WALAUPUN ‘TIDAK SETIA’, PAS BELUM ‘CURANG’ UNTUK MELAYU-ISLAM

Dalam kamus politik, sepenggal itu bererti tempoh masa memerintah. Memerintah itu adalah kuasa: kuasa untuk menentukan apa sahaja yang mahu dilakukan dan membuktikan berkesannya kepimpinan politik. Seandainya tempoh sepenggal tidak mencukupi, akan dicuba untuk memanjangkan sebab itulah politik kadangkala dilihat sangat berbelit-belit; boleh jadi lebih kusut daripada simpulan tali yang bertempek dengan daki.

Kata para pemikir, politik itu adalah kuasa. Tanpa kuasa, politik tidak akan mempunyai apa-apa makna. Atas pemahaman itulah maka setiap orang yang terjun ke lembah politik sangat menginginkan kuasa. Dari kuasa itulah seseorang boleh menentukan apa yang dirancang dapat dilaksanakan dan kerana itulah ada kedengaran janji, malam ini menang, esok segala masalah akan diselesaikan.

Retorik politik itu berkumandang semula. Kali ini ia lebih khusus kepada penduduk sekitar Semenyih, sebuah kawasan yang asalnya adalah desa yang hanya dikenali sebagai kawasan pertanian tradisi dan kawasan tadahan air terbesar untuk kegunaan air bersih penduduk Lembah Klang.

Kenyataan yang hampir sama pernah kita dengar dengan lantangnya disebarkan, baik dalam ceramah mahupun laporan media. Tahun 2007, ketika harga minyak meningkat naik dan harga bijirin meninggi, pasukan penentang politik kerajaan (BN) berfalsafah seolah-olah dirinya mempunyai ‘kuasa ajaib’ untuk menurunkan harga barang ke peringkat RM 50 untuk setroli dan menggunakan keuntungan PETRONAS mensubsidikan harga petrol. Janjinya, hari ini menang, esok minyak turun harga.

Kemelut harga petrol yang tidak stabil dan juga kos sara hidup masih menjadi isu utama rakyat Malaysia, sehingga ada yang merasakan janji 100 hari dicepatinkan manakala janji dua tahun mungkin akan dikuarantinkan sehingga hayat pemerintahan yang diterima sejak 10 Mei 2018 akan berakhirnya secara semulajadi, sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan.

Keluhan dan rasa mual terhadap 10 Janji 100 hari sudah memasuki krisis psikologi yang besar, manakala mereka yang mendodoikannya mula merasa malu. Rasa malu itu akhirnya menaja pula sebuah tempikan besar, ada pemimpin politik mengeluarkan kenyataan kesal, sepatutnya ia tidak dibuat. Janji yang bukan sahaja tidak praktikal, bahkan boleh menyebabkan negara dilanda masalah kewangan yang lebih besar.

Lebih enam bulan berlangsung tanpa banyak usaha dan tindakan. Akhirnya, rahsia kegagalan itu dipersalahkan akibat hutang negara yang mencecah lebih 80 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar walaupun angka rasmi yang dikeluarkan sebelumnya hanya sekitar 60 peratus. Dalam tempoh lebih sembilan bulan, angka sebanyak RM 1.08 trilion menjadi garis duka dan terbaharu, dianggarkan angka tersebut masih besar walaupun Menteri Kewangan menyebut tindakan telah dilakukan untuk menurunkan jumlah hutang. Rasanya, ia masih belum berjaya mencapai sasaran ke paras RM 800 bilion untuk tempoh setahun, kerana dalam tempoh sembilan bulan masih melepasi RM 1 trilion.

Banyak cerita yang rakyat Malaysia diberitahu. Dan, ramai juga rakyat Malaysia yang tahu. Cerita hutang itu hanyalah suatu strategi, yang akhirnya bakal digunakan untuk memberikan gambaran kejayaan ‘sentuhan midas’ perancangan strategi belanjawan negara yang berkesan, walaupun menurut Bajet 2019, untuk menguruskan perbelanjaan dalam tahun 2019 ia tetap berlaku dalam suasana tidak cukup wang. Jumlah hasil adalah lebih kecil daripada jumlah perbelanjaan dan sebagai langkah permulaan, PETRONAS diminta untuk menyumbangkan lebih RM 30 bilion. Ia masih belum seimbang atau berlompong.

Tiba-tiba, orang bujang dikembalikan Bantuan Sara Hidup yang bayaran pertama sebanyak RM 100 akan dilakukan pada bulan Mac nanti? Kenapa bulan Mac? Sebab awal Mac ialah hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih, dan selepasnya, satu lagi PRK akan diadakan di Port Dickson, iaitu melibatkan DUN Rantau. Ia mungkin berlaku dalam bulan April, atau sebelum Ramadhan nanti.

PRK DUN Semenyih tidak sehebat kempen PRK Cameron Highland yang berlangsung akhir Februari lalu kerana parti yang bertanding ialah PPBM, yang dianggap paling berkuasa dalam PH walaupun jumlah kerusinya adalah lebih kecil daripada PKR dan DAP. Dianggap paling berkuasa kerana Perdana Menteri adalah dari PPBM, yang juga merupakan pengerusi PH.

Perdana Menteri mempunyai kuasa pemutus, dan lain-lain menteri dilihat tidak mempunyai kuasa pemutus, mesti merujuk kepada Perdana Menteri terlebih dahulu. Sebab itulah Menteri Kewangan dalam pengumumannya menjelaskan, bayaran Bantuan Sara Hidup (BaSaH) atau dahulunya dikenali BR1M untuk orang bujang diberikan semula atas arahan Perdana Menteri. Lim Guan Eng terpaksa mencari peruntukan sebanyak RM 300 juta untuk tujuan tersebut, sekurang-kurangnya untuk bayaran peringkat pertama pada bulan Mac ini.

Bulan Mac juga merupakan bulan di mana pinjaman mudah daripada Jepun dikatakan akan disempurnakan. Perdana Menteri memulakan langkah ‘memohon bantuan Jepun’ untuk membolehkan negara mempunyai sumber kewangan bagi membiayai projek-projek pembangunan walaupun pada awalnya dikatakan membantu mengurangkan hutang. Pinjaman yang dikenali sebagai ‘bon samurai’ itu adalah dalam bentuk mata wang Jepun (yen) bernilai RM 2 bilion dengan kadar faedah rendah. Kita diberitahu, kadarnya ialah sekitar 0.65 peratus.

Meskipun kadarnya dianggap ‘terendah’, ia bukan menjamin jumlah bayarannya tidak akan meningkat kerana nilai tersebut juga akan turut berubah. Ia berubah apabila berlakunya kenaikan nilai mata wang yen atau nilai ringgit terus merosot sebagaimana yang dialami sekarang. Nilai ringgit sudah merosot lebih 30 sen bagi setiap dolar. Sebelum perubahan kerajaan, nilai ringgit ialah sekitar RM 3.80 bagi setiap dolar. Sembilan bulan lamanya ringgit terumbang-ambing dan kedengaran alasan ialah disebabkan dasar ekonomi Trump. Trump telah memulakan perang perdagangan dengan China.

Memang kesannya tetap ada. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka. Tetapi, yang tidak diakui oleh kepimpinan politik ialah kegagalannya untuk membolehkan eksport dua komoditi utama dipertingkatkan. Akibat ‘kecelaruan matlamat’, China yang merupakan pengimport kedua terbesar minyak kelapa sawit dan getah telah membatalkan pembelian.

Reaksi balas daripada sindrom menyalahkan kerajaan terdahulu ‘menggadaikan negara’ kepada China hanya kerana menjual saham Proton kepada syarikat kereta dari China (Geely), memberikan projek infrastrutkur pengangkutan mega kepada China (ECRL), pembangunan Forest City, kontrak penyaluran paip gas dan industri perkilangan di Gebeng, Kuantan.

Semuanya dipersoalkan, termasuklah pembangunan di TRX Exchange yang kini diakui oleh Menteri Kewangan sebagai pembangunan hub kewangan yang menguntungkan. Itulah ironinya politik Malaysia, sebelumnya dilihat sebagai ‘lubuk puaka’ dan setelah berkuasa berubah menjadi ‘lubuk emas’. Ia semakin bertambah kronik apabila apa sahaja dianggap ‘jelek, buruk dan merugikan negara’ akhirnya ditukang semula sebagai aset yang berharga dan menguntungkan negara.

Selepas kemelut meneruskan projek LRT 2 selesai, kini diumumkan pula bahawa LRT 3 akan diteruskan dengan penjimatan yang lebih besar, sekitar 47 peratus. Ramai rakyat Malaysia sudah celik, ia sebenarnya bukan merupakan penjimatan, pengurangan kos disebabkan pengecilan spesifikasi dan pengurangan keemasan (finishing) terhadap jumlah stesen, kapasiti gerabak, pembinaan terowong dan trek keretapi. Tentunya, dengan pengurangan itu akan menurunkan kos pembinaan dan penyelenggaraan. Inilah kelebihan Malaysia, hanya memikirkan keperluan semasa dan tidak merancang untuk masa depan.

Kita mungkin boleh melihat bagaimana keputusan untuk membina landasan keretapi elektrik pada tahun 1995 untuk membolehkan komuter beroperasi. Waktu itu, kita hanya memikirkan bahawa pengangkutan berel tidak berkembang dan memerlukan peluasan yang besar. Setelah beroperasi beberapa tahun, gerabak komuter menjadi semakin panjang tetapi kapasiti stesennya masih di peringkat tiga gerabak. Akibatnya, stesen perlu diperbesarkan manakala infrstruktur lain ikut terganggu. Kini, dimulakan pula landasan berkembar (dual tracks) tetapi, proses pembinaannya terlalu perlahan sedangkan keperluan pengangkutan awam di Lembah Klang semakin mendesak.

Komuter tidak lagi menjadi pilihan, kerana masa menunggu semakin lambat dan membosankan. Stesen tidak sempurna dan tidak cukup besar untuk menampung keperluan penumpang. Keadaannya menjadi semakin getir bila hujan. Selalu berlaku kerosakan: sambungan elektrik, signal dan juga limpahan air. Begitu juga dengan pertambahan jenis keretapi, kini rel yang sama terpaksa berkongsi dengan ETS, keretapi barang, komuter antara bandar, dan keretapi mel biasa.

Perancangan hanya untuk menyelesaikan bebanan jangka pendek, jangka panjang dilihat sesuatu yang ‘kurang pasti’ dan terlalu mewah. Inilah bentuk skala pemikiran politik ahli-ahli politik Malaysia, termasuklah apa yang sedang dirundingkan semula oleh menteri-menteri PH kerana ingin mendabik dada, dapat jimatkan kos dan seterusnya bukan ‘projek gajah putih’.

Lupakan sementara mengenai dolak-dalik politik. Eloklah dilihat kembali apa yang sedang dicanangkan untuk menjadikan politik Malaysia setiap hari dipenuhi episode dramatik? Kita mulakan dengan janji atau kenyataan, telah ada persetujuan awal bahawa Dr Mahathir adalah Perdana Menteri sementara, sementara itu ialah enam bulan. Selepas enam bulan berlalu, Dr Mahathir menegaskan, masih banyak lagi ‘masalah yang belum selesai’ maka persetujuan awal dipinda kepada dua tahun. Anwar Ibrahim pula memberikan ‘kilasan’, dirinya tidak terdesak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri, mungkin Dr Mahathir akan boleh sampai ke tempoh sepenggal.

Episod dramatik itu akhirnya saperti dilanda krisis. PAS mengesyorkan agar Dr Mahathir diberikan peluang sehingga sepenggal, dan langkah terbaharu ialah memberikan pengakuan rasmi, PAS akan mempertahankan Dr Mahathir sekiranya ada ‘undi tidak percaya’. Bagaimana ‘undi tidak percaya’ itu timbul? Ia banyak dicorakkan oleh perilaku orang politik sendiri. Ia semakin kencang apabila calon DAP tidak berjaya merampas Cameron Highlands. Ia juga sebahagian tanda yang terukir di Semenyih, hanya PPBM yang rancak berkempen walaupun calonnya bertanding atas tiket PH.

DAP saperti ‘malu-malu’ untuk turun membantu. PKR masih sembunyi-sembunyi, kecualilah beberapa orang menteri yang ada ‘kepentingan’ di Semenyih. Cara mereka membantu juga dilihat tidak segalak di Cameron Highlands. Anwar Ibrahim belum muncul di Semenyih. Lim Kit Siang juga belum mahu turun ke Semenyih walaupun dicabar untuk berbuat demikian. Hanya Azmin Ali yang sedia berkempen di sana, untuk membantu calon PPBM yang diakui oleh Timbalan Presiden PPBM sendiri banyak kekurangannya, termasuklah ‘masalah komunikasi’.

Apakah situasi ini menggambarkan sebuah iklim politik yang sehat dan menarik? Tentunya, tidak sebab pengundi DUN Semenyih mula bertanya: kemana hilangnya ‘puteri-puteri PKR’, wira-wira PAN dan hulubalang DAP ketika orang ramai sedang asyik mendengar mantra politik, hari menang, esok ‘semuanya akan diselesaikan’? Hospital yang dijanjikan oleh calon PPBM saperti disergah oleh Menteri Kesihatan, tidak ada dalam perancangan RM ke-11 dan belum dibincangkan. Penghapusan tol, janji yang dibuat oleh Timbalan Presiden PPBM akan diumumkan dalam masa terdekat telah di ‘kueytiaw’kan oleh Lim Guan Eng, jangan buat spekulasi.

Nampaknya, persefahaman antara parti komponen dalam PH semakin goyah dan keintiman kerjasama antara mereka ada tanda-tanda menuju kepada keberantakan. Inilah akibatnya bila politik ‘enau’ masih menjadi-jadi dan selagi PPBM terus berniat untuk membela nasib Melayu-Islam, maka Pengerusi DAP Perak menyuarakan rasa hati yang gundah-gulana. Bagi DAP, selagi PPBM tidak dapat melepaskan ‘belenggu primordial’ dan menuju landasan kebersamaan, selagi itulah PH akan mengalami ‘riflles effect’ dan sentiasa ada ‘backfire’.

Meskipun ramai ahli akademik melihat pilihan raya sebagai asas demokrasi, kesuburannya masih bergantung kuat kepada ‘sifat tanah’, ‘curahan hujan’ dan ‘limpahan cahaya matahari’ maka sekurang-kurangnya untuk tempoh sekarang, nilai-nilai kebersamaan yang diinginkan oleh DAP tidak akan timbul di permukaan. DAP masih dilihat ‘berlumut’ dan ‘berdaki perkauman’ oleh orang Melayu, termasuklah di Semenyih yang 60 peratus pengundi adalah Melayu-Islam.

Rasa khuatir dan bimbang tetap ‘ada’ apatah lagi apabil Dr Mahathir memberikan gambaran saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar dan perlu dikurangkan sebanyak 400,000. Ini memberikan tafsiran bahawa mantera DAP sebelumnya saperti benar, PH akan kurangkan saiz perkhidmatan awam dan ia ‘menggugat kedudukan orang Melayu’. Lebih 80 peratus penjawat awam adalah orang Melayu, maka pengumumam tersebut menjadi ‘sembilu tajam’ yang sedang menikam kekuatan politik Melayu-Islam di Malaysia.

Itu juga mungkin menyebabkan PAS ‘berusaha mempertahankan Dr Mahathir’ jika kedudukannya tergugat sekurang-kurangnya untuk membolehkannya menamatkan tempoh sepenggal. Ada sesuatu yang jelas ‘boleh dibaca’ oleh PAS, sebab itulah atas nama Melayu-Islam, PAS bersedia bersama Dr Mahathir walaupun ada yang menyelar PAS sebagai ‘kekasih yang tidak setia’, setakat ini belum ‘curang’ membela Melayu-Islam.

Monosin Sobri.

 

No Comments

    Leave a reply