Benarkah gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bermula di universiti? Persoalan-persoalan ini menarik untuk dikupas bagi menarik perhatian khalayak pembaca terutama ibu bapa agar cakna terhadap kegiatan anak-anak mereka.

Dengan tubuh badan ‘sado’, bergaya macho, memiliki kerjaya dalam bidang profesional, sukar untuk masyarakat mencium kegiatan tidak bermoral seperti ini. Malah kemungkinan mereka bukanlah terdiri daripada golongan lelaki lembut atau wanita pengkid yang berlagak seperti lelaki sebagaimana persepsi masyarakat.

Sementelahan lagi, apabila diteliti bibit-bibit ke arah mempromosikan kegiatan itu di universiti sebenarnya sudah wujud. Pernah dilaporkan sebelum ini sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Celebrating Identities membantah sebuah forum anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM) yang bertujuan mengembalikan golongan LGBT kepada fitrah. Lebih mengelirukan apabila ada menyifatkan usaha tersebut mencetuskan homofobia dan transfobia selain suatu bentuk ugutan dan gangguan terhadap kebebasan seksual dan identiti jantina.

Turut dilaporkan suatu kempen berkaitan LGBT di sebuah universiti swasta telah dibatalkan oleh pengurusan universiti kerana tidak memenuhi garis panduan ditetapkan. Lebih membimbangkan apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendapati sejumlah 21 laporan polis dibuat pada 2011 mengenai kegiatan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kegiatan seks luar tabii atau seks sejenis.

Sungguhpun tiada statistik terperinci untuk mengukuhkan kenyataan ini, kemungkinan wujudnya gejala LGBT dalam kalangan pelajar perlu dipandang serius. Usah apabila nasi sudah menjadi bubur baharu semua pihak mahu membuka mata dan kemungkinan terlewat untuk mengusahakan tindakan sewajarnya.

Tidak dinafikan kegagalan mengurus nafsu dengan bijak menjadi penyebab. Ini kerana bukan calang-calang orang berjaya melawan runtunan nafsu sendiri yang dikategorikan sebagai jihad akhbar atau jihad yang sukar untuk dilaksanakan. Ditambah dengan musuh hawa nafsu yang tidak kelihatan oleh pandangan mata kasar dan seseorang terdedah untuk melakukannya di mana-mana tanpa mengira masa dan tempat.

Agama Islam memandang serius perkara ini kerana termasuk dalam lima perkara darurat yang perlu dipelihara. Secara spesifik ia termasuk dalam kategori pemeliharaan terhadap keturunan dan kehormatan diri dengan menetapkan beberapa hukuman pilihan kepada jenayah liwat dan sihaq berdasarkan hadis Nabi SAW seperti dibunuh kedua-dua pelakunya, direjam dengan batu, dihukum seperti pelaku zina sama ada direjam ataupun disebat dengan rotan atau di takzir mengikut budi bicara mahkamah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Tirmiziy dan Abu Dawud disebutkan; “Janganlah seorang laki-laki melihat aurat laki-laki lain dan jangan pula seorang wanita melihat aurat wanita lain. Dan janganlah seorang laki-laki memakai satu selimut dengan laki-laki lain, dan jangan pula seorang wanita memakai satu selimut dengan wanita lain”

Ibu bapa juga diharap tidak membiarkan anak-anak yang sedang belajar di universiti dengan alasan mereka sudah dewasa dan pandai mengurus diri. Membiarkan anak-anak remaja tanpa pengawasan dan pemantauan adalah suatu kesilapan yang kemungkinan menyebabkan mereka terkena kejutan budaya dan terlibat melakukan kegiatan tidak bermoral. Ibu bapa sewajarnya mengetahui di mana anak mereka tinggal dan siapa kawan-kawannya.

Usah juga terlalu sibuk dengan tugasan dan aktiviti seharian sehingga anak-anak terbiar dan kurang mendapat kasih sayang dan perhatian. Akibatnya anak-anak lebih suka bergaul dengan rakan-rakan di luar rumah sehingga kemungkinan terjebak dengan gejala tidak bermoral.

Selain itu, aktiviti berunsur pendidikan dan kerohanian perlu diperbanyakkan agar semua memahami betapa Allah SWT menjadikan lelaki dan wanita dengan peranan dan fungsi masing-masing khususnya dalam rangka mengabdikan diri kepada Ilahi.

DR. MOHD. ALI MUHAMMAD DON

ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus 
Pasir Gudang, Johor.