Rakyat nampaknya bimbang jika berlaku perubahan kepada sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang cukup tentang isu-isu berkaitan. Para pemimpin sekarang kebanyakannya orang baru ke Parlimen atau ke DUN. Ada dalam kalangan mereka pun yang lahir selepas kemerdekaan Tanah Melayu 1957, kecuali beberapa anggota pentadbiran yang pernah berada dalam kerajaan BN dan ahli Parlimen sebelum ini.

Pancang-pancang kenegaraan seperti institusi Yang di-Pertuan Agong dan kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu sebagai bahasa negara, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, hak asasi itu adalah hak kita semua sebagai rakyat dan warga Malaysia. Kesemuanya adalah tiang seri dan tiang-tiang rumah besar kediaman bersama. Kita jangan tersasul dengan membina Malaysia atas asas tuntutan perkauman. Dorongkanlah segala sifat kebersamaan, kekitaan dan kesepunyaan.

Dalam tempoh menjelang sampai 100 hari sejak 9 Mei lalu, kita sudah berhadapan dengan isu bahasa (konsep rasmi dengan tidak rasmi), ada tentangan pelantikan penjawat awam ke jawatan-jawatan pen­ting tertentu, isu pengiktirafan UEC (tanpa perundingan menyeluruh) dan implikasinya kepada sistem pendidikan kebangsaan, ada majlis jamuan rasmi dengan hidangan daging babi (walhal ada garis peraturannya), isu tukang masak asing (betapa ramainya tukang masak asing di hotel-hotel, selain orang Thailand dan Indonesia di restoran dan warung) dan akan meluasnya tindakan kepada dasar-dasar baharu yang belum nyata.

Kini ada suara-suara anggota pentadbiran yang menyuarakan itu dan ini, tetapi seperti mereka sendiri belum jelas; termasuk suara berbentuk dasar meskipun belum dibahaskan di peringkat Kabinet. Kes-kes kontroversial sepatutnya dibuat kajian terlebih dahulu misalnya kes pengiktirafan UEC.

Bagi penulis, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, memang rakyat mahu menumbangkan BN dan kemarahan membuak-buak terhadap kepemimpinan UMNO. Rakyat membuat pilihan perubahan dan penukaran kerajaan, tetapi tidak bermakna rakyat bersetuju dan ­akur 100 peratus dengan manifesto PH. Jadi jangan mengambil peluang di ruang yang samar-samar itu untuk membuat perubahan drastik ke atas semua perkara, apa lagi tindakan yang boleh meruntuhkan pancang-pancang kenegaraan.

Penulis tidak berhasrat sama sekali untuk mengajar itik berenang. Sekadar pada hemat penulis, elok benar sekiranya semua ahli Parlimen dan ADUN, diberikan kursus atau taklimat penuh tentang kenegaraan. Kerajaan sendiri patut menganjurkannya untuk anggota pentadbiran dan wakil-wakil rakyat parti kerajaan tujuannya bagi menimbulkan kefahaman dan penghayatan, mungkin berasaskan modul, antara lainnya:

• Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri.

• Ideologi dan falsafah Rukun Negara

• Dasar-dasar utama negara: se­perti Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) 1971-1990 dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN)

• Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Sistemnya.

• Dasar Bahasa Kebangsaan

• Dasar Kebudayaan Kebangsaan

• Wawasan dan Gagasan seperti Wawasan 2020, Islam Hadhari, Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penswastaan, Persyarikatan Malaysia, Gagasan 1Malaysia dan lainnya.

Memahami Perlembagaan adalah keutamaan yang pertama. Setiap pemimpin perlu tahu sejarah penggubalan Perlembagaan, konsep federalisme, pancang-pancang utama kenegaraan, kuasa Pusat dan negeri. Dasar-dasar utama di bidang pendidikan, bahasa, kebudayaan, dasar-dasar sosial tentang wanita, belia, sukan atau seumpamanya mesti difahami kerana akan memberi pencerahan pemikiran sekiranya sesuatu perubahan dan perombakan mahu dibuat. Jangan pula dianggap semuanya sudah lapuk, bahkan jika ada bahagian yang lapuk, jika perubahan mahu dibuat, maka seseorang itu sudah mempunyai kekuatan latar belakang dan ilmu.

Kata Almarhum Presiden Indonesia, Bapak Soekarno – “sesebuah bangsa besar adalah bangsa yang menghargai sejarah bangsanya”. Maknanya sejarah itu memberi antara kekuatan kepada konsep dan prinsip-prinsip kenegaraan. Elakkan menggubal dasar-dasar yang membawa kepada perpecahan dan kemusnahan perpaduan. Perpaduan tidak akan dapat dipupuk dari suatu keretakan jiwa antara pelbagai keturunan rakyat itu. Konflik tidak akan menemui titik akhir­nya. Elakkan pembentukan sesuatu dasar berlandaskan tuntutan perkauman kerana retak akan menunggu belah.

Pertukaran kerajaan daripada yang lama kepada kerajaan baharu memang sesuatu yang lazim di sesetengah negara. Bagi Malaysia, mungkin 2018 adalah tahun kejutan, di luar sangkaan sejak kemerdekaan 1957; tetapi ada yang sudah terhidu bau busuk kepemimpinan kerajaan terdahulu. Riak-riak ombak mulai bertukar menjadi gelombang besar perubahan. Rakyat telah membuat pilihan, meskipun polanya tidak sama antara negeri-negeri. Harapan rakyat kepada kerajaan baharu cukup besar. Perubahan tidak semestinya suatu perombakan terhadap semua perkara, apa lagi terhadap pancang-pancang utama atau perkara teras Perlembagaan. Rak­yat sedang tunggu sambil melihat ke arah manakah dan bagaimanakah bahtera negara Malaysia ini dinakhodai kali ke-2 secara hikmah oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menempuh ujian taufan kehidupan bernegara dan berbangsa. Tentu Tun M ada kebijakan dan kebijaksanaannya.

Selamat berjaya kepada semua.

DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban).