PH, PH PLUS YANG MALANG

Dua rencana yang disiarkan Malaysiakini  minggu lalu cukup menarik. Rencana pertama ialah sepucuk  surat, “Perkukuh, bukan runtuhkan PH’ ditulis Muhammad Hafez Darwis (disiarkan pada 25 Jun 2020) dan  kedua ialah tulisan Lim Hong Siang, bekas editor bahasa Melayu Merdeka Review, sebuah portal yang telah ‘dimakamkan’ dengan sempurna pada 3 Ogos 2012,  “PH: Dulu, kini dan akan datang”, ( 27 Jun 2020).

Muhammad Hafez mahukan PH perkukuh kekuatan parti dari dalam terlebih dahulu sebelum membuka langkah  ‘merampas semula kuasa’ selepas ‘terjatuh’ . PH jatuh kerana Dr Mahathir menggergaji perabung atap, bumbung sudah berlubang maka  kerajaan yang terbentuk selepas Langkah Sheraton itu bukan ‘kerajaan tebuk atap’.

Secara sinis, ‘tebuk atap’ itu berlaku kerana rumah yang dibina oleh PH selama 22 bulan  tidak mampu bertahan,  lemah dengan ‘tiupan angin’ dan  dari dalamnya, tiang-tiangnya sudah mulai pecah akibat ‘jurutera dan arkitek’ tidak berhati-hati ketika merekabentuknya. Ia mungkin dibina tanpa perancangan yang rapi, bak kata orang yang arif, dibina asal jadi untuk sebuah tuntutan ‘rasa benci dan dendam’.

Itulah rumusan secara analogi  surat yang ditulis oleh Muhammad Darwis, ‘keluh resah’nya agar PH bangkit kembali membaiki ‘kerosakan-kerosakan fatal’ itu, jika tidak PH Plus akan kehilangan auranya dalam PRU ke-15.

Kesimpulan saya mungkin  lebih ‘kejam’ dari Muhammad Hafez.  Hafez mengingatkan pemimpin PH Plus agar segera memperkuatkan parti dari dalam; saya melihat jika PH mahu menggunakan jenama itu, ia perlukan melakukan tindakan revolusiner, iaitu melupakan tiga pihak yang banyak menimbulkan sengketa atau masalah. Saya namakan ia sebagai MAD –Mahathir, Anwar dan DAP.

Tiga pihak inilah menyebabkan PH tidak stabil dan akhirnya berpecah. Tiga pihak inilah yang menjadi ‘duri dalam daging’ masyarakat umum,  yang kemudiannya diterjemahkan dalam tindakan politik yang memaksa doktrin ‘kebersamaan’. Doktrin itu adalah terjemahan semula kepada Malaysian Malaysia yang telah lama dibimbangi bakal menghapuskan ‘ketuanan Melayu-Islam’.

Lim Hong Siang, pada peringkat awalnya saya telah ‘silap baca’, namanya sangat hampir  dengan Lim Kit Siang, supremo DAP yang masih tidak ‘bersara’ walaupun Dr Mahathir tidak serahkan kuasa kepada Anwar. Beberapa tulisannya sebelum ini jelas memberikan interpretasi budaya politik bukan Melayu yang cuba ditempelkan dengan universalisme pemikiran, yang akhirnya turut berhujung kepada liberalisme. Namun dengung tulisannya lebih lembut berbanding apa yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin DAP terhadap Malaysian Malaysia.

DAP adalah ‘klon’ PAP.   PAP diasaskan oleh Lee Kuan Yew (1923-2015) pada tahun 1954 dan DAP ditubuhkan 11 Oktober 1965 oleh Chan Man Hin dan Dewan Nair. PAP mula memasuki pilihanraya di Malaysia pada tahun 1964 dan memenangi satu kerusi di Bangsar. Tahun 1965, Singapura  berpisah dari Malaysia,  DAP ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan PAP. Bagi mempengaruhi pemikiran pengundi-pengundi bukan Melayu, DAP  menuduh MCA yang berada dalam Perikatan sebagai sebuah parti yang lemah dan menjadi boneka UMNO.

MCA juga alami perpecahan apabila sayap pemudanya mula memikirkan penubuhan sebuah parti yang tidak bersifat perkauman. Lim Chong Eu kemudiannya menubuhkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (24 Mac 1968) dengan kerjasama Syed Hussin al-Attas, tokoh akademik yang terkenal dengan tulisannya, Mitos Pribumi Malas; Dr Tan Chee Koon, Dr JBA Peter (tokoh perubatan dan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia –MMA); Profesor Wang Gung Wu (ketika itu adalah pensyarah di Universiti Malaya) dan V Veerapan (seorang peguam dan bekas pemimpin Parti Buruh).

BN (secara rasminya ditubuhkan 1 Januari 1973 dan didaftar pada Jun 1974) mula menjadi sebuah gabungan parti yang dominan pada tahun 1974 selepas kemasukan beberapa parti yang mencabar Perikatan (gabungan tiga parti UMNO, MIC dan MCA ditubuhkan  dalam PRU 1969 sehingga mencetuskan ‘perbalahan kaum’ pada 13 Mei 1969, kecuali DAP. BN menjadi sebuah komponen atau gabungan yang besar sehingga dilihat oleh penganalisis politik sukar digugat oleh parti-parti pembangkang sekiranya tiada gabungan yang kuat.

Meskipun pelbagai percubaan parti-parti pembangkang bergabung, kekuatan BN sukar digugat dan pada satu tahap, ia hampir berjaya menjadikan parti-parti pembangkang ‘sedikir penasaran’. Keputusan PRU ke-11 (2004), parti-parti pembangkang hanya berjaya memenangi 21 kerusi daripada 219 kerusi parlimen yang dipertandingkan. BN menguasai 198 kerusi atau 90 peratus. Pencapaian tersebut menyebabkan Dr Mahathir ‘kecewa’ kerana imejnya sebagai pemimpin ‘kuasa utama politik Malaysia’ terjejas di mana pencapai terbaiknya ialah pada PRU tahun 1995 dengan 162 daripada 192 kerusi yang dipertandingkan (85 peratus).

MM rival 1

PRU terakhir PM ke-4 (1999), Dr Mahathir terpaksa menerima tamparan hebat apabila BN tersungkur di Terengganu. Penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi berjaya mengubah kedudukan itu apabila PAS tewas dengan laungan dan semangat Gelombang Biru yang digerakkan oleh BN di bawah kepimpinan Idris Jusoh pada PRU ke-11 (2004).

Pakatan Rakyat berjaya menafikan penguasaan dua pertiga BN di Dewan Rakyat pada PRU ke-12 (2008) apabila memenangi 81 kerusi parlimen dan menguasai negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah selain mengekalkan kedudukan PAS di Kelantan. Perak hanya berjaya dikuasai oleh Pakatan Rakyat selama 11 bulan (Februari 2009), apabila tiga ADUN Pakatan Rakyat (dua dari PKR dan satu dari DAP) mengisytiharkan keluar parti dan menyokong BN.

Bekas Pengurus Besar BERNAMA dan juga bekas Setiausaha Akhbar Tun Razak, Datuk Ahmad Mustapha Hassan melihat kecenderungan politik yang diamalkan oleh Dr Mahathir adalah sesuatu yang tidak kena dengan perjuangan asal UMNO. Biarpun Dr Mahathir dilihat pada awalnya sebagai ‘ultra Malay’ , akhirnya Dr  Mahathir mengkhianati orang Melayu dan berjaya meruntuhkan UMNO dari dalam. Idealisme perjuangan dan asas yang dilakar oleh Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman berjaya diubahnya sepanjang menguruskan UMNO dan BN selama lebih dua dekad. (Rujuk: Ahmad Mustapha Hassan, Membina dan Meruntuhkan Malaysia: Sebuah Imbasan Orang Dalam Tentang UMNO, Razak dan Mahathir, SIRD, 2008).

Hakikatnya menjadi semakin jelas apabila Dr Mahathir berusaha menukarkan orientasi pembangunan kepada industri dengan mengurangkan peruntukan kepada pembangunan pertanian dan sektor tradisi. Dr Mahathir turut melakukan perubahan dasar pertumbuhan ekonomi daripada sektor awam kepada sektor swasta (engine of growth) di mana akhirnya pelbagai entiti ekonomi yang ditubuhkan pada zaman Tun Abdul Razak bertukar tangan kepada individu atau syarikat-syarikat tertentu.

Permulaan ini dianggap sebagai sesuatu yang malang kepada kedudukan ekonomi Bumiputera, dan kesempurnaan tindakan kepada bukan Melayu, dengan kemunculan crony-capitalism. Kesannya, hingga kini dirasai oleh rakyat Malaysia apabila PH berkuasa, muncul semula beberapa nama besar dalam sektor korporat yang mulai tenggelam ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009) dan Najib (April 2009 hingga 9 Mei 2018).

Antaranya, Tan Sri Ting Phek Khing (yang mendapat peluang besar pada zaman Mahathir dalam Projek Empangan Bakun, pembangunan di Langkawi, Sutera Harbor di Kota Kinabalu menerusi Ekram Berhad); Tan Sri Abu Shahid (daripada Maju Holdings yang menjual TH Perdana kepada Tabung Haji, mendapat konsesi Perwaja Steel setelah Eric Chia gagal menguruskan industri besi); danTan Sri Halim Saad (yang gagal dan terpaksa bail-out Lebuh Raya Utara Selatan).

Phek King muncul dengan cadangan pembangunan di Langkawi ekoran kemenangan Dr Mahathir dalam PRU ke-14 dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ke-7. Tan Sri Abu Sahid Mohamad dan Tan Sri Halim Saad kembali bercadang ‘membeli saham PLUS’ dengan opsyen baharu daripada Khazanah, KWSP dan KWAM. Bagaimanapun, Khazanah tidak bersedia menjual kepentingannya dalam PLUS dan setelah PH ‘terlucut kuasa’ nama-nama itu menyepi lagi.

Namun, Mazlee Malik dianggap orang pertama yang bernasib malang apabila terpaksa tunduk kepada tekanan yang dihadapi oleh kepimpinan Mahathir ekoran pemulihan crony-Capitalism. Ketika pentadbiran Najib, beberapa projek infrastruktur mega tidak lagi dikuasai oleh syarikat-syarikat milik individu.

Najib menubuhkan syarikat-syarikat awam untuk mengendalikannya. Antaranya, Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) untuk pembangunan dan pengurusan pengangkutan moden di bandar-bandar besar terutama Lembah Klang. Bagi meningkatkan pelaburan dalam bidang-bidang strategik, Najib mengembangkan Terengganu Investment Authority (TIA) menjadi 1MDB (One Malaysian Development Berhad), yang kemudiannya menjadi isu bagi menamatkan penguasaan BN dalam PRU ke-14.

MM rival 2

1MDB berusaha mengambil alih stesen janakuasa bebas yang kemudiannya menyebabkan pembekal-pembekal mula mencari jalan untuk menyerang Najib. Pengambilalihan IPP itu menyebabkan beberapa syarikat yang berkaitan tidak lagi memperoleh keuntungan besar atas dasar crony-capitalism Mahathir.  Rakyat Malaysia menerusi ditakut-takutkan dengan ‘black-out’ (1992) di seluruh Semenanjung atas alasan ‘terpelantiknya grid pembekalan kuasa elektrik’. Krisis itu dilihat sebagai satu perancangan untuk membolehkan IPP dimulakan, sebaik sahaja berlakunya perubahan pengurusan sektor tenaga kepada sebuah syarikat dalam dasar penswastaan dan pesyarikatan Malaysia yang diilhamkan oleh Dr Mahathir.

Lembaga Elektrik Negara (LLN) diperbadankan sebagai sebuah syarikat pada Tenaga Nasional Berhad (1990). TNB kemudiannya berhadapan dengan kontroversi apabila Tan Sri Ani Arope enggan bersetuju dengan keputusan Unit Perancangan Ekonomi (UPE) di bawah Jabatan Perdana Menteri (dikawal oleh Dr Mahathir) untuk membeli elektrik daripada IPP (1996) dengan harga yang lebih mahal sedangkan TNB boleh mengeluarkannya dengan kos lebih murah.

Tan Sri Ani Arope kemudiannya menggelarkan UPE sebagai Economic Plundering Unit kerana TNB terpaksa menanggung perbelanjaan RM 19 bilion setahun dan kecewa kerana TNB tidak ada kuasa mengawal harga yang perlu dibayar kepada IPP. (Rujuk: Ani Arope Dedah Rancangan ‘Black Out’ 1992 Untuk Wujudkan IPP, Malaysia Today, 14 November 2018 daripada artikel asal yang disiarkan Keadilan Daily, 22 Mei 2014 dan Ani Arope, Memoirs of Tan Sri Ani Arope, Fullbright Alumni Association, 2013).

Setelah PH terlucut kuasa, PH mula berhadapan dengan krisis keyakinan yang besar. Dalam tempoh ‘kekosongan’ itu berlaku pergeseran antara kem Anwar dan Dr Mahathir,  siapakah yang paling layak sebagai calon Perdana Menteri. PH masih dilihat sebagai parti yang berkuasa berdasarkan mandat rakyat daripada PRU ke-14, tetapi kerana sengketa itu menjadikan kedudukannya semakin mengecil dan bermasalah. Mahathir dan Anwar  sama-sama gagal untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8, yang kemudiannya memaksa Yang di Pertuan Agong (SPBYDA) memanggil kesemua 222 Ahli Parlimen (MP) untuk menyatakan sokongan mereka.

Sebelum itu, Dr Mahathir dipujuk oleh SPBYDA agar ‘menarik balik cadangan meletakkan jawatan’. Namun beliau tetap bertegas dengan keputusan asal. Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim, dan dalam masa yang sama, SPBYDA memulakan rundingan berdasarkan ‘kuasa budi bicara’ yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia. Akhirnya, Muhyiddin dipilih berdasarkan keyakinan majoriti daripada MP yang dilibatsertakan dalam ‘pertemuan’ selama dua hari itu.

PH yang kecewa dengan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 yang kemudiannya membentuk kerajaan baharu menerusi gabungan UMNO, PAS, PPBM, GPS dan kumpulan Azmin Ali. Kerajaan itu digelar secara sinis sebagai ‘kerajaan pintu belakang’. Ikhtiar PH belum mencapai kejayaan apabila pada tarikh dijanjikan, lobi yang dibuat tidak berjaya membuktikan PH kembali mempunyai majoriti yang cukup walaupun Anwar pernah mengumumkan ada 129 sokongan. Selepas itu, Anwar menjelaskan beliau sedang menuju kepada kecukupan tersebut ketika sokongannya ialah 107 MP.

Pada 16 Jun 2020, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail mengumumkan bahawa calon Perdana Menteri PH masih belum dimuktamadkan. Ia membuktikan bahawa PH masih buntu kerana ada dua pilihan yang ada, iaitu Dr Mahathir dan Anwar. Akibat kebuntuan itu, Dr Mazlee Malik memerihalkan analogi, Anwar perlukan ‘galah Mahathir’ walaupun galahnya adalah sejengkal. Galah sejengkal itu mampu menjolok ‘buah yang tinggi’ bila disambungkan dengan ‘galah Anwar’.

Analogi galah juga tidak menunjukkan kemajuan kerana bila disambung antara kededuanya, ia masih belum cukup panjang untuk menjolok buah yang tinggi.

Anwar juga dikatakan  berusaha melobi sokongan GPS agar menukarkan sokongan awal, yakni menolak  Perikatan Nasional (PN). Anwar telah gagal, tetapi PKR tbertegas agar hanya Anwar sahaja calon Perdana Menteri PH. Alasannya, kedudukan sokongan Anwar lebih besar, mempunyai jumlah kerusi lebih banyak daripada Mahathir (tinggal 4 kerusi), Mahathir dan kumpulannya ‘hilang parti’ dan imej Dr Mahathir semakin dibenci rakyat.

Bagaimanapun, Dr Mahathir bangkit dengan cadangan baharu, iaitu melantik Shafie Afdal sebagai Perdana Menteri. Menurut kenyataan terbaharu Dr Mahathir, Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri 1 manakala Mukhriz adalah Timbalan Perdana Menteri II.

Cadangan itu ditempelak oleh ramai pihak. Biarpun Dr Mahathir tidak lagi dikaitkan dengan percaturan itu, Dr Mahathir adalah pencatur sebenar politik Malaysia sehingga berjaya mempengaruhi sokongan DAP dan Amanah. DAP membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak sebahagian pemimpin mereka sendiri, yang pada suatu ketika mahukan proses peralihan kuasa dipercepatkan agar Anwar tidak ternanti-nanti.

anwar 3

Episod peletakan jawatan itu menjadikan Anwar adalah tokoh atau calon Perdana Menteri yang paling lama menunggu dan perkembangan terakhir menjadikan Anwar semakin jauh, apabila PH Plus ‘boleh menerima’ Shafie Afdal. Dr Mahathir sedang meyakinkan pemimpin PH Plus, Shafie sebenarnya lebih kuat daripada Muhyiddin. Kenapa pula dibandingkan dengan Muhyiddin?

Shafie tidak mempunyai kekuatan.  Dr Mahathir dikatakan boleh menjadikan bekas Naib Presiden UMNO sebagai ‘remote control’. Ramai beranggapan, Shafie akan tunduk kepada kehendak Dr Mahathir, dan ia mungkin menyamai peranan Anwar ketika mengawal PKR dari tembok penjara Sungai Buloh. Hanya berbeza ialah persekitaran di mana Shafie ‘bebas tapi terkongkong’ manakala Anwar ketika itu ‘terkongkong tapi mengawal’.

PH Plus –DAP, PKR, PAN dan disokong oleh Warisan—dilihat begitu terdesak dan menginginkan perubahan kerajaan menerusi ‘undi tidak percaya’. Muhyiddin mempunyai senjata lain yang boleh digunakan bagi melemahkan PH Plus, iaitu memohon pembubaran Dewan Rakyat bagi menyerahkan semula kepada rakyat untuk membuat pilihan. Kemungkinan itu bakal berlaku sekiranya Muhyiddin benar-benar diserang dengan usul ‘undi tidak percaya’ di Dewan Rakyat pada pertengahan Julai nanti.

Atas kemungkinan itu, ada pihak meramalkan PRU ke-15 mungkin akan berlaku pada bulan Oktober atau awal November 2020 memandangkan kedudukan kerajaan Muhyiddin juga dikatakan tidak stabil. PPBM yang dipimpin oleh Muhyiddin belum mendapat kesepakatan dengan UMNO dan PAS berhubung pembahagian kerusi, kerana ketiga-tiga parti itu tetap mencari ruang bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Begitu juga dengan DAP. DAP akan mempertahankan kawasan-kawasan yang di mana majoriti pengundi adalah bukan Melayu dan terus memperluaskan penguasaan di kawasan kerusi majoriti Melayu dengan meletakkan calon orang Melayu. Dalam hal ini, MCA turut mahukan kerusi-kerusi yang pernah ditandinginya dikekalkan. Ini bermakna ruang pertarungan menjadi semakin mengecil dan boleh menyebabkan pertandingan yang lebih sengit.

Parti yang bakal merebut kawasan majoriti Melayu ialah PKR, PAN, Muafakat Nasional, PPBM, DAP (Melayu) dan MCA/MIC. MCA ternyata kurang yakin boleh menang di kawasan majoriti bukan Melayu, begitu juga Gerakan. Dilema ini makin menjadi membuka ruang dan memberikan faedah kepada bukan Melayu. MCA akan dianggap sebagai ‘pengacau’ kerana parti itu tidak bersedia bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu sedangkan DAP bersedia mempertahankan kerusi-kerusi tersebut dengan harapan beberapa kerusi majoriti Melayu dapat dirintis kejayaannya (bonus).

nuar chedet 8

MCA biarpun bergerak dalam idealisme politik kaum Cina, ketika dalam BN ia dilihat sebagai gerakan politik yang menekan dari dalam. DAP membina serangan kepada BN dari luar, dan hasilnya, kedua-dua parti tersebut telah berjaya membawa makna dan kedudukan yang lebih baik bagi bukan Melayu. Seperti kata penganalisis, DAP dan MCA dilihat bermusuh secara luarannya, tetapi dalamnya ia mempunyai misi dan tujuan yang sama, memperkemaskan kedudukan dan penguasaan bukan Melayu dalam pelbagai bidang, dari politik, ekonomi hinggalah menerpa statusquo yang sekian lama dipegangi sebagai tiang bernegara.

Sekarang, timbul pula gerakan untuk menolak apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan PH. PH tidak akan dipercayai sekali lagi untuk ‘berkuasa’ selagi ada gandingan MAD- Mahathir, Anwar dan DAP. Namun, disebabkan oleh keyakinan pengundi Cina terhadap MCA dan Gerakan belum ‘pulih’, DAP mungkin mampu menjadi parti pembangkang yang berpengaruh. PAN dijangka kehilangan lebih separuh daripada 11 kerusi yang dimenangi dalam PRU ke-14 manakala empat MP ‘kehilangan parti’ hanya boleh kekal ialah Dr Mahathir. Mukhriz, Mazlee dan Amirudin bakal kehilangan kerusi-kerusi yang dimenanginya jika kekal bertanding dalam PRU ke-15.

Muhyiddin mungkin boleh kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU ke-15 sekiranya beliau kembali bersama UMNO. Setakat ini, Azmin belum mengesahkan bakal menubuhkan sebuah parti baharu sejak dipecat daripada PKR. Ada kemungkinan Muhyiddin dan Azmin membentuk sebuah parti baharu dalam tempoh terdekat, belum dapat dipastikan. Apa yang lebih mudah bagi Azmin dan Muhyiddin ialah kembali kepada UMNO untuk memberikan kekuatan baharu Muafakat Nasional. Kemungkinan itu adalah besar kerana masa adalah terlalu singkat untuk menguruskan parti baharu sekiranya Muhyiddin benar-benar berhadapan ‘undi tidak percaya’ sebaik sahaja Dewan Rakyat bersidang pada 13 Julai nanti.

Ruang itu perlu digunakan oleh Muhyiddin dan Azmin jika mahu kecundangkan PH Plus. PH Plus akan berhadapan situasi yang paling sukar, kerana tokoh-tokoh yang menggerakkannya dilihat bermasalah, dan amat mementingkan kuasa sehingga ‘gila-gila nak jadi Perdana Menteri’ dan melupakan hasrat rakyat.

PH Plus bakal kecundang, dan mungkin terpaksa berpecah untuk berhadapan serangan virus MAD. Virus itu akan terus tersebar sepanjang kempen PRU ke-15 dan boleh menggagalkan PH Plus dalam kalangan pengundi Melayu. Orang Melayu lebih rela dianggap bacul daripada berkongsi kuasa dengan DAP, kecuali Mahathir yang sudah terkena ‘sihir’ DAP.

Sebenarnya, Mahathir sudah mengidap penyakit ‘bacul’ kerana enggan berpisah dengan DAP, dan berusaha mempertahankan legasinya dengan mencari jalan ‘by hook or by crook’. Mukhriz adalah satu-satunya yang akan menjadi benteng ‘legasi’ yang dibina selama 22 tahun, 22 bulan agar Mahathirtokrasi kekal dalam nadi kehidupan politik rakyat Malaysia.

MONOSIN SOBRI.

 

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply