ZINA: AKIBAT PROSES PENDIDIKAN YANG TIDAK SELESAI

Sebut sahaja zina (seks bebas), jangan terkejut, jika bangsa Melayu-Islam turut mendominasinya. Jumlah remaja Melayu yang terlibat dalam zina sangat membimbangkan seiring bertambahnya kelahiran anak luar nikah. Timbul persoalan, mengapa zina berlaku di kalangan Melayu-Islam? Sebelum menjawab persoalan itu, kita perlu tahu mengapa orang melakukan maksiat atau kemungkaran?

Secara mudah, bolehlah dikatakan zina umpama penyakit. Untuk menanganinya samalah seperti menangani penyakit. Bagi mencegah dan mengubat penyakit secara berkesan, terlebih dahulu perlulah dicari apakah jenis penyakit itu, apakah puncanya, kemu­dian barulah diketahui kaedah mencegah atau meng­ubatnya.

Tidak cukup sekadar itu, perlu juga diketahui siapa doktor yang mampu merawat dan siapakah pula golo­ngan yang selalu ditimpa penyakit berkenaan. Tanpa men­dapat jawapan yang tepat kepada semua soalan di atas, usaha memerangi zina tidak akan membuahkan hasil.

Pada umumnya kelihatan zina seolah-olah hanya masalah yang melibatkan soal sosial. Namun, zina bukan sahaja berkait dengan sosial, tetapi ia adalah masalah yang berhubung rapat dengan soal pendidikan.

Dalam konteks ini, zina hanyalah sebagai buah “busuk” yang muncul di hujung jalan, sedangkan ia sebenarnya sudah bermula lebih awal lagi… yakni pada “akar” yang berlaku di pangkal jalan. Zina ialah produk proses pendidikan yang tidak selesai. Kenapa demikian? Ini kerana zina adalah perlakuan lahiriah yang bermula dari dalam diri seseorang yang berkait soal kejiwaan, perasaan dan pemikiran.

Pendek kata, kelakuan yang negatif (zina) ini lahir daripada sifat-sifat dalaman yang negatif. Zina dan lain-lain perlakuan buruk adalah lahir daripada hati yang telah ditakluki hawa nafsu. Ia bermula dengan perbuatan-perbuatan yang ‘menghampiri zina’ terlebih dahulu seperti mendedahkan aurat (pada wanita) dan bergaul bebas dan lain-lain perbuatan menghampiri zina.

Bayangkan, di Malaysia apakah ada undang-undang yang boleh menghukum orang yang mempunyai sifat-sifat itu? Jawabnya, tidak. Seseorang hanya dihukum bersalah apabila dia melaksanaka perbuatan zina.  Manakala perbuatan-perbuatan menghampiri zina seperti mendedahkan aurat, bergaul bebas tidak dicegah malah dipromosikan.

Tegasnya, sifat-sifat buruk yang menjadi punca ber­lakunya zina, tidak cuba diatasi justeru undang-undang hanya boleh dikenakan pada perlakuan-perlakuan zina sahaja. Sedangkan sifat-sifat buruk yang bersifat batiniah, tidak boleh dihukum sebelum ia diter­jemahkan dalam bentuk tindakan. Jadi hujah ini sudah cukup buat menjelaskan mengapa undang-undang tidak akan dapat mengatasi apalagi mencegah perbuatan zina walau bagai­mana keras dan ketatnya undang-undang tersebut. Namun ini tidak bermakna undang-undang syariah tidak perlu, tetapi pelaksanaannya perlu didasari dan didahului oleh sistem tarbiah yang kukuh dan menyeluruh.

Sebagai perbandingan, memerangi zina adalah seperti keinginan untuk memadamkan satu kebakaran. Melalui latihan menghadapi kebakaran, kita diberitahu bahawa seseorang tidak akan dapat memadamkan api sekiranya semburan alat air atau buih daripada alat pe­madam api (fire extenguiser) ditujukan pada nyalaan api di bahagian atas.

Sebaliknya, semburan itu mestilah dihalakan kepada punca nyalaan api yang berada di bahagian bawah. Ini kerana pada bahagian bawahlah letaknya “punca” ke­baka­ran itu, sedangkan di bahagian atas adalah “akibat” ke­bakaran itu.

Sayangnya, usaha dan langkah memerangi zina masa kini tidak mengambil iktibar daripada strategi dan taktik ini. Kita terlalu bergantung kepada langkah-langkah yang bersifat luaran, sedangkan zina walaupun bersifat luaran tetapi punca atau sumbernya adalah dari dalam.

Tegasnya, meka­nisme perlakuan zina adalah dari dalam ke luar (inside-out) bukan dari luar ke dalam (outside-in). Sepatutnya, zina harus ditangani berasaskan bagaimana sesuatu zina itu berlaku. Maksudnya, cara mengatasinya juga perlu bersifat inside-out bukan outside-in.

Apa yang seharusnya mula kita fikirkan dengan serius ialah bagaimana sifat-sifat buruk atau mazmumah boleh ter­bina dalam diri manusia? Apa yang menimbulkan rasa marah, hasad, rakus, tamak dan lain-lain sifat negatif dalam diri seseorang yang menjuruskannya ke arah perlakuan maksiat dan kemungkaran? Setelah kita tahu puncanya barulah boleh kita fikir­kan cara terbaik untuk mengubati sifat-sifat buruk ini.

Untuk itu kita perlu tahu apakah yang menentukan atau mengawal sifat baik atau buruk manusia. Menurut pakar psikologi perlakuan manusia ditentukan oleh “personal belief system”nya – sistem keyakinan peribadi yang berada dalam jiwanya. Sistem keyakinan ini pada asasnya mengandungi prinsip-prinsip tentang ketuhanan, kebenaran, kebaikan atau apa sahaja bentuk kepercayaan sama ada yang bersumberkan fitrah tabiinya semata-mata atau apa yang diperolehinya daripada ajaran agama.

Keyakinan ini kemudiannya membentuk pandangan alamnya (world-view) tentang hidup dan kehidupan. Atau dalam istilah yang lain inilah juga yang dinamakan para­digma, persepsi (tanggapan) atau set minda (mind-set) yang berpusat pada akal seseorang.

Misalnya, keyakinan tentang adanya Allah, akan membentuk pandangan alam, yang menyebabkan seseorang individu akan melihat ke­hidupan ini dengan rasa “concousieus of the Creator” – merasa ada Allah yang Maha Pencipta. Individu ini akan berfikir, menilai, me­nyaring serta membuat tanggapan berdasarkan apa yang diyakininya berdasarkan prinsip keyakinan dan set mindanya.

Pandangan alam ini kemudiannya membentuk asas nilai dalam diri seseorang. Ia akan meletakkan “nilai” sesuatu per­kara, benda, peristiwa, kejadian, seseorang individu lain, pada neraca timbangan asas nilaiannya itu. Apa yang bernilai, akan cuba diperolehi, disokong, disayangi atau dilaksanakan. Mana­kala sesuatu yang dirasakan tidak bernilai akan di­jauhi, dibantah, dibenci dan ditinggalkannya.

Daripada asas nilai inilah terbentuknya konsep “pain and pleasure” yang kerap dikatakan oleh pakar-pakar psikologi. Apa yang dirasa­kan sebagai “pleasure” akan dibuat, sebaliknya apa yang dianggap “pain” akan ditinggalkan. Lama kelamaan asas nilai ini akan membentuk siri perbuatan yang dilazimi dari sesama ke semasa. Akhirnya, ter­bentuklah sikap atau tabiat.

Sikap atau tabiat ialah tenaga penggerak dalam diri yang menjadi sumber pembentukan tingkah laku. Maka ketika inilah lahirnya perbuatan, sama ada yang berbentuk positif atau negatif. Dan pada ketika ini barulah terserlah kebaikan atau “tembelang” seseorang. Maknanya, sesuatu perlakuan zina adalah dihasilkan oleh sistem keyakinan yang salah atau rapuh, yang menyebabkan terbentuknya paradigma atau “pandangan alam” yang serong, dan ini menghasilkan asas nilai yang salah, yang akhirnya terbentuklah sikap negatif yang melahirkan perlakuan zina.

Sekarang kita dapat bayangkan bagaimana satu perlakuan zina itu perlu melalui beberapa “proses” atau tahap sebelum ia dilakukan. Dan kita sebenarnya punya banyak peluang dan kesempatan untuk mencegah zina itu pada tahap-tahap tertentu sebelum ia beralih ke tahap yang sukar diatasi. Ertinya, kita mesti bermula daripada usaha me­nanamkan keyakinan, pandangan alam, asas nilai dan pem­bentukan sikap. Dan saya ingin tegaskan lagi, semua ini melibatkan proses pendidikan sama ada secara formal atau informal.

Sebab itulah ditegaskan, walaupun pada zahirnya zina berkisar pada persoalan sosial, namun akar masalah itu berpunca daripada soal pendidikan. Justeru, penyelesaian masalah tingkah laku manusia perlu ditangani dengan menerusi kaedah yang ber­sifat “dari dalam ke luar” (inside-out) bukan “dari luar ke dalam” (outside-in).

Malangnya,  pendekatan penyelesaian zina masa kini kurang atau gagal melihat secara tersirat tentang sesuatu pemasalahan. Berdepan dengan masalah zina kebanyakan kita hanya melihat hal-hal yang bersifat tersurat. Fokus kita hanya terbatas untuk menangani “presen­ting problem” yang bersifat luaran. Jarang kita mahu me­nyelam untuk mencari hakikat atau “the real problem” yang ber­sifat dalaman. Akibatnya, jalan penyelesaian yang kita pilih selalunya terfokus kepada soal-soal “kulit” yang bersifat ritual dan slogan, bukan lagi kepada soal isi atau “substance” sesuatu permasalahan.

Ini menjelaskan mengapa setelah sekian banyak undang-undang dikenakan, namun masalah sosial, VCD lucah, sumbang mahram, dadah, keruntuhan moral masih tidak dapat dibendung, malah semakin menjadi-jadi? Di mana salahnya? Tidak nafikan, undang-undang perlu dan pihak keselamatan perlu menguatkuasakannya, namun masih banyak ruang yang lopong untuk diatasi oleh pihak-pihak lain – yang kebanyakannya terfokus pada tindakan-tindakan yang bersifat proaktif. Jangan sampai pendekatan kita untuk menyelesai­kan masalah juga bermasalah…

Lebih-lebih lagi, kita sebagai umat Islam, sudah se­harus­nya tidak teraba-raba lagi dalam mencari jalan penyele­saian­nya. Langkah pertama dan utama kita seharusnya ber­mula dengan usaha menanamkan jiwa tauhid. Tauhid ialah asas pada sistem keyakinan peribadi setiap diri umat Islam. Tauhid yang kuat ialah sumber pembentuk sistem keyakinan yang mantap. Tauhid membekalkan satu kekuatan keyakinan (belief) yang luar biasa dalam diri manusia biasa. Dari sini­lah akan terbentuknya “tauhidic mind-set” yang mana sese­orang akan melihat segala-galanya dari kaca mata tauhid.

Tauhidic mind-set ini akan membentuk satu sistem nilai berasaskan syariat (peraturan) Allah. Yang mana halal, harus dan sunat dianggap bernilai – lalu dilaksanakan. Manakala yang haram dan makruh dianggap tidak bernilai – lalu ditinggalkan. Jadi, dalam Islam asas nilai adalah mutlak se­perti mutlak sistem keyakinan (tauhid).

Ini dengan sendirinya akan membentuk kod etika tingkah laku yang mengungkai semua halangan dalaman yang cuba meng­ganggu usaha ke arah kebaikan. Ia juga menyaring dan mendinding semua hasutan dan godaan dari luar. Tegasnya, tauhid ialah “ikatan” istimewa antara hamba dengan Tuhan ini akan menguatkan jiwa dan akal itu bagi membolehkan seseorang merdeka daripada belenggu hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada perlakuan jahat (zina).

Sebagai cermin perbandingan, bagi memahami bagaimana proses pemantapan tauhid ini dilaksanakan, kita perlu melihat bagaimana Rasulullah s.a.w. mencegah zina moral, seksual, sosial, ekonomi dalam budaya hidup Arab jahiliah. Perjuangan Baginda bermula dengan turunnya wahyu-wahyu di peringkat Makiyyah yang menekankan soal tauhid (keimanan).

Ini dilakukan melalui dua kaedah; Pertama  berdakwah (menyeru). Kedua mentarbiah (mendidik). Dengan dua kaedah ini Baginda mula membentuk sistem keyakinan diri yang berasaskan tauhid. Diajaknya manusia berfikir tentang alam yang pasti ada yang menjadikan (Tuhan). Kemudian dimantapkan lagi sifat-sifat kesempurnaan Tuhan, tentang adanya kehidupan selepas mati, syurga dan neraka.

Pada tahap ini, Rasulullah fokus sepenuhnya kepada soal “akar” dalam diri manusia. Sistem “pendawaian hati” yang ter­putus daripada Tuhan oleh pintasan syirik disambung semula. Dengan itu hati manusia bercahaya semula walaupun keadaan luaran (masyarakat jahilah) masih gelap-gelita.

Selepas itu bermulalah  tahap kedua dalam perjuangan Rasulullah yakni dengan turunnya ayat Quran yang me­ngandungi perintah suruh dan larang. Perintah ini membentuk sistem nilai dalam kehidupan sehari-hari. Misalnya, turunnya perintah pelaksanaan rukun Islam bagi menterjemahkan sistem keyakinan, pandangan alam dan asas nilai itu ke dalam bentuk perbuatan – solat, zakat, puasa dan lain-lain.

Disusuli kemudiannya dengan peraturan di bidang ekonomi, politik, pendidikan, sosial, perundangan dan lain-lain. Bersumberkan keyakinan (tauhid) dan berpandukan sistem peraturan (syariat) tertegaklah sistem-sistem hidup Islam di bidang ekonomi, pendidikan, sosial, perhubungan, politik dan lain-lain yang adil. Lihatlah bagaimana Rasul menyusun tertib perjuangan­nya berasaskan kebijaksanaan Baginda dalam memahami benar-benar tentang psikologi perlakuan manusia.

Justeru, sebagai renungan, marilah sama-sama kita ber­tanya diri masing-masing… sejauh manakah usaha kita menanamkan soal keyakinan, terutamanya soal tauhid dalam diri anak-anak kita? Maksud saya bukan tauhid hafalan atau pengetahuan tetapi tauhid penghayatan dan amalan. Soalnya, bersediakah pakar-pakar dalam bidang pendidikan dunia Islam melihat perkara ini dengan lebih kritis, adil dan pro­fesional?

Mampukah mereka membentuk satu kurikulum pelajaran dan pendidikan yang meletakkan input tauhid dan sains misalnya, dalam satu wadah yang sama? Dapatkah dasar pendidikan Islam dibentuk dengan meletakkan elemen tauhid dan sains pada satu paksi yang sama?

Hingga dengan itu para ustaz mampu mengajar sains dan guru sains pula boleh mengajar tauhid? Hingga dengan itu, mata pelajaran agama tidak “kering” atau “beku” nilai-nilai aqliahnya justeru disiram oleh fakta dan hujah saintifik. Manakala subjek sains tidak dibiarkan “bebas” daripada nilai rohani, bila diikat oleh roh tauhid?

Sejauh mana pula kita sebagai ibu bapa telah membentuk “pandangan alam” atau world view yang tepat dalam diri anak-anak? Sejauh mana pula kita berusaha mengukuhkan sistem nilai yang padu dalam diri generasi hari ini? Dan sudahkah para ibu bapa mengajar dan mendidik anak-anak kita tentang nilai jujur, integriti, sabar, syukur, amanah dan sebagainya?

Ya, mungkin inilah antara cabaran utama bangsa Melayu untuk menyelesaikan masalah zina mengguna­kan kaedah Islam. Masalah yang selalu menghantui umat Islam ialah mereka sendiri sama ada tidak faham ataupun salah faham terhadap Islam. Kemelut kita ini tidak boleh hanya di­selesai­kan dengan slogan yang kerap didengar – marilah kembali kepada Islam!

Oleh: Pahrol Mohamad Juoi

Tags:

No Comments

    Leave a reply