WHO isytihar darurat: Apa seterusnya

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan melaksanakan segala langkah yang perlu dalam memastikan ancaman wabak coronavirus mampu ditangani dengan baik, walaupun jumlah kematian dan kes terbaharu semakin bertambah.

Susulan taklimat kesihatan di Geneva, Switzerland awal pagi tadi, badan kesihatan dunia itu memutuskan beberapa tindakan kritikal harus diambil pada kadar segera, bukan sahaja oleh pihak berkuasa China, tetapi juga negara lain untuk membendung penularan virus maut itu.

Taklimat kedua oleh Jawatankuasa Kecemasan itu turut mengalukan misi teknikal pelbagai disiplin ke China. membabitkan pakar di peringkat domestik dan antarabangsa.

Misi itu jelas mereka, khusus menilai dan menyokong usaha menyiasat sumber haiwan yang dipercayai penyebar virus, spektrum klinikal dan tahap penyakit, pemindahan sesama manusia di kalangan komuniti dan kemudahan kesihatan serta usaha mengawal penularan wabak.

“Misi ini akan membekalkan segala maklumat diperlukan kepada komuniti antarabangsa bagi membantu memahami situasi dan impak, serta berkongsi pengalaman dan pendekatan yang berjaya.

“Jawatankuasa ini juga mahu menekankan kepentingan untuk mengkaji semua kemungkinan yang berpotensi sebagai sumber dan langkah pencegahan pengurusan,” kata jawatankuasa berkenaan.

Selaras dengan taklimat itu, beberapa pendekatan segera digariskan, membabitkan semua pihak berkaitan, termasuk WHO, Republik Rakyat China dan komuniti global.

WHO

• Menekankan keperluan mengukuhkan pemantauan di luar kawasan Hubei

• Menggunakan jaringan pakar teknikal untuk melihat bagaimana wabak ini boleh dibendung di peringkat global

• Membekalkan sokongan berterusan untuk persediaan, khususnya di negara dan rantau yang terdedah kepada bahaya

• Pendekatan untuk memastikan pembangunan pesat dan akses terhadap vaksin, diagnosis, perubatan anti viral dan aspek terapeutik yang perlu dibangunkan negara berpendapatan rendah serta sederhana

• WHO perlu secara berterusan membekalkan segala sokongan teknikal dan operasi yang diperlukan, termasuk bekerjasama dengan institusi bagi melaksanakan strategi komunikasi komprehensif dan membenarkan pembangunan penyelidikan saintifik secara lebih canggih, khususnya membabitkan coronavirus

• WHO perlu melakukan penilaian situasi dari semasa ke semasa secara telus dan mengemas kini semua cadangan, berasaskan bukti diperoleh

• Jawatankuasa berkenaan bagaimanapun tidak menggalakkan sebarang sekatan perjalanan atau perdagangan, selaras dengan maklumat semasa diperoleh berkaitan wabak terbabit.

Sementara itu, kerajaan China pula disarankan untuk:

• Melaksanakan strategi komunikasi komprehensif dengan cara menyampaikan maklumat secara kerap kepada penduduk berhubung evolusi wabak, langkah perlindungan dan pencegahan serta tindakan sudah diambil bagi membendung penyakit

• Meningkatkan pendekatan kesihatan awam dalam membendung penyebaran wabak

• Memastikan keampuhan sistem kesihatan dan perlindungan tenaga kerja kesihatan

• Meningkatkan pemantauan dan pencarian kes secara aktif di seluruh China

• Bekerjasama dengan WHO dan rakan untuk melaksanakan siasatan bagi memahami wabak dan evolusi penyakit serta pendekatan untuk membendung ia dari terus merebak

• Berkongsi data yang relevan dalam kes membabitkan manusia

• Meneruskan usaha mengenal pasti sumber wabak bawaan haiwan dan potensi penyebaran bersama WHO sebaik ia boleh didapati

• Menjalankan tapisan kesihatan di lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan, dengan tujuan pengesanan awal ke atas pelancong bagi membolehkan tindakan dan pemeriksaan lanjutan dibuat, di samping meminimakan lalu lintas antarabangsa.

Jawatankuasa terbabit turut menggariskan langkah untuk negara lain di dunia, antaranya:

• Semua negara perlu bersiap sedia membendung wabak, termasuk menggerakkan dengan aktif pemantauan, pengesanan awal, pengasingan dan pengurusan kes, pencegahan penyebaran jangkitan coronavirus dan berkongsi semua data dengan WHO.

• Semua negara turut diingatkan untuk berkongsi keseluruhan data diperoleh bersama WHO di bawah Institut Kesihatan dan Pemulihan (IHR)

• Melaporkan semua kes 2019-nCov ditemui pada haiwan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE)

• Menekankan langkah mengurangkan jangkitan ke atas manusia, mengekang penyebaran virus di peringkat tempatan dan antarabangsa, bergiat secara aktif dalam meningkatkan pengetahuan mengenai virus, selain menggiatkan penyelidikan

• Perlu memaklumkan kepada WHO berhubung sebarang pendekatan perjalanan yang dilaksanakan, seperti digariskan oleh IHR. Semua negara diberi ingatan untuk tidak melaksana sebarang tindakan menjurus ke arah diskriminasi, selaras dengan Artikel 3 IHR.

Sumber : bharian.com.my

No Comments

    Leave a reply