Wanita Ada Sembilan Nafsu Satu Akal?

Sering kali kita mendengar dalam kalangan masyarakat termasuk segelintir guru agama menyatakan bahawa wanita mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Hujah itu bersandarkan sabda Rasulullah maksudnya:

“Dijadikan syahwat itu sebanyak sepuluh bahagia, sembilan daripadanya untuk wanita, satu untuk lelaki”. Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Aswat dan al Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id.

Walaubagaimanapun, setelah diteliti, hadis ini bertaraf dhaif jiddan (tersangat lemah). Ini kerana seorang perawinya iaiti Suwaid ibn Abd al-Aziz berstatus matruk (periwayatannya ditinggalkan dan tidak diriwayatkan) dan bukan daripada kalangan tsiqah (sempurna syarat). Bahkah riwayat ini juga turut ditemui dalam kitab-kitab Syiah dan diriwayatkan oleh ahli Syiah, Al-Kulaini dan Al-Majlisi.

wanita

Justeru, pandangan menyatakan wanita mempunyai satu akal dan sembilan nafsu adalah kata-kata yang tidak ada sumber dalam agama dan tidak wajar disebarkan. Adapun hadis yang menyatakan bahawa wanita itu kurang daripada sudut agama adalah bermaksud terbatas daripada sudut kuantiti ibadah dan bukan kualiti serta sedikit terbatas daripada sudut tempoh masa melakukan ibadat.

Manakala, kekurangan daripada sudut akal pula adalah bermaksud penglibatan mereka dalam urusan awam secara umum berbanding lelaki. Ini menjadikan pengetahun dan pengalaman mereka dalam bidang tertentu seperti politik, ekonomi dan ketenteraan adalah kurang berbanding lelaki.

Namun demikian dalam konteks zaman sekarang, peningkatan penglibatan wanita dalam pelbagai bidang dan peluang pendidikan yang sama rata telah meningkatkan keupayaan dan kebolehan wanita standing lelaki.

Dipetik dari: Utusan Online 29 Jun 2019

 

Tags:

No Comments

    Leave a reply