KHALID YANG ‘BRUTAL’, PUSING LAGI ‘GASING PATAH URI’

Bagaimana Khalid Samad cuba ‘spin’ titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong bagi menghidupkan balik euforia terhadap Pakatan Harapan menarik untuk kita merembat balas tingkah politiknya yang meroyan.

Khalid Samad sebenarnya sedang mencari kaedah untuk tidak dihubung kaitkan secara langsung  dakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik. Oleh itu, beliau cuba mengalihkan isu itu kepada ketidakakuran kerajaan Perikatan Nasional terhadap apa yang dititahkan oleh SPBYDA ketika merasmikan Sidang Parlimen yang paling pendek dalam sejarah politik negara.

Sidang Parlimen kali ini hanya sekadar mendengar titah baginda dan ditangguhkan selepas itu. Parti-pari pembangkang merasakan bahawa mereka adalah pilihan rakyat yang sah maka adalah rasa terpukul dengan pendedahan baginda. Pelantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah sah dari segi Perlembagaan setelah mendapat persetujuan ‘majoriti wakil rakyat’

Keputusan itu dibuat secara demokratik dan berlaku selepas Dr Mahathir yang memimpin kerajaan Pakatan Harapan tetap berhasrat meletakkan jawatan walaupun  dipujuk tidak berbuat demikian oleh baginda. Pendedahan itu menggambarkan situasi sebenar, yang kemudiannya cuba dialihkan kepada hal-hal lain oleh Dr Mahathir mahupun Khalid Samad, propagandis PAN.

Sebagai ‘payung negara’, baginda menggunakan ‘kuasa budi bicara’ yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Atas alasan itu, parti-parti pembangkang sudah tidak lagi dapat menuduh bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin adalah ‘kerajaan pintu belakang’ atau dalam istilah reaksi balas  Presiden PAS ‘kerajaan tebuk atap’. Reaksi balas itu sebenarnya bermaksud atap yang dibina oleh Pakatan Harapan sudah bocor. Atau, kayu penyanggah yang digunakan untuk meletakkan kepingan genting sudah patah dan perlu digantikan dengan segera.

Kebocoran berlaku disebabkan penghuni rumah pusaka berusia 63 tahun (sejak merdeka 1957), walaupun baharu digantikan atapnya 22 bulan lalu (PRU ke-14 pada 9 Mei 2018), berjalan mendabik dada sehingga lantai bergegar dan siling kapur berlubang-lubang dibaling objek ‘kuasa dan dominasi’. Keadaan itu menyebabkan struktur asas Pakatan Harapan senget dan perlu ditegakkan semula dengan kepimpinan baharu yang lebih dinamik.

Ternyata kedimamikan itu berpecah dua. Satu pihak masih dengan ‘angan-angan Malaysia Baharu yang sudah jadi Malaysia Keliru’ manakala satu kumpulan dengan tindakan progresif, iaitu kembali ke akar tradisi di mana asas negara ini dibina. Pertembungan itulah menyebabkan Pakatan Harapan kecundang kerana ada usaha untuk melemahkan ‘ketuanan Melayu’ oleh DAP.

PKR, DAP dan Bersatu tidak sehaluan matalamat.  PAN kurang mengambil ruang dalam pergeseran proses peralihan kuasa bagi menjaga rumah pusaka itu tidak roboh. PAN sedar diri,  kedudukannya  hanya dengan 11 kerusi Parlimen adalah terlalu kecil. Mat Sabu dianggap  sebagai gembala yang  ‘sesat dalam kembara mencari wadi politik’. PAN belum mampu menggantikan PAS walaupun berusaha ke arah itu. PAS masih kental dengan tradisionalis Islam dan  budaya konservatif. PAN dilihat terlalu progresif sehingga menjejaki tahap liberal dan pluralisme agama.

PPBM parti yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2016_ tidak lebih daripada ‘tindakan balas dendam’ di atas pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz. Shafie Afdal tidak mempunyai pengaruh yang besar di Semenanjung. Beliau lebih tumpukan Sabah. Dengan memberikan nafas baharu kepada sebuah organisasi Sabah dan menukarkannya menjadi Parti Warisan Sabah (Warisan), Shafie cuba membuka ruang pertarungan politik melawan arus.

Beliau berjaya, tetapi tidak mampu menubuhkan kerajaan tanpa kerjasama parti-parti lain. Dilakukan tindakan ‘kerajaan pintu belakang’ dengan menarik wakil-wakil rakyat BN bagi menunjukkan  ada ‘keyakinan majoriti’. Sekarang, kedudukan itu dikatakan bakal berubah, mungkin kesan daripada perubahan kerajaan di peringkat pusat.

Kedudukan Shafie dikatakan ‘serba salah’ di mana sebahagian wakil rakyat BN akan kembali kepada BN dengan menyokong kepimpinan negeri selain daripada gabungan diketuai Parti Warisan. Ia masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Warisan tidak berhasrat mengembangkan pengaruhnya ke Semenanjung dan ia berbeza dengan PPBM. PPBM cuba melakukan pengembangannya ke Sabah dan ditentang oleh Warisan. Bagaimanapun, dari segi sokongan, Warisan menyokong Pakatan Harapan tetapi belum bersedia untuk bergabung. Dilema Shafie ialah apabila UMNO kembali kuat, sebahagian pengundinya akan beralih arah. Kekalahan Warisan di PRK Kimanis dikatakan ‘turning point’ penolakan terhadap kepimpinan Shafie.

Selepas peletakan jawatan Dr Mahathir, empat buah kerajaan negeri berubah dari Pakatan Harapan kepada gabungan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional. Bermula dengan Johor, diikuti Perak, Melaka dan terakhir Kedah, iaitu sehari sebelum Sidang Perlimen berlangsung, menyebabkan Khalid Samad bertambah meracau dengan ‘alasan’ baharu. Khalid terpaksa melakukan perkara itu kerana beliau adalah ketua propaganda PAN, sebuah parti yang mendapat ‘nyawa’ daripada DAP atau sayap kanan DAP untuk meraih undi orang Melayu.

Rakyat melihat gelagat pemimpin PAN umpama  mekanisme politik DAP untuk membantu pengikisan imej dan persepi orang Melayu terhadap parti multietnik itu yang didominasi oleh bukan Melayu. Meskipun mula diterima dalam kalangan orang Melayu, calon Melayu yang bertanding di peringkat Jawatankuasa Pusat DAP tetap tersingkir kerana tidak cukup kuat gema emosi ‘kaum majoriti’.

Mereka melihat itu sebagai satu yang wajar, walaupun dalam pertarungan sedemikan, berlaku ketidakadilan permainan atau bias.

DAP pernah dilabelkan sebagai rasis dan perkauman oleh Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin. Tuduhan itu dibuat ketika mereka berada dalam UMNO. Bagaimanapun, Dr Mahathir dikatakan sudah melakukan pusingan 360° sejak beliau diberikan  memimpin Pakatan Harapan. Ia berbeza dengan Muhyiddin.  Muhyiddin mengambil sikap berhati-hati terhadap DAP.

Apabila merasakan situasi itu makin dikuasai, beliau membuat keputusan kekal berbantahan dengan Dr Mahathir. Boleh kembali kepada Pakatan Harapan dengan syarat tanpa DAP. Pendedahan itu jelas dalam dua rakaman audio mesyuarat sebelum PPBM berpecah dua dan menarik diri daripada menyertai Pakatan Harapan.

Atas alasan itulah Muhyiddin kembali menjalin kerjasama dengan UMNO dan PAS. Muhyiddin mahu mengembalikan paksi politik berasaskan Melayu dan Islam. Hakikat itu amat tidak disenangi oleh Dr Mahathir dan terpaksa ditelan sama oleh PAN,  yang rasa terancam dengan Muafakat Nasional yang direalisasikan secara jelas sebelum akhir tahun lalu.

Kedudukan 11 kerusi Parlimen PAN pada perkiraan statistik akan berubah sekurang-kurangnya separuh jika jumlah undi dua parti yang pernah bermusuh itu disatukan. Keadaan ini semacam satu bukti jelas,  PAN semakin cemas. PPBM pula sudah mengakui akui bahawa asas ‘kemelayuan’ dan ‘keislaman’ dalam tubuh parti tidak cukup kuat dan memerlukan sokongan DAP.

Tanpanya PPBM mungkin hanyut dan tidak relevan lagi dalam PRU ke-15. Mazlee Malik meramalkan, jika PPBM masih wujud sebagai parti ia mungkin akan dibuli oleh UMNO dalam PRU ke-15. Akibat takut dibuli itulah PPBM masih mahukan menjadi sebagai Pakatan Harapan, hanya kerana degil mahu melayan kehendak Mahathir. Itu sahaja.

Sebaliknya, PPBM perlu mengakui kesilapannya bekerjasama dengan DAP. Mereka hilang dua kerusi yang pernah dimiliki. Mereka kalah di DUN Semenyih dan tercabar teruk di PRK Tg Piai. Calon PH yang diwakili oleh PPBM memperoleh undi kurang daripada separuh undi majoriti.

Pertama kali dalam PRK calon kerajaan tewas dengan undi lebih rendah daripada undi majoriti. Itulah hakikat pahit yang mungkin menjadi salah satu faktor peletakan jawatan Dr Mahathir. Beliau telah ditekan atas kekalahan itu. Begitu juga dengan kekalahan PH dari Cameron Highlands.

PKR yang dilihat semakin mendapat sokongan selepas Anwar mendapat pegampunan penuh (tanpa syarat). Namun, selepas menang di PRK Port Dickson, Anwar  terpaksa mengakui dalam diam diam bahawa kehebatannya tidaklah seperti yang dijangkakan. PKR tewas di DUN Rantau. Antara Anwar dan Azmin semakin berjarak dan perpecahan dalam PKR mula berlaku.

Begitu juga dengan Shafie di Sabah. Parti pimpinannya tewas di PRK Kimanis. Situasi  itu melengkapkan senarai kegusaran Pakatan Harapan yang sudah dinilai gagal menunaikan manifesto mereka sendiri. Begitu Warisan, juga gagal menunaikan janji PRU ke-14. Manifesto sudah disisihkan secara jelas apabila Dr Mahathir mengakui ia dibuat tanpa input yang lengkap atau memadai dan kerana itulah ia bukan ‘kitab suci’.

Apabila manifesto diketepikan lahir pula idiom bahawa ‘malaikat juga melakukan kesilapan’ dan  Khalid Samad menambah, ‘Nabi pun berbohong’. Jadilah seluruh bawaan Islam dalam daya kreatif parti serpihan itu  dilihat ‘tidak siuman’ dan penuh retorik politik. Kalau sebelumnya menyalahkan PAS, kini PAN terpaksa menjilat ludahnya sendiri.

‘Ketidaksiuman’ perjuangan politik pemimpin seperti Dr Mahathir dan pembesar ‘kepala’ PAN telah sampai ke tahap meroyan bila pelecehan terhadap Islam dan institusi Islam meningkat serta dilajukan secara terbuka. Ia menjadi semakin melukakan penganut Islam di Malaysia apabila Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam lebih bersifat ‘menteri pelbagai agama’ dalam tindakan dwi-standardnya. Jika Islam dikritik oleh golongan pro-Pakatan Harapan,  reaksi balasnya begitu lambat berbanding kritikab daripada penyokong PAS dah UMNO.

Bahkan dalam situasi yang lebih ekstrem, reaksi balas Mujahid lebih lembut kepada idealis PH dengan penjelasan ‘kes terpencil’. Dengan orang Melayu-Islam pula beliau mencabar dengan kata-kata ‘saya bukan bodoh’ atau belum tentu ‘kelayakan agama’ adalah setanding dan ‘ada ijazah tapi otak kerdil’.

Tindakan paling brutal Mujahid adalah memindahkan aset TH kepada sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan penjualan hampir 71 peratus aset milik TH Plantations. Ini semua dilihat sebagai satu tindakan yang ada kaitan dengan perancangan DAP, iaitu mengembirikan penguasaan ekonomi Melayu-Islam secara berjemaah. Mereka turut menggunakan dakwaan tertentu, misalnya prospek penyewaan ruang pejabat hanya kerana marahkan PNB membina bangunan tinggi berhampiran Stadium Merdeka.

Secara individu, peniaga-peniaga Melayu disabotaj dengan halus menerusi mekanisme berbeza harga dengan peruncit bukan Melayu. Pengeluar produk bukan Melayu meniru produk keluaran bumiputera atau Muslim dengan pembungkusan lebih bernuansa Islam, seperti menukar jenama, logo mahupun peniruan sijil halal. Sebab itulah banyak produk popular dalam kalangan pengguna Muslim ditiru.

Mereka pernah mengkritik penguasaan Syed Mukhtar dalam BERNAS. PH berkempen akan berusaha emecahkan monopoli lesen pengimportan beras oleh BERNAS.  Di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, diancam pula untuk menghapuskan penguasaan Pharmaniaga ke atas pembekalan kontrak ubat kepada Kerajaan. Pemilikan KWSP ke atas PLUS setelah diambilalih daripada kroni Daim Zainudin pada suatut ketika, kembali mahu dijual saham. Ia kerana tekanan rakyat kepada PH untuk menunaikan janji agar kutipan tol dihapuskan.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak lagi dibenar mengurus dan melaksanakan AES. Kementerian Pengangkutan akan membayar keseluruhan kos. Janji PH, AES dihapuskan tetapi selepas berkuasa, kamera AES ditambah dan mereka yang disaman, tidak akan dipertimbangkan diskaun. LTAT juga ditekan supaya menjual asetnya, termasuk Royale Chulan kepada usahawan Singapura, bahkan ase-aset lain turut dijual oleh Kementerian Kewangan kepada pihak asing.

Antaranya. saham dalam IHH, syarikat pengendali industri kesihatan terbesar kepada sebuah syarikat daripada Jepun. Pengrusan Haji dan Umrah, turut dicadangkan agar pengendali syarikat pelancongan diberikan peluang dan ini menyebabkan ramai yang marah. Tetapi, kemarahan itu tidak dapat menutup kaedah bukan Melayu berniaga, licik dan penuh muslihat.

Mereka boleh menubuhkan syarikat dengan meletakkan nama Bumiputera, sebagaimana Rosham Noor digunakan dalam perniagaan pasar raya. Pemilik sebenar ialah  Sri Ternak.

Sedar atau tidak, cadangan-cadangan itu  adalah terjemahan kepada idea ‘kebersamaan’ yang dijadikan pendekatan Malaysia Baharu dan secara halus boleh melemahkan kedudukan Melayu-Islam dan akhirnya boleh dihapuskan pendekatan affirmatif ‘keistimewaan Bumiputera’. Sebab itulah MAlaysia Baharu mula dijolokkan sebagai Malaysia Keliru. Suatu ketika, Malaysia Boleh yang diperkenalkan zaman Perdana Menteri disamakan dengan Malaysia Bodoh.

Pendekatan itu sudah lama dimomokkan sebagai ‘dasar diskriminasi’ dan tidak adil kerana ‘digunakan untuk kepentingan segelintir orang Melayu’ terutama mereka yang ada hubungan istimewa dengan elit politik yang berkuasa. Ia adalah sebahagian ciri budaya kleptokrasi, yang dikatakan mula berkembang daripada dasar penaungan politik UMNO.

Ia mula menjadi subur pada zaman Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO yang berhasrat menukarkan paksi pertumbuhan ekonomi daripada sektor awam kepada sektor swasta. Dasar penswastaan dan pensyarikatan Malaysia cukup ‘kuat’ menggelegak dalam alaman crony-capitalism ketika itu, termasuklah punca sebenar 1MDB dipersoalkan. Pemilik-pemilik janakuasa bebas (IPP) bertindak balas apabila 1MDB membeli kesemua janakuasa mereka, dan tidak lagi membekalkan sumber elektrik kepada TNB selepas konsesi itu tamat.

Begitu juga kisah 1BestariNet. Mazlee Malik mungkin menjadi mangsa daripada lobi tersebut kerana beliau tidak berhasar menyambungkan perkhidmatan yang gagal itu kepada YTL Communications.

Jika Dr Mahathir menentang naratif itu, beliau sepatutnya rasa malu dan wajar dikutuk sama. Beliau patut dikutuk kerana pada era pentadbirannya UMNO dikuasai oleh tokoh-tokoh korporat. Daim menguasai banyak entiti ekonomi, pada asalnya milik parti dan syarikat-syarikat kerajaan menerusi pindah milik dan penswastaan. Daim membina kekayaan melalui mekanisme proksi dan hingga sekarang enggan mengisytiharkan jumlah aset yang dimilikinya.

Ada yang membuat andaian, Daim adalah orang yang terkaya di Malaysia. Kalaupun tidak sekarang, mungkin suatu ketika dahulu. Daim memiliki saham terbesar dalam UMBC (sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan), Renong, UEM, Inter-Pacific (sebelum Sports Toto dipindahkan kepada Kumpulan Berjaya), Pembinaan Maluri (juga dipindahkan ke Inter-Pacifik), Land and General, dan UEP (pemaju perumahan Subang Jaya).

Tahun 1998 bergema isu kroni dan nepotisme, tetapi Dr Mahathir terselamat. Menteri-menteri kabinet mempertahakannya, termasuk tidak bercakap mengenai bail-out MISC yang dimiliki oleh anaknya, Mirzan Mahathir. Namun pada tahun 2020, beliau tidak dapat menyelamatkan diri kerana dalam gabungan PH tidak pernah bersatu tekad,  selepas mereka berjaya mengetepikan UMNO/BN.

Barisan kabinet saling bercanggah misi politik. Antara satu parti dengan parti lain sering ditekan dan dibuli. Tekanan ini mungkin tidak sanggup dihadapi oleh Dr Mahathir dan mungkin menjadi sebab tidak lagi berjaya dipujuk agar melupakan hasrat meletakkan jawatan. Sekurang-kurang kekal sehingga PRU ke-15.

Dr Mahathir percaya, bila meletakkan jawatan  masih ada masa untuk memperbetulkan keadaan. Alasannya, menteri-menteri kabinet boleh ditukarkan dengan mudah, manakala mereka yang kurang berprestasi digugurkan. Realitinya, tidak mudah kerana PPBM adalah parti kecil walaupun berjiwa besar.

Mahu tidak mahu, Mahathir akan berhadapan dengan reaksi lebih serius, bila beberapa orang menter digugurkan termasuk dari PAN. PAN tidak mempunyai ramai tokoh. DAP mungkin ada ramai tokoh yang boleh diketengahkan. PKR masih bermasalah.

Dengan ‘penarikan semula peletakan jawatan’, Dr Mahathir merasakan ia akan memperoleh hormat yang lebih baik daripada pemimpin PH. Prerogatifnya tidak dipertikaikan. Realitinya Dr Mahathir tidak mampu kerana kerusi milik PPBM hanyalah tersekat setakat 25 (selepas tewas di Tg Piai). Setiap keputusannya yang dibuat tidak perlu merujuk kepada mana-mana jawatankuasa.   Itu adalah ciri-ciri autokratik yang menjadi sebahagian daripada Mahathirisme.

Dalam period pertama selama 22 tahun, ia berjaya dilaksanakan. Namun, untuk Mahathirisme 2.0 dipraktikkan dalam Pakatan Harapan, ia berhadapan dengan pelbagai  bentuk politiking. Ia datang dari dalaman PH sendiri selain daripada kecaman  pembangkang (BN/UMNO dan PAS) dan NGO tertentu.

Dari dalam Dr Mahathir didakwa tidak menghormati persetujuan Majlis Presiden PH (mengurangkan kuasa PM dalam pelantikan Jawatan Utama Sektor Awam), tidak ada kemasukan wakil rakyat lompat parti, menterjemahkan ‘kebersamaan’ dalam dasar sosio-ekonomi dan sosio-politik kerajaan (jika gagal melaksanakan objektif Malaysia Baharu, DAP bersedia keluar Pakatan) dan peralihan kuasa (selewat-leqatnya Mei 2020 tarikh akhir yang diberikan oleh Otai Reformasi dan selepas APEC bulan November 2020 oleh Dr Mahathir).

Namun, dari dalam PH isu-isu tersebut tidak pernah mencapai keputusan harmoni sehingga berlaku beberapa ketegangan. Azmin Ali dari PKR mahukan Dr Mahathir kekal sebagai PM sehingga sepenggal. PAS dan UMNO sudah memberikan komitmen, dalam tempoh tersebut, akan menyanggah percubaan ‘undi tidak percaya’ kepada Dr Mahathir.

Persoalan sekarang ialah sikap PAS yang dianggap mungkir janji tidak mempertahankan Dr Mahathir. PAS tidak mungkir janji. kerana Dr Mahathir tidak perlu dipertahankan lagi. Dr Mahathir sendiri telah meletakkan jawatan, bukan disingkirkan sebagaimana diterjemahkan oleh suku sakat ahli politik terlucut kuasa.

PAS dan UMNO juga mempunyai pendirian. Selepas gagal mendapat sokongan semula sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir melemparkan tuduhan bahawa Muhyiddin adalah pengkhianat. Pengkhianat sebenar ialah Dr MAhathir kerana telah menghampakan harapan rakyat, menipu Anwar dan memutuskan keselesaan kepada bekas-bekas menteri yang terpaksa  ‘turun pangkat’.

Kepada Anwar, Dr Mahathir menipu. Anwar sepatutnya disebut secara sah atau dengan hitam putih sebelum menghantar surat peletakan jawatan. Kenapa Anwar tidak menuntut perkara itu kalau benar-benar antara mereka ada janji lisan mengenai peralihan kuasa itu?

Setelah lebih setahun penyokong-penyokong Anwar dan disokong oleh beberapa orang pemimpin DAP semakin lantang mahukan Dr Mahathir percepatkan proses peralihan  kuasa. Ada mereka  menggelarkan Dr Mahathir sebagai ‘harimau kertas’. Ia menambahkan lagi rasa kecil hati Dr Mahathir, dan beberapa kali pernah melafazkan keingin meletakkan jawatan. Beliau sedia lakukan bila-bila masa sekiranya itulah keputusan PH. Ia menjadi kendur seketika, tetapi pada 24 Februari ia tidak dapat dibendung lagi.

Jadi.apabila Dr Mahathir benar-benar meletakkan jawatan ia dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan oleh Azmin dan Muhyiddin? Apakah jika tidak ada Langkah Sheraton, Dr Mahathir tidak akan meletekkan jawatan? Itu persoalan yang perlu dijawap oleh dua orang wira propaganda, Kadir Jasin bagi pihak Dr Mahathir manakala Khalid Samad bagi DAP, PKR dan PAN sendiri yang masih bermimpi PH boleh kembali memerintah.

Saya kira, itulah matlamat sebenar Khalid, tidak mahu melibat faktor dalaman yang dihadapi oleh Dr Mahathir sepanjang 22  bulan sebagai Perdana Menteri di bawah bendera Harapan.  Khalid juga gagal menyelak bahawa  ‘proses peralihan kuasa’ yang didesak akan gagal kerana Mahathir memang licik mengalihkan strategi. Siapa sangka, dengan meletakkan jawatan tersebut Anwar benar-benar tersingkir dan tanpa diduga, Tan Sri Muhyiddin dipilih sebagai Perdana Menteri ke-8.

Seorang pemimpin DAP, mula berusaha memperlekehkan Muhyiddin, dengan berkata, percaturan di Johor adalah oleh Muhyiddin dan Muhyiddin pernah bercita-cita ingin jadi Perdana Menteri.  Itu bukan satu kesalahan bahkan ketika menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin sudah ada hasrat itu. Memang jawatan Timbalan Presiden dilantik Timbalan Perdana Menteri. Itu sudah cukup jelas. Tetapi, Muhyiddin tidaklah begitu terdesak dan tidak sabar sebagaimana Anwar ketika bermula krisis dengan Dr Mahathir (1997).

Khalid dan seluruh suku-sakat PAN serta sekufu dengannya (DAP) kepanasan. Setelah  hilang kerusi menteri dan belum puas meronda dengan Vellfire (kereta rasmi menteri). Akibat terkilan itulah  “ini kalilah” Khalid spinning sehebat-hebatnya biarpun gasingnya sudah hilang uri.

Kerajaan ‘pintu belakang’ tidak relevan lagi. Dakwaan PN bermain politik sudah terhakis. PN  bertungkus lumus ‘memutuskan rantaian jangkitan COVID-19’. Percubaan menimbulkan keresahan awam untuk menggambarkan tidak ada bekalan makanan mencukupi akibat pembelian panik tidak berjaya dilakukan oleh Khalid. Tinjauannya di pasar raya tidak menemukan kurang bekalan. Khalid malu sendirian.

Tindakan tegas PN memperkenalkan PKP untuk mengawal COVID-19 telah berjaya melandaikan lengkungan positif mereka yang dijangkiti. Kini, usaha tersebut telah mendapat pelbagai  pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan menepis imej bekas Menteri Kesihatan dari PAN yang dianggap bijak mengurus dan berwibawa.

Semuanya berjaya disempurnakan dengan baik oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, bukan tergagap-gagap ketika   seperti Dr Zulkifly ketika menjawab pertanyaan wartawan. Budaya menghasut PH semakin tidak dipercayai. dan usaha memecahkan Muafakat Nasional turut gagal. Kini, tidak timbul lagi soal undi percaya atau undi tidak percaya. PH memang sudah tidak dipercayai lagi. Susun atur kerusi di Dewan Rakyat cukup difahami oleh rakyat tentang kedudukan majoriti, walaupun dengan dua atau tiga kerusi.

PN boleh meneruskan pentadbirannya menerusi amalan majoriti mudah. Lupakan mengenai dua orang wakil rakyat dari Sarawak yang tidak konsisten itu. Tidak perlu dicungkilkan apa lagi pentakwilannya. Biarlah dua wakil rakyat tersebut hidup dalam kepura-puraan politiknya sendiri. Muhyiddin ada ‘kepercayaan majoriti’ Itulah yang mahu digugat oleh PH, daripada Khalid hinggalah bekas Perdana Menteri yang digelar ‘lelaki tua gila talak.”

Dr Mahathir seperti membenarkan rasa tidak hormat kepada titah SPBYDA dengan berkata mengkritik apa yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah sesuatu yang wajar. Jika tidak wajar maka, kita tidak perlukan Parlimen. Ia merujuk kepada keengganan menyambung Sidang Dewan Rakyat dengan perbahasan, termasuklah penentuan semula kuasa majoriti ke atas Muhyiddin. PH juga tidak boleh menerima alasan bahaya  COVID-19.

Menurut mereka, sidang dewan boleh dilaksanakan secara maya atau telesidang. Apa yang jelas, niat sebenar perbahasan itu ialah untuk menenggelamkan kepercayaan dan keyakinan awam terhadap  Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 dengan sokongan 20 wakil rakyat PPBM. Mahathir malu besar,  hanya empat wakil rakyat PPBM masih bersamanya. Dr Mahathir dilihat semakin tidak relevan apabila Mukhriz hilang jawatan Menteri Kedah untuk kedua kali.  Ketidakrelevanan ini berlaku ketika Dr Mahathir adalah Pengerusi PPBM, yang lebih berkuasa daripada  Presiden.

Mahathir gagal menyelamatkan kedudukan anaknya; tetapi berjaya mengetepikan harapan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8. Setakat ini,Anwar tidak menyalahkan Dr Mahathir walaupun tidak menamakan dirinya  sebagai pengganti sebelum benar-benar meletakkan jawatan.

Hakikat itu sepatutnya dipecahkan ruyungnya. Tidak perlu mengalihakan  isu bahawa PN takut kerana tidak yakin dengan jumlah majoriti. Politikus terlucut kuasa masih ada masa untuk melakukannya, kerana Dewan Rakyat akan bersidang bulan Julai nanti dengan tempoh lebih panjang.

PH sebenarnya takut, semakin lama tertangguh, semakin cepat Muhyiddin dapat ‘memperkuatkan kedudukan’. Hakikat ini gagal dilakukan oleh PH,  kerana Dr Mahathir terpaksa berusaha untuk mengimbangi apa yang dimahukan oleh  DAP.

Itulah kesilapan sebenar Mahathir, tidak cukup ‘kemelayuan’ . Dr Mahthir sanggup mempertahankan DAP yang pernah dibenci dan dikecamnya, hanya kerana kedudukan PPBM ibarat ‘melukut di tepi gantang’ dari perspektif kerusi dan Mahathirisme sentiasa ada ‘political bashing‘.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply