MAZLEE DAN ‘JIWA HANG TUAH’

 

SETELAH mengumumkan ‘memulangkan jawatan Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri’, Mazlee menerima kritikan dari pelbagai pihak sehinggalah tersiar video kontot (vidtot) berdurasi 58 saat mengenai perasaannya. Sehari sebelum mengumumkan keputusan tersebut, Mazlee telah mendapat ‘surat perintah’ dari Perdana Menteri agar ‘meletakkan jawatan’.

Hari Jumaat (3 Januari 2020) adalah tarikh berkuat-kuasanya pemulangan jawatan itu dan hari yang sama anggota tertinggi komander elit Iran dibunuh dengan tragisnya dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat ketika sedang berkonvoi ke Lapangan Terbang Baghdad.

Iran berduka dengan pembunuhan Qassem Soleimani, tetapi rakyat Malaysia menyambut ‘gumbira’ pengunduran Mazlee yang hanya sempat 20 bulan menjawat jawatan Menteri Pendidikan. Sedikit ‘gumbira’ itu terbit daripada ‘keinginan lama’ masyarakat umum yang menilai tokoh akademik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) seperti kehilangan arah bila bercakap mengenai sistem pendidikan negara.

Beliau hilang arah ketika mengumumkan pertukaran warna kasut dan hanyut dalam suasana sedih apabila remaja lemas di sebuah pintu air di Puchong. Mendengar berita kematian remaja akibat lemas, terus beliau mencadangkan mata pelajaran renang akan diajar di sekolah-sekolah mulai tahun 2020.

Timbul beberapa persoalan. Sekolah tidak mempunyai kemudahan kolam renang dan siapakah yang akan menjadi instruktor renang untuk mengajar sama ada sebagai mata pelajaran wajib ataupun sekadar aktiviti kokurikulum.  Dicadangkan pula menggunakan kemudahan kolam renang yang ada di hotel-hotel. Hotel-hotel pula ‘mendengus’sinis, kemudahan yang disediakan di hotel bukan untuk dijadikan tempat latihan pelajar, ia adalah kemudahan untuk mereka yang menginap di hotel.

Sekalipun, jika ada hotel yang bersetuju, siapakah yang akan menanggung ‘yuran belajar berenang’ itu kerana ia bukanlah semurah sumbangan ibu bapa kepada PIBG. Bahkan, sumbangan tersebut ada yang mempertikaikannya. Mata pelajaran renang terhenti seketika, dan mungkin akan hilang selama-lamanya kerana Mazlee sudah memulangkan jawatan itu kepada Perdana Menteri.

img_1123-2

Kasut dan stoking hitam sudah menjadi pakaian para pelajar walaupun kuatkuasa sepenuhnya bermula tahun 2021.

Menurut kenyataan media berkaitan ‘pemulangan jawatan’ itu kepada Perdana Menteri, Mazlee menjelaskan rasa kecewanya kerana Perdana Menteri tidak menilai dengan baik prestasinya sebagai Menteri Pendidikan. Dalam tempoh 20 bulan, Mazlee menyatakan dia telah berjaya mengatasi 90 peratus masalah sekolah daif, mengatasi beban guru, memperbanyakan kelas-kelas pendidikan berkeperluan khas (OKU), disayangi oleh warga pendidik kerana sering bertemu dan memahami masalah mereka termasuk bercadang untuk mengurangkan guru dukalara dan memperkenalkan pertukaran ‘suka sama suka’.

Itu adalah sebahagian daripada rangka kerja Mazlee, yang bagi saya bukanlah ‘fresh from the oven’. Mazlee cuma memperkemas dan menyambung apa yang sudah dilakukan oleh menteri-menteri sebelumnya. Kisah guru dukalara, sudah ditangani oleh Mahadzir Khalid sejak beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat oleh Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak.

Mahadzir mengiktirag ‘guru muda’ dengan menubuhkan Guru Muda 1Malaysia di seluruh negara. Mazlee tidak menghimpunkan guru-guru muda menjadi ‘agen perubahan’ yang besar walaupun sedar bahawa golongan itu semakin membesar dan berpengaruh dalam sistem pendidikan negara. Beliau hanya bertemu, bercakap dan membincangkan aspirasinya, tetapi haluan dan mekanismenya belum ada.

Saya teringat bukan Mazlee memulakan kelas-kelas kanak-kanak berkeperluan khas. Sudah sekian lama Kementerian Pendidikan memberikan ruang untuk semua kanak-kanak belajar, termasuklah golongan kelainan upaya sehingga tertubuhnya satu bahagian khas di KPM, iaitu Bahagian Pendidikan Khas. Telah sekian lama dilaksanakan, bahkan KPM gigih bekerjasama dengan lain-lain kementerian untuk membantu meningkatkan kesedaran ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka tanpa rasa malu dan rendah diri mempunyai anak berkeperluan khas.

mazleel nabi

Begitu juga dengan pembaikan sekolah-sekolah daif di seluruh negara. KPM sentiasa berusaha melengkapkan infratruktur, membaiki kerosakan dan memastikan sekolah-sekolah itu selamat. Tetapi, semuanya itu tertakluk kepada sumber kewangan yang ada. Dengan sumber kewangan yang terhad, diadakan ‘blue ocean strategy’ dengan institusi-institusi pendidikan untuk membantu. Ada jalinan kerjasama dengan IPTA, Politeknik dan Sekolah Vokasional untuk melaksanakan penambahbaikan tersebut dengan cepat dan murah.

Teknologi IBS –indsutrial building structure—digunakan, dan kosnya berkurangan lebih 50 peratus daripada kaedah konvensioanal. Bahkan, Perdana Menteri sendiri memberikan perhatian terhadap isu tersebut apabila sering melakukan ‘walk-about’ dan mengarahkan KSN memantau  premis-premis sekolah yang dianggap daif untuk dipulih atau digantikan dengan bangunan baharu.

Ini bukan bermakna, 90 peratus sekolah-sekolah daif dapat dipulihkan oleh Mazlee dalam tempoh 20 bulan. Mungkin juga Mazlee mengambil kira projek-projek yang dilaksanakan oleh regim terdahulu yang belum dapat disiapkan sebelum PH membentuk kerajaan. Itu mungkin andaian saya, namun apa yang perlu kita fahami ialah kebanyakan sekolah-sekolah daif itu berada dalam kawasan pedalaman, pinggir bandar disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya pendawaian elektrik yang sudah melepasi tempoh selamat, struktur bangunan yang berubah akibat pembangunan persekitaran, masalah anai-anai  dan kesan bencana alam. Ia sentiasa berlaku, dan adalah sukar untuk menyatakan semua sekolah-sekolah akan berada dalam keadaan ‘tip-top’ sepanjang masa.

Apatah lagi jika sekolah-sekolah berkenaan dibina dengan keupayaan terdahulu seperti menggunakan kayu dan separa konkrit. Saya tidak tahu, sejauhmanakah Mazlee telah mengembara masuk ke kawasan-kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak untuk melihat sekolah-sekolah daif, yang masih kekal dengan bentuknya berdinding separa kayu dan sebahagian lagi daripada dawai pagar.

Dalam hal ini, kita patut memberi pujian kepada bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Dr Puad Jarkasi yang tidak jemu ‘mengembara’ untuk melihat sendiri sekolah-sekolah di kawasan pedalaman, walaupun terpaksa berjalan kaki beberapa kilometer. Apakah Mazlee, sepanjang 20 bulan telah melakukan perkara yang sama? Di manakah kawasan pedalaman yang paling jauh berjaya beliau sampai?

Menariknya bila dihadamkan sedikit sebanyak apa yang ditulis oleh Setiausaha Akhbar Mazlee, ‘Memahami ‘pendidikan’ versi Siti Kassim’, Malaysiakini, 7 Januari 2020 dengan merangkaikan pandangan dalam kerangka falsafah Paulo Freire (1921-1997), pendidik dan ahli falsafah dari Brazil yang terkenal dengan Pendidikan Kaum Tertindas (Pedagogy of the Oppressed).

Saya tidak menolak apa yang dikatakan oleh ZF Amir, bahawa KPM menjadi serangan hampir setiap masa, bahkan sepanjang pengalaman bertugas sekitar sepuluh tahun memang ada benarnya. Pada suatu ketika, saya pernah disoal secara sinis, sebab pada hari tersebut begitu isu-isu yang berkaitan KPM dilaporkan oleh media. Jawapan saya adalah mudah, KPM mempunyai ‘stake holder’ yang tersangat besar dan semua orang merasakan dirinya lebih professional daripada guru-guru terlatih dalam psikologi pendidikan, pedagogi dan pengkhususan mata pelajaran. Ada juga aduan guru mengkritik tentang kurikulum yang dibina oleh pakar mata pelajaran hanya kerana ‘merasakan dirinya lebih berpengetahuan’ sedangkan apa yang dinilai itu adalah tafsiran dan pendapatnya. Manusia bebas berpendapat dan perbezaan pandangan bukanlah larangan  ‘kejam’.

Memang benar, sejak Mazlee menerajui KPM beliau tidak sunyi daripada kritik dan kecaman. Seingat saya, tidak pernah ada menteri pendidikan atau pelajaran yang tidak dikritik sama ada oleh guru, bekas guru, orang awam bahkan bekas menteri pendidikan sendiri. Itu adalah sesuatu yang lazim dalam budaya masyarakat demokrasi dan sistem politik yang bercapah. Jadi, tidak usahlah ZF Zamir mengeluh dan resah terhadapnya, tumpukan sahaja kepada perkara-perkara yang difikirkan terbaik untuk memajukan sistem pendidikan negara agar boleh ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan lain-lain negara.

Apa yang menyedihkan ialah bila keputusan PISA terbaharu pencapaian Malaysia semakin merosot. Pernah suatu ketika, sebelum PH terbentuk, aktivis politik yang sedang ‘menggoncang’ Malaysia Baru menyalahkan KPM kerana tidak mampu melahirkan generasi pelajar terbaik lantas dituduh bahawa sistem pendidikan negara sedang menuju ‘kehancuran’. KPM mengambil inisiatif dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan pencapaian terbaik, yakni berada dalam kalangan sepertiga di atas. Sasarannya sedikit meningkat tetapi, semasa Mazlee memimpin KPM, keputusan PISA amat mengecewakan, berada di bawah purata OECD. Adakah itu menunjukkan pencapaian terbaik Mazlee?

Memang banyak faktor yang mempengaruhi keputusan tersebut. Tetapi, setelah diberikan peluang untuk ‘membaiki kerosakan’ nampaknya ia bertukar menjadi ‘masam dan lebur’ dalam angan-angan. Mereka yang mengkritik sebelumnya, tidak tampil dengan tindakan bernas, bahkan terus ‘berdiam diri dalam beras’, syok dengan gelaran YB ataupun EXCO mahupun terpilih dalam pelbagai posisi di GLC, agensi kerajaan dan sebagainya. Lim Kit Siang tidak bersuara; Zairil Khir Johari membisu selepas berkahwin dengan jelitawan yang tewas di PRK Teluk Intan; dan Nurul Izzah sedang ‘menatang pauh’ setelah berselirat dengan ‘lara hati dan kecewa’ perkembangan politik semasa.

Ketika Mazlee berkata ‘saya akan kembali ke UIA selepas sepuluh tahun dalam politik’, ramai yang melihat bahawa beliau sebenarnya sedang menuju kepada ruang ‘konflik kepentingan’. Menerima pelantikan untuk menentukan haluan UIA sedangkan beliau adalah Menteri Pendidikan yang merangkumi IPTA dan premis-premis pendidikan pelbagai peringkat. Ya! Mazlee tidak melantik dirinya sendiri. Mazlee dilantik oleh satu pihak lain yang menguruskan UIA. Tetapi, Mazlee terlupa, UIA adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai Menteri Pendidikan walaupun ia bukanlah sebuah IPTA biasa seperti UM, USM, UPM, UKM mahupun Universiti-Universiti Teknikal dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Rakyat mengecam Mazlee kerana beliau dilihat kurang berminat untuk menguruskan isu dengan baik, bahkan ada ketikanya mencari jalan untuk tidak menjawab pertanyaan media. Apabila terasa malu dengan ‘kasut hitam’ dibuatlah keputusan untuk menghentikan langganan akhbar terbitan Utusan Melayu, sedangkan berita itu disiarkan juga oleh lain-lain media. Memang Mazlee berhak membuat keputusan, tetapi keputusan tersebut merupakan satu kerugian kepada institusi pendidikan kerana Utusan Melayu turut memberikan ruang kepada berita-berita mengenai pendidikan dan inovasi atau pencapaian KPM. Akibat ‘tidak dapat mengawal perasaan’, beliau memulakan perseteruan besar yang tidak menguntungkan KPM.

Mazlee bukan sahaja dikritik kerana ‘kasut dan stoking hitam’ bahkan penasihat media menyeranaikannya sebagai ‘seorang yang gila publisiti’ hanya kerana gambarnya terpampang di iklan luaran BACA. Seingat saya, belum ada menteri-menteri pendidikan meletakkan gambar sendiri dalam platform berkenaan, kecualilah paparan sementara ketika majlis perasmian bangunan sekolah, seminar mahupun aktiviti ikhtisas KPM. Bahkan, tidak pernah berlaku dalam sejarah sistem pendidikan menteri menjolokkan tangannya di meja berlubang sehingga menimbulkan sindiran sinis, bukan sahaja lucu bahkan menakutkan. Itulah yang berlaku, maka Mazlee wajar menerima hakikat bahawa dirinya adalah subjek yang mudah dileluconkan, termasuklah ketika istilah CERTOT diperkenalkan.

Saya tidak pasti, apakah ZF Zamir memberikan nasihat yang baik kepada Mazlee bagaimana untuk ‘mempersembahkan diri’ dihadapan kelompok media dan berurusan dengan para wartawan. Saya tidak salahkan wartawan dan media, kerana mereka juga tertakluk kepada ‘kelazimannya’ dalam memahami makna berita. Mazlee tidak perlu kesal, 99 peratus apa yang diperkatakan itu tidak dilaporkan, hanya ‘kasut hitam’ menjadi berita besar sehingga heboh seluruh negara dan diberikan gelaran ‘Menteri Kasut Hitam’. Jadikanlah ia sebagai sumber motivasi, kasut hitam telah menyelamatkan perbelanjaan ibu bapa kerana tidak perlu menukarkan kasut apabila mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum. One colour fit alls.

Tentu ada sebab yang lebih besar kenapa Perdana Menteri mengutuskan surat agar Mazlee ‘berundur’ kalaupun ‘tidak dipecat’. Apakah tiga sebab yang dinyatakan: masalah internet di sekolah, program sarapan pagi dan tulisan Jawi’ merupakan ‘kesilapan’ yang memaksa Mazlee ‘memulangkan jawatan’? Jika itulah yang menjadi puncanya, kenapa Mazlee tidak sedia mempertahankannya kerana semua orang tahu, perkhidmatan jalur lebar dan pembelajaran maya amat bermasalah.

Bahkan, ada aktivis politik yang ‘bergelegak’ dengan pembekal perkhidmatan itu sejak isu itu meletus dan diketahui kepada umum. Mazlee mungkin pernah mendengar desakan agar bekas Menteri Pendidikan (Tan Sri Muhyiddin) disiasat kerana kontrak tersebut merugikan wang pembayar cukai. Beranikah Mazlee mendedahkan apa yang terdapat dalam kontrak yang tidak disambungkan itu? Sebahagian kerugian telah diketahui menerusi kenyataan balas KSU KPM mengenai terma dalam kontrak yang merugikan termasuk ‘kehilangan pendapatan’ daripada sewaan tapak menara telekomunikasi, bayaran elektrik yang ditanggung oleh pihak sekolah dan bayaran yang lebih mahal berbanding pembekal lain kerana ada ‘kos tersembunyi’. Kalau itulah yang menjadi sebab utama, ramai rakyat Malaysia berterima kasih di atas ‘keberanian’ tersebut walaupun akhirnya terpaksa ‘memulangkan jawatan’ sebelum dapat merasai kemewahan Vellfire.

Program Sarapan Pagi! Menarik bunyinya! Sangkaan ibu bapa begitu besar. Bermulanya sesi persekolahan 2020, semua 2.7 juta pelajar akan disediakan sarapan pagi bagi sesi pagi dan ‘makan tengahari’ bagi sesi petang. Perdana Menteri memberikan pengesahan, peruntukan untuk tujuan tersebut telah disediakan. Menteri Kewangan pula menyatakan, peruntukan itu dibiayai oleh pihak swasta. Mana satu yang betul.

Akhir tahun lalu, ada pula cerita. Peruntukan sebelumnya di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ditukarkan kepada PSP. Jelas, ia bukan untuk 2.7 juta pelajar. Hanya 1000 buah sekolah terpilih dan membabitkan  sekitar 37,000 murid dan 1,600 guru. Makna, bukan sebanyak RM 2 hingga RM 3 bilion setahun diperlukan. RMT diperuntukkan RM 289 juta (2018) di mana RM 39 juta ialah untuk Program Minum Susu di sekolah. (Peruntukan RM289 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan, Berita Harian, 20 Disember 2018). Tentunya, untuk tahun 2020, ia tidak melonjak kepada RM 2 atau RM 3 bilion. Ertinya, Mazlee sendiri telah gagal untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi PSP.

Beliau juga dilihat lebih gemar membuat keputusan sendiri, hanya kerana ‘terkesima’ dengan apa yang dilihatnya di Jepun. Sepatutnya, sebelum pengumuman dibuat, Mazlee memerlukan keputusan dasar daripada Jemaah Menteri. Itulah yang dinamakan tanggungjawab bersama dalam sistem pengurusan sumber kewangan negara. Ia melibatkan perbelanjaan yang besar, kerana tidak mungkin ada ‘taikun’ yang baik hati boleh menyumbangkan dana begitu besar setiap tahun untuk menjayakan PSP.

Mazlee perlu melihat bagaimana sukarnya Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang ada di KPM memperoleh ‘dana’ untuk menampung keperluan membantu pelajar miskin setiap tahun. Biarpun pada suatu ketika, GLC bersedia menyumbang, tetapi ada juga GLC tidak bersedia berbuat demikian kerana ada alasan tertentu. Ketika ini, tersebar rerayap di kaca tv, pelawaan KPM untuk mendapatkan dana penambahbaikan premis-premis pendidikan di bawah KPM dengan kebenaran boleh menuntut pelepasan bayaran cukai pendapatan. KWAPM juga pernah membuat kempen yang sama, semakin lama semakin kurang pihak yang menyumbang. KWAPM kini sebahagian besarnya mengharapkan peruntukan daripada kerajaan.

Mungkin itulah makna lain ‘jiwa Hang Tuah’ yang ada dalam diri Mazlee Malik. Hang Tuah adalah seorang laksamana yang taat kepada perintah sultan. Hang Tuah tidak menyanggah ketika menerima hukuman bunuh. Bendahara membuat keputusan yang lain, meskipun bertentangan dengan perintah sultan. Hang Tuah disembunyikan. Dalam hal ini, kesetiaan menerima hukuman adalah sebahagian ‘jiwa Hang Tuah’ dalam diri Mazlee. Tetapi, Mazlee perlu berusaha untuk menyelamatkan dirinya sendiri, dan jiwa Hang Tuah yang lain tidak hadir dalam diri Mazlee.

Hang Tuah sanggup ‘menipu’ untuk berkahwin walhal ‘isteri’ itu adalah untuk Sultan. Jika ‘menipu’ itu adalah strategi memikat, Mazlee telah laksanakan demi memperkukuhkan kedudukan Perdana Menteri. Beliau telah berusaha untuk menukarkan kurikulum sejarah bagi memasukkan perihal 1MDB, dan menuduh Najib sebagai ‘pencuri’ sebagaimana dilakukan oleh Dr Mahathir. Dalam hal itu, Mazlee kurang berjaya kerana Mazlee bertindak dan melakukannya dalam situasi ‘kabur’, Najib masih belum disabitkan kesalahan ‘mencuri’ wang 1MDB.

Hutang 1MDB bukan merupakan hutang yang wajib ditanggung oleh pembayar cukai. 1MDB boleh menyelesaikan masalah itu sekiranya Dr Mahathir membuat keputusan menjual semua aset-aset yang ada dalam 1MDB. Kini, dianggarkan 1MDB mempunyai aset dan pulangan lebih RM 100 bilion sedangkan hutangnya RM 50 bilion. Di situ pun rakyat boleh berfikir, hutang 1MDB adalah tanggungjawab 1MDB dan kini 1MDB sudah diletakkan dibawah Kementerian Kewangan. Jika hutang itu benar-benar menjadi punca ‘Buku Harapan’ terbantut, jual sahaja aset-aset itu.

Lakukan! Janji tetap ditepati: pendidikan percuma hingga ke universiti; semua jalan raya tanpa tol; tiada lagi senarai hitam dan dikenakan bayaran balik PTPTPN; harga minyak dan cukai kereta baharu yang rendah; gaji minimum RM 1,800 (tidak akan menutupkan kedai tom yam);  dan jika semuanya dilaksanakan, rakyat tidak akan mengomel menteri-menteri dapat Vellfire serta lebih kerap ke luar negara sama ada urusan rasmi ataupun bercuti (RM 50,000 setahun).

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply