Zalim jika biarkan maksiat berterusan

Sikap mematuhi perintah Allah SWT berbeza-beza antara satu sama lain. Ada dalam kalangan hamba-Nya mudah mematuhi segala arahan-Nya hanya sekadar mendengar ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW. Ada pula yang memerlukan perdebatan, berhujah dan perbincangan, baru mereka taat perintah Allah SWT.

Namun ada juga hamba-Nya yang bukan sekadar ingkar, bahkan bersikap terang-terangan dalam melanggar perintah Allah SWT. Ada perkara dilanggar itu memberi kesan kepada orang lain atau masyarakat. Maka bertujuan mengembalikannya kepada kepatuhan kepada Allah SWT, ia memerlukan penguatkuasaan undang-undang.

Sebagai Muslim, tanda kasih-sayang kepada saudara seakidah adalah mengembalikannya kepada Allah SWT dan jalan kebenaran, cuma caranya berbeza-beza. Walaupun perkataan digunakan seperti hukuman dan penguatkuasaan seolah-seolah membawa makna seperti menyekat kebebasan, hakikatnya ia mengandungi sifat rahmah serta kasih-sayang.

Teruskan dakwah

Kasih-sayang dan rahmah kepada pelaku maksiat serta kemungkaran perlu dikembalikan kepada jalan kebenaran. Membenarkan orang berterusan melakukan kemaksiatan adalah suatu kezaliman kepadanya. Bagaimanapun, tugas pendakwah terus berdakwah kerana mereka tiada autoriti untuk menjatuhkan hukuman ataupun menguatkuasakan undang-undang tetapi kerajaan dan agensinya mesti menggunakan kuasa yang ada untuk melakukan penguatkuasaan dan menjatuhkan hukuman kepada pelaku yang degil selepas didakwahkan.

Bukankah Rasulullah SAW bersabda dalam hadis diriwayatkan Anas Malik RA: Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi. (HR Bukhari)

Daripada Jabir Abdillah RA berkata: Dua hamba bergaduh, masing-masing daripada Muhajirin dan Ansar. Hamba daripada golongan Muhajirin berkata: “Pembelaan untuk Muhajirin.” Budak daripada golongan Ansar pula berkata: “Pembelaan untuk Ansar”. Lalu Rasulullah SAW keluar dan bersabda: “Tidak, melainkan jika dua hamba ini memukul pada yang lain.” Rasulullah SAW bersabda lagi: “Tidak mengapa, bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi. Adapun yang zalim itu, bantulah dia dengan cara menegahnya dan orang dizalimi pula bantulah dia (daripada kezaliman).” [HR Ahmad dan Muslim)

Usaha hentikan maksiat

Sifat rahmah sebenar mempunyai cakupan luas melewati kasih-sayang di dunia. Kasih-sayang sebenar adalah berasa kasihan jika sadara kita akan dimasukkan ke neraka nanti. Rahmah kita kepadanya adalah berusaha menghentikannya.

Namun sikap penerimaan nasihat dan teguran berbeza-beza antara satu sama lain. Maka, ada dalam kalangan mereka terpaksa dihukum. Dalam al-Quran pun ada ayat-ayat yang jelas difahami sebagai hukuman.

Dalam hadis Sahih Bukhari, hukuman yang diterima di dunia jika disertai dengan taubat, ia akan menjadi penghapus dosa terhadapnya. ‘Ubadah as-Shamit yang juga sahabat yang ikut Perang Badar dan juga antara yang ikut bersumpah pada malam Aqobah, berkata Rasulullah SAW bersabda ketika berada di tengah-tengah sebahagian sahabat: “Berbaiatlah kau kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak kamu, tidak membuat pembohongan yang kamu ada-adakan antara tangan dan kaki kamu, tidak bermaksiat dalam perkara yang makruf. Sesiapa antara kamu yang memenuhinya maka pahalanya ada pada Allah dan sesiapa melanggar hal berkenaan, lalu Allah menghukumnya di dunia, maka ia kafarat baginya dan sesiapa yang melanggar hal terbabit kemudian Allah menutupinya (tidak menghukumnya di dunia) maka urusannya kembali kepada Allah, jika Dia mahu, dimaafkannya atau disiksanya”. Maka kami membaiat Baginda untuk perkara-perkara itu.

Apabila konsep hukuman terhadap individu pendosa difahami, kita tidak hanya melihat dakwah dan rahmah itu hanya menasihat, menegur dan membimbing sahaja bahkan hukuman juga adalah salah satu bentuk rahmah.

Ramadan mengajar dan mendidik umat Islam untuk mentaati perintah Allah dengan penuh kerelaan dan menginsafi statusnya hanyalah hamba Allah di atas muka bumi ini. Allah SWT tidak akan menghukum dengan hukuman dunia tercatat dalam al-Quran jika umat Islam terdidik untuk taat dan mematuhi segala arahan dan larangan Allah SWT.

Oleh Ustaz Zamri  Timbalan Mufti Perak

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply