Buktinya, agama Islam kini bukan hanya digambarkan pada wajah manusia keturunan Arab, sebaliknya boleh ditemui pada setiap bangsa dan etnik yang wujud atas muka bumi.

Dengan kata lain, tujuan hidup utama seseorang Muslim bukan untuk mendapatkan seramai mungkin pengikut seperti mana matlamat kewujudan Facebook, Twitter atau Instagram hari ini yang diukur menerusi jumlah pengikutnya.

“Memang diakui Islam cukup popular, tetapi bukan kerana disebabkan pertandingan populariti atau memiliki jumlah pengikut paling ramai seperti dalam laman sosial,” kata Pengasas Kolej Zaytuna, Berkeley, California, Amerika Syarikat (AS).

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa matlamat utama seseorang Muslim adalah untuk mencari keredaan Allah.

Malah Zaid menambah, ia juga bagi mematuhi setiap arahan yang Allah berikan (melalui rasul dan nabi) untuk kita jalani kehidupan atas muka bumi ini.

“Saya amat percaya jika kita boleh berbuat demikian sehingga ke akhir hayat, bermakna kita menyedari bahawa hidup ini sebenarnya berkisar antara kita dengan Allah,” katanya dalam program kelolaan Ta`leef Collective, AS.

Penekanan Zaid terhadap aspek tersebut terserlah apabila beliau menasihati golongan Muslim agar lebih berhati-hati dalam perbincangan berkenaan landskap budaya hidup pada hari ini.

Ini kerana, sebagai Muslim wajib percaya kewujudan wahyu Allah (al-Quran) dan yakin bahawa wahyu itu tidak pernah berubah sejak mula diturunkan kepada Rasulullah.

“Pemahaman umat Islam hari ini terhadap wahyu Allah secara konsistennya dibentuk oleh konteks kehidupan yang sedang kita lalui kini

“Saya fikir Muslim hari ini berdepan dengan tekanan hebat ketika berdepan dengan sesetengah amalan budaya dan moral yang secara terangnya bertentangan dengan ajaran agama Islam,” katanya.

Antaranya adalah pada 2010 yang menjadi sejarah AS apabila wujud budaya lelaki dan perempuan hidup bersama bukan atas asas perkahwinan, tetapi satu perjanjian (bon) rahsia.

“Mereka kata ia satu perkara atau amalan yang semua orang gemar lakukan. Malah, mana ada lagi orang yang cenderung kepada ikatan perkahwinan sah.

“Jadi, apabila lelaki atau perempuan yang masing-masing menemui pasangan secocok, mereka boleh hidup bersama. Tetapi bila berlaku konflik atau tidak wujud lagi persefahaman, mereka boleh berpisah tanpa perlu pergi mahkamah,” katanya.

Justeru, Zaid menegaskan bahawa seseorang Muslim seharusnya berpegang teguh kepada ajaran dan nilai agama Islam dan bukannya mengikut kehendak atau pujukan golongan sedemikian.

Situasi tersebut katanya, menunjukkan satu usaha untuk menghakiskan secara perlahan-lahan kepercayaan Muslim terhadap ajaran dan nilai Islam.

“Saya fikir pada akhirnya nanti akan timbul krisis keimanan dalam kalangan Muslim sendiri dan ini sesuatu yang membimbangkan.

“Apa tidaknya, hanya dengan keimanan yang kuat seseorang Muslim itu mampu berdiri teguh dalam mempertahankan ajaran dan nilai Islam walaupun mungkin pada masa itu dia akan keseorangan,” katanya.