Semasa parti-parti politik di bawah Pakatan Harapan (PH) memainkan peranan sebagai pembangkang dahulu, berkobar-kobar ahli-ahli politik mereka membantah tentang kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia. Semua yang bercanggah dengan pandangan tirus mereka akan dibantah keras yang mungkin dan diungkit berkali-kali untuk menunjukkan kerosakan dalam kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

Dahulu semasa kerajaan di bawah BN memperkenalkan undang-undang yang menyekat kebebasan, ahli politik PH ramai yang bangkit memanggilnya sebagai jelik. Tapi sekarang, ramai pula yang menggunakan sekatan undang-undang untuk mendiamkan pengkritik mereka.

Inilah halnya apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semakin kerap menyeringaikan ta­ring mereka dengan menjadikan ramai pengkritik PH sebagai sasaran. Sedangkan di bawah Seksyen 3 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), matlamat utama SKMM adalah ‘mencambahkan dan memupuk sumber maklumat dan perlambangan budaya tempatan yang membantu mengete­ngahkan identiti kebangsaan dan kepelbagaian dunia’. Kebenaran adalah budaya tempatan dan identiti kebangsaan. Tak malukah SKMM apabila mereka gagal menghormati jati diri mereka sendiri?

Juga apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan tunjuk sebab kepada Dr. Zamihan Mat Zin ke­rana mengkritik perlantikan dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan tegas melarang sebarang ulasan terhadap perlantikan ahli DAP ke dalam Yadim, termasuklah memberikan amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap sebarang individu yang mengkritik perlantikan itu.

Terbaharu apabila bekas Perdana Menteri dilarang daripada mendekati masyarakat umum walaupun atas alasan sekadar untuk berswafoto. Adakah undang-undang akan terus digunakan untuk memaafkan dasar tutup mulut kerajaan PH yang berterusan membelah betung tanpa segan? Sedangkan sistem demokrasi terbentuk dan dipelihara oleh hak bersuara pengkritik sebagai sekat dan imbang kepada setiap keputusan kerajaan agar manfaat terus sampai kepada rakyat yang mengundi sebagai benefisiari dasar-dasar kerajaan.

Rakyat punya hak untuk menyanggah mana-mana dasar yang bobrok, memberikan pandangan agar kerajaan dapat membangunkan negara dengan melihat keperluan utama rakyat dan memberikan tumpuan kepada golongan rentan yang lebih memerlukan. Pandangan rakyat bukanlah perjudian yang hanya diterima saat mandat ditagih.

Dengan trend terkini kerajaan PH yang menyekat sua­ra pengkritik, kemunduran budi dan kekusutan jiwa sudah mula terserlah yang hanya akan melarat membentuk kemunduran negara. Undang-undang adalah bentuk kawalan untuk menyelia kesejahteraan, ketenteraman dan keselamatan negara dan bukannya untuk dimanipulasikan bagi mendiamkan sebarang teguran murni kepada pemerintah.

Sampai ketika bilamana kerajaan lebih senang untuk menyekat hak rakyat dan bukannya sibuk menyempurnakan tanggungjawab mereka, adalah saat apabila rakyat tak punya pilihan kecuali untuk bangkit melawan.

Oleh Fatihah Jamhari (pengamal undang-undang).