Xtra 20 TIDAK MAMPU TINGKATKAN PENGGUNA KOMUTER

 

‘SAKITNYA HATI’, bila masa ketibaan KTM Komuter tidak setepat tersasar dari jadual asal. Pihak pengurusan KTM Komuter sudah dianggap bukan lagi mementingkan ‘keselesaan penumpang’ dan permohonan maaf akibat kelewatan tiba tidak lagi mampu membaiki ‘kelambatan’ perjalanan. Ia berlaku setiap hari, bukan sesekali.

Banyak perkara yang wajar diambil tindakan segera oleh pihak pengurusan KTM Komuter, khususnya bagi menepati jadual perjalanan dan memendekkan masa menunggu. Jika perkara ini tidak dapat diselesaikan, KTM Komuter tidak akan diterima sebagai pengangkutan awam pilihan pengguna.

KTM Komuter yang mula beroperasi pada tahun 1995 bukan semakin menarik perhatian awam untuk digunakan sebagai alternatif ke tempat kerja atau pun tujuan yang lain. Sebelum KTM Komuter menggunakan gerabak elektrik sepenuhnya, gerabak komuter menggunakan enjin diesel. Ketika itu, ia digambarkan oleh penumpang begitu selesa, seolah-olah sedang berada dalam perut kapal terbang.

Selepas ramai penumpang teruja menggunakan perkhidmatan tersebut untuk pelbagai tujuan, perkhidmatan KTM Komuter sentiasa sahaja ada masalah. Masalah terbesar ialah ‘kesilapan teknikal’, terpaksa berhenti beberapa minit untuk memberi laluan kepada perkhidmatan keretapi barang, antara bandar mahupun ekspress.

Landasan keretapi tidak lagi mampu menanggung beban yang melampau. Landasan yang sama juga terpaksa berkongsi dengan lain-lain perkhidmatan keretapi, maka sebab itulah masa perjalanannya sentiasa terganggu dan terlewat.

Selepas KTM Komuter dijanakan oleh kuasa elektrik. landasan keretapi juga masih sama. Sentiasa ada masalah, termasuklah menukar ‘sliper’ dan kini ‘sliper’ sebahagian besarnya adalah bahan konkrit. Akibat beban yang bertambah, ‘sliper’ konkrit juga perlu ditukarkan lebih kerap. Proses menukarkan ‘sliper’ bukan boleh disiapkan dalam tempoh yang singkat.

Sebabnya berkait rapat dengan cara kerja penyelenggaraan yang lembab dan kadangkala mengecewakan. Sana-sini, setiap kali proses penyelenggaraan dilaksanakan, kelihatan lebih ramai ‘mandur’ daripada pekerja yang membaiki kerosakan.

Ketika ada keretapi barang tergelincir berhampiran stesen keretapi Kuala Lumpur, proses membaiki landasan rosak dan mengalihkan gerabak yang terbaik mengambil masa berhari-hari. Keadaan tersebut telah menganggu perjalanan KTM Komuter, dari dua track menjadi satu track. Bayangkan, kelewatan terpaksa ditanggung oleh pengguna, bukan pihak pengurusan KTM Komuter. Alasan kelewatan tiba KTM Komuter tidak mampu menghitamkan warna dakwat merah kad perakam waktu.

Selain kerosakan, kesesakan landasan kerana terpaksa berkongsi dengan lain-lain perkhidmatan keretapi, masalah ‘isyarat perjalanan’ juga menjadi faktor penyumbang kelewatan perjalanan. Bayangkan, akibat lambat atau menunggu ‘isyarat perjalanan’, kadangkala KTM Komuter terpaksa berhenti di pertengahan jalan untuk beberapa minit, ia akhirnya menyebabkan masa ketibaan terlajak jauh. Akhirnya, singkatan KTM Komuter disamakan dengan Keretapi Terlajak Masa atau Kelewatan Tiada Maaf.

Pihak pengurusan KTM Komuter atau KTM Berhad kadangkala bercelaru untuk mengkhususkan keutamaan perkhidmatan mereka. Bahkan, perancangannya juga dilihat tidak ‘mengukur keupayaan teknikal’ maka perkhidmatan komuter dikembangkan jarak perjalanannya. Awalnya, dari Rawang ke Seremban, Sentul ke Pelabuhan Klang. Kemudian bertambah pula dari Batu Caves ke Pelabuhan Klang.

Pada tahun 2017, pengurusan KTM Komuter membuat percubaan selama enam bulan. Menukarkan laluan perjalanan. Rawang ke Pelabuhan Klang manakala dari Sentul ke Seremban. Sebelumnya, dipanjangkan hingga ke Tampin, Negeri Sembilan dan juga Tanjung Malim. Bila jarak perjalanan semakin dijauhkan, bererti masa dan kekerapan KTM Komuter tiba juga terjejas.

komuter link

Juga pernah diperkenalkan laluan ekspress. Tetapi, bagi penjawat awam yang menggunakan komuter dari Rawang untuk Putrajaya, mereka begitu marah dengan perubahan laluan. Bayangkan, mereka terpaksa menukarkan koc untuk sampai ke Serdang sebelum menyambung perjalanan dengan bas atau teksi. Sebelum laluan perjalanan dipinda, mereka agak selesa kerana tidak perlu membuat pertukaran koc sama ada di KL Sentral ataupun Stesen Kuala Lumpur.

Setibanya di Stesen Kuala Lumpur atau KL Sentral, mereka terpaksa menunggu hampir setengah jam lagi. Ini bererti, tempoh setengah jam itu sepatutnya mereka sudah tiba di stesen Serdang. Akibat perubahan perjalanan itu, pengguna bukan hanya lewat setengah jam, tetapi, juga mungkin terlepas jadual perjalanan bas untuk ke Putrajaya.

Apabila pihak pengurusan KTM memulakan projek Klang Valley Dual Track pada pertengahan tahun 2016, projek tersebut akan mengalami kelewatan atau terlajak masa. Jangkaannya, akan siap dalam tempoh tiga tahun. Melihat kepada perkembangan projek KDVT, agak sukar dapat disiapkan pada tahun 2019. Ia mungkin tertangguh, kerana banyak projek menaik taraf perkhidmatan KTM terlajak masa.

Menyedihkan ialah penggunaan mesi tiket. Mesin yang dibeli dengan perbelanjaan besar tersadai lebih tiga tahun sehingga ‘kotak pembungkus’nya ada yang hampir reput akibat panad dan hujan. Selepas mesin itu dipasang, percubaan perisiannya juga bermasalah. Mesin yang dipasang itu hanya dapat berfungsi hampir setahun selepas dipasang.

Kemudian, belum cukup setahun mesin tiket juga bermasalah. Seringkali tergendala. Tentunya, pulangan modal bagi pembelian mesin hingga sekarang tidak berbaloi. Kini, sebahagian mesin-mesin tersebut tersadai saperti ‘gajah putih’ dan di permukan skrin tertampat “rosak’. Inilah budaya kerja yang tidak menunjukkan KTM Komuter boleh berkembang maju dan mengatasi cabaran memenuhi keperluan pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan yang efisyen.

Akibatnya, pengguna terpaksa mencari alternatif. Mereka terpaksa menggunakan kenderaan persendirian ataupun memilih LRT atau MRT walaupun harga tiketnya adalah lebih mahal daripada tiket KTM Komuter. Perkhidmatan LRT dan MRT begitu efisyen, jarang berlaku kelewatan, kecuali bila berlaku gangguan elektrik dan masalah teknikal. Ia berbeza dengan perkhidmatan KTM Komuter, beratus kali kelewatan dalam sehari.

Meskipun Kerajaan PH melancarkan kad XTRA 20 untuk meningkatkan semula pengguna KTM Komuter, ia bukanlah sesuatu yang menarik selagi masalah kelewatan tiba tidak diatasi dan kekerapan perjalanan tidak diperbetulkan. Pengurusan KTM Komuter hendaklah memikirkan keperluan perjalanan golongan pekerja, bukan memaksa pengguna yang mengejar masa untuk mengetik kad perakam waktu mengikut masa dan selera pengendali perkhidmatan itu.

Bayangkan, jika perubahan masa terlalu kerap, dan setiap hari terlajak tiba, ia akan menyebabkan pengguna ‘sakit hati.’ Akibat ‘sakitnya hati’ itulah maka jumlah penggunanya semakin menurun. Kekerapan dari 15 minit waktu puncak tidak lagi berlaku, bahkan, ada ketikanya lebih sejam menunggu, sebabnya KTM itu Koc Tipu Masa. Selagi ‘kotak-katik’ itu tidak dapat diatasi dan akauntabiliti dipermainkan, selagi itulah KTM tidak mampu menyaingi kecekapan MRT ataupun LRT.

Penggunaan landasan untuk KTM Komuter hendaklah dipisahkan daripada gangguan keretapi barang, antara bandar mahupun perkhidmatan ETS. Seringkali jadual perjalanan KTM Komuter terganggu kerana memberi laluan kepada keretapi barang, ETS terutama waktu puncak (awal pagi dan menjelang maghrib).

Inilah cabaran yang wajib diatasi oleh pengurusan KTM Komuter, dan bukannya sekadar mengumumkan ‘permohonan maaf’. Maaf yang dipinta sudah tidak lagi mempunyai apa-apa makna, kerana selepas itu, maaf yang sama terus kedengaran. Ada-ada sahaja punca kelewatan. Sehingga permohonan maaf itu hanyalah siulan yang sia-sia.

Kekurangan pengguna bukan kerana kenaikan tambang, dari 11 sen kepada 15 sen sekilometer. Pengguna boleh menerima kenaikan itu, tetapi pengguna sudah tidak boleh berkompromi dengan alasan kelewatan tiba dan mengambil masa agak lama akibat menunggu atau terhenti lama dan banyak sangat gangguan ‘isyarat perjalanan’, memberi laluan kepada lain-lain koc keretapi.

Jadual perjalanan KTM Komuter tidak wajar dikorbankan hanya untuk menyenangkan perjalan koc barang atau keretapi antara bandar dan ETS yang terlajak masa, terutama ketika waktu puncak.

Harap-harap Menteri Pengangkutan boleh cuba menggunakan KTM Komuter setiap hari dari Seremban ke Serdang sebelum menyambung perjalanan ke Putrajaya dengan kenderaan rasmi. Begitu juga Timbalan Perdana Menteri, adalah lebih memahami kenapa semakin ramai pengguna menolak penggunaan KTM Komuter. Cubalah untuk berulang-alik dari Segambut ke Serdang, rasailah sendiri betapa ‘sakitnya hati’ menggunakan KTM Komuter setiap hati untuk ke pejabat.

Rasalah, cemasnya untuk mengekalkan warna kad perakam waktu, sebagaimana dialami oleh sebahagian penjawat awam yang ‘sakit hati’ akibat KTM Komuter yang terlajak masa dan kerap terpaksa menunggu. Kalau Mahatma Ghandi boleh menaiki keretapi dengan tambang kelas ketiga, kenapa Anthony Loke ataupun Dr Wan Azizah tidak boleh? Tak elok menyalahkan pengguna kerana enggan menggunakan KTM Komuter.

Sebaik-baiknya, Anthony, Wan Azizah atau semua menteri dan pegawai kanan kerajaan menunjukkan teladan, mengutamakan pengangkutan awam untuk ke pejabat. Sekiranya teladan ini boleh dijadikan budaya, hampir kesemua masalah yang disebabkan sikap manusia yang menguruskan KTM Komuter dapat diatasi. Jika mereka masih gagal, ambillah tindakan, tanpa perlu kepada pertimbangan yang akhirnya melekakan dan tidak proaktif.

Diskaun dua puluh peratus hanya boleh membantu, bukan faktor penentu. Telitilah aduan pengguna, bacalah komen dan rasa terkilan penggunan dalam akhbar mengenai KTM Komuter sejak ia mula diperkenalkan. Atasilah masalahnya dengan segera, sekarang, bukan lagi masa ‘menuding jari’ kerana pengguna sudah bosan dan meluat dengan Komuter Terlajak Masa.

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply