‘Undi 18’ terajui perubahan politik negara

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal menyaksikan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas akan dibenarkan mengundi.

Rasionalnya sering kali diperkatakan ialah kempen sinonim dengan singkatan ‘undi 18’ ini adalah pemerkasaan kepada orang muda dalam menentukan hala tuju negara.

Benar dengan usia 18 tahun masih belum sempurna dalam memahami situasi politik negara. Rata-rata hanya mampu fokus kepada pencapaian akademik dan pekerjaan bagi mengubah nasib diri dan keluarga.

 Pelajar pada peringkat menengah rendah dan tinggi kurang menunjukkan minat terhadap sistem pemerintahan negara dan politik. Justeru, mana mungkin kita meletakkan beban pada bahu mereka untuk memilih pemerintah yang akan menerajui negara.

Harus diingat menjelang PRU-15, dianggar 15 juta atau 66 peratus pengundi berusia 18 hingga 40 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan kerajaan harus membina pathway (landasan) kondusif dalam proses mematangkan golongan muda.

Jika landasan tidak dibina, selamanya orang muda akan terus dikesampingkan dalam proses pendemokrasian negara. Logiknya, jika orang muda (seawal usia 18 tahun) dibenarkan mengundi, akan terbit kesedaran untuk mereka memahami sistem pemerintahan negara.

Seiring hasrat membina persekitaran kondusif, ‘undi 18’ boleh dilihat sebagai metodologi memperkasa orang muda.

Jadi, ‘undi 18’ memerlukan perancangan strategik yang lengkap dan menyeluruh agar rasional ini dapat diterjemahkan dalam bentuk pulangan (pelaburan) kepada negara. Lantas beberapa rangka kerja harus diambil perhatian.

Dapatan Indeks Belia Malaysia 2017 oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mendapati pembabitan dan kecaknaan belia dalam menyantuni isu politik masih rendah.

Rata-rata kurang menunjukkan minat terhadap situasi politik negara menyebabkan kurangnya kesedaran untuk mengundi. Alasan diberikan ialah politik sebagai entiti yang tidak berkait rapat dengan mereka dan hanya membuang masa.

Ketidakpercayaan kepada kerajaan dan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) antara faktor penyumbang senario ini.

Kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) harus mengenal pasti tahap kecenderungan berpolitik dalam kalangan orang muda, menganalisa dan mengemukakan jalan jalan penyelesaian bagi sebarang tindakan.

Memandangkan seawal usia 18 tahun orang muda dibenarkan mengundi, maka pengetahuan harus dibekalkan agar pembabitan mereka dalam PRU benar-benar menyumbang kepada kebaikan negara.

Subjek Sejarah Malaysia harus diberi penekanan dan perlunya ada fokus terhadap perjalanan negara pasca merdeka. Kefahaman bukan hanya berdasarkan teori dan hafalan, tetapi memberi penekanan terhadap pemahaman dan penghayatan. To love Malaysia is to know Malaysia.

Elemen kenegaraan harus diasimilasikan bersama subjek Sejarah pada peringkat menengah tinggi. Tanggungjawab sebagai warganegara harus diterapkan mengikut acuan lima prinsip Rukun Negara. Ini bukan proses doktrinisasi terhadap sesebuah agenda, sebaliknya usaha mengembalikan nostalgia proses pembinaan negara di awal kemerdekaan sehingga kini.

Kita perlu menghidupkan Rakan Muda sebagai satu inisiatif kebersamaan orang muda mengikut tema bersesuaian jiwa mereka.

Merapatkan jurang pelajar bandar dan luar bandar. Penilaian orang muda di kawasan bandar pasti berbeza dengan kemahuan rakan di luar bandar.

Wawasan, hala tuju dan cabaran juga pasti tidak sama antara keduanya. Sekiranya kita membiarkan jurang ini wujud dan terus melebar, PRU-15 gagal mempersembahkan suara orang muda yang kolektif kerana ia akan menampilkan pelbagai pemboleh ubah di setiap sudut.

Orang muda juga tidak dapat disatukan dalam proses pendemokrasian negara. Rentetan itu, kerajaan yang akan dibentuk gagal memahami hasrat golongan muda atau merencana agenda pembangunan bagi golongan sasar itu.

Program cakna politik kenegaraan dan pembentukan sahsiah pelajar. Kebanyakan parti politik sudah melaksanakan ‘sekolah politik’ sesuai dengan keperluan parti dalam merekrut pelapis. Hasilnya, pendidikan diberikan menjurus ke arah kekuatan parti dan kurang memberi penekanan terhadap Malaysia serta proses pembinaan negara.

Sebagai badan kerajaan, terutama KBS (dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan SPR) harus mengambil inisiatif dalam memberikan silibus politik kenegaraan jauh melangkaui politik kepartian.

Pembentukan sahsiah dan jati diri Malaysia perlu dipupuk. What does it take to be a good Malaysian? Am I Malaysian?

Semestinya pelajar tertanya-tanya dan kita seharusnya menyediakan naratif yang efektif kepada mereka.

Orang muda juga harus membuktikan umur bukan kayu ukur kematangan dalam menyumbang kepada negara. Maka tugas selanjutnya menuntut kita menyediakan platform kukuh bagi mereka untuk mengundi.

Kita tidak mahu perubahan Perlembagaan ini dilihat sebagai tindakan populis pemerintah, sebaliknya sebagai mekanik ke arah pembinaan negara lebih dinamik, seimbang dan syumul.

Oleh Wan Ahmad Fayhsalada

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply