CUKUP-CUKUPLAH RAKYAT DIBULI (BHGN 1)

Semakin dekat dengan Sidang Dewan Rakyat, semakin terserlah niat sebenar pemimpin-pemimpin yang terlucut kuasa berusaha untuk kembali membuli rakyat. Keputusan Perikatan Nasional untuk mengadakan Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020 selama sehari dikatakan ‘tidak cukup’ bagi membolehkan mereka mengesahkan semula kuasa atau kepercayaan majoriti terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ke-8 menerusi kuasa budi bicara Yang di Pertuan Agong.

Rasional Perikatan Nasional menetapkan Sidang Dewan Rakyat selama sehari setelah ditunda dari tarikh asalnya bulan Mac lalu adalah bagi ‘membendung wabak COVID-19’ yang sedang melanda negara. Virus merbahaya itu dilaporkan cepat merebak dan rakyat diingatkan agar tidak mengunjungi kawasan atau premis yang mempunyai kerumunan awam.

Sebagai langkah berjaga-jaga dan ‘memutuskan rantaian jangkitan’, pada 18 Mac 2020 diperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana mereka yang melanggarnya boleh dikenakan denda sehingga RM 1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. Ini termaktub dalam Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

kuasa ‘budi bicara’

Namun bagi pemimpin-pemimpin pembangkang, setelah mereka terlucut kuasa sejak 24 Februari 2020, mereka tidak peduli tentang kesihatan rakyat, sebaliknya, lebih mengutamakan ‘pengesahan kuasa’. Pada pandangan mereka, kuasa ‘budi bicara’ Yang di Pertuan Agong ‘tidak cukup kuat’ untuk mengesahkan ‘kepercayaan majoriti’ yang diraih oleh Tan Sri Muhyiddin. Sama ada Anwar atau bekas Perdana Menteri interim masing-masing mendakwa mereka mempunyai cukup ‘kepercayaan majoriti’. Namun apabila diminta untuk mengesahkan ‘kepercayaan majoriti’, kedua-dua pemimpin tersebut gagal.

Yang di Pertuan Agong sebelum membuat keputusan tersebut telah memanggil kesemua ahli Dewan Rakyat dan setiap orang diminta untuk menyatakan pendirian. Dalam masa yang sama, setelah mempunyai indikasi yang jelas, Yang di Pertuan Agong meminta perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Pengumuman mengenai pilihan berdasarkan ‘kepercayaan majoriti’ telah diumumkan oleh Yang di Pertuan Agong dalam kenyataan baginda pada 29 Februari 2020 berdasarkan Perkara 402 (2) (a) dan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, “Baginda berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon Perdana Menteri kepada Agong. Hasilnya, pada 1 Mac 2020, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8.

Dr Mahathir dalam tindakan terakhirnya masih gagal untuk menunjukkan bukti bahawa dirinya mendapat ‘kepercayaan majoriti’ manakala Anwar sebelumnya, dikatakan mempunyai ‘kepercayaan majoriti mencukupi’ masih beranggapan dirinyalah paling layak untuk menggantikan Dr Mahathir.

Dr Mahathir dikatakan meletakkan jawatan secara mengejut atas alasan kecewa dengan pembelotan Muhyiddin dan Azmin Ali menganjurkan satu perhimpunan ‘peralihan kuasa’ atau Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020. Pada perhimpunan itu, banyak pihak meramalkan Dr Mahathir dijangka akan mengumumkan perubahan kerajaan, namun, sehingga akhir tidak ada Sidang Media yang diharapkan.

Dalam satu rencana yang ditulis oleh Khairil Anwar Mohd Amin, Majlis Makan Malam Ahli Parlimen di Hotel Sheraton, Petaling Jaya dikatakan sebagai satu majlis “bagi meraikan kejayaan pembentukan kerajaan pakatan baharu” yang kemudiannya dinamakan Perikatan Nasional (Sinar Harian, 9 Mac 2020).

menarik diri dari PH

Selepas seminggu Langkah Kajang yang dikatakan gagal itu, Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 sedangkan nama beliau hanya muncul selepas mendapat kepercayaan Bersatu untuk memimpin parti apabila Dr Mahathir turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi.

Dr Mahathir turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu kerana kecewa dengan tindakan Muhyiddin (Presiden PPBM) menghantar surat penarikan parti Bersatu (24 Mac 2020) sebagai ahli gabungan Pakatan Rakyat. Asasnya ialah kerana mula merasai Bersatu sudah ada dua kem yang saling bertentangan.

Hakikat itu sebenarnya sudah lama ditebak oleh orang awam berasaskan cara Dr Mahathir mentadbirkan PPBM. Sebagai Presiden, banyak kali pendapat atau pandangan Muhyiddin tidak dirujuk terlebih dahulu sebaliknya, Dr Mahathir seolah-olah penentu segala-galanya dasar parti.

Bersatu juga merupakan sebuah parti yang belum stabil di peringkat akar umbi. Bahkan dari segi organisasinya, ia masih bergerak atas kapasiti ‘jawatankuasa penaja’ di peringkat akar umbi dan juga pusat. Sejak ditubuhkan (7 September 2016), parti serpihan UMNO itu gagal mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan yang sebenar. Tiada pemilihan berlaku di peringkat akar umbi untuk melantik kepimpinan secara demokratik, hanya pada tahun ini (2020), ia dijangka akan berlaku. Pemilihan peringkat pusat akan berlangsung pada 20 Jun 2020.

dilantik semula

Muhyiddin yang mengemukan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan pada 16 Mac 2020 menerusi Setiausaha Politiknya, Datuk Mohd Nardin Awang bakal dicabar oleh Mukhriz Mahathir (Timbalan Presiden). Mukhriz dikatakan mendapat restu dan dokongan kuat Dr Mahathir. Dr Mahathir menang tanpa saingan Pengerusi PPBM setelah kedudukannya diterima semula pada 27 Februari setelah melepaskan jawatan tiga hari sebelumnya.

Keadaan ini merumitkan lagi Bersatu. Muhyiddin menganggap keputusan menerima semula Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu adalah tidak sah dan tidak kena, kerana ia membabitkan penerimaan konsensus perwakilan. Hal itu belum lagi berlaku. Bagaimanapun, Dr Mahathir tetap memainkan peranannya sebagai Pengerusi dengan kedudukan pengaruh yang terhad.

Dr Mahathir tidak memperoleh keputusan yang lebih baik dan dilihat saling bercanggah dengan Muhyiddin yang memperoleh sokongan lebih besar daripada wakil rakyat Bersatu, termasuk kumpulan ‘pelompat’ yang diberikan kedudukan dalam kabinet Perikatan Nasional

Dalam telahan umum, dengan penerimaan semula sebagai Pengerusi PPBM, Dr Mahathir menjangkakan bahawa dirinya akan memperoleh ‘kepercayaan majoriti’ untuk terus dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8. Namun, tindakan Dr Mahathir itu tidak menjadi, walaupun berusaha dengan gigih untuk menunjukkan bukti sehingga beberapa jam sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri.

Peletakan jawatan Dr Mahathir menjadi titik-tolak kepada tiga  perubahan sistemik dalam politik Malaysia: pengesahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 tanpa mandat rakyat; Penyusutan kuasa majoriti Pakatan Rakyat; dan terhapusnya perjanjian peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar Ibrahim.

kerajaan pintu belakang

Muhyiddin, bukanlah pilihan rakyat dalam penentuannya sebagai Perdana Menteri, juga bukan keputusan parti yang mendominasi kemenangan PRU ke-14, tetapi dilantik berdasarkan peruntukan dibawah Perkara 402 (2) (a) dan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan. Atas sebab itulah pemimpin-pemimpin PH yang terlucut kuasa mengistilahkan kerajaan Perikatan Nasional sebagai ‘kerajaan pintu belakang’.

Kesan daripada perpecahan yang berlaku dalam dua parti daripada empat parti yang mendokong Pakatan Harapan, Bersatu dan PKR mengalami perpecahan. Bersatu yang memperoleh kemenangan PRU ke-14 dengan 13 kerusi Parlimen menjadi semakin mengecil dan dikatakan wakil rakyat yang terus dengan perjuangan Dr Mahathir tinggal tiga anggota, Mukriz Mahathir (Jerlun), Mazlee Malik (Simpang Renggam) dan Dr Mahathir (Langkawi) sendiri.

