DONG ZONG MEMANG ‘RASIS’ (BAHAGIAN IV)

Isu penubuhan Universiti Merdeka mula dibangkitkan pada tahun 1967 dan ianya terhenti seketika setelah meletusnya Tragedi 13 Mei 1969. Isu itu kemudian dibangkitkan kembali pada tahun 1974 apabila Dong Zong diambil alih oleh Lim Fong Seng. Sebagai pengerusi Dong Zong, Lim Fong Seng menubuhkan satu jawatankuasa selepas mendapat persetujuan Yang di Pertuan Agong akibat penguatkuasaan sistem kouta di universiti awam dan adanya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Pada tahun 1974, kerajaan Singapura membuat keputusan baharu bahawa kemasukan ke Universiti Nanyang perlu diselaraskan oleh National University of Singapore (NUS), di mana hanya pelajar yang mempunyai kelulusan peperiksaan awam sahaja yang akan diberikan pertimbangan.

Sebelum itu, Syarikat Universiti Merdeka Berhad mengemukakan permohonan penubuhan sebuah kolej swasta (Kolej Merdeka) kepada kerajaan, iaitu pada 6 April 1973. Setelah permohonan itu ditolak, Syarikat Universiti Merdeka Berhad tidak mempunyai pilihan, mengemukakan permohonan kepada Yang di Pertuan Agong untuk mendapatkan perintah kebenaran menubuhkan Universiti Merdeka, sebagai ditetapkan oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Satu gerakan mendapat sokongan dan kempen tandatangan telah diadakan pada 28 Oktober 1977 di samping menganjurkan majlis pungutan derma untuk tabung tabung Universiti Merdeka. Dilaporkan sejumlah 4,238 tanda tangan berjaya dikumpulkan daripada huatuan dan sambutan hangat itu diperoleh menerusi pemakluman bahawa ramai pelajar Cina gagal memasuki universiti awam sejak pelaksanaan kouta.

Musa Hitam ketika itu adalah Menteri Pendidikan mengakui bahawa sejak pelaksanaan DEB (Dasar Ekonomi Baru) kerajaan telah memberi peluang yang luas kepada anak-anak keturunan Bumiputera melanjutkan pelajaran ke universiti. Dalam masa yang ramai, begitu ramai pula anak-anak bukan Bumiputera yang berasa kecewa ‘tidak mendapat tempat walaupun mempunyai kelulusan yang lebih tinggi’ (Buku Kecil, Kenapa Universiti Merdeka Ditolak?, 1978:27).

Masyarakat Cina tidak dapat menerima alasan yang digunakan oleh kerajaan, walaupun dari perspektif realitinya, jumlah pelajar bukan Bumiputera adalah lebih ramai berbanding Bumiputera di Universiti Awam, dan pada 30 Januari 1978, dipersembahkan petisyen kepada Yang di Pertuan Agong, manakala salinan-salinannya dihantar kepada Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan ahli-ahli Parlimen. Masyarakat Cina merayu kepada kerajaan agar diberikan kebenaran menubuhkan Universiti Merdeka dengan alasan, membolehkan para pelajar yang tidak berpeluang mendapat tempat di universiti awam melanjutkan pelajaran, yang kemudiannya akan kembali menyumbang kepada pembinaan negara.

Bagaimanapun, Musa Hitam selaku Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa kerajaan menolak penubuhan Universiti Merdeka dengan alasan, ia menggunakan bahasa Tionghua sebagai bahasa pengantar dan bertentangan dengan Akta Pelajaran 1961. Pengumuman itu dibuat dalam Perhimpunan Agong UMNO pada 11 Disember 1978. Penolakan juga dibuat dengan alasan, kerajaan meragui kemampuan kewangan untuk menguruskan Universiti Merdeka, yang akhirnya perlu dipikul bebannya oleh kerajaan. Pada 25 Januari 1979,  Yang di Pertuan Agong secara rasminya menolah rayuan Syarikat Universiti Merdeka Berhad.

Penolakan penubuhan Universiti Merdeka telah menerima bantahan daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat Cina, dan pada 19 Oktober 1978, Menteri Dalam Negeri, Ghazali Shafie mengeluarkan arahan menghalang satu perhimpunan yang dianjurkan oleh Universiti Merdeka Berhad. Setelah usaha itu gagal, pada 1 Julai 1979, Lembaga Pengarah Universiti Merdeka bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang dan bagi Dong Zong, penolakan yang dibuat oleh kerajaan ditafsirkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Satu kutipan derma ‘seorang seringgit’ dilancarkan bagi membiayai kos mahkamah. Akhir 1981, kes tersebut dikemukakan ke Mahkamah Tinggi.

Ketika dibicarakan di Mahkamah Tinggi (bermula 28 September 1981), kerajaan didakwa melakukan tindakan yang salah dan tidak sah apabila menolak penubuhan Universiti Merdeka, kerana menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar. Bagaimanapun, dakwaan tersebut ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, dan sebarang penubuhan universiti hendaklah tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Setelah gagal di Mahkamah Tinggi, Dong Jiao Zong membawanya ke Mahkamah Persekutuan, yang kemudian turut ditolak dengan keputusan juri 4:1. Pada 9 Julai 1982, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan adalah muktamad, dan ianya dihalang di bawa ke Privy Council di England (Cheong Yuen Keong, Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia, 2015: 91-91 dan Yahya Ismail, Politik Universiti Merdeka, 1978).

Walaupun Universiti Merdeka telah ditolak, perjuangan pendidikan Cina semakin memperoleh semangat semula apabila tertubuhnya Kolej Selatan pada tahun 1988.  Kolej Selatan menjadi IPTS Cina pertama dan sebelumnya (1986), Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Foon Yew mmebuat permohonan kepada KPM untuk menubuhkan Kolej Foon Yew, tetapi ditolak. Disember 1987, mereka mengemukakan rayuan kepada Menteri Pendidikan, Anwar Ibrahim dan tidak dijawab sehingga menerima jawapan ditolak pada pada 16 Februari 1988.

Masyarakat Cina tidak berputus asa dengan penolakan tersebut dan dalam satu perjumpaan dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamed pada bulan Mac 1988 sempena PRK Johor Bahru, Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Johor Bahru meminta menimbangkan semula penubuhan Kolej Foon Yew. Dr Mahathir berjanji akan memberikan pertimbangan sekiranya tidak melanggar Akta Pendidikan dan melaksanakan kemasukan pelajar secara terbuka (bukan hanya untuk etnik Cina), mempunyai tapak sendiri, ahli jawatankuasa kolej mestilah terdiri sekurang-kurangnya satu perempat ahli bukan Cina. Kerajaan tidak mengiktiraf Peperiksaan Bersama SMPC.

Pada tahun 1974, Dong Zong bersama Universiti Merdeka merangka pelan pembangunan IPTS dan pada tahun 1989, menerima tanah seluas 8.5 ekar sumbangan Badan Amanah Fah Kui, di Kajang. Tanah tersebut digunakan untuk membina bangunan Dong Zong dan IPTS. Dong Jiaozong Higher Learning Center Berhad (Pusat Pengajian Tinggi Dong Jiao Zong) didaftarkan dan memulakan perancangan penubuhan Kolej New Era. Setelah permohonan pertama ditolak (1994) atas alasan pembekuan penubuhan kolej swasta, pada 19 April 1995, dikemukan sekali lagi dan ditolak dengan alasan penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.

Tahun 1997, penubuhan kolej swasta menjadi lebih mudah dan wakil Dong Jiao Zong, Yap Sin Tian, Kua Kia Soong, Bock Tai Hee dan Ong Kow Ee bertemu dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Fong Chan Onn dan Timbalan Pengarah Pendidikan Swasta KPM, Sri Nusa Ahmad. Mereka berbincang mengenai permohonan penubuhan Kolej New Era dan secara dasarnya, KPM bersedia meluluskan permohonan berkenaan sekiranya memenuhi syarat. Pada 27 Mei 1997, Fong Chan Onn mengumumkan kelulusan penubuhan Kolej New Era dalam satu Sidang Media dan pada 11 Jun 1997, surat kelulusan diterima. Kolej New Era mengadakan majlis perasmian pada 11 Januari 1998.

Selepas penubuhan Kolej Selatan, Kolej New Era, Kolej Han Jiang berjaya ditubuhkan pada 8 April 1998. Kolej Han Jiang turut menganjurkan program berkembar dengan empat buah universiti dari China dan mendapat kebenaran pada 15 Julai 1999 apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Fong Chan Onn menyerahkan surat kelulusan kepada Pengerusi Pengelolanya, Chen Gou Peng.

Selain penubuhan kolej-kolej swasta, pejuang pendidikan Cina turut memainkan peranan menolak cadangan penubuhan Sekolah Wawasan. Konsep Sekolah Wawasan untuk membolehkan tiga aliran sekolah (SK, SJKC dan SJKT) berinteraksi menerusi perkongsian kemudahan (penggunaan padang permainan sukan, perpustakaan, kantin dan kawasan perhimpunan), ia dilihat pula sebagai satu tindakan kurang sihat dalam pembinaan sahsiah pelajar, kerana masing-masing etnik mempunyai aspirasi yang berbeza. Walaupun konsep Sekolah Wawasan telah diluluskan oleh Jemaah Menteri, Dong Zong dan Dong Jiao Zong tidak bersetuju dengan amalan tersebut.

Tiga buah sekolah berada dalam satu kompleks yang sama, tetapi pengurusan sekolah tidak disatukan dan tidak mengetepikan Lembaga Pengelola Sekolah masing-masing. Menjelang tahun 1998, isu Sekolah Wawasan menjadi begitu hangat dipolemikkan dan akhirnya, konsep Sekolah Wawasan tidak dapat dikembangkan sebagaimana dirancang akibat tentangan huatuan-huatuan yang melihatnya sebagai satu usaha ‘menghapus pendidikan Cina’ dan proses Islamisasi pelajar-pelajar bukan Islam. Isu ini menjadi sesuatu yang begitu besar diperkatakan menjelang PRU 1999 sehingga Dong Zong menubuhkan satu organisasi bernama Suqiu.

Siqiu mengemukakan 83 tuntutan, antaranya: memansuhkan perbezaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam semua bidang, menghapuskan sistem kuota berasaskan kaum, dan meratifikasi dan menandatangani semua konvensyen antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (e.g. ICERD, Statut Rom dan sebagainya). Sebelum PRU ke-10, Dr Mahathir dikatakan bersetuju mempertimbangkan tuntutan-tuntutan tersebut dengan harapan dapat meraih sokongan pengundi Cina. Ini dapat dibuktikan apabila BN kembali mengekalkan kuasa politik selepas PRU 1999 walaupun gelora politik Melayu sudah berpecah ekoran pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Era Reformasi menentang Dr Mahathir begitu bergelora bahkan dalam keadaan tertentu, imej Dr Mahathir dilihat begitu merosot di beberapa buah negeri, terutama di Kelantan dan Terengganu. Tahun 1999, BN tewas di Terengganu manakala PAS kekal berkuasa di Kelantan. Ketika itu beberapa gelaran buruk telah diberikan kepada Dr Mahathir.

(Bersambung)

 

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply