Memahami Episod ‘Saya Boleh Letak Jawatan Sekarang’

Semalam seluruh jagatraya berbelah bahagi untuk merespon kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai ‘peletakan jawatan’ sesegera mungkin sekiranya itulah yang diinginkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Ada sekumpulan manusia yang mahukan Dr Mahathir segera memindahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim terkedu bila menerima kenyataan tersebut.

Mereka terkedu kerana Dr Mahathir seolah-olah melontarkan cabaran tersebut untuk disambut dengan ‘riuhnya tepukan’ dan ‘bangkitlah suara-suara’ agar tempohnya dilanjutkan sehingga akhir tahun ini atau tamatnya penggal kuasa sehingga PRU ke-15.

Apa sebenarnya mesej yang tersirat daripada kenyataan tersebut? Kita kembali melihat kepada sejarah, Dr Mahathir pernah melafazkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2002 ketika berlangsungnya Perhimpunan Agong UMNO.

Episod itu menyaksikan ramai kroninya menyerbu ke atas restrum tempat Dr Mahathir berucap. Kita saksikan bagaimana Rafidah Aziz menangis dan seterusnya memujuk agar Dr Mahathir menarik balik keputusan tersebut.

Episod besar itu menjadi sejarah. Akhirnya Dr Mahathir bersetuju untuk menangguhkan hasratnya sehingga pengganti dapat bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang besar itu.

Rasminya selepas hampir setahun tertangguh pada 31 Oktober 2003 Dr Mahathir benar-benar melepaskan jawatan. Maka

bermulalah era Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ertinya peralihan kuasa dalam urusan politik dan kerajaan akan membolehkan Dr Mahathir menjadi pemerhati yang kritis dan mengamati setiap tindakan penggantinya dengan sikap yang berbeza.

Menurut apa yang digambarkan, Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) mempunyai perjanjian yang khusus mengenai peralihan kuasa. Difahamkan perjanjian itu dalam dua bentuk, iaitu lisan dan bertulis.

Perjanjian bertulis dikatakan dibuat pada 6 Januari 2008, iaitu sebelum PRU ke-14 bagi mendapat sokongan penuh daripada aktivis reformasi dan sebagai pendirian sebenar Dr Mahathir bahawa dirinya bukanlah seorang yang gila kuasa. Apa yang penting ialah menjayakan hasrat menumbangkan UMNO dan menyingkirkan Najib.

Perjanjian lisan dibuat pada 10 Mei 2018, sebaik sahaja PH diisytiharkan menang dan Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7.

Isu peralihan kuasa kembali menyentap aktivis reformasi selepas Anwar sah sebagai Ahli Parlimen sebaik sahaja menang PRK Port Dickson (13 Oktober 2018). Anwar mempromosikan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-8 ketika berkempen dan seterusnya dalam pelbagai aktiviti dan perjumpaan politik yang diadakan. Bahkan dalam satu sambutan di Terengganu telah diangkat oleh penyokong-penyokongnya sehingga satu surat permohonan menggunakan laluan VIP di lapangan terbang disebutkan sebagai ‘Perdana Menteri ke-8″.

Awalnya dikatakan bahawa Dr Mahathir adalah Perdana Menteri sementara untuk tempoh selama enam bulan. Tempoh enam bulan itu dibuat berdasarkan proses undang-undang yang perlu diambil sebelum mendapat pengampunan.

Ternyata proses pengampunan Anwar berjalan begitu cepat. Beliau mendapat pengampunan penuh pada 16 Mei 2018, iaitu seminggu selepas PH diisytiharkan menang.

Selepas kembali menyertai Dewan Rakyat, Anwar menjelajah ke seluruh negara dan menyusun semula parti. Situasi itu meyebabkan PKR mula dilihat sebagai sebuah parti yang benar-benar cuba melindungi Anwar, bukan berasaskan kehendak ahli.

Bibit-bibit perseteruan dengan Azmin Ali dan penyokong-penyokong semakin membuak-buak sehingga dilihat dalam PKR muncul dua kelompok utama.

Selepas tidak jadi ‘peralihan kuasa’ dalam tempoh enam bulan, Dr Mahathir membuat pengesahan bahawa beliau memerlukan masa yang lebih panjang untuk membaiki kerosakan yang ditinggalkan oleh kepimpinan Najib dan BN.

Tempoh selama dua tahun diperlukan dan kemudian kedengaran pula selama tiga tahun. Kelompok Anwar tidak berpuas hati dengan pendirian Dr Mahathir dan akhirnya mendesak agar ditetapkan satu tarikh sebenar bilakah peralihan kuasa itu akan berlaku.

Anwar mengatakan dirinya tidak tergopoh-gopoh dan terpulanglah kepada Dr Mahathir sendiri untuk menetapkannya. Dalam perkiraan seterusnya, ramai pula beranggapan bahawa Dr Mahathir tidak akan menyerahkan kuasa kepada Anwar. Dr Mahathir akan terus bertanggungjawab sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Isu itu kemudiannya tenggelam seketika selepas tertularnya video lucah yang membabitkan Azmin Ali dan seorang ahli PKR dari Sarawak yang dikatakan berlaku di sebuah hotel ketika kempen PRK Sandakan.

Video itu kemudiannya disahkan tulen tetapi pelakunya tidak dapat dikenalpasti kerana imejnya yang kabur oleh PDRM selepas mendapat hasil kajian seorang pakar dari Amerika Syarikat.

Anwar pula digugurkan dakwaan terhadap ‘gangguan seksual’ yang dibuat oleh cucu kepada pengasas Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Insiden tersebut memberikan harapan baru kepada Anwar bahawa dirinya memang layak untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad walaupun anggapan umum, Anwar tidak akan berjaya mendapatkan jawatan itu dengan mudah.

Bagi tahun 2020, Dr Mahathir mempunyai sesuatu yang perlu dilaksanakan sebelum melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Bulan November 2020 akan berlangsung Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Kuala Lumpur (APEC) selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ialah pada tahun 1998.

APEC 1998 diselubungi dengan persengketaan Anwar-Mahathir. Dr Mahathir ditekan oleh pemimpin-pemimpin luar negara yang pro Anwar untuk membebaskan Anwar daripada pertuduhan salah laku seks.

Kali ini, perseteruan antara Anwar-Mahathir tidak akan berlaku, kecualilah ada petunjuk jelas bahawa Dr Mahathir tidak akan melaksanakan proses peralihan kuasa sebelum Dewan Rakyat dibubarkan. Dalam reaksi tersebut, Anwar mengharapkan “peralihan kuasa harus dilakukan dengan baik.” Ertinya, Anwar tidak setuju proses peralihan kuasa tidak berlaku secara aman dan teratur.

Jadi, tidak sebab Anwar dan penyokong-penyokongnya perlu mendesak. Desakan untuk mempercepatkan ‘proses peralihan kuasa’ bermakna mewujudkan suasana tidak aman, bermasalah dan tidak teratur. Ronnie Liu tidak sepatutnya mendesak agar peralihan kuasa itu berlangsung pada bulan Mei nanti. Pendirian Ronnie itu jelas bertentangan dengan semangat Anwar, dan aktivis DAP sebenarnya yang terdesak dan ‘hilang pertimbangan’.

Dengan tindakan ‘menguji kesetiaan’ MPPH, Dr Mahathir berjaya memberikan isyarat bahawa dirinya masih relevan untuk meletakkan asas Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagaimana dinyatakan, tidak mahu apa yang dirancangkan tidak dapat dilaksanakan.

Wawasan 2020 telah gagal dan dalam masa yang sama Dr Mahathir tidak mahu Wawasan Kemakmuran Bersama tidak ‘menetas’ bila bertukarnya pucuk pimpinan.

Itulah sebabnya ramai beranggapan, kenyataan boleh meletakkan jawatan bila-bila masa sekiranya itu dikehendaki oleh MPPH adalah retorik poltik. Dr Mahathir membuat kenyataan itu bagi membolehkan dirinya terus berkuasa sekiranya MPPH yakin dengan matlamat WKB sekurang-kurangnya perlu diberikan masa untuk ‘menetas’.

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply