Usah kejar kemuliaan, guna tipu daya

Umat Islam tidak sepatutnya terkinja-kinja memburu kemuliaan yang tidak mengikut piawai Islam hingga melanggar batas syarak demi mencapai cita-cita meraih kemuliaan. Ini menunjukkan dalam memberikan makna kemuliaan itu sendiri, ramai dalam kalangan Muslim yang masih keliru.

Menariknya al-Quran memperincikan makna kemuliaan, cara untuk meraihnya, sekali gus memberi amaran agar tidak mencari kemuliaan dengan tipu daya.

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.” (Fatir: 10)

Firman Allah lagi: “Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang beriman; akan tetapi golongan munafik itu tidak mengetahui (hakikat sebenarnya). (Al-Munafiqun: 8)

Dua ayat itu jelas merujuk Allah SWT ialah sumber kemuliaan. Rasul dan orang beriman lebih utama terlebih dahulu mendapat kemuliaan kerana ketaatan mereka kepada Allah SWT. Merujuk kemuliaan kepada piawai lain tanpa dirujuk semula kepada piawaian Allah SWT adalah satu kesilapan.

Ayat dalam surah Fatir itu jelas memberi panduan kepada kita mengenai cara mendapat kemuliaan menurut piawaian Allah SWT adalah memperjuangkan kalimah toyibah, iaitu ‘tiada tuhan yang disembah melainkan Allah.’ Walaupun ada ahli tafsir yang merekodkan kalimah tertentu berbentuk zikir dimaknakan sebagai segala perkataan baik, kalimah toyibah yang juga iqrar ketuhanan hanya mutlak milik Allah SWT, adalah yang paling utama kerana pemahaman terhadap kalimah itu membentuk falsafah kehidupan yang tersendiri.

Ia sangat dimusuhi falsafah yang mempertuhankan hawa nafsu. Memperjuangkan falsafah kehidupan yang bersumberkan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah adalah satu kemuliaan. Mencari kemuliaan melalui sistem lain adalah satu kehinaan apabila menolak aturan Allah SWT.

Kemuliaan tidak mampu diraih pejuang yang hanya kaya dengan idea dan teori yang terawang-awang tanpa mampu dilaksanakan secara realistik. Ayat berkenaan juga menegaskan amal soleh yang diterima Allah SWT yang akan menjulang pelakunya mendapat kemuliaan daripada-Nya.

Ayat itu juga memberi amaran kepada pemburu kemuliaan dengan cara tipu daya bahawa mereka sedang ditunggu azab Allah SWT yang maha pedih dan tipu daya mereka akan binasa.

Dalam masyarakat kita, menggunakan tipu daya untuk meraih sesuatu yang mereka sangka mulia itu sering juga berlaku. Ada orang sanggup menipu untuk mendapatkan kedudukan tinggi. Ada orang sanggup menfitnah untuk menjatuhkan pesaing. Ada orang sanggup merasuah untuk kekal kaya kerana menganggap ia kemuliaan dan berbagai cara tipu daya lagi.

Kesimpulannya, apa juga kemuliaan yang bercanggah dengan syariat Allah SWT ataupun cara mendapatkan kemuliaan itu melanggar hukum-hakam Allah penuh makar dan tipu daya, maka hakikatnya ia bukan kemuliaan bahkan ia adalah satu kehinaan.

Oleh Zamri Hashim (Timbalan Mufti Perak)

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , , ,

No Comments

    Leave a reply