YAHUDI DAN NASRANI TIDAK BERHENTI DIKECAM

SELURUH dunia, terutama negara Islam kini tertumpu di Istanbul, lokasi Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai konflik terkini Palestin-Israel berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel menggantikan Tel Aviv. Umat Islam juga menaruh harapan tinggi hasil sidang kemuncak yang dihadiri pemimpin 57 negara anggota ini.

Bukan sahaja umat Islam, malah masyarakat dunia atas nama kemanusiaan juga menunggu kandungan Deklarasi Istanbul yang dijangka diumumkan petang esok waktu Turki. Antara yang dibincangkan ialah kesan daripada segi perundangan, status politik dan sejarah berikutan ‘penaklukan’ bandar suci Islam itu dan negara Palestin secara keseluruhan. Datuk Seri Najib Razak mengetuai delegasi Malaysia yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Apakah sifat Yahudi yang berbuat sesuka hati layak dipanggil sebagai Ahli Kitab. Ahli al-Kitab di dalam al-Quran sering merujuk kepada dua komuniti penganut agama Samawi sebelum Islam iaitu Yahudi dan Nasrani. Dua penganut agama tersebut sebenarnya mempunyai kesinambungan akidah dengan kaum Muslim. Bahkan Allah menegaskan bahawa kehadiran al-Quran untuk membenarkan sebahagian ajaran kitab Taurat (kitab suci agama Yahudi) dan Injil (kitab suci agama Nasrani).

Al-Quran menggambarkan sikap dan perilaku penganut agama Yahudi dan Nasrani lebih banyak bernada negatif daripada Sepertimana yang dirakamkan di dalam al-Quran, bagaimana penganut agama Yahudi dan Nasrani mengalami banyak perubahan dan penyimpangan khususnya dari segi akidah. Betapa banyak Nabi dan Rasul yang diutus kepada golongan Bani Israel sehingga merasakan merekalah bangsa yang disayangi Tuhan.

Bangsa Yahudi satu-satunya bangsa yang digambarkan di dalam al-Quran yang paling sukar untuk dibentuk, bersifat eksklusif dan suka membangkang. Di samping itu, Yahudi juga terkenal sebagai bangsa yang sombong dan zalim sehingga mereka dengan sewenang-wenangnya membunuh para Nabi dari golongan mereka sendiri. Lebih daripada itu mereka menolak mempercayai ayat-ayat Allah dan melanggar perjanjian dengan-Nya. Justeru, kecaman yang terdapat di dalam al-Quran lebih banyak tertuju kepada orang Yahudi daripada Nasrani.

Bahkan Allah s.w.t berkali-kali mengingatkan kaum Muslimin untuk tidak mengangkat mereka sebagai pemimpin atau teman-teman akrab (tempat menyimpan rahsia).

Ahli al-kitab itu bukan sahaja mengingkari wahyu Allah s.w.t tetapi juga telah mengubah kitab suci mereka iaitu Taurat bagi orang Yahudi dan Injil bagi Nasrani. Kitab suci yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada penganut agama Yahudi dan Nasrani tersebut sudah tidak asli lagi dan telah mengalami banyak perubahan kerana mengikut hawa nafsu mereka yang jahat. Sebagaimana firman Allah s.w.t berkenaan dengan orang-orang Yahudi yang dilaknat kerana sentiasa mengubah kalimah-kalimah di dalam kitab Taurat dengan memutarnya dari tempat-tempatnya dan maksudnya yang sebenar (sebahagian maksud al-Quran) surah al-Maa’idah ayat 13).

Implikasi paling utama dalam perubahan kehidupan keagamaan penganut agama Yahudi dan Nasrani ialah penyelewengan akidah tauhid kerana pengakuan penganut Yahudi yang menganggap bahawa Uzair adalah anak Allah manakala Nasrani mengatakan Nabi Isa adalah anak Allah. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud:

Dan orang-orang Yahudi berkata: Uzair ialah anak Allah, dan orang-orang Nasrani berkata: Al-Masih ialah anak Allah. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu, semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling daripada kebenaran? (Surah al-Taubah, ayat 30).

Kedegilan terus menerus kaum Bani Israel dirakamkan di dalam al-Quran tentang pelanggarannya terhadap hukum-hukum Allah s.w.t yang berkaitan dengan ibadah pada hari Sabtu. Hari yang dianggap hari kelepasan kepada kaumnya seperti disebut di dalam kitab Taurat.

Allah s.w.t kemudian ingin menguji iman mereka dengan mengadakan ikan yang begitu banyak pada hari Sabtu dan telah menjadikan mereka lupa dan menjadi tamak, serta mengikut hawa nafsu dengan menangkap ikan pada hari Sabtu yang dilarang itu. Akibat perbuatan itu akhirnya golongan yang derhaka ini disumpah oleh Allah menjadi kera (maksud surah al-Baqarah ayat 65).

Menurut pendapat beberapa ahli tafsir tentang firman Allah s.w.t tersebut, bermaksud `kera’ makhluk Allah (binatang) yang sangat sukar menerima nasihat.

Demikian juga keengganan ahli al-kitab khususnya Yahudi menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w walaupun sebelumnya mereka menunggu kedatangannya, tetapi disebabkan oleh sifat dengki dan rasa superior yang begitu mendalam menguasai diri, mereka mudah berubah. Hal demikian disebabkan sebelum itu mereka mendengar bahawa Nabi yang diutus itu berasal dari kalangan Bani Israel tetapi ternyata Nabi yang datang berasal dari golongan Arab yang merupakan seteru mereka.

Di sebalik bangsa yang paling banyak mendapat bimbingan para Nabi dan Rasul, mereka juga banyak memperoleh nikmat yang tidak pernah dirasai oleh umat lain iaitu Allah s.w.t menurunkan makanan dari syurga iaitu manna (manisan lazat dari syurga) dan salwa (daging burung kecil yang enak). Di samping itu mereka juga diselamatkan daripada ancaman Firaun. Namun mereka tetap tidak berubah dan tidak bersyukur.

Selain daripada itu kaum Bani Israel mempunyai sikap mengutamakan kehidupan materialistik dan menganggap bahawa material itu adalah segala-segalanya yang boleh menyelamatkan mereka daripada ancaman yang berbahaya. Kerana sikap munafik dan kesukuan yang begitu menebal dalam diri mereka, menyebabkan mereka enggan mengakui ajaran Nabi Muhammad s.a.w kerana rasul yang mereka tunggu ternyata bukan berasal dari Bani Israel. Allah s.w.t. memberi amaran dalam firmannya yang bermaksud:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Sebahagian maksud surah al-Baqarah ayat 120. – MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Oleh Mohd Shauki Majid

No Comments

    Leave a reply