Kepelbagaian budaya dan warna kulit jemaah haji dapat difahami menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan serulah manusia menunaikan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus dari segenap penjuru yang jauh…(al-Hajj: 27)

Sebab itu, kita mengalu-alukan langkah Tabung Haji memperkenalkan perkhidmatan e-Taib, Selasa lalu. Melaluinya, jemaah boleh menghantar persoalan atau kemusykilan melalui aplikasi WhatsApp. Ini selain kemudahan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) yang disediakan. Pihtas ini boleh ditemui di maktab-maktab penginapan para jemaah dan juga boleh dihubungi melalui telefon.

Inisiatif e-Taib yang merupakan penambahbaikan kepada perkhidmatan Talian Ibadat Haji (Taib) sememangnya amat membantu jemaah haji memahami dan menyelesaikan sebarang kekeliruan berkaitan manasik haji. Alat yang diperlukan hanya telefon pintar yang dilengkapi aplikasi WhatsApp. Antara keistimewaan sistem WhatsApp berbanding panggilan telefon ialah jemaah boleh menghantar soalan dalam bentuk teks, pesanan suara, gambar dan video.

Taib adalah pusat panggilan dikendalikan oleh empat pembimbing haji yang akan menjawab apa sahaja persoalan mengenai ibadat haji oleh jemaah dan difahamkan ada soalan yang dijawab sangat pantas iaitu tidak sampai seminit.

Talian Taib dan e-Taib itu beroperasi 5 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari dan beroperasi 24 jam menjelang dua minggu sebelum dan selepas wukuf. Semua ini adalah antara usaha Tabung Haji membantu para jemaah melaksanakan ibadat haji dengan tepat dan betul.

Dalam perkembangan bera­singan, kira-kira satu juta kad sim prabayar dan internet percuma turut diberikan kepada jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz. Inisiatif oleh kerajaan Arab Saudi itu dilihat sebagai pemangkin kepada pelaksanaan e-Taib. Ia diharap akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh jemaah haji Malaysia selain dapat berkongsi pengalaman dengan ahli keluarga masing-masing.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh jemaah haji adalah menjaga tutur kata dan tingkah laku sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Jangan cepat melenting walaupun terhadap hal-hal remeh-temeh terutama dengan teman-teman sebilik yang bersama kita sepanjang perjalanan haji. Kadang-kadang bab sidai tuala atau pakaian dan soal pendingin hawa pun boleh jadi punca pertengkaran sehingga bermasam muka dan tidak bertegur sapa beberapa hari lamanya. Banyakkan bersabar dan beristighfar. Ini adalah antara syarat mencapai haji mabrur yang balasannya adalah syurga.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Masa melakukan haji itu (pada) bulan-bulan yang diketahui. Barang siapa melakukan (ibadah) haji dalam (bulan-bulan) itu, maka janganlah dia berkata dengan perkataan yang buruk, melakukan maksiat dan bertengkar ketika (melakukan ibadah) haji…(al-Baqarah: 197)

Dalam bab menjaga lidah, Imam al-Ghazali pernah berkumpul dengan anak-anak muridnya dan bertanya enam soalan. Salah satu daripada soalannya adalah, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, “pedang”. Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Sebabnya, dengan lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Lidah yang tidak bertulang mudah menutur dan menghamburkan kata-kata. Dengan nikmat tersebut, manusia boleh menjalin hubungan kemasyarakatan dengan lebih mudah dan lancar. Namun, awas dengan amaran Allah terhadap mereka yang gagal menjaga lidahnya sehingga sering membuat dosa dengan mengumpat dan memfitnah.

Sebaik-baiknya, gunakan peluang sebagai tetamu Allah untuk membanyakkan amal ibadat yang wajib dan sunat. Yang pasti, ibadat haji tidak boleh dilaksanakan tanpa asas ilmu. Justeru, jemaah haji mesti bersedia menguruskan diri agar ada azam untuk mempunyai ilmu dalam penyempurnaan ibadah ini.