DONG ZONG MEMANG ‘RASIS’ (BAHAGIAN II)

Tun Dr Mahathir dalam reaksi penolakan Dong Zong terhadap khat Jawi yang akan dimasukkan ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 untuk SJKC dan SJKT mulai tahun hadapan, “…Dong Zong rasis, tak suka Melayu”. Kenyataan itu kemudiannya menimbulkan polemik yang lebih besar dalam kalangan masyarakat Malaysia, manakala Dong Zong terus melakukan lobinya dengan berhimpun di halaman pejabatnya pada 6 Ogos lalu.

Perkembangan selanjutnya menyaksikan keputusan bahawa pembelajaran khat Jawi bukan lagi satu bentuk mandatori, ia adalah pilihan ibu bapa. Ertinya, sekiranya sesebuah Persatuan Ibu Bapa dan Guru di SJKC dan SJKT bersetuju, ia dibolehkan. Sebaliknya, jika ada penentangan, para pelajar tidak perlu mempelajarinya. Ekoran daripada keputusan tersebut, masyarakat Malaysia mula membuat pelbagai reaksi, termasuklah meminta agar pengilang dan pengeluar produk bukan Muslim tidak lagi menggunakan khat Jawi ketika membungkus produk keluaran mereka.

Setakat ini, kebanyakan produk yang dihasilkan oleh pengilang dan pengeluar produk untuk kegunaan umum telah banyak ditegur apabila mengelirukan umat Islam dengan menggunakan pelbagai nama berunsur Melayu-Islam, berkhat Jawi dan menggunakan tanda halal yang meragukan. Produk-produk yang dihasilkan oleh bukan Islam ada menggunakan nama Melayu seperti Pau Ahmad, Laksa Cap Masjid, minyak masak Sri Murni dan sebagainya yang bukan sahaja ‘memerangkap’ pengguna Muslim bahkan berjaya mengaut keuntungan yang besar pada sesuatu musim.

Soal memboikot produk keluaran bukan Muslim walaupun tidak berjaya sepenuhnya, sekurang-kurangnya memberikan sedikit peringatan kepada bukan Melayu agar menjaga sensitiviti mereka, jangan celupar dan melihat bahawa orang Melayu sengaja menimbulkan penentangan yang bersifat rasis.

Dalam erti kata yang lain, penolakan Dong Zong terhadap pembelajaran seni Khat Jawi yang dianggap sebagai mutiara bahasa Melayu pada suatu ketika, kalau tidak dapat ditangani dengan baik boleh mencetuskan polemik yang lebih besar. Ini kerana, Dong Zong memang telah diketahui sentiasa menolak apa sahaja perkara yang berkaitan dengan pemupukan budaya sepakat dalam masyarakat berbilang kaum melalui pendidikan akan ditolaknya.

Dong Zong lahir daripada sikap rasis sekumpulan guru-guru pendidikan Cina yang tegar mempertahankan budaya dan bahasa Cina dalam sistem pendidikan di negara ini. Dong Zong ditubuhkan pada tahun 1954 adalah reaksi balas kepada sebuah jawatankuasa yang mengkaji tentang sistem pendidikan di Tanah Melayu, iaitu Laporan Barnes (Report of the Committee on Malay Education 1951) yang mencadangkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan satu bahasa, iaitu bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Laporan Barnes mengesyorkan agar sekolah-sekolah vernakular dihapuskan dan untuk menarik pelajar bukan Melayu memasuki sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan akan diberikan pelbagai kemudahan terbaik supaya menjadi sekolah yang paling bermutu. Laporan Barnes merupakan dilemma awal kepada perkembangan pendidikan Cina, dan seterusnya sebuah huatuan yang mempertahankan sistem pendidikan Cina, Jiao Zong (ditubuhkan pada tahun 1951), menolaknya dengan alasan “bahasa, pendidikan dan budaya Cina akan lenyap” menerusi dasar kolonial ini.

Pada 24 dan 25 Ogos 1951, Persatuan Guru-Guru Cina seluruh Tanah Melayu telah berkumpul di Dewan Besar Persatuan Hokkien, Kuala Lumpur. Konvesnyen tersebut turut dihadiri oleh  wakil Persatuan Guru-Guru Cina dari sembilan buah negeri dan telah meluluskan dua usul, membantah Laporan Barnes dan menubuhkan Persatuan Guru-Guru Cina se-Malaya atau dikenali dengan nama Jiao Zong.

Upacara perasmian penubuhan Jiao Zong telah diadakan pada 26.12.1951 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor (DPCS). David Chen dilantik sebagai pengerusi Jiao Zong yang kemudiannya dilihat sebagai ‘satu gerakan paling hebat bagi pendidikan Cina’ dan ‘membuka satu era baru sejarah gerakan pendidikan Cina di Tanah Melayu.”

Tiga matlamat Jiao Zong: (1) mengembangkan budaya Tionghua dan memelihara pendidikan Cina; (2) bekerjasama dengan pihak kerajaan dan bersama-sama memajukan pendidikan Cina; dan (3) menjaga kepentingan dan meningkatkan taraf hidup golongan guru sekolah Cina.  Jaio Zong sebaik sahaja ditubuhkan secara rasminya telah mengemukakan Memorandum on Chinese Education kepada pentadbir Tanah Melayu (British) dengan desakan agar bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar manakala penubuhan sekolah-sekolah vernakular tidak akan menjejaskan penubuhan sebuah negara. Jaio Zong mendapat sokongan kuat daripada Lembaga Pengelola Sekolah Cina dan parti politik yang didominasi oleh masyarakat Cina, iaitu Malaya Chinese Association (MCA). Satu mesyuarat yang diadakan pada 9 November 1952 di Dewan Perniagaan Cina Selangor telah membangkitkan satu petunjuk besar setelah mendapat sokongan padu daripada Jiao Zong, wakil-wakil Lembaga Pengelola Sekolah Cina dan MCA. Ia suatu sokongan padu bagi menentang British yang mahu menghapuskan sekolah-sekolah vernakular menerusi Laporan Barnes dan terbentuknya Jawatankuasa Pusat Pendidikan Cina MCA (MCACECC).

Mesyuarat pertama MCACECC telah diadakan pada 9 November 1952 meluluskan enam resolusi, termasuk menentang kedudukan yang tidak munasabah dan menuntuk layanan yang sama bagi pendidikan bahasa ibunda. Penyertaan MCA telah menjadikan gerakan pendidikan Cina semakin kuat dan berkesan sehingga tahun 1959. Pejuang-pejuang pendidikan Cina terus mempertahankan Laporan Fenn-Wu (1952) (Dr W P Fenn, Setiausaha Kerja Bersekutu China dan Dr Wu Teh Yao, wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu). Laporan tersebut adalah suatu kejayaan besar kepada pejuang pendidikan Cina apabila British bersedia menerima bantahan terhadap Laporan Barnes (1950) di mana Fenn-Wu mencadangkan pengekalan sekolah-sekolah vernakular, kurikulumnya berasaskan kurikulum dari negara China, dan sekolah-sekolah vernakular dibenarkan menggunakan tiga bahasa, iaitu Melayu, Cina dan Tamil, di samping terus mengekalkan sekolah-sekolah beraliran Inggeris.

Cadangan yang terkandung dalam Laporan Fenn-Wu turut dijadikan asas kepada Ordinan Pelajaran 1952. Walaupun orang Melayu telah menolak Laporan Fenn-Wu, ia tidak berjaya mengetepikan keputusan mengekalkan sekolah vernakular dengan berpengantarkan bahasa Tamil dan Cina, hanya sekadar berjaya melahirkan terbentuknya sebuah jawatankuasa untuk meneliti semula laporan berkenaan. Jawatankuasa Pusat Penasihat Pendidikan dianggotai oleh 20 orang (pakar pendidikan, pemimpin kerajaan kolonial dan wakil daripada kaum Melayu, Cina dan India).

Laporan Fenn-Wu yang mendokong pluralisme dan sistem persekolahan pelbagai aliran dianggap sebagai laporan yang paling adil terhadap pendidikan Cina dan pembelajaran menerusi satu atau dua bahasa adalah bercanggah dengan toleransi kaum dan bagi sekolah-sekolah vernakular, tiga bahasa diajar (bahasa ibunda, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai salah satu matapelajaran, bukannya sebagai bahasa pengantar).

Laporan Barnes membawa kepada tertubuhnya Jiao Zong, manakala pelaksanaan Ordinan Pelajaran 1952 dan Kertas Putih 1954 telah membawa kepada penubuhan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina se- Malaya (Dong Zong). Kedua-dua laporan (Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu) saling bercanggah telah menyebabkan pentadbir kolonial menubuhkan Jawatankuasa Pusat Penasihat Pelajaran (CACE) yang dipengerusikan oleh L D Whitfield. Laporan CACE kemudiannya menjadi asas Ordinan Pelajaran 1952, di mana sekolah kebangsaan menjadi model sekolah arus perdana manakala sekolah vernakular dibenarkan sehingga digantikan dengan sekolah kebangsaan.

Pejuang-pejuang pendidikan Cina merasakan Ordinan Pelajaran 1952 akan menyebabkan sistem pendidikan Cina akan terhapus dalam jangka masa panjang kerana tidak ada jaminan bagi meletakkan bahasa mereka ke dalam sistem pendidikan yang hendak dibentuk. Orang Melayu juga menentang Ordinan Pelajaran 1952 kerana bahasa Melayu hanya diletakkan sebagai bahasa yang sesuai digunakan sebagai bahasa pasar.

Akibat dilemma tersebut, pejuang-pejuang pendidikan Cina akhirnya melancarkan Gerakan Membantah Ordinan Pelajaran 1952 dan wakil Jiao Zong, Lim Lian Geok dan Ting Ping-Sung telah menyampaikan kertas cadangan kepada pentadbir British sebelum Ordinan Pelajaran tersebut dikuatkuasakan. Ia kemudiannya membolehkan Penolong Pesuruhjaya Tinggi, MacGillivray memangil satu mesyuarat untuk membincangkan kandungan Laporan Jawatankuasa Khas. MacGillivray mengemukakan alasan bahawa bahasa Cina bukan bahasa rasmi dalam Perjanjian Persekutuan (1948), dan ini menyebabkan pejuang pendidikan Cina bertambah serius dalam menuntut keseriusan pemerintah untuk menyelesaikan masalah pendidikan Cina.

Satu konvensyen yang bertujuan membantah Ordinan Pelajaran 1952 diadakan pada 9 dan 10 November 1952 dengan penyertaan MCA, guru-guru dan wakil Lembaga Pengelola Sekolah Cina. Tan Cheng Lock menghantar surat kepada Gerald Templer (Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu) yang menyenaraikan lapan sebab kenapa Ordinan Pelajaran 1952 perlu dimansuhkan, menyekat perkembangan pendidikan Cina.

Pada 19-20 April 1953 satu mesyuarat bersama MCACECC telah diadakan dan satu ketetapan telah diambil bahawa penubuhan Dong Zong perlu dibuat, dan ia kemudiannya diisytiharkan penubuhannya pada 22 Ogos 1954 di Dewan Perniagaan Cina Selangor dengan melantik Chin Chee Meow sebagai pengerusi pertama. Objektif Dong Zong ialah menjadi wakil kepada kesemua Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina seluruh negara di samping mempertahan dan membangunkan sistem pendidikan Cina.

(bersambung)

 

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply