Usaha rapatkan jurang gender perlu babit pelbagai dasar

Persoalan yang sering dikemukakan setiap kali penulis berkongsi hasil penyelidikan dalam bidang kekeluargaan dan kewanitaan di IKIMfm, ialah apakah usaha membangunkan wanita di negara ini sudah mencukupi?

Ramai menyangka kita sudah melakukan pelbagai perkara untuk membangun, memaju dan memperkasa wanita sebagai modal insan sama seperti lelaki.

Betul, pelbagai perkara dilakukan supaya wanita dapat menikmati hak dan peluang sama. Namun, berapa ramai yang tahu Laporan Indeks Jurang Gender Global 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-104 daripada 153 negara?

Malah, negara jiran lebih terkehadapan seperti Filipina pada kedudukan ke-16; Singapura (54); Thailand (75); Indonesia (85) dan Brunei (95).

Ia pasti mencetuskan tanda tanya kerana jika Islam mengalu-alukan usaha memperkasa wanita sebagai modal insan, kenapa Malaysia sebagai negara Islam menduduki tangga corot dalam hal merapatkan jurang gender?

Sebenarnya, jurang gender merujuk perbezaan pencapaian antara wanita dan lelaki dalam bidang seperti sosial, politik, intelektual, budaya dan ekonomi. Indeks terbabit mengukurnya dalam empat bidang utama, iaitu kesihatan, pendidikan, ekonomi dan politik.

Skor kad Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2020 menunjukkan Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam subindeks pendidikan dan kesihatan. Namun, tidak dalam bidang ekonomi serta politik.

Data laporan menunjukkan dalam bidang pendidikan misalnya, enrolmen murid perempuan ke sekolah rendah mencapai 99.8 peratus, manakala enrolmen ke sekolah menengah berjumlah 75.4 peratus, sekali gus meninggalkan pelajar lelaki (69.2). Enrolmen pelajar wanita ke pendidikan tertiari pula 49.9 peratus yang juga meninggalkan lelaki (40.7).

Dalam bidang kesihatan, jangka hayat wanita ialah 68.1 tahun, manakala jangka hayat lelaki, 65.3 tahun. Ini mungkin ada kaitan kejayaan perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak di seluruh negara.

Namun, dalam pembabitan dan peluang ekonomi, hanya 55 peratus wanita dewasa (berusia antara 15-64 tahun) terbabit berbanding 80.8 peratus lelaki. Walaupun lebih ramai wanita mendapat pendidikan di sekolah menengah dan tertiari, mereka yang bekerja jauh lebih rendah berbanding lelaki.

Begitu juga, didapati hanya 20.4 peratus wanita memegang jawatan pembuat undang-undang, pegawai kanan dan pengurus berbanding 79.6 peratus lelaki.

Dalam bidang pemerkasaan politik, hanya 14.4 peratus wakil rakyat wanita berbanding 85.6 peratus dalam kalangan lelaki. Begitu juga, hanya 18.5 peratus menteri wanita, berbanding 81.5 peratus lelaki. Tidak hairan skor pemerkasaan politik untuk Malaysia ialah 0.108 dan berada di kedudukan ke-117.

Ada berpendapat Malaysia melakukan pelbagai usaha membangunkan wanita, ternyata pencapaian wanita Malaysia masih ketinggalan berbanding lelaki jika dibandingkan usaha negara lain. Maka, pelbagai inisiatif perlu diambil untuk merapatkan jurang gender khususnya dalam ekonomi dan politik.

Dalam bidang ekonomi, dasar mesra keluarga seperti penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja dan cuti paterniti akan banyak membantu.

Bagi meningkatkan bilangan wanita memegang jawatan pembuat undang-undang, pegawai kanan dan pengurus pula, ia memerlukan dasar seperti 30 Peratus Wanita Pembuat Dasar dan 30 Peratus Wanita Dalam Lembaga Pengarah.

Dalam politik, selain menetapkan kuota tertentu, banyak lagi amalan pemimpin dan parti politik di luar negara boleh dijadikan iktibar.

Sebenarnya, pelbagai dasar dan inisiatif perlu diambil khususnya pada peringkat negara untuk memastikan pencapaian wanita dalam keempat-empat bidang itu setanding lelaki. Hal itu perlu dibincangkan secara mendalam dalam semua platform, termasuk Seminar Kebangsaan Merapatkan Jurang Gender: Satu Perspektif Islam yang akan diadakan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, 31 Mac ini.

Pada masa sama, golongan wanita juga perlu ada ilmu, kemahiran, kemahuan dan keyakinan untuk terbabit serta memanfaatkan peluang agar mereka betul-betul layak berada di situ dan bukan sekadar mengisi kuota semata-mata.

Oleh Siti Fatimah Abdul Rahman Felo Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Sumber : bharian.com.my

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply