‘KEBACULAN POLITIK’ DAN ‘POLITIKUS BACUL’

Sebaik sahaja mengetahui pemecatan lima orang ‘pang-lima’ yang dianggap ‘mengkhianati parti’, ada netizen mengulas tindakan tersebut sebagai ‘bacul’. Saya cuba mencari makna, dan setelah membuka Kamus Dewan (Edisi Keempat, 2007:100) ketemu istilah itu. Bacul bermaksud ‘tidak bersemangat (untuk melawan, berlaga dan lain-lain); penakut atau pengecut.  Makna yang sama saya temukan dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (edisi ekonomi, 2002:106).

Bila lima orang yang masih kekal sokongan kepada Dr Mahathir dipecat – Mahathir (Langkawi), Mukhriz (Jerlun), Mazlee (Simpang Renggam), Syed Saddiq (Muar) dan Haji Amirudin Hamzah (Kubang Pasu)—apakah pihak yang memecatnya ‘bacul’? Sekali fikir, tindakan yang dibuat oleh pimpinan Bersatu yang pro-Muhyiddin menerusi surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja PPBM, Kapten Muhamad Suhaimi Yahya bukanlah satu tindakan yang boleh dikategorikan sebagai bacul.

Ia suatu tindakan berani dan bertepatan dengan peraturan (perlembagaan parti) sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 10.2.2 dan 10.2.3.  Jadi, tindakan itu adalah yang sepatutnya dibuat, dan jika Setiausaha Kerja PPBM tidak melaksanakannya, ia baharulah boleh dianggap ‘bacul’.

saga PPBM 8

Kenapa? Perlembagaan parti adalah dokumen yang mengadabkan setiap ahlinya dengan nilai kepatuhan kepada organisasi. Saya melihat kelima-lima mereka inilah sebenarnya ‘bacul’, tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan kumpulan pro Muhyiddin yang lebih ramai.

Wakil rakyat PPBM dikatakan seramai 26 anggota, 21 di pihak Muhyiddin manakala di pihak Dr Mahathir hanya tinggal lima, termasuk Dr Mahathir sendiri. Bahkan permohonan Muhyiddin untuk bertemu Tun Dr Mahathir selepas perubahan kuasa atau mengharmonikan ‘sengketa’ tidak dilayan. Ini sudah memperlihatkan sikap sebenar Dr Mahathir, degil dan keras kepala serta sangat mementingkan ‘ego sendiri’.

Mahathir sudah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PPBM, jawatan yang paling berkuasa dalam parti. Kemudian, Mahathir menang tanpa saingan apabila pencalonan dibuka. PPBM bakal membuat pemilihan pertama sejak ia ditubuhkan (2106) secara menyeluruh pada bulan Jun nanti. Akibat COVID-19, ia ditunda. Surat peletakan jawatan Dr M ahathir disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Namun, Dr Mahathir masih berkuasa kerana menang tanpa saingan  beberapa hari selepas meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PPBM. Tidak siapa persoalkan ‘kemenangan’ tersebut kerana itu adalah keputusan ahli.

Ph OH

Hanya Mahathir melihat dirinya masih berkuasa ke atas PPBM sedangkan yang lainnya sudah hilang kepercayaan, kecuali anaknya, Mukhriz (Timbalan Presiden), Syed Saddiq (Ketua Armada), Mazlee (Ahli Pimpinan Tertinggi), dan bekas Setiausaha Agung, Marzuki Yahya yang pernah terpalit dengan isu ‘ijazah palsu’.

Sebagai reaksi balas pemecatan tersebut, Marzuki yang merupakan Setiausaha Agung PPBM yang dipecat Muhyiddin dan dilantik kembali oleh Dr Mahathir, memecat pula Setia Usaha Kerja PPBM lantikan Muhyiddin. Drama pecat memecat bermula dan umpama mengulangi apa yang pernah berlaku ke atas PPP ketika Datuk M Kayveas dipecat. Siapa yang betul dan mengikut perlembagaan parti, ia terpulang kepada tafsiran kepada apa yang tertulis. Peguam Dr Mahathir, Hanif Katari sudah memohon penjelasan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan menurut Akta Pertubuhan.

Cuma Mahathir sahaja penyandang yang terpilih, selebihnya belum disahkan secara demokratik sejak PPBM ditubuhkan. Jawatan-jawatan di peringkat pusat kesemuanya masih dalam ‘peringkat jawatankuasa penaja’ kerana PPBM belum melaksanakan pemilihan secara sah.

PPBM pernah berhadapan dengan kemungkinan diharamkan, dan pernah diberikan amaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan: tidak melaksanakan Mesyuarat Agung dan Pemilihan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan, iaitu dua tahun selepas diluluskan pendaftaran. Kesannya, PRU ke-14, PPBM tidak dapat menggunakan logo parti dan menumpang populariti PKR. Ini menjadi strategi untuk ‘mengelabui’ pengundi. Strategi itu berjaya dengan kemenangan 13 kerusi.

Keadaan berubah apabila PH menang PRU ke-14. PPBM tidak diharamkan, Mahathir dilantik  sebagai Perdana Menteri dan Muhyiddin pula Menteri Dalam Negeri.  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan merupakan salah sebuah jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Muhyiddin tidak tergamak untuk mengharamkan parti yang ditubuhkannya bersama Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin.

saga PPBM

Tahun 2019, PPBM mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT), tidak ada pemilihan dibuat. Apa yang berlaku ialah usul mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga sepenggal. Maknanya, ketika Dr Mahathir melepaskan kuasa sebagai Perdana Menteri dan  berusaha  kembali berkuasa ia dilihat satu tindakan tidak wajar. Ia memberikan gambaran Dr Mahathir seumpama seorang suami yang tergila-gilakan “bekas isteri” yang diceraikan dengan talak tiga.

Sebelum ‘isteri’nya berkahwin lain –membentuk pakatan baharu dengan Muafakat Nasional (PAS dan UMNO/BN), GPS dan PKR (Pro Azmin)—Mahathir tidak dianggap ‘bacul’. Mahathir tetap setia dengan DAP dan rakan-rakannya yang pernah dianggap sebagai pengkhianat dan perosak negara. Mahathir pernah menuduh Anwar sebagai ‘tidak bermoral’ dan orang yang tidak bermoral ‘tidak sepatutnya dilantik sebagai Perdana Menteri’.saga PPBM 1

Mahathir juga pernah mengisytiharkan DAP sebagai parti perkauman dan melampau. DAP tidak berjuang untuk kepentingan semua kaum dan parti itu didominasi oleh bukan Melayu. Tetapi, selepas diberikan peluang dan dilantik sebagai Perdana Menteri (sementara), Dr Mahathir menjadi ‘amat mesra’ dengan DAP. Bahkan, dalam komen sebab menolak Langkah Sheraton ialah ‘Muhyiddin mahu bekerjasama dengan UMNO’ dan menolak DAP. Dr Mahathir ‘tidak rela’ meninggalkan DAP. Mungkin ‘terhutang budi’ kerana DAP merestui pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-7.

Dari perspektif politik, DAP tidak sepenuhnya menerima Dr Mahathir. Dalam setiap tindakan, Dr Mahathir menerima kritikan hebat daripada pemimpin DAP di pelbagai peringkat.  Contohnya ketika mengambil bahagian dalam Kongres Maruah Melayu. Namun, DAP tetap memberikan alasan bahawa ia bukanlah pendirian parti, kesemua kritikan dan kecaman yang dibuat adalah bersifat peribadi, termasuklah gesaan mempercepatkan proses peralihan kuasa, ugutan Lim Kit Siang bersara jika  tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, ‘harimau kertas’ oleh Ronnie Liew, dan komen-komen pedas daripada tukang kempen DAP di belakang.

Nga Kor Ming pernah mengakui DAP pergunakan Dr Mahathir untuk mendapat kuasa  (Berita Harian, 6 Mei 2018, “Klip video DAP peralat Dr Mahathir tersebar”). Tetapi, Mahathir seperti telah disihir oleh DAP, mengecam  mereka yang menjarakkan diri dengan DAP sebagai bacul.

Kata Dr Mahathir, “Saya amat malu apabila ramai orang Melayu percaya DAP akan hancurkan kita orang Melayu jika ia berada dalam kerajaan Malaysia” dan “dari mana datangnya bacul ini?”. (Malaysiakini, 12 Mei 2020. “Mungkin sekarang ada orang Melayu bacul’.).

saga PPBM 5

Sebenarnya Dr Mahathir adalah seorang politikus yang ‘bacul’, tidak berani ‘bertentangan dengan DAP’ dan mencari alasan menyalahkan orang lain.  Ketika memimpin BN selama 22 tahun,  tidak pernah kita mendengar Dr Mahathir ‘memuji DAP’.

Beliau bertegas dengan pendirian bahawa  DAP  tidak mementingkan perpaduan dan sentiasa ‘menghasut’ rakyat. Kita mungkin ingat bagaimana Dr Mahathir menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menyekat pengkritik kerajaan, termasuk menahan Lim Guan Eng di Kamunting.

Operasi Lalang (1987) menjadi sejarah kekal bagaimana tindakan Dr Mahathir  menggunakan ISA, mana-mana pemimpin politik ditahan tanpa bicara atas untuk tempoh tertentu. Bukankah itu membuktikan Dr Mahathir ‘tersangat bacul’?. Tidak berani berdepan dengan pengkritik-pengkritik  yang mahukan ISA tidak disalahgunakan untuk mengekang kebebasan dan hak asasi? Apakah Mahathir lupa dengan dakwaan DAP agar undang-undang ‘draconian’ dihapuskan. Draconian merujuk kepada penahanan dakwaan terhadap pemimpin DAP. Sebaliknya, bila pemimpin BN dikenakan tindakan dengan kesalahan yang sama, DAP tidak melabelkannya sebagai ‘draconian’?

saga PPBM 4

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad pernah menuduh Dr Mahathir ‘bacul’ kerana bekerjasama dengan DAP. Ia merupakan reaksi balas terhadap Dr Mahathir yang mengikut rentak DAP, menuntut agar Sidang Dewan Rakyat dibuka untuk perbahasan dan mengadakan ‘undi tidak percaya kepada Muhyiddin’.

Raja Kamarul Baharin turut mendakwa, pendirian kerajaan PN itu sebagai bacul dan reaksi balas Idris Ahmad juga bacul. Raja Baharin meminta Idris memahami erti bacul (Malaysia Dateline, 16 Mei 2020, “PAS perlu faham erti bacul’.). Alasan Raja Baharin, pembentukan kerajaan PN dan pendirian tidak membenarkan perbahasan adalah “tidak mengikut ajaran Islam dan adat Melayu”.

Saya tidak tahu apakah ‘tidak memberikan ruang perbahasan’  itu tidak mengikut ajaran Islam dan adat Melayu. Apa yang kita faham, sekiranya sesuatu tindakan dibuat, tanpa memikirkan implikasi kemaslahatan awam  boleh dilihat sebagai sesuatu yang bacul. Ia seumpama ‘lempar batu sembunyi tangan’.

Ia merupakan tindakan berselindung. Kerajaan PN telah membuat satu keputusan yang tepat, ia berdasarkan pertimbangan  bahawa wabak COVID-19 belum reda  dan ia memerlukan ‘kawalan ketat’. Bukan seperti PH yang mempertahankan kemasukan pelancung dan di mana ‘nak simpan 2 juta pelancung China’ sedangkan COVID-19 sudah dikesan terdapat dalam negara.

saga PPBM 6

PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) belum ditarik balik meskipun ada sedikit kelonggaran  (antaranya, beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, rentas daerah dibenarkan (rentas negeri tanpa kebenaran adalah satu kesalahan), dan had penumpang kenderaan persendirian kembali kepada kapasiti sebenar). Sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum ditarik balik.

Ini bermakna, keputusan tidak melanjutkan perbahasan di Dewan Rakyat dibuat berdasarkan kebimbangan tersebut. Ia sesuatu yang wajar apatah lagi peraturan Dewan Rakyat dengan jelas menyatakan, perbahasan dibenarkan selepas kesemua kepentingan kerajaan selesai.

Bahkan, pada 18 Mei 2020, beberapa perkara dasar dan kepentingan kerajaan turut ditangguhkan. Ia bukan dibatalkan. Ia bakal diadakan pada bulan Julai.

Maknanya, terlihat sikap PH yang gelojoh dan tidak sabar. Sebab itulah PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan. Mereka gelojoh dan tidak sabar sehingga menyebabkan Dr Mahathir tidak dapat bersabar dengan tuntutan ‘peralihan kuasa’.

Mereka terus mendesak Dr Mahathir walaupun diberitahu ‘janji akan tetap ditunaikan’. Mahathir tertekan apabila kumpulan Otai Reformasi menetapkan tarikh 10 Mei 2020 sebagai tarikh akhir ‘peralihan kuasa’ sedangkan apa yang dimahukan ialah selepas APEC 2020 atau selewat-lewatnya awal 2021.

Faktor yang menekan itulah mendorong Azmin Ali cepat menyusun langkah, mengadakan Langkah Sheraton (23 Februari 2020). Kalau Azmin dituduh ada agenda, Anwar juga ada agenda. Itulah sudah menjadi lumrah orang berpolitik.

Sebelum itu dikatakan ada beberapa  percubaan untuk menjatuhkan kepimpinan Dr Mahathir. Antaranya muafakat oleh Hishamudin Tun Onn. Hishamudin dikatakan ‘sedikit mengelat’ selepas tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO dan agak ‘lantang’ mengkritik UMNO. Hishamudin dan Khairy Jamaludin dikatakan ada cadangan untuk menubuhkan pakatan baharu dengan mengetepikan Zahid Hamidi, yang kembali menerajui UMNO selepas beberapa bulan bercuti.

saga PPBM 9

Dalam reaksi balas sebaik sahaja menerima surat pemecatan tersebut, Mahathir dan empat wakil rakyat yang terbabit menyifatkan pemecatan yang tidak boleh diterima kerana “ jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi Bersatu. (Malaysiakini, 28  Mei 2020. “Kami tidak terima pemecatan salah ini, Dr Mahathir dan empat yang lain”.).

Ia dikatakan tindakan Muhyiddin ‘bermain politik’ semasa COVID-19,  dan rasa tergugat  ‘dicabar’ oleh Mukhriz. Dalam pertandingan merebut jawatan Presiden PPBM dan keputusan pemecatan itu dianggap ‘biadab’ serta menampakkan sikap ‘diktator’ presiden. Keadaan ini menyebabkan kekusutan politik Malaysia bertambah rumit, dan mungkin akan berlaku cabar mencabar di mahkamah ekoran dakwaan ‘tidak sah’. Ia mungkin terjadi kerana Dr Mahathir terus berdegil dan pernah berkata dengan ‘apa cara sekalipun’, kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin ‘akan dijatuhkan’.

Dalam percubaan pertama menggunakan ‘undi tidak percaya’, Dr Mahathir gagal pada 18 Mei lalu. Dari segi persefahaman politik, Khalid Samad sudah menerangkan bahawa PH sudah membuat keputusan ‘menetapkan siapakah calon Perdana Menteri’ secara jelas untuk mengembalikan ‘mandat rakyat’ kepada PH. (https://www.blogammar.com/ph-sudah-ada-calon-pm/ 28 Mei 2020).

Bagi Mahathir, adalah mudah menuduh seseorang itu ‘biadab’ dan  ‘diktator’ kerana  beliau tidak pernah mengakui hal yang sama ketika berkuasa. Ketika bersama UMNO, beliau dianggap ‘biadab’ oleh ahli UMNO apabila mencantas lebih ramai pemimpin UMNO peringkat akar umbi dan membawa masuk kumpulan-kumpulan tertentu ke dalam parti.

UMNO pada suatu ketika dipimpin oleh dalam kalangan guru. Akhirnya terpinggir apabila kemasukan golongan korporat telah membawa budaya ‘penaungan melampau’ sehingga membarah ‘politik wang’. Musa Hitam pernah menganjurkan agar ahli UMNO menjadi sedikit ‘kurang ajar’ daripada meneruskan budaya ‘yes boss’.

Dalam pemilihan 1987, salah satu faktor kemenangan  dengan 43 undi dikaitkan ialah politik wang, mengundi pada hari Jumaat (ditangguhkan waktu shalat Jumaat), black-out semasa pengiraan undi dan ada perwakilan yang belum sah pendaftaran cawangan.  Sikap itu dikesali, kerana Dr Mahathir ingin mempertahankan kemenangan dan tidak boleh menerima diadakan pemilihan semula.

Akibat kedegilan itu, degil yang ‘biadab’ dan ‘salah dari segi peraturan’, UMNO diharamkan. Pengharaman itu kemudian digunakan oleh Dr Mahathir untuk memperkukuhkan kedudukannya dan sebagai strategi menyingkirkan pengaruh Tengku Razaleigh dalam Team B. Secara diktatornya, Dr Mahathir menggunakan kuasa  menghalang  Tengku Razaleigh menghidupkan semula UMNO (Asal) dan meluluskan pendaftaran UMNO (Baru)

Kelulusan pendaftaran UMNO (B) diperoleh dalam masa yang singkat. UMNO (Baru) perlu cepat bertindak bagi membolehkan aset-aset UMNO  dikembalikan  dan kemudian aset-aset itu difaraidkan sebagai ‘harta rampasan perang’. Itu menarik minat lebih ramai golongan korporat menyertai UMNO dan UMNO dilihat sebagai ‘lubuk emas’ meraih kekayaan, mendapatkan kontrak kerajaan dan sebagainya.

Tidak terkecuali ialah penguasaan Daim dalam aktiviti korporat dan kewangan. Kemudian Anwar menggunakan kedudukannya untuk membina ruang pengaruh dengan menawarkan ‘pink form’ dan melantik lebih ramai ‘juak-juak’nya di pelbagai jawatan  lantikan politik mahupun bukan politik (sektor awam).

Pada satu tahap, hampir keseluruhan Setiausaha Politik (Menteri dan Menteri Besar dikuasai oleh aktivis atau bekas ABIM) dan disusli dalam beberapa entiti ekonomi baharu (seperti joint-capital). Banyak syarikat  baharu ditubuhkan sebagai proksi Anwar atau menjaga kepentingan Anwar. Contohnya  Abrar Corporation. Setelah Anwar dipecat, Abrar Corporation turut lenyap .

Beberapa hari sebelum  pemecatan “pang-lima’ PPBM itu, tersebar dengan meluas usaha perangsaraf menjatuhkan  Muhyiddin dan kerajaan PN. Istilah ‘kerajaan pintu belakang’ yang digunakan sudah tidak lagi relevan. Titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong (SPBDA) menjelaskan sikap sebenar Dr Mahathir, tidak bersetuju menarik balik keputusan meletakkan jawatan walaupun diminta berbuat demikian.

Muhyiddin VS Mahathir

Akibat kekosongan itu, SPBDA menggunakan ‘kuasa budi bicara’ untuk mencari penyelesaian dan telah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja. Akhirnya Muhyiddin diyakini ada ‘kepercayaan majoriti’ dan mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac 2020. Ertinya, dengan pengumuman itu hasrat ‘meroyan’ Dr Mahathir sudah tamat dan dakwaan mempunyai ‘jumlah sokongan yang cukup’ tidak boleh diterima lagi. Dr Mahathir kemudiannya mengakui, Muhyiddin mampu bertahan sehingga PRU ke-15.

Selepas gagal, Dr Mahathir berusaha menggunakan tekanan terhadap Dewan Rakyat. Ia juga gagal walaupun usulnya diterima. Kegagalan itu  mendorong Dr Mahathir mengadakan sidang media selepas Sidang Dewan. Namun, Anwar Ibrahim tidak hadir dalam Sidang Media berkenaan.

Anwar VS Mahathir

Kemudian bertiup pula ‘ura-ura’ Anwar sudah tidak lagi memerlukan sokongan Dr Mahathir bagi mendapatkan jawatan Perdana Menteri. Ada laporan mengatakan Anwar mungkin akan bekerjasama dengan Muhyiddin untuk membentuk pakatan baharu. Namun laporan tersebut  belum dapat disahkan. Ia hanya berpunca daripada spekulasi perjumpaan Anwar dan Muhyiddin sebelumnya, yang dilaporkan perancangan untuk memerangi COVID-19.

Kini tersebar pula kenyataan Anwar ditawarkan jawatan Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana sekiranya bekerjasama membentuk pakatan baharu di luar PH tapi bersama PN.

Dr Mahathir perlu menghidupkan ‘momentum politik’ untuk memperlihatkan dirinya masih berpengaruh. Apabila Mukhriz terpaksa melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah untuk kali kedua, imej kumpulan yang dipimpinnya perlu digilap semula. Jika tidak, nasib dan perjuangan politik Dr Mahathir dan Mukhriz akan tenggelam.

Kededua mereka sudah tidak ada ‘base’ dan ‘kuasa’ untuk mempengaruhi, tertinggal landas. Akibat tertinggal landas itulah mereka perlu membuat pelbagai desakan, dakwaan dan perancangan untuk meyakinkan ahli PPBM, parti-parti komponen PH yang masih berbaki dan seterusnya mitos menghidupkan ‘mandat rakyat’.

Rakyat sudah jemu dan meluat dengan PH. Sekiranya terus diberikan tekanan, Muhyiddin hanya ada beberapa pilihan untuk menunjukkan dirinya bukan bacul.  Kini, Dr Mahathir dikatakan akan  membuktikan PH mempunyai sokongan majoriti, menggugat  kedudukan Muhyiddin. Dengan kelebihan dua kerusi (18 Mei 2020 berdasarkan susun atur kerusi Dewan Rakyat), dan ‘pembatalan sokongan’ dua orang pemimpn politik dari Sarawak, Muhyiddin hanya mempunyai 111 undi, kedudukannya bakal tergugat. Dari segi itu, perangsaraf sudah bermula, kedudukan Muhyiddin adalah seimbang dan boleh jadi tergantung atau tumbang bila-bila masa.(Sahbudindtcom. net, “Bye Bye Muhyiddin’ 28 Mei 2020). Anwar berkata bilangan 129 sokongan masih dalam proses.

Mahathir atau PH dikatakan mempunyai peluang untuk ‘merampas semula kuasa’. Dan, jika ini berlaku, dan benar-benar  mengejutkan Malaysia. Drama politik selepas kekalahan BN dalam PRU ke-14 benar-benar mengundang kepada ketidakstabilan dan terpaksa diharungi  dengan kepayahan, termasuk mengekang jangkitan COVID-19. Ia berpunca daripada sikap ‘acuh tak acuh’ Dr Mahathir sendiri pada awalnya. Politiking dalaman berlanjutan tanpa akhirnya.

Pilihan terakhir  Muhyiddin sekiranya terdesak ialah mendapat perkenan SPBDA membubarkan Dewan Rakyat. Pembubaran itu membolehkan PRU ke-15 diadakan, dan ketika itu, rakyat kembali menentukan siapakah dan gabungan parti manakah yang akan berkuasa.

Mukhriz Move

Apakah jika PRU ke-15 berlangsung dalam masa terdekat atau sehingga akhir tahun ini, PH akan kembali berkuasa? Banyak petunjuk, akibat ‘biadap’ dan budaya politik ‘pemimpin terlucut kuasa’ semakin tidak disenangi rakyat, peluang untuk PH menang tersangat tipis. Rakyat sudah menolak apa sahaja yang dikaitkan dengan Anwar dan Mahathir dalam iklim politik negara. Kedua-duanya sudah banyak menyusahkan rakyat.

Mereka  mengatasnamamakan rakyat untuk mendapatkan kuasa, tetapi bila berkuasa membuli rakyat dan tidak berkhidmat untuk rakyat. Mereka mencari peluang untuk mengukuhkan kedudukan dan membina kroni baharu, menghidupkan idealisme ‘kebersamaan’ yang merugikan Melayu-Islam, dan menyisihkan akar umbi negara secara beransur-ansur, iaitu ‘ketuanan Melayu’.

Inilah yang paling dibimbangi,  kerana perjuangan DAP memang kental  dan DAP tidak pernah berusaha untuk berkongsi kuasa secara berkesan dengan orang Melayu. DAP hanya mahukan orang Melayu memahami jiwa dan hasrat bukan Melayu. Kadangkala mereka ‘melanggar dan berusaha merombak’ kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan sebuah negara bernama Malaysia, yang bertunjangkan Melayu, dari nama asal Tanah Melayu.

Apakah kerana orang Melayu kembali mempertahankan ‘ketuanan Melayu’ dan ‘kedudukan Islam’ dianggap bacul?  Siapakah sebenarnya yang ‘bacul’ apabila sentiasa memperlekehkan Melayu dan menghina Islam?

Apakah ‘tindakan’ menuduh penyatuan dan perpaduan  Islam itu adalah ‘ala Taliban’ atau ‘permulaan gendang perang’? Sesuatu yang perlu difahami dengan jelas, pelabelan seperti itu telah menimbulkan lebih besar kemarahan. Apakah tindakan PH terhadap kenyataan-kenyataan tersebut?

PH perlu menjawab kesemuanya sebelum mengimpikan kemenangan besar dan kembali berkuasa selepas PRU ke-15. Atau  jika pun berjaya ‘merampas semula’ dengan Akuan Bersumpah (SD) terbaharu pada bulan Julai, PH akan ‘direjam’ oleh rakyat.

Rakyat ‘merejam’ PH kerana imejnya yang tercalar dan memburuk. Orang Melayu yang ada di dalam PH memang ‘bacul’ sebab terlalu percayakan DAP.

DAP tidak pernah berubah, DAP tetap dengan Malaysian Malaysia, cuma bertukar bungkusan dengan jenama  ‘kebersamaan.’

ppbm AND bn

Itulah ‘kebaculan’ sebenar yang patut difahami oleh politikus Melayu, kerana  mengharapkan sokongan DAP akibat tidak kuat ‘kemelayuan’. Apakah reaksi pemimpin PH apabila Siti Kassim meminta  dihapuskan sekolah tahfiz sebelum penjualan arak diharamkan?

Apakah usaha PH semasa berkuasa untuk mengenakan tindakan berat ke atas pemandu mabuk? Hanya bercakap, berforum tetapi tiada kesungguhan dan tindakan.

Anthony Loke perlu dipersoalkan tanggungjawab itu kerana beliau dilihat lantang memberikan pengesyoran dan tidak berusaha melakukannya ketika berkuasa. Beliau hanya sibuk memperkatakan ‘kerusi keselamatan kanak-kanak’ kerana ia adalah peluang perniagaan yang besar bagi pendokong DAP.

Beliau juga gagal dalam AES dan pengoperasian semula setelah dipindahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan.

Selepas terlucut kuasa, pandai pula memberikan ‘cadangan bernas’ kepada kerajaan PN, termasuklah pemberian lebih banyak ‘dedak’ kepada rakyat. Semasa berkuasa, rakyat yang berpendapatan rendah diberikan e-wallet RM 30 dan diminta ‘ikat perut’. Itu sudah cukup menggambarkan hipokrasi politik pemimpin PH yang terlucut kuasa.

Apa yang dicadang dan disuarakan sekarang adalah apa yang ingin dibuang dalam pemikiran masyarakat, termasuk mengurangkan subsidi dan kebajikan rakyat. Dua perkiraan awal yang ditangguhkan (memansuhkan skim berpencen penjawat awam dan mengurangkan elaun kritikal) menjadi natijah besar kegagalan PH.  Akhirnya dikaitkan dengan kemahuan DAP untuk melemahkan kedudukan Melayu dalam perkhidmatan awam sedangkan dalam sektor swasta mereka sudah lama menguasainya.

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply