BUKU “NEGARA MASLAHAH PEMIKIRAN AL-GHAZALI DAN KONTEKS POLITIK MALAYSIA”

Buku yang ditulis oleh Pengerusi Yayasan Sumber Maklumat ini menyentuh pemikiran tokoh pemikir dan ahli tasawuf Islam, al-Ghazali atau nama panjanganya Abu Hamid Muhammad al-Ghazali.

Beliau dilahirkan pada 1058 Masihi di Ghazalah, Iran dan telah menghasilkan pelbagai buku termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang menjadi rujukan utama pengamal ilmu tasawuf di Malaysia dan Indonesia.

Malangnya, sejak akhir-akhir ini ilmu tasawuf yang berkait rapat dengan akhlak seolah-olah telah dilupakan sehingga menyebabkan umat Islam di Malaysia mengalami deficit moral dan perkara itu terbukti dengan kes terbaharu membabitkan ramai kakitangan Imigresen ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyelewengan.

Hal itu menyebabkan tercetusnya pelbagai kes rasuah, gaya hidup hedonism yang mementingkan keseronokan dan kesenangan semata-mata, pecah amanah, tidak telus dan mengutamakan kroni dalam pemberian tender.

20160607_144817

Dalam buku ini, penulis lebih memberi tumpuan kepada pandangan al-Ghazali mengenai sifat-sifat yang sepatutnya dimiliki oleh setiap pemerintah dan kaedah politik beradab dan bermoral yang seharusnya diamalkan di sesebuah negara.

Al-Ghazali menolak tindakan sesetengah pihak yang menjadikan politik sebagai alat mengaut kekayaan dengan cepat, menindas rakyat yang mempunyai pemikiran tidak sehaluan dan tindakan menutup mulut pengkritik.

Menurut al-Ghazali, antara sifat-sifat yang perlu ada pada setiap pemerintah adalah adil dan tidak melakukan kezaliman terhadap orang bawahan dan rakyat.

Pihak pemerintah juga dilarang bersikap besar diri dan sombong, kerana sifat itu akan membangkitkan kemarahan rakyat dan menyebabkan mereka berdendam dengan pemerintah.

Al-Ghazali turut menegah pemimpin negara asyik dengan amalan ibadah yang bukan wajib sehingga menyebabkan rakyat yang memerlukan bantuan dan perhatian pemerintah terabai. Para pemimpin tidak digalakkan terlalu menurut kehendak hawa nafsu dengan berpakaian mewah dan memakan makanan lazat sebaliknya hendaklah hidup secara sederhana.

Sifat lain yang perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin adalah tidak cepat marah, bersikap lemah lembut dan sentiasa berusaha untuk menyenangkan rakyat serta segera membantu orang yang mengalami kesulitan.

Pemimpin juga perlu membelanjakan wang termasuk memberi subsidi bagi mengelak rakyat kelaparan dan dalam masa sama perlu  mengelak memungkiri janji yang telah dibuat kepada rakyat.

Selain itu, pemimpin hendaklah membanteras amalan peniaga tamak yang menyorokkan barangan dan menjualnya setelah harga meningkat dengan tujuan mendapat keuntungan lebih.

Al-Ghazali turut mencela pemimpin negara dan penjawat awam yang menggunakan waktu kerja untuk ‘bermain-main’. Baginya waktu pejabat hanyalah untuk bekerja dan jika hendak bermain, bersukan atau kegiatan yang tiada kaitan dengan kerja hendaklah dibuat selepas waktu pejabat.

Beliau juga menganjurkan pemimpin negara mewarisi sifat Nabi Muhammad SAW yang membuat sendiri segala keperluan dirinya seperti membersih rumah, menjahit pakaian yang koyak dan menggilap kasut.

Nasihat lain yang diberikan oleh al-Ghazali adalah pemimpin tidak boleh meninggalkan ulama. Namun, pemimpin tidak boleh semberono meminta nasihat ulama tanpa mengetahui latar belakang mereka.

Ini bagi mengelak pemimpin mendapat nasihat daripada ulama jahat kerana individu sedemikian akan menghancurkan negara.

Antara ciri ulama jahat adalah selalu memuji pemerintah secara tidak wajar dengan matlamat mendapat habuan duniawi.  Ulama sebenar pula sama sekali tidak mengharapkan balasan wang daripada pemerintah.  Mereka memberikan nasihat secara ikhlas semata-mata mahu melihat negara aman dan makmur.

Meskipun telah lama al-Ghazali mengemukakan teori politik Islam, segala pandangannya tidak lapuk dek panas dan tidak lekang dek hujan.  Apatah lagi, pemikiran politik al-Ghazali bukan berdasarkan pandangan ahli akademik semata-mata sebaliknya berasaskan pemerhatian dan penglibatan beliau sebagai penasihat kerajaan Nizam al-Mulk pada zamannya.

Bagi ahli politik, buku ini dan kitab karya al-Ghazali yang lain cukup berguna sebagai garis panduan cara berpolitik yang membolehkan mereka memperkenalkan dasar pentadbiran negara berasaskan kerangka akhlak yang terbaik.

Bagi pelajar dan ahli akademik pula, buku ini dapat menjadi rujukan penting untuk mengenali pemikiran politik Islam dan sebagai tambahan kepada buku lain yang turut membicarakan pandangan al-Ghazali terutama berkaitan tasawuf dan etika Islam.

Oleh Nizam Yatim

No Comments

    Leave a reply