Anwar mengakui, berdasarkan peraturan parti kalau seseorang pemimpin itu tidak hadir mesyuarat tiga kali berturut-turut tanpa sebab, gugur jawatannya.

“Kadang kala orang cuba beri sebab, jadi Lembaga Disiplin kena siasat sebab itu betul atau tidak,” katanya.

Katanya, setiap pemimpin parti perlu menghadiri mesyuarat dan itu sudah mememadai.

“Esok kita ada mesyuarat pimpinan tertinggi parti, mesyuarat bulanan dan selang seminggu, mesyuarat Biro Politik. Jadi, semua pimpinan diminta hadir,” katanya.

Anwar diminta mengulas tindakan Mohamed Azmin dan beberapa pemimpin PKR yang dilihat memihak kepadanya yang sekali lagi tidak hadir pada mesyuarat parti itu yang dipengerusikan Anwar semalam.

Ketikdakhadiran mereka pada beberapa mesyuarat parti itu sebelum ini dikaitkan dengan pergesaran dalaman, melibatkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Namun Anwar menafikan dakwaan wujud dua kem dalam PKR, sebaliknya mengatakan itu hanya persepsi media. -UTUSAN ONLINE