YANG BERHORMAT ATAU YANG ‘BIADAB’?

Kenapa wakil rakyat disapa sebagai Yang Berhormat?

Saya mula berfikir, apakah sapaan itu layak dipakai oleh seseorang yang dipilih sebagai wakil rakyat?

Dalam bahasa Inggeris, istilah hormat ialah ‘honor” dan panggilan sebagai Yang Berhormat ialah Honorable. Kamus Dewan (edisi empat, 2007:544) memberikan definisi ‘hormat”: (1) mempunyai pandangan yang tinggi terhadap seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan, khidmat, takzim; (2) perbuatan untuk menyatakan rasa khidmat atau takzim; dan (3) menaruh penghargaan (khidmat, takzim). Bila digabungkan menjadi Berhormat, ia bermakna “mempunyai kedudukan yang dihormati atau dimuliakan”. Siapakah yang memberikan wakil rakyat itu ‘kedudukan yang dihormati atau dimuliakan’?

Rafizi Ramli pernah mengesyorkan bahawa panggilan Yang Berhormat kepada wakil rakyat di luar Dewan Rakyat ditiadakan kerana ‘ia tidak sesuai dengan zaman’ dan ia menggambarkan “satu kedudukan masyarakat dalam sistem feudal”.

Menurut Rafizi, yang ketika itu adalah Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Pandan berkata: Saya rasa jika panggilan YB berterusan ia seperti mengamalkan sistem feudal, seolah-olah kita berada dalam zaman bangsawan. Sebarang panggilan, gelaran untuk ahli Parlimen akan memberi ruang kepada seseorang wakil rakyat itu menyalahgunakan kuasanya seolah-olah mereka ada hak dengan kuasa dan gelaran yang mereka ada, (Rujuk: Panggilan YB: Ahli Parlimen Beri Pandangan Berbeza, mStar Online, 2 Jun 2014).

Sebelumnya, seorang lagi Ahli Parlimen dari Padang Serai, yang juga Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran menggesa amalan panggilan YB di luar Dewan Rakyat dihentikan kerana dalam tatanegara bebas dan demokratik, “wakil rakyat tidak harus meletakkan diri mereka lebih tinggi dari rakyat melalui gelaran” di mana negara-negara Komanwel lain tidak lagi “menggunakan sebarang gelaran untuk mana-mana penggubal undang-undang yang dipilih rakyat.”

Malike Brahim, Kepimpinan Politik di Malaysia:Memahami Peranan Wakil Rakyat (2015), secara teoritikal menulis:“wakil rakyat dalam sistem demokrasi berperanan sebagai perwakilan (representatives) bagi rakyat dan kawasan yang diwakilinya. Sebagai perwakilan, wakil rakyat berperanan sebagai ahli perundangan (legislator) dalam majlis perundangan dengan fungsi mentafsir dan meluluskan membuat undang-undang (lawmaking). Inilah peranan utama dan hakiki wakil rakyat termasuklah bertanggungjawab dalam aspek parlimentari, konstituensi dan parti politik, manakala peranan sekunder melibatkan pentadbiran, pengurusan, khidmat sosial, kesukarelaan dan sebagainya, di mana sebagai pelengkap kepada peranan utama walaupun ia bersifat formal sekalipun.” (hal.14).

Dalam bukunya yang lain, Kedudukan Wakil Rakyat Dalam Sistem Berparlimen di Malaysia (2018), Malike Brahim menjelaskan: wakil rakyat adalah pemimpin yang telah dipilih secara sah melalui pilihan raya…wakil rakyat mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem politik di Malaysia. Atas sebab itu, ramai yang bercita-cita menjadi wakil rakyat khususnya pemimpin-pemimpin parti politik….Wakil rakyat tidak hanya terlibat dalam aspek politik, ….meliputi semua aspek kehidupan rakyat dalam sesebuah negara.” (hal.1-2).

Saya berhasrat mengulas mengenai peranan wakil rakyat secara politik kerana kededua buku Malike Brahim cukup menarik untuk dibaca dan dihadam oleh wakil rakyat dan juga mereka yang teringin menjadi calon wakil rakyat. Sebelumnya, ada beberapa sindiran terhadap tugas wakil rakyat yang pernah dinaratifkan sebagai lagu oleh ND Lala (Dato’ Amir Hamzah bin Salleh) dalam album Ya YB .  Lagu Diari YB (1995) pernah dinobatkan sebagai Juara Lagu 1995 anjuran TV3.

Lagu tersebut menggambarkan kesibukan seorang YB:   belum  sempat bersarapan, sudah ada yang menunggu untuk mendapatkan surat sokongan; jam 8 pagi YB perlu melawat kawasan, ‘di tengah jalan pengundi tahan minta bantuan’ ; tengah hari ada jemputan kenduri;  awal petang ada satu sidang dan jika YB tak hadir, kerusi yang disandang ‘terbang’ atau kalah dalam pilihan raya akan datang atau tidak lagi dicalonkan oleh parti; sebelum senja ke padang bola dan malam berceramah, singgah bersembang (digerai);  dan pulang lewat malam (isteri dan anak-anak “dah tak larat celik dan anak-anak dah lama tergolek”). Kehidupan YB begitu sibuk? Benarkah?

krisis Perak 2009 1

Jika benar YB melaksanakan tanggungjawab dan peranan, memang dia adalah seorang wakil rakyat yang dihormati dan layak dipanggil Yang Berhormat. Namun, banyak juga sindiran yang terkeluar, YB hanya muncul ketika hampir dengan pilihan raya. YB hanya muncul sesekali, itu pun jika ada majlis-majlis yang dianjurkan di peringkat kebangsaan atau negeri dan dirasmikan oleh Menteri atau Menteri Besar. Jika tidak, ‘bayang YB’ pun tak nampak, “YB sibuk” kerana ada firma guaman, mengendalikan banyak kes mahkamah. YB sibuk menguruskan perniagaan dan tidak kurang juga, YB ‘memang malas jumpa rakyat atau pengundi’ kecuali bila sampai masa ‘nak mengundi’.

Untunglah sesebuah konstituensi yang mempunyai wakil kepada wakil rakyat. Di tempat itu didirikan Pejabat Wakil Rakyat dan pengundi boleh datang untuk ‘mengadu’ atau ‘memohon bantuan’ tetapi, tidak semua boleh dipenuhi oleh wakil rakyat.

Wakil rakyat ada kekurangannya. Tidak semua wakil rakyat ‘baik hati’, ‘pemurah’, ‘dermawan’ mahupun ‘kaya’. Tetapi, wakil rakyat yang bersedia ‘membantu rakyat’ berusaha dan berikhtiar sebaik mungkin untuk mengatasi masalah rakyat: sanggup mengumpul dana dan menghubungi agensi-agensi kerajaan agar dapat membantu. Walaupun ‘tidak kaya’, YB sanggup bekerja ‘demi rakyat’ bukan daripada wakil rakyat yang hanya tahu “membuli rakyat”, menjadi lebih ‘pemurah’ ketika berkempen.

Dari perspektif lain, wakil rakyat dilihat sebagai ‘suri teladan’ atau role model dalam aspek kepimpinan, dan peranan itulah yang melayakkan wakil rakyat digelar Yang Berhormat. Perkembangan terkini, kita menyaksikan tingkah laku wakil rakyat seumpama ‘kanak-kanak belum baligh’, bergaduh dan bertengkar seolah-olah ‘dirinya yang betul’ walaupun pertengkaran itu penuh emosi dan dilihat kurang beradab.

Noor Suhana Ishak melaporkan ada gelagat atau perilaku wakil rakyat seolah-olah kehilangan deria kesopanannya ketika Sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020. Tulis wartawan Malaysiakini itu, “kelakuan mereka masing-masing tidak tumpah seperti manusia yang tidak bertamadun” apabila hilang rasa hormat, ‘budi bahasa tinggi’. Syed Saddiq (MP Muar) diperlekehkan dan diejek ketika ingin berbahas. Perilaku itu dilihat begitu “kebudak-budakan dan tidak matang’. (Rujuk: Tahap ‘kesopanan dan kesusilaan’ dalam parlimen kita, Malaysiakini, 15 Julai 2020).

krisis Perak 2009 2

Sayangnya, rencana Noor Suhana tidak memperlihatkan ‘kematangan penulisan’ kerana tidak menelusuri bagaimana perlakuan wakil rakyat yang dikatakan tidak matang dan kebudak-budakan itu. Ia hanya ditujukan kepada reaksi beberapa wakil rakyat di pihak kerajaan. Saya melihat disebabkan Malaysiakini mempunyai kesendengan politik kepada parti-parti pembangkang, Noor Suhana hanya mengambil kes tersebut sebagai perspektif untuk menilai salah satu prinsip Rukun Negara, iaitu prinsip kelima, Kesopanan dan Kesusilaan.

Mungkin kerana tarikh 13 Julai 2020 merupakan ulangtahun ke-50 kelahiran Rukunegara telah cuba dikaitkan oleh Noor Suhana. Sayangnya, beberapa peristiwa sebelum ulang tahun yang turut boleh dikaitkan ‘tidak mengendahkan Rukunegara’ gagal disoroti dengan menarik terhadap perilaku wakil rakyat, termasuklah mengapi-apikan pembentukan kerajaan pasca peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad dan tertubuhnya kerajaan PN sebagai ‘kerajaan pintu belakang’.

Istilah yang dipropagandakan oleh PH Plus atau PH sebelumnya turut melanggar tiga lagi prinsip Rukunegara ialah : (2) Kesetian Pada Raja dan Negara ; (3) Keluhuran Perlembagaan; dan (4) Kedaulatan Undang-undang.

Selepas Yang di Pertuan Agong (YDPA) menggunakan ‘budi bicara’ dengan bertemu kesemua 222 orang wakil rakyat,  Baginda membuat keputusan berdasarkan Perkara 43(2). Baginda mempunyai kuasa  melantik “Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri  seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ketika kemelut politik  bermula pada 24 Februari itu, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri interim. Ia tidak bermakna beliau akan kekal memerintah walaupun beliau kemudiannya mengharapkan ‘mendapat sokongan majoriti’. Kenapa PH tidak mempersalahkan Dr Mahathir yang meletakkan jawatan tanpa mencari  penggantinya terlebih dahulu? Kenapa Dr Mahathir sentiasa melengah-lengahkan proses peralihan kuasa sehingga Otai Reformasi bangkit membuat ketetapan bahawa tarikh akhir ialah 10 Mei 2020? Kenapa Dr Mahathir membuat keputusan secara unilateral dan tidak berunding dengan kesemua pemimpin tertinggi PH?

Lima hari selepas peletakan jawatan Dr Mahathir, YDPA mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa: “Hari ini, Istana Negara menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

“Proses ini lanjutan titah Yang di-Pertuan Agong, di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri. Selepas mendapat representasi semua, pada hemat Seri Paduka, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.” (Rujuk: Muhyiddin PM 8, Berita Harian, 29 Februari 2020).

Muhyiddin dipilih berdasarkan ‘kepercayaan majoriti’  berbanding apa yang diperoleh Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Ini bermakna, PH atau PH Plus wajib menghormati keputusan tersebut kerana ia dilaksanakan bersandarkan peruntukan undang-undang.  Mereka yang cuba mempersoalkan keputusan tersebut boleh dikategorikan sebagai menghina prinsip kedua, ketiga dan keempat. Ini kerana, sebelum keputusan itu dibuat, YDPA memanggil dan meminta pendirian setiap wakil rakyat.

krisis Perak 2009 3

Sepatutnya Dr Mahathir atau Anwar Ibrahim menghormatinya dan tidak cuba membuktikan masing-masing ‘ada kepercayaan majoriti’. Anwar juga berbohong, sampai pada suatu peringkat mendakwa ada 127 sokongan dan bila tidak juga muncul ‘tindakan menukarkan kerajaan’ terserlah bohong. Akhirnya beliau mengakui sedang berusaha ke arah itu dan ketika itu, hanya ada 107 sokongan.

Kalau Syed Saddiq diejek, diperlekehkan dianggap menyalahi prinsip “kesopanan dan kesusilaan’ ia tidaklah seburuk melanggar tiga prinsip lain yang kedudukannya adalah lebih tinggi daripada prinsip terakhir itu.

Saya juga terpanggil untuk membawa pengamatan terhadap ‘sarkas politik’ yang berlaku di Perak pada tahun 2009 selepas Pakatan Rakyat hilang kuasa. Tiga orang wakil rakyat (dua daripada PKR dan satu daripada DAP) keluar parti dan menyokong BN. Selepas berkuasa selama 11 bulan (4 Februari 2009), Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS-DAP-PKR tumbang.

Ia tidak berakhir setakat pembentukan kerajaan oleh BN. Bahkan Pakatan Rakyat melakukan Sidang DUN di bawah pokok ketapang, di hotel, Speaker enggan mengembalikan jubah, cabar mencabar dan pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Perak terganggu beberapa jam. Sidang DUN juga kecoh manakala wakil-wakil daripada Pakatan Rakyat umpama badut sarkas, berdiri di atas kerusi dan memekik seperti ‘manusia hilang harga diri’. (Baca: http://hilmiahmad.blogspot.com/2009/05/kemelut-politik-di-perak-badut-badut.html)

Fikiran saya tetap tidak boleh melupakan bagaimana meroyannya suku-sakat penyokong PH Plus menyerang Perikatan Nasional dengan pelbagai label hanya semata-mata untuk membingkaikan persepsi negatif, walhal secara langsungnya ‘terpercik ke muka’ mereka yang masih mahu mempertahankan PH. Meskipun PH memperoleh mandat rakyat dalam PRU ke-14, setelah melepasi 100 hari pertama, euforia sudah menjadi ‘igauan ngeri’ akibat penciptaan imej buruk oleh pemimpin-pemimpin PH sendiri.

Di dalam komponen PH, ada perebutan kuasa untuk menukarkan Perdana Menteri. Di dalam PH ada perencanaan untuk membuktikan masing-masing parti lebih dominan dan kenyataan antara menteri bercanggah. Kesepakatan matlamat dan cita-cita, peranan dan tanggungjawab kepada rakyat ‘terabai’ dan ‘diperlekehkan’ setelah melakarkan ‘janji manis’ dalam dokumentasi Buku Harapan. Alasan-alasan untuk melengah atau tidak menunaikan janji seumpama “bukan kitab suci’ dan ‘malaikat pun buat silap’ telah melenyapkan keyakinan rakyat.  Rakyat mula bosan dengan pentadbitan PH.

Rakyat mula bersuara, Parlimen wajar dibubarkan kerana ‘mereka silap memilih’ dan kecewa. Rakyat kecewa, ekonomi negara terus tidak berkembang sebagaimana diharapkan. Nilai ringgit merudum, pasaran saham jatuh manakala harga kelapa sawit lebih murah daripada ‘harga belacan’ dan kadar pengangguran terus meningkat (sebelum COVID-19).

Paling mendukacitakan ialah penghinaan terhadap institusi Raja, Islam dan pendekatan kerajaan PH yang dilihat cenderung mempertahankan ‘kehendak DAP’ daripada majoriti penduduk. Tindakan-tindakan memberikan bantuan dan peruntukan kepada institusi pendidikan vernakular swasta, membantah pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT, melepaskan dakwaan rasuah Lim Guan Eng, pembabitan penyokong-penyokong DAP dalam LTTE, naratif hutang negara telah menyebabkan rakyat mula khuatir, bimbang dan cemas.

Apa yang dibentangkan oleh menteri-menteri Malaysia Baru tidak lagi dipercayai dan diterima. Ia dilihat sebagai satu bentuk ‘pembulian mandat rakyat’.

Kesannya PH mengalami kekalahan berganda dalam 5 daripada 10 PRK secara berturut-turut. Ia bermula dengan kekalahan DAP di Cameron Highlands, DUN Semenyih (PPBM), DUN Rantau (PKR), Tanjung Piai (PPBM) dan Kimanis (Warisan).

PRK DUN Cini berlangsung selepas PH terlucut kuasa.  Namun yang menjadi persoalannya ialah ‘ketakutan’ komponen PH Plus untuk meletakkan calon walaupun dua calon bebas adalah daripada penyokong Dr Mahathir dan PKR. Kedua-duanya hilang wang pertaruhan. Mahathir sekali lagi malu sebab calon yang diharapkan hilang wang pertaruhan. Surat rayuannya kepada pengundi umpama “surat khabar lama’.

krisis Perak 2009 4

Ertinya, kerjasama politik yang membentuk Muafakat Nasional dan seterusnya Perikatan Nasional  terus mengancam penguasaan PH dalam PRU ke-15. Kini, PH Plus juga berhadapan dengan masalah dalaman. Dua blok utama, pro Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan kumpulan yang mendokong Dr Mahathir.

Meskipun kelompok Dr Mahathir mempunyai ‘galah pendek’ menurut Malaysiakini hanya ada 16 wakil rakyat (6 bekas PPBM, 9 Warisan dan 1 Bebas), ia turut menjelaskan pemuafakatan dalam PH Plus sudah terbelah.

Ketika ini, walaupun pendokong Anwar adalah lebih besar dengan 91 wakil rakyat, ia tidak bermakna PH Plus boleh mencabar kedudukan PN sekurang-kurangnya dalam keadaan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Atas sebab itulah mana-mana portal yang tidak sehaluan dengan PN akan memperkatakan apa sahaja untuk menggambarkan kerajaan yang sedang berkuasa itu lemah, tidak demokratik dan tidak stabil dalam kaedah demokrasi yang mengakui ‘kepercayaan majoriti’ adalah petunjuk wahid ‘kuasa’ meskipun dengan kelebihan satu undi.

Saya tidak terkejut dengan permainan laporan sedemikian. Malaysiakini memang pakar dalam pelaporan dalam bentuk churnalism dan mendokong hasrat untuk membudayakan pemikiran bebas menerusi ‘news and views that matter’, yang kadangkala terperangkap dengan permainan politik sendeng kepembangkangan. Namun hal itu tidak banyak berlaku ketika PH berkuasa, pelaporannya tetap merestui kesendengan mempertikaian budaya politik BN.

Jika Nor Suhana terlupa, saya cuba ingatkan beliau apakah istilah ‘hitam metalik’ yang dilabelkan oleh Nga Kor Ming (baca: Hitam metalik dan kesabaran MB Perak, Malaysia Gazette, 9 Disember 2017) kepada Dr Zambry Abdul Kadir itu ‘lebih sopan’ daripada ungkapan daripada Abul Azeez terhadap Kashturi Patoo ‘gelap, tak nampak’ dan perlu ‘pakai bedak?”.

Apakah kerana ‘gelap, tak nampak’ itu berbau perkauman hanya kerana kebetulan ditujukan kepada Kashturi Patoo dan ‘hitam metalik’ bukan perkauman kerana Dr Zambry adalah berketurunan Melayu?

Siapakah yang layak dipanggil Yang Berhormat? Siapa pula Yang Biadab?

Mahanor Saleha

 

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply