ZAMAN EDAN : TEGAK BERPALING, DUDUK BERKISAR

 

Saya sebenarnya sedang mengelamun. Mengelamun setelah perasaan sedikit tersentuh dengan ucapan yang dilontarkan oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, iaitu bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dari 17 November 2000 hingga 30 Disember 2008 mengenai dua perkara.

Dua perkara itu yang saling berkaitan. Perkara pertama ialah mengenai pertambahan pengundi dalam PRU ke-15 akan menjadi lebih besar sekiranya umur 18 tahun dijadikan asas. Perkara kedua ialah cadangan memperkukuh parti dengan memberikan kontrak ‘rundingan terus’ kepada penggerak politik yang telah memungkinkan PPBM atau PH menumbangkan UMNO/BN.

Kenyatan bekas Pengerusi SPR itu bukanlah yang pertama ditimbulkan dalam perbahasan PAT 2018. Sebelumnya ia dikemukakan oleh perwakilan dari Wilayah Persekutuan. Rashid mungkin mahu menegaskan, tanpa wang perjalanan politik kepartian dan kekuatan PPBM tidak dapat dipertingkat sebab tidak ramai aktivis politik yang sanggup berjuang tanpa apa-apa imbuhan.

Rashid melihat, oleh kerana pengundi yang berumur 40 tahun ke bawah akan menjadi blok penentu yang besar, mereka perlulah diberikan perhatian sewajarnya jika PPBM mahu mendominasi politik tanah air.

Beliau mungkin sedar, sekiranya umur 18 tahun dipinda dari 21 tahun, jumlah pengundi muda boleh menjangkau ke tahap 60 peratus daripada keseluruhan pemilih dalam PRU ke-15 nanti. Tentunya, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua cawangan dan penggerak parti memerlukan perbelanjaan untuk mendekati, melaksanakan aktiviti siasah. Tanpa wang, ia dilihat PPBM tidak akan ke mana.

Sebagai pelengkapnya, ketua-ketua bahagian atau cawangan hendaklah diberikan pertimbangan khusus sedangkan Dr Mahathir melihat ‘pertimbangan khusus’ itu tidak wajar dilakukan kerana ‘tidak terima nasib sama saperti UMNO.’ Bagi sebahagian perwakilan, sikap Dr Mahathir itu tidak ubah saperti hipokrasi politik terutama dari perspektif kelangsungan kuasa.

Dr Mahathir tidak akan lama dapat memayungi PPBM berdasarkan faktor usia. Jika beliau benar-benar menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun, aktivis parti tidak dapat melakukan kerja-kerja itu di peringkat akar umbi kecualilah dalam tempoh yang singkat (masih berbaki kurang setahun setengah) mereka diberikan imbuhan kontrak.

Sekiranya Anwar Ibrahim benar-benar mengambilalih pucuk pimpinan politik tanah air sebelum PRU ke-15, PPBM dijangka akan mengalami kemerosotan sokongan. Dr Mahathir dilihat telah gagal menggerakkan parti di peringkat akar umbi, ketua-ketua bahagian akan mungkin berhenti sebab parti tidak menyediakan sumber kewangan mencukupi manakala pengorbanan aktivis  saperti dilupakan.

Bagi mereka, Dr Mahathir boleh bergerak tanpa mencari sumber kewangan baharu untuk menampung perbelanjaan parti sebab kedudukan kewangannya ‘mantap’. Begitu juga dengan Mukriz dan beberapa orang ahli politik veteran dalam PPBM.

Setelah Anwar berkuasa, Anwar akan memberikan tumpuan yang lebih besar kepada PKR, termasuklah ‘memujuk’ sebahagian daripada ‘kelompok Azmin yang kecewa’. Sehingga kini, penyokong Azmin Ali mendakwa, sepatutnya 70 peratus jawatan lantikan politik perlu diberikan kepada mereka. Alasannya, dalam pertandingan peringkat pusat, Azmin memenangi 70 peratus undi popular dan berjaya menggagalkan cita-cita Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden PKR.

Meskipun pelantikan itu adalah prerogatif Presiden PKR, Anwar tidak seharusnya tidak menggunakannya secara mutlak. Bagi mereka, Anwar seharusnya berbincang dengan Azmin terlebih dahulu sebelum melantik Rafizi sebagai Naib Presiden dan ketua-ketua yang akan menguruskan parti di peringkat negeri. Latheefa Koya dengan tegas melihat kecenderungan Anwar itu tidak sepatutnya berlaku, ia adalah keputusan yang tidak adil dan boleh menyebabkan PKR berpecah.

Selesainya PAT 2018 sehari sebelum sambutan tahun 2019, para perwakilan mencapai satu resolusi agar Dr Mahathir tidak segera melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Mereka meluluskan usul, Dr Mahathir wajar menerajui Malaysia Baru sekurang-kurangnya untuk tempoh sepenggal.

Sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan licik strategi, Dr Mahathir tidak mengulas resolusi itu dan membiarkan ia dibincangkan di luar PAT. Kini, muncul pula kenyataan yang mungkin sebagai tindakan mempertahankan Dr Mahathir, tidak perjanjian untuk beliau menjadi Perdana Menteri selama dua tahun.

Orang ramai semakin keliru. Sebelum PH menang PRU ke-14, dilaporkan ada persetujuan antara PPBM dan PKR bahawa Dr Mahathir adalah Perdana Menteri sementara, iaitu sementara Anwar dibebas dan mendapat pengampunan Yang di Pertuan Agong. Anwar sudah dibebaskan dan mendapat pengampunan. Kedengaran pula, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh dua tahun. Ia mungkin dianggap sebagai tempoh bertenang bagi Anwar dan mencukupi untuk menyusun kembali pengaruhnya dalam PKR.

Anwar sedang menyusun kelompok yang dipercayainya dalam PKR. Gerak kerja ini dilihat sebagai satu tamparan kuat kepada Azmin dan penyokong-penyokongnya, yang dilihat semakin mesra dengan Dr Mahathir. Penyokong kuat Azmin berada dalam kabinet Malaysia Baru dan mereka pula menguasai kepimpinan peringkat pusat PKR. Jadi, Anwar terpaksa berhadapan dengan ‘kemelut politik dalaman’ dan Dr Mahathir dilihat boleh tersenyum dengan situasi itu.

Jika Anwar terus ‘melancarkan’ serangan ke atas kem Azmin, ada pihak bimbang PKR akan berpecah. Jika PKR berpecah, ia akan menguntungkan PPBM. Spekulasi pernah bertiup bahawa Azmin dan penyokong-penyokongnya akan menyertai PPBM. Kekuatan PPBM akan bertambah dengan penerimaan masuk secara besar-besaran bekas wakil rakyat UMNO yang sedang menanti peluang diterima sebagai ahli PPBM.

PKR tidak akan menerima bekas wakil rakyat UMNO kerana ia dianggap sesuatu yang bertentangan dengan prinsip reformasi. Sebenarnya PKR sudah pun memadamkan prinsip reformasinya, kerana perjuangan asalnya ialah ‘Membebaskan Anwar’. Anwar sudah dibebaskan. Perjuangan mereka sekarang ialah bagaimana untuk berada di puncak kuasa. Anwar sedang mencaturkan kedudukannya sedangkan Azmin semakin dilihat tewas dengan ‘grand design’ yang berlaku.

Inilah prinsip politik yang terus relevan sampai bila-bila. Definisi politik yang dikemukakan oleh Harold Dwight Lasswell (1902-1978) pada tahun 1936 “who gets what, when and how” tetap menjadi budaya saperti akar tunjang bagi pokok.

Rashid telah mengemukakan pandangan dalam bingkai Lasswellian. Azmin dan penyokongnya berbuat demikian. Kini rasa tidak puas hati sedang membakar ‘emosi’ kelompok Azmin. Begitu juga mereka yang menyokong cadangan Tan Sri Rashid. Hari ini (2 Januari 2019) telah muncul pandangan agar Syed Saddiq digulingkan daripada jawatannya sebagai Ketua Armada kalaupun tidak sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Sudah ada kecaman daripada para aktivis PPBM menuntut Syed Saddiq dipecat manakala Latheefa Koya menyelar percaturan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam PKR. Selama ini, PKR hanya dipimpin secara ‘remote control’ oleh Anwar Ibrahim. Mereka yang berjuang semasa Anwar dipenjarakan terasa saperti ‘dipinggirkan’.

Cuma setakat ini, Azmin belum menunjukkan ‘keberanian’ nya sebagaimana pernah beliau lakukan ketika Anwar dalam proses perbicaraan. Pada suatu ketika, Azmin pernah mengeluarkan ancaman akan ‘merobohkan tembok penjara’ sekiranya Anwar dipenjarakan. Ancaman Azmin itu menjadi semakin lemah apabila beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim selepas Langkah Kajang terkandas.

Sikap keras Azmin berubah kerana kuasa. Begitu juga sikap Dr Mahathir juga berubah apabila berkuasa. Ketika kali pertama berkuasa selama 22 tahun, Dr Mahathir disergah dengan kronisme dan nepotisme (1997) apabila dasar penswastaannya gagal. Beliau menggunakan wang Petronas untuk melakukan proses bail-out, dan memberikan projek-projek kerajaan kepada orang-orang tertentu.

Anwar pernah menyerang Dr Mahathir apabila bail-out MISC sehingga anaknya, Mirzan. Mirzan juga mempunyai wang yang banyak untuk membeli St Miguel (syarikat pengeluar arak di Filipina) dan kemudiannya membeli saham Exxon-Mobil. Exxon-Mobil kini dikenali dengan PETRON.

Mat Sabu pernah mengecam kronisme dan nepotisme Dr Mahathir. Begitu juga Lim Kit Siang. Sekarang, demi kuasa dan kepentingan politik, mereka yang pernah mengecam salah laku Dr Mahathir dalam pusingan kuasa pertama selama 22 tahun boleh bekerjasama. Kini, mereka yang pernah menyelar Dr Mahathir tidak bersuara selantang dahulu setelah PH berkuasa.

Cuma ada sedikit rasa tidak puas hari apabila PPBM sanggup menerima bekas wakil rakyat UMNO. Hal ini menyebabkan Lim Kit Siang mengancam akan keluar PH sekiranya objektif Malaysia Bari dipinggirkan. Sebagai seorang tokoh politik veteran, Lim Kit Siang tetap dengan pendirian politik DAP, iaitu Malaysian Malaysia. Prinsip itulah yang sesekali kedengaran yang ditukangkan oleh para menteri Malaysia Baru. Lim Kit Siang faham, untuk menukangkannya secara drastik, ia akan menyebabkan reaksi menentang begitu cepat dan membingitkan.

ICERD sudah membuktikan. Walaupun PAS dan UMNO bertelagah panjang tentang falsafah politik antara nasionalisme dan Islam, akhirnya mereka boleh bekerjasama sekiranya statusquo Islam dilihat tercabar. Biarpun sebahagian kecil orang Melayu yang mendokong PPBM bersetuju, secara keseluruhannya mereka masih tetap tidak mahu melihat statusquo Melayu dilenturkan. Itulah sebabnya PPBM berazam untuk menjadi ‘rumah baru bagi orang Melayu dan Islam’ bagi menarik lebih ramai ahli UMNO peringkat akar umbi menyertai PPBM.

Di peringkat pemimpin, PPBM boleh menerima mereka setelah selesai proses pemutihan atau melepasi tapisan yang ditetapkan. Wakil rakyat UMNO yang menyeberang sebenarnya boleh menerima syarat untuk tidak diberikan apa-apa jawatan sehingga PRU ke-15, tetapi, mereka juga memerlukan sumber kewangan untuk membawa ahli-ahli UMNO menyertai PPBM.

Mereka perlukan perbelanjaan untuk menggerakkan aktiviti parti, apatah lagi sebahagiannya boleh jadi begitu kritikal apabila Ketua-Ketua Bahagian yang menang atas tiket UMNO/BN dalam PRU ke-14 dianggap sebagai ‘pengkhianat’. Stigma imej ‘pengkhianat’bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihapuskan.

Mereka kenal dan mengetahui setiap orang yang memimpin PPBM di peringkat pusat dan negeri. Mereka tahu sejarahnya dan susur galur politik yang diamalkan. Sikap politik dan tujuan perjuangan dalam parti tetap sama, cuma rentaknya sahaja berubah. Lasswellian tidak akan mati, kerana itulah sebenarnya denyut nadi seseorang memasuki gelanggang politik.

Saperti juga Dr Mahathir. Sepanjang berkuasa selama 22 tahun (1981-2003) beliau sentiasa mengkritik psikik Melayu sebagai ‘mudah lupa, malas dan bergantung kepada kerajan (tongkat)’, psikik yang sama terus diulang-ulang kini. Dr Mahathir ‘memperlekehkan’ orang Melayu dengan alasan untuk menjadikan orang Melayu ‘lebih baik dan dihormati’.

Bagaimanapun, dalam banyak perkara, Dr Mahathir sebenarnya sedang mengulangi kesilapan lamanya. Mungkin peribahasa ‘tegak berpaling, duduk berkisar’ boleh menggambarkan apa yang berlaku.

Ketika berkempen, terlalu banyak program kerajaan terdahulu dikutuk, dikecam sebagai ‘membazir’, ‘menjadikan rakyat malas’ dan ‘tidak dedak’. Retoriknya menggerakkan ‘kemarahan’ dan akhirnya beliau kembali membenarkan apa yang dikritiknya diberikan sebagai ‘dedak’ kepada rakyat. Kenapa perkara-perkara itu diteruskan? Jawabnya ‘kerana kuasa’ dan   ‘takut kehilangan kuasa’.

Perkembangan mutakhir, kemelut dalaman PKR dan PPBM, ketidakseragaman pandangan menteri kabinet, pengecilan skop projek mega (alasan menjimatkan perbelanjaan), dan dasar politik akan menjadi penentuan yang besar sepanjang tahun 2019. Dr Mahathir akan dilihat apakah benar ‘berpegang kepada janji’ atau kembali mengulangi bahawa semuanya itu ‘bukan kitab suci’ ?

Sekiranya ‘bukan kitab suci’ maka sepatunya rakyat Malaysia bersiap sedia untuk mengharungi iklim politik yang ‘gila’ dan Anwar akan terus membacakan puisi garapan Raden Ngabehi Ronggowarsito. Puisi itu ditulis pada tahun 1861 (dianggarkan) . Puisi itu mengandungi sepuluh perkara buruk dan sepuluh langkah memperbetulkan untuk tidak dianggap gila.

Puisi itu ditulis dalam bahasa Jawa dan penulisnya merupakan seorang pemikir yang boleh membaca petunjuk alam dengan baik sehingga boleh meramalkan ‘kematian’nya. Antara bait-bait yang menggambarkan ‘zaman edan (gila) iailah:

Orang yang benar hanya bisa bengong,

orang yang salah berpesta pora.

Orang baik berusaha disingkirkan,

orang yang moralnya bejat malah naik pangkat.

Banyak komentar yang tidak ada isinya,

orang salah dianggap benar,

orang lugu/jujur malah terbelenggu.

yang salah dipuji dan dihormati,

orang jujur malah hancur.

Banyak pedagang yang menyimpang/curang.

Orang yang bermain judi semakin menjadi,

lupa anak lupa istri, lupa tetangga dan teman.

Uang dan keringat hanya untuk berjudi,

waktu pulang main, kantongnya kosong,

mendengar anak istri menangis tidak digubris.

Pengelamunan saya terhenti di situ. Ia terhenti apabila terlintas di minda filem Zaman Edan yang diarahkan oleh Nawi Ismail pada tahun 1978. Tahun di mana saya mula diperkenalkan dengan puisi sebagai telaah akademik, termasuklah puisi ciptaan Ronggowarsito yang dianggap klasik itu. {Queensbay, P.Pinang 1.1.2019}

Monosin Sobri

 

 

No Comments

    Leave a reply