UMNO-BN: BERSAMA PH ATAU MENJADI PEMBANGKANG YANG KREDIBEL?

ISNIN lalu 14 Mei 2018, enam hari selepas PRU14, Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di PWTC.

Ia mesyuarat pertama selepas Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan kerana bertanggungjawab penuh atas kekalahan BN paling teruk dalam sejarah penubuhan parti itu.

Kebanyakan ahli MT hadir. Tapi bukan lagi dalam suasana ketawa ria, bergembira dan ceria.

Rata-rata, semasa tiba kelihatan sugul, macam orang yang tidak bersemangat dan kecewa.

Namun, selepas habis minum kopi, perbincangan berlangsung dalam suasana cukup panas. Mereka juga mahu tahu apa perancangan bos baharu mereka itu, yang kini bukan lagi berada dalam rumah kuasa yang sebenar.

Ahli-ahli MT yang selama ini kurang bercakap pun telah mula berucap berapi-api, melepaskan geram yang amat sangat.

“Orang Melayu ini terlalu loyal (taat) kepada pemimpin. Kita patut jadi Hang Jebat bukan Hang Tuah,” kata Tan Sri Musa Aman, yang kerusinya selaku Ketua Menteri Sabah dicabut oleh seteru lamanya Datuk Seri Shafie Afdal.

Namun nasi sudah menjadi bubur. Sumpah taat setia wala’ yang diberikan kepada Najib oleh mereka memakan diri.

Walaupun satu dunia melihat Najib  mempunyai liabiliti yang amat berat, mereka masih mempertahankan beliau sehingga apa yang ada dalam tangan hilang segala-galanya.

Oleh kerana tiada gerakan dalam parti sendiri, maka rakyat telah membuat keputusan secara en bloc untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib.

Malah sebelum PRU14 itu masih ada yang berdoa dan berharap sekiranya Najib meletakkan jawatan maka mereka meramalkan “BN akan mendapat undi landslide dan terbesar dari rakyat”.

Tapi itu tidak berlaku.

Allah lebih sayang negara ini. Allah mahu melihat berlakunya perubahan secara struktural dalam negara keramat Malaysia ini.

Para pemimpin MT dan BN ketika itu masih mahu terus memikul biawak hidup, satu ungkapan Melayu klasik yang bererti sengaja membuat sesuatu kerja yang menyusahkan diri. Cukup susah.

Benar kata-kata Musa itu, tapi malangnya semuanya sudah terlambat. Biarlah ia menjadi satu pengajaran yang baik kepada semua orang.

Mereka lupa bahawa sahabat sejati adalah yang selalu menegur dan bukan yang selalu mengampu.

Dalam ucapan pembuka mesyuarat MT itu Zahid telah membuat kenyataan mengenai hala tuju UMNO. Beliau memulakan ucapan dengan memberi penghargaan kepada Najib yang banyak berjasa selama 10 tahun mengepalai UMNO.

Beliau kemudian dikatakan memberi dua pilihan bagi memastikan parti itu terus bernafas dan relevan.

BN kini masih mempunyai modal insan yang juga signifikan. Ia mempunyai seramai 78 ahli Parlimen dengan 54 adalah Ahli Parlimen mewakili UMNO.

Pilihan Satu, menjadikan UMNO sebagai sebuah parti pembangkang yang kredibel dan mantap;

Dan kedua, berunding dengan Pakatan Harapan, terutamanya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bergabung dengan mereka.

Jika pilihan kedua berlaku maka gabungan itu akan menjadi satu gabungan Melayu Islam yang cukup hebat.

Namun adakah ahli-ahli PH akan bersetuju? Adakah rakyat juga akan bersetuju?

Namun, tujuan Mahathir ketika mengepalai bala tenteranya dalam peperangan PRU14 itu hanya untuk menumbangkan Najib,  seorang yang dikatakan mengamalkan amalan kleptokrasi.

Kini Najib sudah jatuh. Beliau juga sudah keluar dari UMNO dan sebagaimana proses pembersihan dalam kerajaan  dilakukan oleh PH, maka UMNO juga harus melakukannya mulai sekarang.

Zahid mempersembahkan kepada para ahli MT untuk menentukannya.

Namun, saya difahamkan oleh seorang anggota yang berada dalam mesyuarat itu:

“Mereka sudah tiada semangat untuk memikirkannya,  terserahlah kepada Presiden baharu itu untuk memutuskan sendiri.”

Daripada segi sains politik perkembangan ini cukup menarik untuk dibincangkan. Percaturan belum selesai, ia masih berlaku.

Rundingan politik akan berlaku. Zahid sedang memikirkannya.

Persoalannya adakah dengan mengambil pendekatan kedua itu bermakna UMNO tidak mahu kembali lagi ke arus perdana politik negara?

PH menerusi Pakatan Rakyat mengambil masa selama 20 tahun untuk tiba di saat ini. Mereka cukup istiqomah. Paduan Dr Mahathir menjadikan ia sebagai satu kenyataan.

Jika UMNO mengambil pilihan pertama ia akan lebih dihormati dalam konteks demokrasi — selaku pihak pembangkang yang amat berpengalaman dalam menjadi pengimbang check and balance dalam Parlimen.

UMNO, walau dikeji sekalipun “rakyat mengetahui ia telah melakukan yang terbaik untuk umat Melayu negara ini.”

Itu adalah hakikat. Biarlah Allah yang memberi hidayah kepada parti yang diasaskan pada 1946 itu untuk menentukan halatujunya.

Zahid kena solat istiharah dalam bulan mulia ini untuk mendapatkan petunjuk.

Petunjuk itu kini masih terawang-awang, namun cahaya ada di hujung sana…

Oleh Zaini Hassan

No Comments

    Leave a reply