Sepuluh wakil rakyat Bersatu sudah menyebelahi Muhyiddin dan Muhyiddin turut membawa bersama-samanya 13 lagi wakil rakyat ‘lompat’ yang kebanyakannya adalah wakil rakyat UMNO. Ertinya, termasuk dirinya, Muhyiddin berjaya menarik 23 ahli Parlimen Bersatu. Keadaan ini menyebabkan Bersatu di bawah teraju Dr Mahathir teramat kecil dan kerdil, sehingga boleh disifatkan tidak bermaya.

PKR paling kecewa dalam situasi perpecahan tersebut. Walaupun merupakan parti yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak (50) dalam kalangan komponen Pakatan Harapan, tinggal 39 kerusi. Kedudukan tersebut cukup membuatkan Anwar gelisah. DAP telah merampas kedudukan sebagai sebuah parti yang begitu dominan dalam Pakatan Harapan dengan 42 kerusi.

Ini membuktikan, Anwar perlu bergantung harap kepada DAP untuk mendapat sokongan bagi melakukan ‘movement’ atau membuktikan sokongan. Beberapa hari lalu, PKR berhadapan dengan perpecahan lagi atas tindakan Anwar memecat mana-mana pemimpinnya yang dilihat ‘tidak sebulu’ atau ada hubungan dengan Azmin Ali, yang dipecat dan dikatakan sebagai ‘pengkhianat’ terhadap perjuangan parti.

bukanlah melalui pilihan raya

Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin meminta semua rakyat memberikan keyakinan dan kepercayaan kepadanya untuk bersama-sama menjadikan negara ini lebih baik. Jelas Muhyiddin dalam ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri (2 Mac 2020)” Saya sedar bahawa pelantikan saya bukanlah melalui pilihanraya.

“Sebaliknya, saya dilantik setelah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.Ini adalah satu amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia.

“Setelah melalui kemelut politik yang melanda negara kita sejak seminggu yang lalu, saya tahu saudara-saudari tentunya mahu negara kita kembali berada di landasan yang betul. Saudara-saudari pastinya tidak mahu negara kita diheret ke dalam kemelut politik yang lebih besar, ” tambah Muhyiddin (Berita Harian, 2 Mac 2020).

Dan, jelas menunjukkan ‘rendah diri’ seorang pemimpin. Ia berbeza dengan sikap sombong dan  angkuh ‘terhadap kuasa’ yang menjadi ‘taruhan’ atau ‘pertimbangan’ Dr Mahathir ataupun Anwar Ibrahim. Muhyiddin bercakap dalam suasana bahasa yang mudah difahami oleh rakyat sedangkan Anwar memang terkenal dengan ‘bunga-bunga bahasa’ yang bersifat falsafah dan sukar dipraktiskan dengan mudah.

Akibat pendekatan politik Muhyiddin boleh diterima dengan baik oleh rakyat, Dr Mahathir walaupun ‘masih berdendam’ mengakui bahawa kepimpinan Muhyiddin mampu bertahan sehingga PRU ke-15.

Dalam satu wawancara Dr Mahathir berkata: “Boleh bertahan sampai PRU. Sekarang ini bila dia (Muhyiddin) jadi kerajaan, dia dapat bagi gula-gula kepada banyak orang. Saya dapati beberapa orang yang menjadi penyokong saya, sekarang ini dilantik menjadi menteri, maka mereka berpindah ke sebelah sana.

Kita dahulu mempunyai kelebihan sebanyak 114 kerusi tetapi sekarang ini jumlah itu makin kurang. Jadi dalam Dewan Rakyat kita hendak bawa usul tidak percaya pun tidak mungkin berjaya. Sebabnya dia sudah ambil orang saya menyebelahi dia. Memanglah bila dia tawarkan jadi menteri, susah bagi orang nak tolak. Saya tidak boleh tawarkan apa-apa pun,” jelas Mahathir dengan sedikit kecewa (Sinar Harian, 11 Mac 2020).

(bersambung)

 

KAMARUN KH

No Comments

    Leave a reply