UM ke-70 terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) kini berkedudukan ke-70 terbaik dunia, naik 17 anak tangga berbanding tahun lalu berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020 yang dikeluarkan semalam.

QS World University Rankings edisi ke-16 itu menyaksikan universiti tertua di negara ini meneruskan kecemerlangannya apabila menduduki tempat ke-18 di Asia, peningkatan pencapaian buat kali keenam berturut-turut dan kali kedua berturut-turut dalam kedudukan 100 terbaik dunia.

Pengarah Penyelidikan QS, Ben Sowter, berkata sistem pendidikan tinggi Malaysia menunjukkan prestasi luar biasa pada edisi kali ini, namun mereka tidak boleh terlalu selesa berikutan persaingan sengit pada peringkat serantau mahupun global.

Katanya, cabaran utama kebanyakan universiti di negara ini adalah menghasilkan kajian penyelidikan berimpak tinggi.

Sokongan kerajaan

“Kerajaan Malaysia meletakkan bidang pendidikan sebagai teras dan agenda dalam menyokong visi yang bercita-cita tinggi, di samping pelaburan penting serta kukuh.

“Bidang pendidikan menerima peruntukan pembiayaan terbesar iaitu 19.1 peratus daripada keseluruhan Belanjawan Malaysia 2019, malah sokongan ini jika dilaksana dengan strategik dan bijak mampu mencapai hasil yang baik,” katanya.

Sebanyak 20 institusi pendidikan tinggi tempatan (awam dan swasta) di negara ini tersenarai dalam kedudukan 1,000 universiti terbaik dunia dengan 10 daripadanya mencatat peningkatan, dua (tidak berubah), tujuh (penyertaan baharu) serta satu (menurun).

Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat terus mengungguli rekod universiti terbaik dunia untuk tahun kelapan berturut-turut manakala universiti terbaik Asia, Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS), kedua-duanya dari Singapura meraih kedudukan ke-11 dunia.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply