga 1351 H dan berjaya memperoleh ijazah Aliahtul Qarbak. Gurunya ialah Sheikh Abdul Wasif dan Sheikh Ali Maliki. Semasa menuntut di Timur Tengah, Sheikh Ismail mengambil peluang melawat Palestin dan kemudian kembali ke Mekah lagi pada tahun 1352 H.

Apabila pulang ke tanah air pada tahun 1353 H, beliau diminta oleh ayahnya mengajar di Pondok Pulau Pisang dan sebagai tenaga pengajar kanan bersama Dr Burhanuddin al-Helmy. Pondok Pulau Pisang ketika itu berada di puncak kemasyhuran hingga ke rantau Indonesia dengan jumlah pelajar antara 800 hingga 1000 orang. Namun, tugas Sheikh Ismail di situ tidak lama apabila beliau dilantik sebagai Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah oleh Duli Yang Teramat Mulia Tunku Mahmud lbni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Sepanjang tugas itu, beliau berusaha memajukan sistem persekolahan agama yang masih menjadi ikutan dan panduan pada masa kini.

Beliau banyak menghasilkan kitab berkaitan dengan sistem dan peraturan persekolahan agama waktu itu. Malangnya, kebanyakan kitab yang berguna itu hilang dan hanya dua buah sahaja yang ditemui, iaitu Hidayat-An-Nufus dan Tarbiyat-Ul-Auladiyah. Kitab Hidayat-An-Nufus berkaitan doa-doa dalam sembahyang, dihimpun dan dihurai secara terperinci dari segi kaedah amalannya di samping menerangkan manfaat kepada umat Islam menurut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Sementara kitab Tarbiyah Auladiyah pula menerangkan kebaikan Islam sebagai suatu cara hidup ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat.

Menjelang tahun 1356 H, Sheikh Ismail dilantik sebagai Kadi Besar Negeri Kedah selama dua tahun sahaja. Beliau berjaya memberi sumbangan besar ke arah perkembangan Islam. Walaupun sibuk dengan jawatan itu, beliau masih sempat melawat dan mengajar di pondok Pulau Pisang yang sedang ditadbir oleh bapanya, Haji Muhammad Salleh.

Beliau turut memberi sumbangan fikiran, tenaga dan modal untuk meningkatkan taraf pondok itu sebagai pusat pendidikan. Sheikh Ismail bertanggungjawab memberi nama kepada pondok itu sebagai Madrasah lshakiah dan serentak dengan itu kaedah pendidikan tradisional dikemaskinikan mengikut sistem pengajaran moden ketika itu.

Pada tahun 1358 H, Sheikh Ismail menjadi Pengerusi Majmak Syeikhul Islam Negeri Kedah hingga 23 Syawal 1364 H. Peranan utamanya sepanjang memegang jawatan itu ialah berusaha menjayakan penubuhan Jabatan Zakat Negeri bertujuan mengumpul dan membahagikan kutipan zakat kepada golongan asnaf yang lapan. Jabatan Zakat Negeri ditubuhkan atas kehendak dan titah Duli Yang Teramat Mulia Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

Untuk maksud menjayakan penubuhan jabatan itu, satu rang undang-undang berhubung dengan penubuhannya, cara-cara kutipan dan agihan telah disusun oleh Sheikh Ismail untuk melicinkan perjalanan sesuai dengan syiar Islam bersama dua orang lagi ulama, iaitu Haji Yaakob Haji Ahmad (Yaakob Puteh) Kadi Daerah Kota Setar dan Haji Abdul Ghani Haji Awang, Kadi Besar Negeri Kedah.

Selama tiga tahun lapan bulan Jepun memerintah Tanah Melayu, Sheikh Ismail sentiasa berusaha agar kedaulatan Islam tidak tercemar. Beliau cuba mempengaruhi Jepun supaya melindungi kesucian agama Islam dengan menyuarakannya dalam satu persidangan wakil-wakil pertubuhan Islam Tanah Melayu pada 5 April 1943 di Singapura. Sebagai ulama dan nasionalis, beliau juga salah seorang yang terbabit mempengaruhi Jepun mengembalikan kedudukan, kekuasaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Pada 21 Januari 1943 Sheikh Ismail menjadi wakil raja di suatu mesyuarat antara Jepun dengan wakil Raja-raja Melayu dan Sumatera di Singapura. Pada kesempatan inilah beliau mencurahkan isi hati agar orang-orang Melayu dilindungi dan kedaulatan Raja-rajanya dikembalikan sebagai simbol perpaduan.

Sheikh Ismail meninggal dunia pada 23 Syawal 1364 H dalam usia 53 tahun, iaitu setahun selepas Haji Muhammad Salleh meninggal. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan Masjid Pulau Pisang berhampiran pusara ayah dan nendanya. Setelah beliau pulang ke rahmatullah, nadi keunggulan pondok itu sebagai pusat ilmiah Islam diteruskan oleh adiknya, Tuan Haji Kassim.

Susunan oleh Umar Luqman

No Comments

    Leave a reply