CUKUP-CUKUPLAH RAKYAT DIBULI (AKHIR)

KECOH  politik Malaysia belum kelihatan ada petunjuk akan segera berakhir. Kekusutan yang berlaku pada akhir Februari lalu nampaknya menjadi semakin bersimpang-siur. Simpang-siur yang direntakkan oleh dua pemimpin- seorang meletakkan jawatan dan seorang lagi yang menunggu terlalu lama (1998-2020) makin ‘menggila’ untuk memaksa pilihan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong (SPYDA) digelongsorkan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ke-8 yang dipilih secara sah dalam penentuan garis ‘keyakinan majoriti’ antara keseluruhan wakil rakyat menerusi ‘pertemuan’ dengan SPBYDA. Beliau menjadi sasaran untuk dinafikan kesahihannya. Kelibat Dr Mahathir yang dilabelkan sebagai ‘terminator’ cukup jelas manakala Anwar yang mendapat jolokan berperangai Sisyshipus (dalam mitos Greek) berpetualang sebagai anarkis besar.

Gelaran Dr Mahathir sebagai ‘terminator’ telah diterangkan secara menarik oleh Joceline Tan  dalam akhbar The Star, 8 Mei 2020 (The Knives Are Out in Bersatu) manakala gelaran Anwar umpama Sisyphus diulas begitu menarik oleh Dr Rahman Shaari, Tingkah Politik (2009). Menariknya, buku Rahman Shaari itu diterbitkan pada 8 Mei 2009, iaitu sebelas tahun sebelum Pakatan Harapan menyambut ulang tahun ke-2 kemenangannya dalam PRU ke-14 (9 Mei 2018).

Analisis Pengaruh

Dua watak itu – Mahathir dan Anwar, yang secara ringkasnya  dijelaskan sebagai ‘pengkhianat politik Melayu-Islam—cukup hidup dengan aliran pemikiran politik ‘samseng’, ‘tamak’ dan ‘gila kuasa’ . Sifat itu telah digagaskan oleh Nicolo Machiavelli: Matlamat Menghalalkan Cara (The Prince, 1513 dan Quentim Skinner, Machiavelli: Pengenalan Ringkas, 2015). Ia bertentangan dengan konsep politik mulia yang disandarkan oleh pemikir-pemikir politik Islam, termasuk Al-Ghazali (1058-1111) mahupun ‘role model’ Nabi Muhammad SAW (Dr Abdul Aziz, Chefdom Madinah, 2011).

Sistem pemerintahan Islam berhadapan dengan gugatan dalam kalangan penganut Islam, termasuk ketika Dinasti Abbasiyyah (750-1258), iaitu dinasti kedua selepas Dinasti Umayyah.  Ketika itu muncul pelbagai aliran pemikiran yang saling membentuk hegemoninya dan bertelagah merebut kuasa (Mur’jiah, Syiah dan Muktazilah). Bukan Islam juga turut menyelinap masuk dalam pelbagai aliran pemikiran falsafah, rasional dan sekterian. (Alies Anor Abdul, Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia, 2017).

Krisis politik Islam sudah bermula  di hari wafatnya Nabi Muhammad SAW. Akibat di mana tidak ada pengganti yang ditunjukkan lebih awal, satu mesyuarat telah dibuat di Saqifah Bani Sa’idah untuk mencari pengganti, namun ia dapat dikesan oleh sahabat nabi yang paling dekat. Ia dilihat sebagai satu bentuk ‘krisis perlembagaan’. (Prof. Alaidin Koto, “Doktrin Politik Sunni”, 2017; Mohd El-Moctar El-Shinqiti, Pertelingkahan Politik Dalam Kalangan Para Sahabat, 2019 dan Nasihun Amin, Paradigma Teologi Politik Sunni, 2015).

Di Malaysia, perubahan kerajaan negeri Perak pada tahun 2009 turut membabitkan konflik undang-undang apabila pemimpin DAP enggan menerima kuasa ‘budi bicara Paduka Sultan Perak’. DAP ketika itu adalah parti yang dominan, cuba mempertikaikan perihal “Menteri Besar adalah dalam kalangan mereka yang beragama Islam”. Keenganan Paduka Sultan Perak itu dilihat bercanggah dengan keputusan demokrasi yang meletakkan ‘keputusan majoriti sebagai penentu’ tanpa melihat apa yang disyaratkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak atau dikenali Undang-Undang 99 Perak.

Di peringkat Persekutuan, berlaku ketika Dr Mahathir  meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 24 Februari 2020, selepas memegang jawatan tersebut mulai 10 Mac 2018. Dr Mahathir masih merasakan bahawa beliau mempunyai ‘keyakinan majoriti’.

Sebaik sahaja menghantar surat peletakan jawatan, SPBYDA melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sehingga calon Perdana Menteri sebenar dapat diperoleh. Ia bagi mengelakkan situasi tanpa kuasa eksekutif, yang boleh menjejaskan perjalanan pentadbiran negara. Ia menjadi sesuatu yang normal dalam mana-mana negara, Perdana Menteri (dalam konteks negara yang diketuai oleh presiden seperti Singapura) atau presiden di negara yang menjadikan Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif (contoh India).

Atau Raja bagi negara yang masih mengamalkan sistem monarki (Jepun, Thailand, England dan Malaysia). Ia berbeza dengan negara-negara Arab (Arab Saudi, UEA, Qatar dan Kuwait) kerana negara-negara itu tidak menggunakan kaedah pilihan raya dalam menentukan kuasa eksekutif. Kuasa raja adalah mutlak.

analisis pengaruh pra PN

Pada ketika itu, dua kelompok masing-masing mndakwa ada majoriti yang mencukupi: iaitu mereka yang masih mahukan Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri dan pendokong Anwar. Ia kemudian disatukan dengan menyatakan bahawa  Dr Mahathir ada ‘keyakinan majoriti’ dan berhak untuk kekal sebagai Perdana Menteri semula. Ia tidak ditetapkan sampai bila dan tidak juga membawa maksud, berakhirnya penantian panjang Anwar. Masih dilihat sebagai langkah untuk mengawal konflik dan mengelakkan krisis lebih besar.

Kelompok pro-Anwar pada awalnya (sebelum Langkah Sheraton) telah memberikan satu ketetapan, bahawa Mahathir perlu melakukan ‘proses peralihan kuasa’ pada atau sebelum 10 Mei 2020, iaitu dua tahun selepas kemenangan Pakatan Harapan. Kelompok ini dikenali sebagai Otai Reformasi.

Dr Mahathir diterima secara konsensus sebagai Perdana Menteri menerusi ‘satu perjanjian’ dengan Anwar dan dikatakan dipersetujui oleh Majlis Pakatan Harapan. Mahathir adalah Perdana Menteri sementara disebabkan Anwar masih dalam tahanan. Sekiranya, semua proses ‘pembebasan’ dan ‘pengampunan’ selesai, Mahathir akan menyerahkan kuasa itu kepada Anwar.

Awalnya diletakkan tempoh tentatif selama enam bulan, kemudiannya dilanjutkan selama setahun. Mahathir menyatakan ia memerlukan masa yang lebih panjang kerana perlu memulihkan semula kerosakan yang berlaku di zaman BN.

Anwar mendapat pengampunan penuh tanpa syarat  pada 16 Mei 2018. Bagaimanapun, Anwar terlebih dahulu perlu bergelar wakil rakyat terlebih dahulu dan pada 13 Oktober 2018,  menang dalam PRK Port Dickson. Anwar mengangkat sumpah di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2018.

Sejak itu, bermulalah pelbagai desakan agar Dr Mahathir cepat melakukan ‘peralihan kuasa’. Terkesan oleh desakan tersebut, PAS dan UMNO tidak bersetuju.  PAS dan UMNO bertemu dengan Dr Mahathir untuk menyatakan sokongan agar Dr Mahathir agar terus memimpin pentadbiran negara sehingga tamat tempoh selama lima tahun atau sehingga PRU ke-15.

Pendirian dua parti Melayu-Islam yang ‘bersebelahan’ itu menimbulkan reaksi marah beberapa pemimpin politik dalam Pakatan Harapan. DAP, walaupun tidak menunjukkan reaksi lantang secara rasmi, pemimpin-pemimpinnya mula melancarkan propaganda menentang Dr Mahathir. Mereka mendesak agar proses peralihan kuasa itu dipercepatkan dan ada di antaranya menggelarkan Dr Mahathir sebagai ‘harimau kertas’. (Ronnie Liu, “Mahathir: The Paper Tiger”, Malaysiakini, 22 Oktober 2019).

PAS dan BN kemudiannya melancarkan pemuafakatan politik yang dikenali sebagai Muafakat Nasional sebagai persiapan untuk menghadapi PRU ke-15 ( September 2019 di PWTC) dan akan berhadapan dengan PH secara langsung, tiada lagi pertembungan antara mereka. Muafakat itu ditentang oleh DAP. Lim Guan Eng menamakan “permulaan gendang perang terhadap bukan Melayu’ manakala Nga Kor Ming menyifatkannya seumpama pemerintahan Taliban. Mahathir menyindir, UMNO telah dapat diislamkan oleh PAS.

Polemik itu menjadi semakin panas ketika berlangsungnya Kongres Maruah Melayu (1 Oktober 2019) yang dianjurkan oleh empat buah IPTA dan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan di Stadium Melawati, Selangor. Mahathir diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan perdana dan ia turut dihadiri oleh pemimpin PAS dan UMNO.

Kehadiran Dr Mahathir dilihat bertentangan dengan semangat Malaysia Baharu kerana membawa agenda Melayu. DAP menjadi sedikit lantang sehingga mencabar PH dengan mempersoalkan apakah jika masyarakat Cina berbuat perkara yang sama akan mendapat sokongan kerajaan. Anwar juga menunjukkan keghairahannya dengan menganjurkan majlis yang hampir sama di Bangi menerusi badan-badan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan beliau.

Ia kemudiannya berkembang ke fasa yang lebih kritikal. Beberapa orang pemimpin PKR secara terbuka mendesak Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagaimana dijanjikan kerana matlamat utama untuk ‘menamatkan penguasaan BN’ dan ‘menjatuhkan Najib’ sudah tercapai. Antara mereka yang lantang ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR), Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR); Rafizi Ramli’ dan Dr Syed Hussin Ali.

Beberapa siri forum (forum Should Malaysia wait until November for transition? yang disertai oleh empat Ahli Parlimen PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, William Leong, Wong Chen dan Chang Lih Kang berlangsung pada 13 Januari 2020 dan di Restoran Amjal, Bangsar pada 21 Januari 2020). Garis masa di  ke arah itu turut telah ditetapkan manakala satu bentuk ‘countdown’ dimulai oleh Otai Reformasi (Malaysia Gazette, 21 Januari 2020; Harakah Daily, 20 Januari 2020).

Anwar turut mendesak agar desakan untuk Dr Mahathir mempercepatkan ‘peralihan kuasa dihentikan segera’ dan bersedia menunggu mengikut keselesaan Dr Mahathir sendiri. Beliau dikatakan tidak terdesak untuk menjadi Perdana Menteri atas alasan, tidak mahu proses peralihan kuasa itu berlaku dalam keadaan yang tidak harmoni atau kelam kabut. (Berita Harian, 15 Februari 2020).

Bagaimanapun, ramai pemerhati politik memberikan pandangan di sebaliknya. Anwar berhati-hati kerana ‘tidak mahu kali ini terlepas’. Anwar juga sedar, Mahathir akan menjadi lebih ‘bahaya’ sekiranya beliau didesak. Mahathir adalah seorang ahli politik yang cekap dan licik, boleh bertindak lebih keras sekiranya Anwar memperlihatkan sikapnya yang sebenar atau tidak sabar menunggu.

Anwar pula sedang berhadapan dengan siasatan melakukan ‘gangguan seksual’ oleh cucu (Yusuf Rawather) kepada pengasas Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam. Kejadian itu dikatakan berlaku di rumah Anwar di Segambut. Yusuf dikatakan telah ditawarkan pekerjaan oleh Anwar selepas kedua mereka bertemu. Anwar datang menziarahi keluarga Allahyarham SM Idris.  Kes tersebut tidak dipanjangkan ke peringkat pengadilan, tetapi Yusuf tetap bertegas ia ‘benar-benar berlaku’. (Malaysiakini, 4 Disember 2019)

Tindakan mendesak ‘peralihan kuasa’ tidak dipersetujui oleh kelompok PKR yang berpihak kepada Azmin Ali. Azmin Ali mempertahankan pendirianya bahawa Dr Mahathir perlu diberikan peluang untuk mentadbir Malaysia Baharu sekurang-kurangnya sepenggal. Perseteruannya Anwar bukanlah perkara baharu, ia mungkin bermula sejak Anwar berusaha menyekat pencalonannya untuk merebut jawatan Presiden PKR yang dipegang oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Apabila Anwar mendapat maklumat Azmin sedia mencabar, diberitahu bahawa beliau sendiri akan bersedia bertanding melawan isterinya. Bagaimanapun, Anwar tidak melakukan hal itu. Ia hanya sekadar menggertak Azmin. Sekatan itu dikenali sebagai “Segambut Move” yang bermaksud ‘kepentingan anak dan isteri perlu dijaga, maka skrip ditulis, suami perlu dilihat menentang isteri.” (Irwan Muhamad Zain, Sampai Bila Azmin Perlu Mengalah?Astro Awani, 30 Mac 2014).”

Percaturan itu seumpama “maharaja lawak dalam politik PKR”. Ia terus meloyakan dan membingkaikan budaya politik Anwar, politik kroni dan keluarga. Ia seolah-olah mengesahkan platform sebenar PKR, iaitu menjaga dinasti keluarga Anwar kerana dalam PKR dimonopoli oleh ayah-ibu-anak. Umpama iklan ubat batuk, ibu dan anak.

Agak sinikal, bila ada yang berkata “nasib baik Anwar tidak mempunyai anak-anak lelaki yang boleh ditonjolkan untuk menyertai politik” manakala seorang lagi anak perempuan Anwar-Azizah pernah disebut-sebut bakal dicalonkan dalam PRU ke-13. Ia tidak menjadi kenyataan, hanya Nurul Izzah kekal.

Konflik Azmin-Anwar menjadi semakin ‘menggila’ apabila beberapa orang yang tidak sehaluan dengan Anwar dilantik oleh Dr Mahathir menduduki barisan kabinet Malaysia Baharu. Azmin dipilih sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Pemilihan itu dikatakan kurang dipersetujui oleh Anwar dengan alasan Azmin sudah pun mengangkat sumpah jawatan untuk kekal di Selangor sebagai Menteri Besar.

Azmin menjadi pilihan Sultan Selangor selepas nama Wan Azizah ditolak. Percaturan yang bermula dengan Langkah Kajang itu telah melebarkan persengketaan mereka berdua. Anwar yang berhasrat meniru kisah kejayaan Jokowi (dari penguasaan sebuah bandar raya kepada pemilihan Presiden) dan juga Recep Tayyib Erdogan (dari Datuk Bandar Istanbul ke Perdana Menteri dan seterusnyaPresiden Turki) berhasrat menjadikan Kajang sebagai langkah memperluaskan kuasanya di Selangor dan seterusnya di peringkat persekutuan.

Anwar akhirnya sedar kemungkinan yang lain, dan tidak mencalonkan dirinya merebut kerusi DUN Kajang. Tempatnya digantikan oleh isterinya, Wan Azizah Wan Ismail yang sudah pun terlepas edah (akibat mengosongkan kerusi Permatang Pauh (2008) untuk membolehkan Anwar kembali ke Parlimen dalam episod Road to Putrajaya selepas PRU ke-12). Halangan Anwar itu berasaskan kepada dua sebab.

Pertama, ialah kemungkinan Anwar didapati bersalah dalam kes Semburit II (2007) yang dalam proses perbicaraan. Anwar terpaksa digantikan oleh isterinya, sebagai calon PRK DUN Kajang (11 Mac 2014). Kedua, Wan Azizah dicalonkan sebagai pengganti Khalid Ibrahim.

Saga penggantian Menteri Besar itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh PAS. Alasan PAS ialah mereka bersetuju Khalid Ibrahim dan bukan Wan Azizah, maka perlu diberikan pilihan ke atas nama lain. Setelah dikemukakan dua nama, Wan Azizah dan Azmin Ali, Sultan Selangor memilih Azmin. Wan Azizah dikatakan mendapat sokongan daripada ADUN DAP dan sebahagian wakil rakyat PAS selain PKR. Ia turut memulakan konflik dalaman PAS. (“Kronologi Krisis Menteri Besar Selangor“, Sinar Harian, 18 September 2014).

Azmin tidak bersetuju Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Akibat perseteruan itu, timbul pula perang ‘pembunuhan karakter’, Azmin diserang dengan video semburit (siapa sebenarnya menyebarkan video tersebut tidak didedahkan oleh Azmin walaupun beliau pernah berkata: Saya tahu dalangnya). Video itu dirakamkan di sebuah hotel di Sandakan ketika kempen PRK Sandakan. Salah seorang pelaku membuat pengakuan manakala seorang lagi ‘mirip Azmin’ terus menafikan pembabitannya. PRK Sandakan diadakan pada 11 Mei 2019.

Selepas episod itu, Azmin juga dikatakan enggan menghadiri beberapa majlis yang dianjurkan oleh Anwar termasuk pemukiman di Port Dickson (19 Julai 2019) dan beberapa mesyuarat parti. Kes yang didakwa membabitkan Azmin itu mendapat ‘pembelaan’ daripada Dr Mahathir. Kes tersebut dianggap selesai apabila PDRM membuat kenyataan “video tulen tetapi pelakunya tidak dapat dikenal pasti”.

Langkah Sheraton (23 Februari 2020) merupakan kemuncak pergeseran dan akhirnya Pakatan Harapan  tersungkur tanpa membabitkan ‘rampasan kuasa secara fizikal’. Majlis tersebut dikatakan sebagai ‘grand design’ untuk mengetepikan Anwar. Ia turut disertai UMNO, PAS, penyokong-penyokong Azmin dan beberapa orang wakil parti dari Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir dikatakan akan membuat pengumuman penting di akhir perjumpaan pada hari tersebut, namun, apa yang menggemparkan, Dr Mahathir menghantar surat meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020. Ia mengakhiri episod pentadbiran Pakatan Harapan. PH hanya berkuasa selama 22 bulan. Kesannya, secara automatik barisan kabinet yang dipilih oleh Dr Mahathir terbubar. Ini bermakna, hanyat PH dimatikan sendiri oleh pemimpin PH, bukan daripada ‘gerakan’ dari luar. Mahathir ‘membunuh’ mandat rakyat. Mahathir telah membuli kuasa yang diberikan oleh rakyat.

Analisis Pengaruh PN

PKR dan PPBM berpecah. Kumpulan yang menyokong Muhyiddin lebih ramai menyebabkan Dr Mahathir terkontang-konteng. 10 orang pemimpin PKR berpihak kepada Azmin dan  Azmin dituduh sebagai pengkhianat. Azmin kemudiannya dipecat daripada PKR. Perpecahan itu menyebabkan keanggotaan PKR tinggal 40 (asal 50 kerusi) dan PPBM pro Mahathir sebanyak 4 kerusi (asal 26, termasuk penyertaan wakil rakyat UMNO yang keluar parti).

Berdasarkan  SSP Analytics, kedudukan terakhir (8 Mei 2020),  wakil rakyat PH (pro Mahathir-Anwar) ialah 107 (DAP 42, Bersatu (pro Mahathir) 4, PAN 11, Warisan 9 dan UPKO 1). Wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin ialah 115 (BN 42, PAS 18, GPS 19, Bersatu (Muhyiddin) 32 dan Lain-lain 4 (Bebas, PBRS, PBS dan STAR). Jika analisis ini kekal, usul yang dikemukakan oleh Dr Mahathir ‘undi tidak percaya’ dilihat akan gagal.

Berjaya atau gagal untuk menyingkirkan Muhyiddin pada 18 Mei 2020 adalah bergantung kepada ‘budi bicara Yang di Pertuan Dewan Rakyat’ untuk membahaskannya. Dari segi prinsip, usul tersebut telah diterima bersama-sama usul ‘melanjutkan tempoh Sidang Dewan Rakyat dari satu hari kepada lapan hari’.Bagaimanapun, dalam kenyataan awal, Sidang Dewan akan tetap akan berlangsung selama satu hari. Ia hanya memberikan laluan Titah Pembukaan Sidang Dewan, pelantikan Jawatankuasa dan urusan kerajaan (termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2016).

Dalam tempoh seminggu ini, masih banyak perkara boleh berlaku. Pertama ialah kemungkinan ‘pertukaran kerajaan di Kedah’ yang bakal menyaksikan Mukhriz sekali lagi terpaksa berundur dari jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah. Kali pertama, Mukhriz berundur akibat ‘undi tidak percaya’ kerana menyokong ayahnya, Dr Mahathir menentang Najib dan kepimpinan BN.

Mukhriz ditamatkan kurang daripada tiga tahun (6 Mei 2014-3 Februari 2016). Jika ini berlaku, kali ini, Mukhriz sebagai Timbalan Presiden Bersatu alami situasi yang lebih mencabar dan hanya kekal sebagai Menteri Besar di bawah Pakatan Harapan sekitar dua tahun.

Analisis Pengaruh Penyokongan

Muhyiddin dijangka akan memberikan tekanan kepada Mukhriz ekoran usul “undi tidak percaya’ yang dibawa oleh Dr Mahathir. Setia Usaha Agong PAS dilaporkan sudah bermesyuarat dan berbincang mengenai kemungkinan tersebut. PAS akan memainkan peranan untuk menuntut ‘keyakinan majoriti’ berdasarkan jumlah kerusi yang dipunyainya. Ia bakal melengkapkan perubahan pucuk pimpinan yang sudah pun berlaku di Johor, Perak dan Melaka setelah Muhyiddin menjalinkan kerjasama menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Gandingan M&A memulakan serangan menuduh bahawa pelantikan Muhyiddin sebagai ‘tidak sah’ selepas istilah ‘kerajaan pintu belakang’ mendapat reaksi balas oleh ramai pihak. DAP terus memainkan peranannya untuk melaga-lagakan ‘permainan politik’ tersebut, kerana selagi orang Melayu-Islam tidak bersatu, ia akan menguntungkannya.

Namun, rakyat melihat agitasi dan anarkisme yang dimulakan oleh M&A sebagai suatu percubaan membuli rakyat, walaupun apa alasan sekali pun dibentangkan. Rakyat sudah ‘membenci Pakatan Harapan’ apatah lagi dengan sikap ‘utamakan kepentingan ekonomi’ telah menyebabkan rakyat terpaksa hidup dalam emosi terkurung. COVID-19 menjadi asas penolakan yang kuat.

PH dikatakan tidak serius membendung jangkitan itu di peringkat awal, bahkan, kata-kata Dr Mahathir ‘di mana akan diletakkan 2 juta pelancong dari China’; kebenaran menganjurkan perhimpunan tabligh di Sri Petaling; percubaan membatalkan elaun kritikal; pemberian e-wallet RM 30;  dan paling diingati ialah ‘pembohongan hutang negara’.

Selepas meletakkan jawatan, Dr Mahathir berkata kewangan negara kukuh dan ada simpanan berjumlah RM 2 trilion. Ini membuktikan bahawa ekonomi Malaysia ‘tidak bangkrap’ dan tidak sepatutnya rakyat disaran mengikat perut.

Ironinya, selama 22 bulan PH memerintah, hutang negara bertambah. Rakyat mula bertanya, apakah RM 800 bilion yang dikumpulkan selama 22 bulan itu sebahagiannya merupakan hutang (dalam dan luar negara) yang dibuat? Apakah sebahagian lagi adalah daripada jumlah yang terkumpul setelah menjual aset secara ‘berjemaah’?.

Kesemuanya itu melakarkan imej buruk dan sikap sebenar dua orang yang hampir ‘tidak boleh dipercayai’, iaitu Dr Mahathir dan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan (Najib menggelarnya  Menteri Kewayangan).

Sama ada ‘undi tidak percaya’ terhadap Muhyiddin berjaya diluluskan atau gagal, apa yang difahami bahawa PPBM akan menjadi semakin ‘kerdil’ dan Dr Mahathir akan kekal sebagai ‘terminator’. Meskipun ada yang mengatakan, tindakan Dr Mahathir mengemukakan usul tersebut sebagai ‘strategi’ untuk ‘mematikan ego DAP dan Anwar’, ia akan dapat dilihat daripada rentak dan tindakan yang akan berlaku selanjutnya.

Muhyiddin VS Mahathir

Dr Mahathir dikatakan amat terdesak dengan kemahuan DAP dan Anwar. Jika dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berjaya ‘membunuh tiga mangsa’, (1) menangguhkan hasrat Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 dan meletakkannya semula kepada posisi Perdana Menteri menunggu untuk tempoh lebih lama; (2) menyingkirkan secara halus pengaruh DAP dalam kepimpinan negara; dan (3) mengakui semula keperluan untuk menegakkan kepimpinan Melayu-Islam menerusi Perikatan Nasional.

Namun, sebagai seorang ‘pejuang’ Dr Mahathir tidak boleh mempamerkan hakikat itu secara jelas, ia perlu dilihat secara berhati-hati dan halus. Sebab itulah Dr Mahathir dikatakan enggan berjumpa dan berbincang dengan Muhyiddin, kerana beliau merancang mewujudkan jarak agar tidak dituduh ‘belot’ atau pemusnah idealisme Pakatan Harapan.

Lim Kit Siang semakin tercabar, janjinya akan bersara perlu ditunaikan kerana Dr Mahathir sudah jelas tidak menunaikan janjinya, menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. Anwar bukanlah pengganti Dr Mahathir. Anwar hanyalah alat yang digunakan oleh Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib dan menghalang penguasaan BN.

mahathir pengkhianat

Pengagum Dr Mahathir tetap percaya bahawa apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir dengan ‘mengorbankan diri sendiri’ adalah sebagai suatu tindakan yang luhur dan wajar.

Ia secara tersembunyi membuktikan bahawa Dr Mahathir adalah seorang negarawan yang masih berperanan untuk menyedarkan orang Melayu-Islam bahawa nilai-nilai Kemelayuan wajib dipertahankan secara bijaksana, bukan hanya timbul secara retorik dan propaganda. Ia perlukan dilakukan menerusi sebuah pengorbanan yang besar, termasuk mengorbankan diri sendiri dan rakan-rakan atas ‘ketololan’ menyokong tanpa strategi.

Kita perlu menilai pengorbanan itu bukan sekadar apa yang dipertontonkan, dan perlu mencari makna yang tersirat di sebalik tindakan dan pemerihalan yang jelek. Ini kerana sejarah banyak mengajar kita bahawa ‘mereka yang gila’ itulah benar-benar ‘mencipta sejarah’; sejarah yang akan dinilai bertahun-tahun selepas kematiannya.

Seperti apa sahaja yang dilihat ‘dangkal, bodoh atau poyo’ pada hari ini, tidak akan kekal seperti itu untuk selama-lamanya. Ada yang berkata, pemikiran Dr Mahathir ‘melangkau masa’ maka ‘kegilaan’nya itu akan dilihat sebagai ‘suatu kebijaksanaan politik’ pada masa hadapan.

Namun, penilaian itu hanya timbul dalam kalangan mereka yang ‘gemar’ kepada sesuatu yang mencabar, bukan dalam kalangan pemikir yang hanya tahu ‘bercakap tapi tidak bertindak tegas’. Sebenarnya, dalam diri Dr Mahathir terlalu paradoks, sebahagiannya menyebabkan rakyat terasa peritnya dibuli.

Sebahagian lagi ialah ‘kekentalan semangat juang’ biarpun dilihat tidak bermoral kerana moral itu juga seringkali berubah dan bercanggah.

ANWAR (2)

Lantuman paradoks itulah pada suatu hari akan menyedarkan orang Melayu untuk bertindak, bukan lagi bercakap-cakap seperti ‘burung nuri’ kerana ‘helang dan gagak’ terus membina koloninya dan menjadi semakin rakus.

Semangat itulah yang ingin digerakkan dari jiwa Dr Mahathir yang anarkis dan tidak selesa dengan egalitarian.

Dr Mahathir sekarang sedang ‘menajamkan mata gergaji’ tetapi belum sampai tahap kebijaksanaan sebagai seorang pemimpin. Proses itulah bakal melengkapkan tabiat manusia yang paling berkesan kepada sebahagian orang, dengan kesanggupan tinggi mengorbankan diri sendiri.

Dalam perjuangan itu, ia akan dilihat ‘tamak’ dan ‘berdendam’ tapi itulah jalannya untuk mencapai kebijaksanaan dalam teori kepimpinan Stephen R Covey.

Berjaya atau gagal, Dr Mahathir akan tetap lakukan. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, meskipun sendiri terluka dan ramai orang terluka. Ironinya, ramai yang mahukan Mahathir dan Anwar tidak lagi perlu mencaturkan politik kerana mereka berdua terlalu banyak liabiliti.

Bagasi bangsa sudah teramat berat; rakyat tidak mampu lagi memikulnya, kerana pengalaman kerjasama antara mereka telah ‘menghina Melayu-Islam’ dan membuka ruang ‘menghina orang Melayu-Islam’ oleh orang Melayu sendiri.

Ia menambahkan ‘keberanian bukan Melayu’; Orang Melayu-Islam sendiri tidak menghormati kemelayuan dan agama yang mereka anuti sendiri. Penyatuan Melayu-Islam semakin berjarak, atas pelbagai alasan termasuk politik kepentingan dan selfish-capitalism.

Sesiapapun yang ada kuasa, mesti dapat mendefinasikan semula makna Melayu-Islam dan keistimewaan yang terpahat dalam Perlembagaan, jika mahu dinobatkan sebagai pemimpin bangsa dan agama, bukan pemimpin ‘angkuh, sombong dan hilang’ dalam permainan politik adu-domba. Cabarannya terlalu banyak dan keras.

Malaysia adalah masyarakat berbilang kaum, dan setiap kaum mempunyai aspirasinya yang sukar dipenuhi dan sentiasa menganggap proses pemenuhan itu umpama membina bangunan tinggi di tanah berpaya (istilah Lee Kuan Yew) atau ada batu kapur di bawahnya.

KAMARUN KH

No Comments

    Leave a reply