Usah tumpang syafaat tanpa amal

TIADA jalan mudah dan pintas memperoleh syafaat sama ada di dunia atau akhirat sekiranya individu itu sendiri tidak berusaha memperbaiki diri serta memperbanyakkan amalan, malah terus bergelumang dalam dosa dan kemaksiatan.

Akibat kurang pemahaman mengenai konsep syafaat dalam pandangan alam Islam yang sebenar, ada yang cuba membuat tanggapan sendiri.

Ini termasuk trend menghantar anak ke sekolah tahfiz dengan harapan dapat ‘menumpang’ syafaat anak mereka tetapi pada masa sama tidak mengubah diri dengan mengikuti perintah Allah SWT.

Pendakwah bebas, Mohammad Rozie Mohd Rejab, berkata memahami syafaat perlu melalui jalan ilmu supaya tidak terdedah kepada salah tanggapan sehingga ada bertindak meninggalkan segala perbuatan baik serta amal soleh.

“Konsep syafaat ini terlalu luas dan subjektif kerana menurut bahasa, ia bermaksud bantuan, pertolongan atau pembelaan, manakala secara istilah pula bermakna perlindungan Allah SWT melalui seseorang atau berdasarkan amalan.

“Kita tidak boleh memahami syafaat melalui akal fikiran sendiri tetapi mesti mendapatkan pemahaman jelas dengan mencari ilmu daripada guru mursyid, iaitu benar-benar menjiwai al-Quran, sunnah dan ijmak ulama.

“Ia dapat menghindarkan diri daripada mengaitkan syafaat dengan hal tidak benar, apatah lagi menyeleweng daripada syariat seperti terpengaruh ajaran sesat guru yang menyuruh anak murid perempuan bersedia untuk ditiduri sebagai syarat mendapatkan syafaat yang sesat lagi menyesatkan,” katanya.

Mohamad Rozie berkata, memang benar syafaat akan diberikan Nabi Muhammad SAW pada hari akhirat nanti tetapi Baginda juga mengajarkan bagaimana cara meraihnya.

Katanya, syafaat terbahagi kepada dua konsep utama, iaitu diperoleh menerusi amalan dilakukan penuh ikhlas dengan usaha sendiri dan kedua, melalui perantaraan atau individu tertentu.

Mengupas lanjut katanya, banyak amalan yang melaluinya pasti akan meraih perlindungan, bantuan dan pembelaan di akhirat kelak termasuk memperbanyakkan bacaan al-Quran.

“Perlu diingatkan, syafaat melalui al-Quran hanya diperoleh orang sentiasa beramal dengan cara membaca kitab suci itu.

“Sabda Rasulullah SAW: “Bacalah (kamu semua) akan al-Quran, maka sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat nanti memberikan syafaat kepada pembacanya.” (HR Bukhari)

“Bagaimanapun, kita tidak boleh meletakkan niat membaca al-Quran semata-mata ingin memperoleh syafaat tetapi perlu diperbetulkan demi mencari redha Allah SWT,” katanya.

Antara lain katanya, amalan mendatangkan syafaat termasuk berbuat baik kepada ibu bapa, jujur dan amanah dalam pekerjaan dan meninggalkan perkara kemaksiatan.

Beliau berkata, umat Islam wajar meneladani kisah diceritakan Rasulullah SAW yang tercatat dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim mengenai tiga pemuda memperoleh syafaat ketika terperangkap di dalam sebuah gua.

“Tiga pemuda ini ketika keluar bermusafir mencari perlindungan dan berteduh di sebuah gua kerana hujan lebat dan kemudian ditakdirkan kilat menyambar batu di pintu gua sehingga ia terjatuh dan menutupi pintu laluan untuk keluar.

“Cubaan menolak batu itu tidak berhasil sehingga akhirnya sedar hanya Allah SWT yang boleh menolong dalam situasi berkenaan.

“Mereka pun mula berdoa dengan pemuda pertama memohon kepada Allah SWT agar kebaikannya menjaga ibu bapa uzur dan setiap hari rutinnya memerah susu kambing serta mendahulukan mereka untuk minum setiap pagi diterima sebagai amal soleh,” katanya.

Pemuda kedua dalam munajatnya pula berkata, beliau pernah membantu saudara perempuan dengan syarat bersedia untuk ditiduri.

Ketika ingin melakukan perbuatan terkutuk itu, wanita terbabit mengingatkannya supaya bertakwa kepada Allah SWT, sekali gus mencetuskan ketakutan kepada-Nya hingga bertindak melepaskannya dan memberi sedikit wang belanja.

Begitu juga pemuda ketiga yang reda menyerahkan semua kambing ternakannya sebagai ganti kepada jumlah gaji pekerjanya yang menghilang tetapi muncul semula untuk menuntutnya.

Berkat perbuatan kebaikan ketiga-tiga pemuda itu, ia diterima Allah SWT hingga pintu gua terbuka seluas-luasnya, sekali gus dapat keluar dan meneruskan pengembaraan.

Bagaimanapun, Mohamad Rozie berkata, syafaat diberikan melalui orang tertentu mempunyai hierarki yang perlu diketahui oleh setiap umat Islam.

“Syafaat melalui orang tertentu adalah dalam kalangan Rasul, Nabi, malaikat, orang yang syahid, ibu bapa, anak meninggal dunia sebelum baligh, anak menghafaz al-Quran dan sesama Mukmin sendiri.

“Antara amalan bagi mendapat syafaat Baginda adalah memperbanyakkan selawat dan berbuat baik kepada ahli keluarga serta sahabat Rasulullah SAW.

“Keistimewaan syafaat Rasulullah SAW berbeza dengan nabi lain yang hanya boleh memberi syafaat kepada umatnya sahaja,” katanya.

Oleh itu kata Mohamad Rozie, Nabi Isa AS pernah berdoa untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW, lalu Allah SWT kabulkan doanya yang akan diturunkan ke dunia pada akhir zaman nanti.

Mengulas antara petanda yang menunjukkan kehidupan seseorang memperoleh syafaat, beliau berkata, ia termasuk dilimpahi ketenangan dan kebahagiaan.

“Maksudnya, tidak mungkin hidup tanpa ada ujian tetapi individu menerima syafaat apabila ditimpa dugaan semakin dekat dengan Allah SWT.

“Apabila diuji dengan musibah tidak pula menjauh dari-Nya seperti dilalui Nabi Adam AS yang pernah diuji dan kerana iman kental, kembali kepada Allah SWT,” katanya.

Oleh Latifah Arifin

Sumber : Berita Harian Online

No Comments

    Leave a reply