Berguru dalami ilmu tajwid

Membaca al-Quran dengan tertib, termasuk memastikan sebutan huruf atau makhraj tepat, mengetahui keadaan perlu mendengungkan atau menghentikan bacaan serta dan hukum panjang pendek antara asas penting dalam ilmu tajwid.

Ia bertepatan nasihat ulama terkenal, Allahyarham Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz yang menyarankan umat Islam supaya mengambil inisiatif mempelajari tajwid bukan sahaja menjaga kemuliaan al-Quran, bahkan mengelakkan daripada dosa kerana sengaja mengabai, melanggar dan meninggalkan kaedah membaca dengan betul.

Hukum mempelajari tajwid ialah fardu kifayah, tetapi setiap orang Islam wajib membaca al-Quran dengan betul.

Firman Allah SWT: “Dan bacalah al-Quran dengan tartil.” (Al-Muzammil: 4)

 Rasulullah SAW sendiri amat mencintai umatnya yang membaca al-Quran secara tartil yang dijelaskan oleh Saidina Ali Abi Talib RA sebagai mentajwidkan huruf dan mengetahui tempat berhenti.

Tajwid menurut bahasa adalah memperelokkan, manakala daripada istilah adalah memberikan hak kepada setiap huruf sama ada tempat keluar, sifat, dengung atau panjang-pendek.

Kitab al-Itqan fi Ulum al-Quran karya Imam Jalaluddin al-Suyuti menjelaskan bahawa kita perlu mengucapkan huruf menurut haknya secara tertib dengan setiap huruf diucapkan mengikut makhraj dan keaslian serta menuturkan secara sempurna, bukan dengan paksaan.

Menurut Imam al-Suyuti lagi, memahami erti al-Quran, membaca lafaz dan menurut hurufnya dengan betul yang diterima daripada ulama al-Quran bersambung kepada Rasulullah SAW akan diberikan pahala.

Hakikat itu menunjukkan ia bukan semata-mata ijtihad ulama, sebaliknya diambil terus melalui riwayat dan sumber asal, iaitu sebutan serta bacaan Rasulullah SAW.

Perkembangan ilmu itu berlaku sejak zaman Rasulullah SAW dan sahabat yang mewariskan bacaan al-Quran kepada generasi umat Islam selepasnya.

Pendakwah, Mohd Shahrul Rabbani, berkata walaupun ilmu tajwid bermula sejak al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW, penulisan ilmu tajwid terawal bermula pada zaman Saidina Uthman Affan RA.

“Pada masa itu, kesedaran mengenai keperluan titik dan baris dalam Mushaf Uthmaniyyah timbul.

“Abu Aswad ad-Duali dan al-Khalil Ahmad al-Farahidi ditugaskan Uthman untuk meletakkan baris serta titik bagi mengelakkan umat Islam melakukan kesalahan ketika membaca ayat al-Quran,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Mohd Shahrul yang juga pengajar di Al Ikhasiah Quran and Learning Centre berkata, ketika itu enam mushaf ditulis pada zaman pemerintahan Uthman tidak mempunyai baris dan titik kerana kebanyakan sahabat menghafaz al-Quran dan membacanya seperti disebut Rasulullah SAW.

Beliau berkata, ilmu tajwid terus berkembang selari dengan penyebaran Islam ke seluruh pelosok dunia.

“Selepas Islam berkembang ke seluruh Tanah Arab dan tersebar hingga Rom dan Parsi, bahasa Arab mula bercampur-aduk dengan bahasa lain yang menyebabkan berlaku pelbagai kesalahan bahasa, termasuk dalam bacaan al-Quran.

“Maka, Mushaf Uthmaniyyah ‘dinaik taraf’ dengan menambah baris dan titik pada huruf seperti yang kita baca hari ini,” katanya.

Mohd Shahrul berkata, karangan ilmu tajwid terawal ialah tulisan Abu Mazahim al-Haqani yang dibuat dalam bentuk qasidah pada penghujung abad ke-3 Hijrah (H).

“Selepas itu, muncul ulama lain seperti Abu ‘Amr Ad-Dani dengan kitabnya al-Taysir dan Imam al-Syatibi melalui Hirzul Amani Wa Wajhut Tajwid Tahani yang menjadi tonggak kepada ulama sezaman mahupun selepasnya.

“Melalui tokoh awal ini, ilmu tajwid dan qiraat muncul dalam bentuk karangan dan perbahasan,” katanya.

Beliau berkata, antara tokoh penting dalam ilmu ialah Imam al-Jazari yang wafat pada 833 H dan masyhur dengan karya seperti al-Nasyr, Toyyibah al-Nasyr serta al-Durrah al-Mudhiyyah.

“Beliau juga mewariskan karangannya yang begitu banyak berserta kaedah bacaan yang menjadi panduan ilmuwan dan umat Islam hingga ke hari ini,” katanya.

Tambahnya, mempelajari ilmu tajwid dituntut bagi setiap Muslim kerana melaluinya dapat menjaga lidah daripada melakukan kesilapan ketika membaca al-Quran.

“Ada banyak manfaat mempelajarinya termasuk mengenali secara tepat bunyi dan sifat huruf betul, selain memahami hukum berkaitan dengan panjang dan pendek setiap huruf.

“Bacaan baik juga akan menarik aura positif bukan sahaja bagi pembacanya, bahkan turut terkesan bagi pendengar,” katanya.

Beliau juga menasihati masyarakat supaya mencari guru muktabar dan belajar secara bertalaqqi (bertemu dan mempelajari secara langsung dengan guru) untuk meraih pemahaman secara mendalam.

“Mulakan dengan mempelajari hukum asas seperti huruf mad dan hukum nun sukun, tanwin serta mim sukun, selain jenis mad.

“Di sini pentingnya untuk mendapatkan penerangan khusus daripada guru al-Quran, sekali gus lebih praktikal bagi mereka yang sentiasa berusaha untuk membaca al-Quran dengan bacaan terbaik,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply