KEBEBASAN YANG MENGHINA

Buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia sudah dirampas oleh pihak berkuasa atas kesalahan mengkarikaturkan Jata Negara. Buku itu disunting oleh Kean Wong dan menurut catatan di kulit hadapan yang kontroversi itu, kandungannya adalah rencana analisis politik Malaysia selepas PRU ke-14 yang dikaitkan dengan agenda reformasi. Reformasi politik telah bangkit dalam persekitaran perbalahan besar antara Mahathir dan Anwar, yang kemudiannya dihidupkan semula dengan kontroversi siapakah pilihan sebenar PH untuk dinobatkan sebagai calon Perdana Menteri selepas PH melucutkan sendiri kuasa yang diperolehnya pada PRU ke-14.

Tidak adil bagi saya untuk mengulas tentang buku itu kerana belum membaca kandungan yang dikhabarkan ditulis oleh mereka yang berwibawa, termasuk ahli akademik, penganalisis politik tempatan dan luar negara termasuk nama-nama besar James Chin, Meredith Weiss, Ross Tapsell, Clive Kessler dan Greg Lopez.

James Chin adalah Pengarah Kajian Governan Institut Jeffrey Cheah mengenai Pengajian Asia Tenggara, Universiti Sunway. Beliau adalah penyunting bersama Joen Dosch buku Malaysia Post-Mahathir: A Decade of Change, (2015) dan berganding dengan Andrew Harding menyunting buku 50 Years of Malaysia: Federalism Revisited (2014).

Meredith Weiss ialah Profesor Sains Politik University of Albany dan pernah menulis buku The Roots of Reseilience: Party Machines and Grassroots Politic in Southeast Asia (2020); Student Activism in Malaysia: Crucible, Mirror, Sideshow (2011) dan  Protest and Possibilities: Civil Society and Coalitions for Political Change in Malaysia (2005).

Ross Tapsell adalah pensyarah di Universiti Kebangsaan Australia dan Felo Pelawat di Universitas Air Langga (Surabaya), Universitas Indonesia (Jakarta) dan Universiti Indiana (USA). Bidang kepakaran beliau ialah pengajian budaya dan media. Antara buku tulisannya ialah Media Power in Indonesia: Oligarchs, Citizens and the Digital Revolution (2017) dan By-Lines, Balibo, Bali Bombings: Australian Journalists in Indonesia (2015).

Clive S Kessler adalah tokoh akademik dari University of South Wales, Sydney, Australia yang tidak asing bagi sebahagian besar ilmuan sejarah dan politik di Malaysia. Beliau mempunyai minat yang mendalam mengenai politik Malaysia sejak tahun 1967 dan menghasilkan satu kajian sosiologi politik mengenai politik Islam, iaitu Islam and Politics in a Malay State: Kelantan, 1838-1969 (1978) dan Virginia Hooker dan Noraini Othman menyunting buku Malaysia: Islam, Society and Politic (2003) bagi melanjutkan asas penyelidikan politik dan  penghormatan kepada Profesor Emeritus Clive S Kessler.

Greg Lopez adalah pensyarah Murdoch University, Perth, Australia. Beliau mendapat pendidikan di Malaysia dan Australia, dan penyunting bersama Meredith Weiss, Regime Resilience in Malaysia and Singapore (2018) dan menulis satu rencana bertajuk “Regime Change, maybe” dalam buku yang dianggap kontroversi kerana mengkarikaturkan Jata Negara itu.

Dalam pemikiran saya, sekiranya buku suntingan Kean Wong tidak mencipta kontroversi, ia adalah senasib dengan lain-lain buku yang diterbitkan oleh Strategic Information and Research Divison (SIRD), jarang terdapat buku-buku yang terlajak laris, terutama dalam suasana ‘lesu pembacaan’ oleh rakyat Malaysia terhadap buku.

Akibat mencipta kontroversi, lebih 30 laporan polis telah dibuat kerana menghina Jata Negara. Dalam kenyataan semalam (30 Jun 2020), PDRM memberitahu bahawa buku tersebut yang dicetak sekitar 1000 naskhah, sejumlah 313 naskhah telah dirampas di stor SIRD di Petaling Jaya manakala 687 naskhah telah dijual secara dalam talian. Pihak polis sedang menyiasat dan pelukis grafik buku berkenaan sudah dikenal pasti.

Menurut pengurus syarikat Gerak Budaya (anak syarikat SIRD), Chong Ton Sin, pihaknya tidak berniat untuk menghina Jata Negara dan tidak menyangka ia bakal menimbulkan kontroversi besar kerana asasnya, ia berasal daripada lukisan ‘cat minyak’ yang pernah dipamerkan di beberapa pameran seni lukis di Kuala Lumpur dan Kucing lebih enam tahun lalu. Ketika lukisan itu dipamerkan, tidak muncul sebarang kontroversi mengenai.

Alasan tersebut tidak dapat diterima oleh sebahagian besar masyarakat, bahkan ada yang meminta agar syarikat penerbitan berkenaan dibatalkan lesen perniagaannya. Bantahan tersebut dianggap ‘melampau’ dan bersifat ‘marahkan pepijat, kelambu dibakar’. Secara umumnya, SIRD telah banyak menerbitkan buku-buku bermutu daripada pelbagai perspektif, yang sebahagiannya menjadi rujukan ilmiah kepada pembaca umum dan ahli akademik. Sebahagian buku-buku dihasilkan oleh ahli akademik dan sebahagian adalah terbitan bersama dengan penerbit terkemuka misalnya, Institute of South East Asia Studies (ISEAS), Singapore, Silkworm Books (Thailand) dan Lynne Publishers Inc.(Colorado, USA).

Apa yang dikontroversikan ialah karikatur Jata Negara. Ia merupakan tindakan yang boleh dianggap ‘menghina’. Jata Negara sudah diterima sebagai simbol atau lambang negara, dan kedudukannya dipertahankan menerusi Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, terutama Seksyen 5. Ia juga menjadi kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 233 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Seksyen 8 (1).

Rebirth

Namun, apa tindakan selepas ini, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukannya. Apa yang perlu kita fahami ialah bagaimana karikatur itu ditempelkan dalam Jata Negara. Mengapakah karikatur itu berwajahkan perempuan? Jata Negara sebenar ialah dua ekor harimau dan di atasnya ialah bulan bintang. Dua ekor harimau melambangkan keberanian dan keupayaan rakyat Malaysia untuk bersaing. Bintang pecah 14 adalah negeri-negeri yang terdapat di Malaysia. Bintang bersama anak bulan ialah simbol Islam sebagai agama  persekutuan. Harimau merupakan haiwan rasmi Malaysia.

Jata Negara adalah refleksi kepada sebuah negara, maka menghinan Jata Negara bermakna menghina negara sendiri. Saya tidak pasti, siapakah sebenarnya yang menentukan karikatur itu dipilih sebagai hiasan kulit buku Rebirtth. Jika ia adalah pilihan penyunting, maka penyunting perlu dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman maksimum sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang. Turut dikenakan tindakan ialah penerbit, pencetak kerana walaupun dianggap ‘tidak kontroversi kerana tiada kontroversi sebelumnya’ ia tetap salah, seolah-olah mencabar atau tidak menghormati lambang dan simbol negara.

Sesuatu yang perlu difikirkan kenapa dua muka harimau itu ditempelkan dengan gambar wanita, yang sekali imbas seperti memakai ‘tudung’ dan dicelah-celahnya ada tanduk. Di bahagian tengah, yang sepatutnya mengandungi bendera dan barisan keris, ditempelkan juga gambar seorang wanita, manakala bulan bintang dimasukkan gambar kanak-kanak atau bayi bertelanjang. Di bahagian bawah yang sepatutnya ada slogan Bersekutu Bertambah Mutu (jawi dan rumi) telah digantikan dengan seekor buaya.

Apakah ‘kelahiran semula’ atau rebirth itu merujuk kepada gerakan reformasi yang lahir akibat perseteruan antara Mahathir-Anwar (1998) dan berulang kembali ketika ini? Ia boleh ditafsirkan begitu kerana buku ini siap dicetak pada tahun ini, atau ketika PH sudah terlucut kuasa? Atau juga kerana penyusunannya sudah dibuat sebelum PH ‘terbunuh’, ada kemungkinan penyuntingnya lebih bersimpati dengan sentiment mahukan Anwar sebagai PM ke-8, dalam gelora peralihan kuasa yang kencang bertiup selepas kemenangan Anwar di Port Dickson dan selepas PPBM tewas di PRK Tg Piai.

Itu adalah ‘culaan’ yang mungkin boleh kita lakukan. Namun, apa kaitannya wajah-wajah wanita yang dikarikaturkan dalam Jata Negara itu? Kenapa, setiap kali kita bercakap soal kebebasan dan hak asasi, seringkali ia disimbolkan dengan wanita dan kanak-kanak? Apakah itu adalah wajah jelek daripada demokrasi? Kita tangguhkan sementera makna buaya yang dijadikan sebagai ‘tapak’ kepada Jata Negara yang dikarikaturkan itu.

Jika ada pihak yang bangkit memperjuangkan ‘kebebasan’ tersebut, sama ada atas pemahaman mereka mengenai demokrasi, kenapa imej yang digunakan itu adalah wajah-wajah wanita? Bukankah dalam demokrasi, wanita dan lelaki mempunyai kedudukan yang setara, iaitu kesetaraan yang adil. Seharusnya, muka dua ekor harimau perlu membuktikan bahawa tidak ada diskriminasi gender, kerana setiap orang adalah setara.

Dengan mewajahkan ‘harimau’ dengan wajah ‘perempuan’, mungkin pelukis atau illustrator berusaha melakukan pelecehan secara halus mengenai perempuan, termasuk sebahagian daripada makna komersialisasi. Kebodohan dan komersialisasi itu lahir dalam dunia kapitalisme. Dan, untuk ‘memancing’ pembeli, ia perlu dihiasi dengan wajah wanita, seumpama iklan kereta. Ia sering ditempelkan wanita genit, gebu dan gatal, sekaligus ‘berahi’ sama ada sebagai ‘pembawa kunci’ mahupun sekadar membuka pintu atau penumpang kereta berkenaan. Lebih dahsyat lagi, wanita digunakan secara sinonim antara keayuan model dan kecantikan kereta.

Cara itu sebenarnya bukan ‘mengangkat nilai perempuan’. Ia merusak kemuliaan dan kehormatan wanita sehingga sentiasa sahaja tidak terlepas sebagai ‘objek seks’ dan stigma ghairah. Sedangkan, apa yang berlaku sekarang ialah kuasa pembelian para wanita sudah lama meningkat manakala sesekali, kuasa beli lelaki amat terikat dengan apa yang ditakuti untuk menjawab perihal “what women want’? (3W).

Saya teringat kepada filem What Women Want yang diterbitkan pada tahun 2000. Filem komedi romantik itu dilakonkan oleh Mel Gibson dan Helen Hunt. Ia membuatkan lelaki perlu mendengar dan memahami apa yang diperlukan oleh seorang perempuan, dan kemungkinan-kemungkinan memanipulasikan wanita apabila kita memahami ‘kehendak’nya. Saya fikir, perekabentuk kulit itu sedang ‘memancing wanita’ kerana itulah mewajahkan ‘harimau’ dan ‘lambang-lambang negeri’ dengan wajah wanita, sama ada sebagai pembaca atau sebagainya. Wanita mempunyai ‘instint’ dan lelaki juga begitu, lebih mudah terkesan apabila matanya terpandang dengan lakaran atau gambar wanita.

Barangkali itulah pertimbangan komersial SIRD untuk menggunakan karikatur Jata Negara, seolah-olah mengulangi atau rebirth apa yang pernah dilakukan oleh seorang rakyat Malaysia pada suatu ketika. Lelaki itu (Wee Meng Chee atau Namawee) pada tahun 2007 mengubah lagu Negaraku menjadi Negarakuku. Beliau dikatakan turut menghina kakitangan Tenaga Nasional Berhad apabila bekalan elektrik di rumahnya terputus (2009) dan Islam menerusi klip lagu “Oh My God” (2016). Akibat menghina kakitangan TNB, Namawee memilih hukuman menjalani kerja sosial selama tiga bulan (2014).

Tahun 2012, ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan mencadangkan Jalur Gemilang diganti kerana menyamai bendera Amerika Syarikat ‘the Star-Spangled Banner’. Pada tahun 2013, aktivis Hishamudin Rais juga dikatakan telah menghina Jalur Gemilang apabila mencadangkan bendera ‘Sang Saka Malaya’ menggantikan Jalur Gemilang sebagai bendera Malaysia. (Rujuk: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/perspektif-sejauh-mana-rakyat-menghormati-lambang-lambang-negara-126194).

Lebih menyedihkan apabila kumpulan hak asasi, Lawyers fo Liberty (LFL) mengkritikan siasatan ke atas buku Rebirth atas alasan, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) hanya melarang penggunaan Jata Negara tanpa kebenaran dan ‘tidak melarang sebarang persembahan seni yang diilham daripada Jata seperti yang digunakan pada kulit buku itu, yang tidak menyebabkan mana-mana orang yang waras terkeliru dengan Jata Negara’.(Rujuk: Free Malaysia Today, 1 Julai 2020 “Tiada kesalahan dilakukan dalam isu ‘jata negara’, kata kumpulan hak asasi”).

Sebagai penyelaras LFL, Zaid Malek sepatutnya tidak menyokong ‘penghinaan’ tersebut walaupun dilihat bertentangan dengan hak asasi dan kebebasan, kerana tidak ada kebebasan mutlak yang dijamin oleh mana-mana negara di dunia. Dalam perspektif demokrasi, tidak semua perkara boleh dikaitkan dengan kebebasan dan hak asasi, kerana ada had dan batasnya, termasuk menghina lambang atau simbol negara. Ia boleh dimaafkan jika penghinaan itu dibuat oleh mereka yang tidak waras, bukan orang yang sihat akalnya.

Zaid melihat seperti orang yang tidak sihat fikiran, maka tidak ada kesalahan menghina Jata Negara, walhal sebagai seorang yang waras, beliau akan bangkit mempertahankan nilai yang dipeganginya atau apa sahaja yang dilihat baik dan harus dipertahankan, termasuk namanya sendiri. Jika kita menghina nama seseorang, ia boleh didakwa dalam konteks komunikasi jelek dengan tujuan ‘menjatuhkan reputasi’ atau ‘mengaibkan’. Apakah karikatur Jata Negara bukan tindakan yang bertujuan ‘mengaibkan’ walaupun pelukisnya tidak menjelaskan secara nyata? Apakah niat pelukis itu mengkarikatur Jata Negara? Apakah motif penerbit buka mencetak dan menggunakan karikatur itu sebagai kulit buku Rebirth?

Satu perkara lagi yang perlu difikirkan, apakah dua ekor harimau yang memijak buaya? Apakah itu simbol kepada perjuangan politik yang dibawa oleh PH untuk menggambarkan bahawa pentadbiran dahulu itu ‘buaya’ yang sedang dipijak oleh dua ekor harimau yang bernama reformasi dan harapan baharu Malaysia? Ia seumpama propaganda. Tujuannya jelas agar apa sahaja institusi yang dikaitkan dengan kerajaan terdahulu ‘perlu’ direformasikan, kerana ia dilihat terlalu negatif. Apakah itu sesuatu yang wajar dan tepat dalam penilaian persepsi yang tujuannya menyemai bibit-bibit kebencian dan politik comor\t?

Saya melihat, apa yang berlaku dan akan terus berlaku ialah penyemarakan politik comot yang ketandusan nilai dan keperibadian mulia, sebabnya terlalu bertuhankan ‘demokrasi’ dan ‘berwahyukan’ kebebasan dan hak asasi. Walaupun ia bertentangan dengan norma, nilai dan budaya, akan tetap dipertahankan kerana itu adalah tafsiran demokrasi sedangkan demokrasi itu sendiri banyak kejelekanannya.

Sama ada kita sedar atau sengaja ‘take think for granted’, kejadian-kejadian penghinaan terhadap lambang, institusi dan statusquo negara tidak sepatutnya berlaku dan dikenakan tindakan yang keras. Walaupun ia merefleksikan sekelumit ‘rasa tidak puas hati’ terhadap pentadbiran dan kerajaan, ia tidak sepatutnya dibuat dengan menghina lambang, institusi dan statusquo negara. Kritiklah ‘apa yang tidak puas hati’ itu secara berhemah dan bukannya ‘membakar kelambu ‘hanya kerana berbau ada kehadiran pepijat seekor dua.

Monosin Sobri

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply