Ini dibuktikan apabila ayat pertama dalam Surah al-Isra’ yang menceritakan kisah tersebut telah menggunakan istilah ‘hamba’ bagi merujuk kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad. “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambanya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati persekitarannya bagi memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Surah al-Isra’, ayat 1).

Istilah hamba yang digunakan dalam ayat ini amat signifikan di sebalik hakikat bahawa Nabi Muhammad dicipta sebagai makhluk terbaik, kekasih Allah, penghulu kepada segala para Nabi dan Rasul, dikurniakan kebaikan yang amat banyak (Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu kebaikan yang amat banyak, Surau al-Kawthar, ayat 1).

Peristiwa Israk Mikraj sendiri adalah satu bukti baginda telah diberi keistimewaan yang tidak pernah diberikan kepada segala makhluk apabila Baginda telah dibawa dalam satu perjalanan penuh luar biasa, bertemu dengan nabi-nabi terdahulu, melihat balasan syurga dan neraka, sehingga naik terus melewati batas terakhir kewujudan (sidratul muntaha) untuk bertemu dengan Pencipta Rabbul ‘Izzati.

Tiada insan seagung dan setinggi manapun pangkat dan gelaran yang diterima di dalam sepanjang sejarah kemanusiaan yang pernah diberikan kelebihan ini. Namun Junjungan besar Nabi Muhammad masih dirujuk oleh al-Quran sebagai seorang hamba. Ini jelas menunjukkan bahawa kedudukan sebagai hamba bukanlah petunjuk kepada kehinaan manusia khususnya apabila merujuk kepada hubungannya dengan Tuhannya.

Imam Fakh al-Din al-Razi ketika mentafsir ayat berkaitan Israk Mikraj ini mengatakan bahawa ketika bertemu dengan Allah, Nabi Muhammad telah ditanya apakah perkara menggembirakan baginda dalam perjalanan ini, Nabi menjawab kegembiraan Baginda ialah apabila dinisbah sebagai hamba sebenar di sisi Allah.

Demikianlah adab yang tertinggi ditunjukkan insan terbaik telah dicipta Allah. Sememangnya tiada adab yang lebih layak ditunjukkan seorang hamba di hadapan Tuhannya melainkan dengan kembali kepada kedudukan sebenar ia dijadikan iaitu tunduk dan menyerah diri kepada Tuhannya dengan tulus ikhlas.

Demikian juga fitrah kehidupan manusia sebagai hamba Allah yang harus dilalui ketika berada di dunia ini. Ketika kita diperintah sujud oleh Allah di dalam solat dengan meletakkan dahi kita yang merupakan anggota paling tinggi dan mulia pada diri kita ke tempat paling rendah iaitu dibumi, ketika itu juga martabat dan kedudukan kita melonjak paling tinggi di sisi Allah.

Yang dinamakan agama itu ialah suasana kesejahteraan dan keharmonian yang terhasil apabila seluruh makhluk itu tunduk menyerah kepada Pencipta yang sebenar sesuai dengan fitrahnya yang sebenar dan menjauhkan diri dari penghambaan kepada perkara yang palsu dan batil. Oleh kerana itu jualah agama Islam witu dinamakan agama fitrah lantaran sifatnya yang mengembalikan manusia kepada fitrah penyerahan diri yang sebenar.

Penyerahan diri ini juga berlaku secara menyeluruh bukan sekadar terbatas kepada ketundukan yang bersifat luaran. Akan tetapi yang lebih penting ia harus bermula di peringkat dalaman dengan ketundukan segala anggota raga manusia termasuk syahwat dan nafsunya kepada raja dan pemerintah dalamannya iaitu akal dan jiwanya.

Oleh yang demikian kedatangan Ramadan adalah peluang terbaik untuk manusia kembali kepada fitrah ketundukan dan penghambaan yang menyeluruh ini. Semoga dengan kehadiran bulan penuh barakah ini manusia akan mampu kembali kepada fitrahnya yang sebenar sebagai seorang hamba, kedudukan tertinggi yang diberikan oleh Allah sebagaimana yang telah kurniakan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Oleh DR. MOHD. FARID MOHD. SHAHRAN

Sumber : Utusan  Online