Jangan dedah dosa, aib sendiri

Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Bagaimanapun Nabi Muhammad SAW mengingatkan dalam hadis: “Seorang Mukmin tidak jatuh dalam lubang yang sama dua kali.” (HR Bukhari dan Muslim).

Peringatan Nabawi itu bermaksud mereka yang beriman akan berusaha tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Iman bukan sekadar membawa erti percaya, sebaliknya mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mengamalkannya dengan anggota. Namun pada masa sama, lidah, hati dan semua anggota badan sebenarnya tidak terhalang daripada melakukan dosa. Ia menjadi ruang kepada manusia untuk sentiasa memohon keampunan jika melakukan dosa, tetapi kita diingatkan tidak mengulangi dosa yang sama.

Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW juga pernah ditegur secara langsung oleh Allah SWT seperti yang dirakam dalam surah ‘Abasa. Baginda juga menunjukkan contoh yang baik kepada umatnya apabila sentiasa memohon keampunan dan menggesa untuk sentiasa memperbanyakkan istighfar serta taubat.

 Salah satu doa yang digalakkan pada Ramadan lalu ialah ‘Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mulia dan Engkau suka mengampuni, maka ampunilah aku.’ (HR Tirmizi) Malah, doa ini juga perlu diteruskan pada bulan lain selepas Ramadan.

Malah, bermaaf-maafan juga tidak semestinya berlaku pada Syawal sahaja. Kita digalakkan untuk sering memohon maaf jika melakukan kesilapan sesama manusia. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ada kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang kerana sesungguhnya di sana tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran (yang ada hanya) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya. (HR Bukhari)

Saling bermaafan

Hadis ini menunjukkan memohon kemaafan sesama manusia sama pentingnya dengan memohon keampunan Tuhan. Ia tidak akan selesai hanya memohon keampunan Tuhan tanpa memohon maaf daripada sanak-saudara dan kenalan yang pernah kita sakiti sama ada dengan sengaja mahupun tidak sengaja.

Kita juga digalak sentiasa memaafkan. Walaupun sukar, saling bermaafan tidak menjadikan kita hina, bahkan kita lebih mulia.

Namun, Nabi SAW pernah berpesan, walaupun setiap kita tidak lari daripada melakukan dosa, ia tidak bermakna kita dibenar untuk mendedahkan dosa yang pernah dilakukan sama ada secara senyap atau terbuka.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: “Rasulullah SAW bersabda; setiap pengikutku akan diampunkan kecuali orang yang mendedahkan kesalahan mereka. Contohnya adalah orang yang melakukan dosa pada malam yang Allah SWT menutupi baginya, sedangkan pada waktu pagi, dia akan berkata (kepada orang lain): “Saya melakukan dosa itu dan dosa tadi malam tadi, sedangkan Allah SWT menyimpan rahsia itu. Pada waktu malam Allah SWT menutupinya, tetapi pada waktu pagi ia mengoyakkan sampul yang disediakan oleh Allah sendiri. (HR Bukhari dan Muslim)

Mengakui kesalahan adalah perlu kerana ia memberi makna mendalam ketika kita memohon kemaafan. Ia juga membantu kita untuk lebih berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Namun, menguar-uarkan secara umum bahawa kita melakukan sesuatu dosa atau kesalahan tidak digalakkan kerana ia membuka aib diri sendiri serta aib orang lain yang terbabit sama.

Sadisnya, masih ramai suka mendedahkan dosa sendiri dengan alasan manusia tidak lari daripada melakukan dosa. Dosa bukan untuk ditayang atau diumum secara terbuka kerana pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang menyesali dosa dan kesilapan.

Rasulullah SAW berkata: “Dosa itu adalah apa yang tidak enak di hatimu dan engkau benci untuk menayangkannya di hadapan manusia.” (HR Muslim). Ia berkait rapat dengan soal malu dan aib yang perlu dijaga.

Sebagai peringatan untuk kita yang tidak lepas daripada melakukan dosa, sentiasa perbanyakkan taubat dan memohon keampunan Allah SWT serta memohon kemaafan sesama manusia dan saling menutup aib serta menjaga kehormatan sesama kita.

Nabi SAW berpesan: “Sesiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim)

Oleh Nur Saadah Khair

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply