PERUTUSAN HARI GURU : GURU PEMULA LANGKAH AWAL

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru kepada semua guru-guru yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mendidik bangsa. Semoga Allah sentiasa memberikan keafiatan dan kesejahteraan kepada mereka. Amin Yarabbal Alamin

Jasa seorang guru adalah luar biasa kerana gurulah yang menjadi pemula langkah awal kepada mengenali, memahami dan menguasai ilmu seterusnya.

Mustahil sekali dan adalah sangat luar biasa jika seseorang itu mengetahui perkara baharu tanpa berguru. Walaupun kaedah menuntut ilmu pada masa ini semakin mengalami transformasi kesan ledakan penggunaan internet dan teknologi maklumat namun jasa guru jangan sesekali dilupakan.

Biarpun teknologi maklumat semakin popular namun disebalik tabir untuk menguasai ilmu tersebut tetap wujud seorang guru.

Tiada beza antara peranan seorang guru tadika atau prasekolah dengan guru sekolah rendah, menengah atau pensyarah institusi pengajian tinggi. Kesemuanya menggalas tanggungjawab yang satu iaitu membina kecemerlangan insan.

Pada tahun ini juga menyaksikan tiada acara sambutan direalisasikan di sekolah selaras dengan arahan PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN saat negara memerangi penularan pandemik COVID-19 . Malahan institusi pendidikan diarahkan tutup.

Disinilah pula bermulanya kreativiti seorang guru membongkarkan kemahiran mengajar melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dikendalikan di rumah melalui platform aplikasi gajet secara dalam talian. Inilah harga pengorbanan dan jasa seorang guru.

Akhirnya, seluruh barisan kepimpinan OMIW mengucapkan tahniah kepada para guru serta sentiasa menyokong dunia pendidikan.

Terima kasih

“Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’

Oleh
Datuk Dr. Aziz Jamaludin bin Mhd Tahir
Pengerusi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW)

Tags:

No Comments

    Leave a reply