Yang pasti para pencinta Ramadan ini akan memperhebatkan lagi ibadat mereka menjelang pemergiannya tiga hari lagi. Masjid dan surau diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang menghidupkan suasana Ramadan. Justeru tidak hairanlah kebanyakan masjid ketika ini dipenuhi dengan mereka yang melakukan ibadat iktikaf. Pada malamnya pula selain ditunaikan solat tarawih mereka bangun melakukan qiamullail. Mereka tidak mahu terlepas peluang untuk meneruskan sunnah Rasulullah di saat-saat Ramadan akan pergi meninggalkan kita. Malah ada yang telah merancang mengambil cuti sepanjang 10 Ramadan yang terakhir ini untuk memudahkan mereka melakukan amal ibadat.

Bagaimanapun tidak dinafikan ada di antara kita tidak merasa apa-apa menjelang berakhirnya Ramadan. Bagi mereka kehadiran 1 Syawal adalah paling bermakna. Sambutan hari raya adalah segala-galanya buat mereka. Itu yang mendorong mereka sanggup berhabisan untuk belanja hari raya. Tidak salah untuk menyambut hari kemenangan ini tetapi tidaklah boleh secara berlebih-lebihan.

Dalam pada itu hasil tarbiah yang diterima sepanjang Ramadan hendaklah diteruskan pada bulan-bulan mendatang. Sebagai contoh membaca al-Quran. Janganlah amalan ini ditinggalkan sebaik sahaja berakhirnya Ramadan. Teruskan amalan membaca al-Quran untuk hari-hari seterusnya. Setidak-tidaknya semuka sehari dengan sasaran khatam sekali setahun. Begitu juga amalan solat subuh berjemaah di masjid atau surau yang sewajarnya menjadi rutin kerana fadilatnya terlalu besar. Jika dalam Ramadan kita biasa melakukannya selepas bersahur janganlah ditinggalkan selepas berakhirnya bulan ini.

Sebaik-baiknya tunaikan juga empat solat lain secara berjemaah. Tanam tekad agar selepas ini kita mampu menunaikan solat lima waktu secara berjemaah sama ada di masjid, surau mahupun di tempat kerja. Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti bersedekah dan qiamullail hendaklah diteruskan. Sekurang-kurangnya ada juga peningkatan dalam hidup. Janganlah langsung tiada perubahan. Kelak kita juga yang rugi.