MAKNA KEHIDUPAN BERBANDING MALAPETAKA KEMATIAN

Tidak dapat dinafikan betapa penting dan perlunya sesi kaunseling dan agama bagi memulih dan menguatkan kembali semangat mangsa bencana saperti banjir,tanah runtuh,kemalangan jalan raya atau tsunami bagi meneruskan kehidupan mereka.

Cukuplah dengan penderitaan yang dialami mereka kerana perbicaraan tentang kematian bagi sesetengah orang bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Bahkan naluri manusia sememangnya mirip ingin hidup seribu tahun lagi. Begitu juga pengetahuan manusia tentang hal-hal tersebut sangat terbatas kerana kesedihan dan ketakutan sering menyelimuti skop perbicaraan.

Nabi Adam a.s. juga terusir dari syurga kerana tertarik akan janji palsu iblis yang merayunya dengan kata-kata, Mahukah kamu kutunjukkan pohon kekekalan dan kekuasaan yang tidak habis-habisnya? (Surah Thaha ayat 20). Itulah gambaran sifat manusia yang lupa akan peringatan-peringatan Tuhannya.

Persoalan kematian sangat merisaukan manusia. Mitos, falsafah dan ilmu pengetahuan tidak mampu memberikan jawapan yang memuaskan. Hanya agama yang dapat menjawab segala-galanya dalam hal ini.

Agama Islam, melalui al-Quran, telah membicarakan masalah kematian ini dalam tiga ratus ayat di samping ratusan hadis Nabi Muhammad s.a.w. baik yang sahih mahupun yang daif.

Melihat dan menyedari sifat yang dibawa oleh manusia seperti tergambar di atas, maka pelbagai usaha dan nasihat telah disampaikan kepada manusia demi mengurangi rasa kesedihan dan ketakutan tersebut.

Sartre, ahli falsafah Perancis, mengingatkan dua perkara yang mungkin dapat meringankan malapetaka kematian. Pertama, kematian merupakan risiko kehidupan dan kerana itu tidak seorang pun yang hidup abadi. Kedua, semakin banyak orang yang didatangi oleh malapetaka, semakin ringan sentuhan `kematian’ di hati mereka. Malapetaka kematian tidak dapat dielak oleh semua orang. Justeru, ia tidak seharusnya menimbulkan kesedihan yang berlarutan.

Bahkan, seandainya ada seseorang yang dianugerahi usia yang panjang, pasti ia adalah Nabi Muhammad s.a.w. Namun baginda sendiri pun telah diberi peringatan oleh Allah s.w.t. ketika baginda hidup iaitu; Sesungguhnya engkau akan mati sebagaimana mereka yang lain mati. (Surah Az-Zumar :30).

Seorang ulama Islam yang terkenal bernama al-Raghib al-Isfahaniy menulis, kematian merupakan tangga menuju kebahagiaan abadi. Ia merupakan perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain, dan ia merupakan `kelahiran baru’ bagi manusia. Manusia dalam dunia kehidupannya ini dan dalam alam kematiannya mirip dengan keadaan telur dan anak ayam.

Kesempurnaan wujudnya anak ayam adalah menetasnya telur tersebut dan keluarnya anak ayam meninggalkan tempat asalnya iaitu di dalam telur. Demikian pula manusia, kesempurnaan hidup manusia dapat dicapai melalui perpindahan dari tempat ia hidup di dunia ini dan kematian adalah pintu menuju kesempurnaan, kebahagiaan dan syurga yang abadi.

Walaupun al-Quran menamakan kematian sebagai malapetaka (Surah al-Baqarah ayat 106), namun ia dihurai dalam rangkaian nikmat anugerah Tuhan (Surah al-Baqarah ayat 28) kerana ia adalah satu-satunya jalan menuju kebahagiaan abadi.

Nikmat yang diakibatkan oleh kematian bukan sahaja dalam kehidupan ukhrawi kelak, tetapi juga dalam kehidupan duniawi, kerana tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan dunia kita yang terbatas kedudukannya seandainya semua manusia hidup terus menerus tanpa mengalami kematian.

Penyucian jiwa itu dengan jalan menjauhi dari melakukan kekejian dan dosa, sebaliknya beramal soleh. Bukankah al-Quran menegaskan bahawa Maha Suci Allah yang di dalam genggaman kekuasaan-Nya seluruh kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji siapakah antara kamu yang paling baik amalnya, dan sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Pengampun. (Surah al-Mulk, ayat 1)

Kematian dalam pandangan Islam bukanlah sesuatu yang buruk kerana di samping mendorong manusia untuk meningkatkan pengabdian dalam kehidupan dunia ini, ia juga merupakan pintu gerbang untuk memasuki alam kebahagiaan abadi serta meraih keadilan sejati.

Justeru, dengan memahami `makna’ kehidupan dan malapetaka kematian, ia akan dapat mengendurkan segala macam bentuk tanda tanya dan kebimbangan dalam jiwa kita bahawa `bahagia’ dan `derita’ adalah anugerah yang menagih kita mendekatkan diri kepada-Nya. Segala-galanya adalah dalam ilmu-Nya.

Oleh Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply