JAGA SENSITIVITI KAUM DAN ADAB BERMASYARAKAT

Peribahasa Melayu mengungkapkan, Kerana Mulut Badan Binasa. Secara mudahnya peribahasa tersebut memberikan kita satu peringatan yang tegas, jangan tersilap cakap dan celupar. Akibat tersilap cakap dan celupar, badan binasa atau dibelasah oleh individu lain yang merasakan dirinya dihina atau dikecam.

Bagi sesebuah negara, peribahasa itu boleh diterjemahkan sebagai “Kerana Perkauman Negara Binasa’. Maksud binasa bagi negara ialah ikatan kemasyarakatan porak-peranda. Atas nama kaum atau nasionalisme etnik, keharmonian antara kaum akan hancur dan setiap hari akan adanya pertumpahan darah.

Selain faktor perkauman, agama turut menjadi punca perbalahan besar apabila masyarakat yang berbeza agama mengambil sikap ‘peduli apa agama lain, agama kami lebih benar dan lebih baik’ manakala agama-agama lain hanyalah kepercayaan ‘karut’.

Kajian mengenai ‘nasionalisme religious atau agama’ telah menyebabkan manusia sanggup mati kerananya. Bahkan disebabkan perbezaan pandangan terhadap ranting agama telah menyebabkan permusuhan intra-agama. Misalnya pertumpahan darah antara penganut Kristian aliran Protestan dan Katholik. Begitu juga dalam Islam, kelompok Sunni dan Syiah hingga sekarang masih berperang dan bermusuh.

Kajian permusuhan dan peperangan atas nama agama telah bermula sejak timbulnya satu kelompok yang mendakwa pendirian dan ajaran agama mereka adalah yang paling baik manakala aliran pemikiran agama yang lain ‘buruk dan merosakkan’. Bibit-bibit permusuhan itu kemudiannya bertukar menjadi agenda peperangan yang besar dan saling membunuh.

Charles Kimball, pakar perbandingan agama dari Universiti Wake Forest, Amerika Syarikat misalnya menulis sebuah buku mengenai permusuhan antara agama sehingga ia mengakibatkan bencana. Bukunya, When Religion Becomes Evil (2002) misalnya memberikan lima keadaan bagaimana agama telah menimbulkan permusuhan dan sengketa dalam kalangan manusia. Buku ini ditulis berdasarkan analisis sejarah permusuhan antara Islam dan Kristian sebelum berlakunya serangan ke atas Wolrd Trade Center, New York pada tahun 2001.

Buku terbaharu beliau, Truth Over Fear: Combating the Lies About Islam (2019) melihat bagaimana Islam dikambinghitamkan selepas tragedi 11 September 2001. Buku ini cuba memberikan jawapan dan pemahaman asas mengenai Islam kepada masyarakat bukan Islam di Amerika yang semakin membuak-buak salah faham akibat Islamofobia. Pengarang cuba memberikan “resources to address the manipulation of religious misunderstanding and intolerance.

Agama dilihat jahat dan ‘korup’

Pertama, bila muncul satu agama yang membuat dakwaan bahawa agama yang diyakini itulah yang paling benar. Kebenaran itu bersifat mutlak dan agama-agama lain adalah ‘buruk’ dengan mengutip kebenaran daripada kitab-kitab suci mereka. Menurut Kimball, bahkan dalam keadaan tertentu “syaitan pun boleh mengutip kitab suci untuk kepentingannya.” Mereka bukan sahaja mempersendakan kitab-kitab suci agama lain bahkan menuduh agama tersebut sebagai karut, pemuja syaitan dan brutal.

Kedua, agama menjadi jahat dan biadab apabila timbulnya perasaan taksub kepada pemimpin keagamaan mereka. Agama tidak menentang pertimbangan rasional dan kerana itu, Kimball menyarankan ‘berhati-hati dengan gerakan agama yang bertentangan dengan fikiran rasional.” Dalam Islam banyak kisah mengenai ketaksuban kepada pemimpin sehingga mencetuskan permusuhan besar, terutama dalam kalangan penganut-penganut ajaran sesat.

Ketiga, agama semakin melihat kepada masa silamnya, terutama masa-masa emas. Masa-masa itu dikenang sebagai masa ideal, dan sebahagian pemimpinnya bertekad untuk kembali ke masa silam itu dengan mengetepikan masa sekarang.

Contoh yang dapat kita lihat ialah  kemunculan kumpulan Islamic State (IS) yang mahukan negara Islam dibangunkan semula dengan pemerintahan khalifah berpusat di Irak hingga ke negara Syria yang pernah dipanggil ‘negeri Sham”.

Keempat, apabila agama membenarkan ‘matlamat menghalalkan cara’ yakni boleh membunuh atas nama agama. Mungkin sejarah yang menimpa komuniti Rohingya di Myanmar boleh menjadi contoh bagaimana  pemimpin-pemimpin Buddha menghalalkan pembunuhan dengan membakar perkampungan di Rakhine.

Kelima, menurut Kimball, pemimpin-pemimpin agama dengan mudahnya komponen agama sebagai sarana untuk mencapai sesuatu tujuan. Komponen agama itu bukanlah nilai agama sebenar, tetapi ia ditafsirkan sebagai simbol agama yang wajib dipertahankan sampai bila-bila. Misalnya tanah karbala disifatkan objek suci oleh kumpulan Syiah dan digunakan sebagai simbol kepatuhan kepada aliran mazhab berkenaan.

Bagi membangunkan suasana harmoni masyarakat pelbagai agama, kita sering dijelaskan dengan konsep persefahaman, bukannya konsep komunikatif. Persefahaman membawa maksud, menerima perbezaan-perbezaan secara memadai dan tidak ada prejudis terhadap amalan agama-agama lain.

Apa pun yang dicadangkan itu, memerlukan kita kepada pemahaman yang mendalam mengenai sejarah dan sifat agama-agama lain termasuk agama yang kita yakini sebagai ‘benar dan mutlak’.

Agama Diperlekehkan

Bila melihat kepada isu-isu antara agama yang sejak kebelakangan ini menjadi tular, menyebabkan kita terasa bahawa keamanan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat semakin menjadi panas. Sebelum ini, isu-isu sensitif berkaitan agama dapat dibendung daripada diperlekehkan secara terbuka.

Pernah suatu ketika, selepas berlakunya perubahan politik ada yang mempersoalkan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan institusi-institusinya. Bahkan, ada cubaa untuk mengembalikan fungsi penyelarasan agama Islam di peringkat pusat kepada negeri-negeri kerana dilihat tidak berperlembagaan. Malangnya cadangan tersebut turut dikemukakan oleh kelompok tertentu yang pernah bertugas sebagai penjawat awam, iaitu dalam kalangan penganut agama Islam sendiri.

Biarpun hujahnya nampak rasional, rasionalitinya tidak merujuk kepada semangat perlembagaan itu. Mereka cenderung membuat tafsiran sendiri berdasarkan apa yang tercatat secara jelas di dalam dokumen undang-undang tersebut. Mereka seolah-olah lupa bahawa Islam adalah agama rasmi bagi negara ini, dan penubuhan institusi-institusi Islam yang dibiayai oleh negara bukan bermakna tidak berperlembagaan.

Adakalanya, terserlah pendirian sebenar kumpulan-kumpulan berkenaan untuk melihat Islam tidak dikaitkan langsung dengan kerangka pentadbiran negara. Ia hanyalah terpakai di peringkat negeri atas kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Istiadat dan Agama manakala bagi negeri-negeri tidak beraja, ia dibebaskan daripada kerangka tersebut.

Paling memualkan ialah apabila entiti Islam cuba ditafsirkan berdasarkan kaca mata prejudis. Sembahyang umat Islam didakwa sebagai satu tindakan yang sia-sia manakala pengertian jihad ditafsirkan sebagai tindakan ganas, yakni menghancurkan penganut-penganut agama lain.

Dikaitkan Dengan Agama

Mutakhir ini, isu agama telah dikaitkan dengan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah jenis kebangsaan walhal secara sejarahnya, masyarakat bukan Melayu pernah belajar dengan jayanya tanpa ada curiga bahawa dirinya bakal menukar agama kepada Islam. Persoalan seseorang itu memeluk Islam tiada kaitan dengan tulisan Jawi walaupun asas tulisan tersebut diambil daripada aksara Arab dan Parsi. Sebahagian besar istilah dalam bahasa Arab telah diterima sebagai sebahagian daripada istilah bahasa Melayu.

Dari perspektif sejarah, tulisan Jawi adalah bentuk asal bahasa Melayu. Pada zaman penjajahan, tulisan Jawi masih digunakan secara meluas termasuk surat menyurat rasmi penjajah kepada Raja-raja Melayu. Bahkan, penjajah Inggeris tidak pernah berusaha untuk memansuhkan tulisan Jawi dalam sistem persekolahan walaupun turut diperkenalkan sistem persekolahan aliran Inggeris yang bertulisan Rumi.

Setelah lebih setengah tahun isu tulisan Jawi menjadi kontroversi, Dong Zong akhirnya mengakui bahawa ia tiada kaitan dengan Islamisasi. Sekolah-sekolah vernakular diberikan kelonggaran untuk mempelajari tulisan Jawi sekiranya mendapat persetujuan ibu bapa.( https://www.malaysiakini.com/news/507279). Keputusan tersebut meletakkan ibu bapa sebagai ‘pemutus’ dan menambahkan lagi ‘dualisme’ dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Sebelum ini, KPM turut menetapkan bahawa sekolah-sekolah yang ingin melaksanakan Dual Languange Programme (DLP) –Program Dwi Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik perlu memohon. Untuk memohon, pihak sekolah perlu memperoleh persetujuan ibu bapa. Ia menggambarkan betapa sistem pendidikan di Malaysia semakin menuju kepada pilihan demokratik meskipun terpaksa ‘melentur’ peraturan-peraturan yang ditetapkan menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tulisan Jawi mula dihapuskan dalam pembelajaran di sekolah-sekolah pada tahun 1966 tetapi tidak bermakna mengharamkan penggunaannya. Hingga kini, tulisan Jawi masih kekal menjadi elemen penting bahasa Melayu walaupun penggunanya semakin berkurangan. Sekurang-kurangnya masih ada papan tanda bertulisan Jawi bahkan Sultan Selangor pernah menitahkan agar nama-nama jalan di negeri berkenaan wajar menggunakan tulisan Rumi dan Jawi.

Percubaan untuk menggunakan huruf-huruf lain tidak dibenarkan. Di Pahang, pihak berkuasa tempatan telah mensyaratkan bahawa sebahagian papan tanda perniagaan mesti mempunyai tulisan Jawi. Sayangnya, sebahagian kecil orang Melayu melihat kecenderungan itu sebagai satu ‘langkah berundur’ dan dalam masa yang sama turut mengherdik lain-lain tulisan bukan dari bahasa Melayu digunakan di papan tanda, bunting mahupun paparan tertentu.

Jaga Sensitiviti

Kini, semakin gigih segelintir rakyat di negara ini mencari sebab untuk bergaduh. Apabila Kementerian Pendidikan mengingat pihak sekolah agar lebih sensitif dengan ‘kemarahan ibu bapa’ ada pemimpin politik mentafsirkan bahawa tradisi perayaan Pongal tidak boleh disambut di sekolah-sekolah.

Menerusi kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, JAKIM tidak pernah mengharamkan apa-apa sambutan perayaan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Apa yang berlaku ialah JAKIM mengeluarkan ‘garis panduan’ untuk umat Islam untuk menyertai sambutan perayaan agama-agama lain agar tidak melanggar had dan batasan yang ditetapkan, termasuk persoalan akidah.

Surat Pekeliling yang dihantar oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran kepada semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia menurut Dr Mujahid Yusuf Rawa, ‘tidak dirangka dengan baik.’ Akibatnya, JAKIM ‘yang kena’ sedangkan “surat kami kepada KPM menyatakan dengan jelas ada cara untuk (orang Islam) menghadirinya untuk menghormati kaum lain. Ada etika untuk bagaimana menghadiri acara agama lain, ini perkara biasa.” ( https://www.malaysiakini.com/news/507268).

KPM sebenarnya tidak pernah mengharamkan tradisi itu. Menurut penjelasan berkenaan (Surat KPM bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020), ia dikeluarkan bagi “mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam pelibatan anak-anak mereka semasa sambutan perayaan tersebut.” Surat itu cuba mengingatkan keputusan Mesyuarat Panel Pakar Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang diadakan pada bulan April 2019.

Aktiviti Silang Budaya

Kandungan surat tersebut turut memperlihatkan bahawa KPM menyokong aktiviti silang budaya dan mengingatkan pihak sekolah agar “mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa jika berhasrat untuk mengadakan sambutan perayaan yang tertentu di sekolah. (https://www.malaysiakini.com/news/507201)

Kes mengenai larangan mempamerkan tanglung di sebuah sekolah turut dikaitkan dengan agama. Begitu juga perayaan Pongal. Apa yang diputuskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ialah melarang pelajar yang beragama Islam mengambil bahagian kerana ia boleh menimbulkan sensitiviti agama.

Benar perayaan Pongal adalah tanda kesyukuran terhadap hasil pertanian yang baik dan menjadi. Tetapi, rasa syukur itu ditujukan kepada dewa matahari. Ertinya, masih ada kaitan dengan agama. Perayaan itu adalah lebih sesuai dilaksanakan di sekolah-sekolah vernakular yang hampir kesemua pelajarnya adalah keturunan India. Ia tidak sepatutnya dilaksanakan di sekolah-sekolah kebangsaan ‘tanpa mendapat persetujuan ibu bapa’ bagi menjaga ‘sensitivi agama’ dan ‘mengekalkan keharmonian kaum’.

Tanglung merupakan ‘petunjuk jalan kepada roh-roh yang telah mati’. Dalam kepercayaan masyarakat Cina, roh nenek moyang mereka akan kembali dan cahaya yang ada di dalam tanglung itulah bakal menunjuk jalan roh untuk pulang. Ia juga masih dikaitkan dengan agama.

Hormatilah sensitiviti agama. Tidak perlu mendakwa bahawa Islam adalah agama yang menolak kepercayaan agama-agama lain hanya kerana tidak boleh menjadikan tanglung sebagai entiti budaya bersama dan meraikan Pongal sebagai elemen yang boleh menyatupadukan masyarakat. Kalau mereka boleh menolak pembelajaran tulisan Jawi, maka tidak ada sebab tanglung dan pongal tidak boleh disambut atau disertai oleh pelajar-pelajar Islam.

Tulisan Jawi bukan satu laluan untuk menjadikan seorang bukan Melayu ‘menjadi Melayu’ tetapi menghayati festival tanglung yang dikaitkan dengan ‘kepulangan roh’ dan ‘memasak susu di dalam periuk tanah’ sebagai lambang kesyukuran kepada dewa matahari jelas bertentangan dengan Islam. Islam adalah agama yang berusaha memperbaiki moral dan menjaga akidah pemeluknya. Cukuplah sekadar menghormati agama-agama lain, bukan bermakna umat Islam membencinya.

Pemuafakatan Sekolah

Jika ‘persetujuan ibu bapa’ merupakan prasyarat yang semakin dominan dalam penentuan sesuatu dasar pendidikan negara, maka setiap perkara hendaklah terlebih dahulu dibincangkan secara serius sebelum sesuatu keputusan dibuat, termasuk sambutan perayaan keagamaan dan sebagainaya. Laksanakanlah apa yang pernah kita dengar mengenai ‘pemuafakatan sekolah’, ‘pemasyarakatan pendidikan’ dan ‘pendemokrasian pendidikan’ dalam konteks yang lebih luas dan bermakna.

Di sinilah peranan sebenar yang wajar dilaksanakan oleh PIBG selain berusaha membantu sekolah untuk mengumpul dana (bagi membiayai aktviti bersama dan peningkatan pencapaian sekolah).

PIBG tidak seharusnya dijadikan sarana oleh segelintir oportunis untuk meraih populariti dan membantunya untuk berkecimpung dalam mana-mana pertubuhan politik. Sekolah juga wajar membebaskan ‘persekitaran’nya daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan tidak dikaitkan dengan ‘ketentuan politik’.

Sekolah adalah platform terbaik untuk meningkatkan semangat perpaduan dan saling hormat menghormati. Ia perlu dipupuk menerusi interaksi dan disemai dengan amalan nilai-nilai baik dalam kehidupan bermasyarakat. Yang penting ialah adab dan batasan perlu dijaga agar tidak dapat mengelakkan lahirnya generasi ‘kurang adab’ dan ‘biadap’.

 

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply