RASISME & MALAYSIA BAHARU: KE MANA ARAH KITA?

1.0 Pendahuluan
Rasisme bermaksud bersikap prejudis, diskriminasi atau antagonisme terhadap bangsa lain berdasarkan kepercayaan bangsa sendiri lebih mulia daripada bangsa lain (Kamus Oxford). Rasisme atau perkauman juga ditakrifkan sebagai fahaman/kepercayaan bahawa satu etnik tertentu lebih unggul daripada yang lain atau satu warna kulit yang lebih unggul daripada warna kulit yang lain. Fahaman rasisme membentuk sejenis prasangka yang sewenang-wenangnya menghukum sesetengah demografi manusia berdasarkan ciri-ciri fizikal mereka. Rasisme membawa kebinasaan kepada manusia kerana ia membina permusuhan terhadap kaum tertentu. Ini bermulanya dengan sikap membenci sesuatu kaum dan akhirnya menghasilkan perbuatan seperti diskriminasi, pengasingan dan akhirnya boleh berlaku pembasmian/pembersihan etnik/kaum.

2.0 Pandangan Islam mengenai Rasisme
Islam menentang sekeras-kerasnya segala bentuk fahaman dan perbuatan rasisme/perkauman dan ketaksuban kepada sesuatu kaum tertentu. Fahaman rasisme itu merupakan ciri-ciri manusia zaman jahiliah. Kedatangan Islam telah membersihkan segala fahaman ini kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam. Islam mengakui bahawa semua manusia yang dilahirkan adalah sama di sisi Allah SWT dan satu-satunya sifat yang menyebabkan seseorang lebih unggul daripada yang lain hanyalah sifat ketaqwaan.
Larangan kepada rasisme ini juga dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru ke jalan asabiah dan bukan di kalangan kami orang yang berjuang di atas jalan asabiah dan bukan di kalangan kami orang yang mati di atas dasar asabiah. Mendengar ungkapan tersebut, para sahabat bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan asabiah wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Kamu membantu saudaramu di atas landasan kezaliman”. Berhubung dengan mereka yang bukan Islam, Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya dalam sabdaNya yang bermaksud: “Ingatlah, siapa yang menzalimi seorang kafir mu’ahad, merendahkannya, membebaninya di atas kemampuannya atau mengambil sesuatu darinya tanpa keredhaan dirinya, maka saya adalah lawan bertikainya pada hari kiamat” (HR. Abu Daud).

3.0 Manusia Insan Mulia
Allah SWT memuliakan anak-anak Adam dimana semua manusia di dunia dianugerahkan dengan kecerdikan dan kecerdasan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan” (Surah al-Isra’:70)

4.0 Kepelbagaian Manusia
Allah SWT telah mencipta manusia dengan pelbagai bangsa dan kaum supaya mereka dapat mengenali dan beramah mesra serta belajar sesama mereka. Kepelbagaian etnik ini adalah perancangan Allah yang memperkayakan keindahan dan kecantikan ciptaanNya. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat:13).

Malah, Allah menciptakan warna kulit dan bahasa yang berbeza adalah sebagai tanda kekuasaan kreativitiNya. Ini sepertimana bunga yang datangnya dalam pelbagai warna dan bentuk. Semua ini adalah sebagai tanda-tanda kekuasaan Allah yang mesti difikirkan dan diterima dengan penuh keimanan. Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”. (Surah ar-Ruum : 22)

Kemuliaan manusia hanya terletak kepada ketaqwaan bukan pada bangsa atau warna kulit, atau keturunan atau status sosial atau asal usul negaranya. Mesej yang jelas menentang rasisme telah dibentangkan oleh Rasulullah SAW ketika dalam khutbah terakhir iaitu: “Wahai manusia! Ingatlah bahawa Tuhan kamu adalah satu dan bapa kamu adalah satu, ingatlah tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang Ajam (bukan Arab) dan tidak ada kelebihan orang Ajam ke atas orang Arab dan tidak ada kelebihan orang berkulit hitam ke atas orang berkulit merah kecuali orang yang bertaqwa”.

Islam tidak sekali-kali membenarkan sebarang bentuk kebencian dan permusuhan berlaku hanya kerana perbezaan bangsa dan etnik, atau berbeza keturunan dan warna kulit. Lebih-lebih lagi apabila golongan majoriti menindas atau meminggirkan golongan minoriti dalam arus pembangunan negara. Dasar permusuhan ini pasti akan menghuru-harakan masyarakat serta menghancurkan keharmonian hidup manusia. Allah SWT dengan jelas melarang sesuatu kaum membenci kaum lain atas dasar kepentingan kaumnya semata-mata. Manusia diajar untuk berlaku adil yang juga berupakan sifat taqwa dan tidak menafikan kepentingan kaum lain atau sehingga menganiaya kaum lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Surah Al Maidah: 8).

5.0 Keadilan dalam Hubungan Manusia
Islam memerintahkan orang Islam supaya berurusan secara adil dengan semua manusia walaupun kepada orang bukan Islam. Ini sepertimana disebut dalam Al Quran (surah An Nisaa’ ayat 58) yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Wahyu yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW diaplikasikan dengan cara yang paling baik sebagaimana baginda diperintahkan untuk berlaku adil dengan semua orang tanpa mengira status, bangsa, agama atau keturunan mereka. Mereka semua adalah sama, walaupun orang yang mempunyai hak tertentu tidak adil kepada umat Islam; dia masih akan diberikan haknya. Kitab suci Al-Qur’an memerintahkan Rasulullah SAW untuk memerintah secara adil ke atas ahli Kitab (orang Yahudi dan Nasrani) sebagaimana firman Allah yang bermaksud “dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Maidah: 42).

Nabi Muhammad SAW juga telah menekankan hak-hak golongan al-Mu’ahad iaitu mereka yang telah perjanjian dengan umat Islam sepertimana sabdi Baginda SAW yang bermaksud : “Barang siapa yang membunuh seorang kafir yang terikat perjanjian dengan kaum muslimin atau pemerintahnya- maka dia tidak akan mencium bau syurga. Sesungguhnya baunya itu akan tercium dari jarak perjalanan empat puluh tahun.” (HR Bukhari). Al-Munawi menjelaskan bahawa ancaman yang disebutkan di dalam hadis ini merupakan dalil bagi para ulama untuk menegaskan bahawa perbuatan membunuh orang kafir mu’ahad termasuk perbuatan dosa besar. Rasulullah SAW juga telah bersabda “Sesiapa menzalimi orang kafir yang diikat perjanjian setia kepada kerajaan Islam atau mengurangkan haknya, atau membebankannya di luar keupayaannya atau diambil sedikit daripada haknya tanpa kebenarannya, maka aku menjadi pembelanya pada hari Kiamat.” (Riwayat Abu Dawud). Oleh yang demikian, baginda SAW melarang penyeksaan ke atas mana-mana manusia sama ada Muslim atau bukan Muslim. Sabda Nabi SAW yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyiksa orang-orang yang menyiksa manusia sewaktu di dunia” (HR Muslim). Nabi Muhammad SAW memelihara dan menjamin keselamatan kehidupan, kekayaan dan kehormatan orang yang bukan Islam dalam komuniti Islam. Oleh yang demikian, tiada sesiapapun yang dibenarkan untuk menyakiti mereka samada Muslim ataupun tidak selagi mereka adalah penduduk dalam wilayah Islam.

6.0 Kewujudan bersama Masyarakat Majmuk
Kehidupan aman damai dan harmoni masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada berbagai bangsa, agama dan budaya telah wujud sejak sebelum merdeka lagi. Malaysia dapat memberikan contoh yang baik kepada negara-negara lain bagaimana kesederhaan dan budaya hidup ramah serta saling terima menerima menjadi hasil yang kita rasai hari ini. Perkara ini menjadi satu isu yang hangat di setengah negara yang lain kerana masing-masing tidak dapat menerima kewujudan bersama antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara. Kewujudan bersama atau al-ta’ayush juga dikenali sebagai co-existence. Masyarakat yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dalam sebuah negara yang diiktiraf sebagai warganegara sebuah negara berdaulat dan merdeka. Hubungan baik antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara dinamakan sebagai muwatanah (kewarganegaraan) yang mana masing-masing mendapat perlindungan sebagai seorang rakyat bawah satu perlembagaan.

Rasulullah SAW merupakan contoh dan teladan terbaik yang wajib diikuti oleh orang-orang Islam. Baginda telah menunjukkan beberapa kaedah dan prinsip al-ta’ayush bersama orang lain dalam banyak keadaan, zaman dan tempat. Malahan para sahabat juga meletakkan batu asas kepada tamadun Islam yang menyaksikan kehidupan orang-orang Islam di samping bukan Islam dalam keadaan aman dan harmoni.
Prinsip utama Islam dalam hubungan sesama manusia ialah Muslim melayan semua manusia dengan baik. Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik” (HR Bukhari). Akhlak yang mulia adalah sama untuk setiap orang. Kewujudan bersama, kefahaman dan kerjasama di antara setiap bangsa dan etnik amat diperlukan oleh manusia. Kedatangan Nabi SAW membawa rahmat dalam semua aspek kehidupan. Firman Allah yang bermaksud “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah Mumtahanah; 8). Para ulama Islam menjelaskan perbuatan baik dalam ayat ini termasuklah membantu mereka yang lemah, memberi bantuan kepada orang miskin, memberi makan kepada mereka yang lapar, memberi pakaian kepada yang miskin, dan berbicara dengan baik dengan mereka. Ini harus dilakukan dengan penuh belas kasihan dan lemah lembut dan bukan dengan cara yang menakutkan dan memalukan.

7.0 Hubungan Etnik di Era Malaysia Baharu
Osman Bakar (2008) dalam satu bab buku yang bertajuk “Malaysian Islam in the twenty-first century: The promise of a democratic transformation?” menjelaskan bahawa hubungan etnik di Malaysia adalah berdasarkan pengenalan agama dengan menyamakan Melayu itu Islam dan menyamakan kepentingan etnik dengan kepentingan agama. Tambah beliau lagi “namun pada masa akan datang akan berlaku perubahan trend identiti masyarakat Islam Malaysia yang khusus kepada etnik Melayu kepada pelbagai etnik”. Perubahan trend identiti Islam yang dimaksudkan oleh penulis di atas berlaku 10 tahun kemudian apabila Islam dipaparkan sebagai agama rahmah.

Peralihan tampuk pemerintahan negara pada 9 Mei 2018 melalui proses demokrasi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah membuka satu lembaran dan dimensi baru kepada perkembangan Islam di Malaysia. Perubahan tampuk pemerintahan negara buat pertama kali dalam sejarah pembentukan Malaysia membawa kepada suatu anjakan paradigma dengan istilah “Era Malaysia Baharu”. Kerajaan Malaysia Baharu yang dipilih oleh majoriti rakyat Malaysia bukanlah sekadar suatu pilihan yang bersifat retorik pertukaran kerajaan pemerintah, tetapi disandarkan dengan harapan besar agar kerajaan baharu ini dapat mereformasi dan membawa suatu pembaharuan terhadap sistem pentadbiran negara. Anjakan ini turut meliputi hal berkaitan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia.

Kerajaan Malaysia yang baharu telah mengangkat suatu gagasan berteraskan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah serta Model Malaysia sebagai falsafah baharu pentadbiran dan pengurusan Islam di Malaysia. Ini terkandung dalam amanat Majlis Perjumpaan Bulanan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama penjawat awam agensi-agensi agama persekutuan pada 12 Julai 2018. Penelitian terhadap tindakan dan langkah yang diambil kerajaan baharu ini, dari satu sisi menampakkan suatu usaha yang baik ke arah pembaharuan (tajdid) dan pembaharuan (islah) untuk memartabatkan Islam sebagai sumber utama pentadbiran negara. Pada asasnya, pembaharuan sememangnya merupakan suatu keperluan dan sebahagian daripada inti ajaran Islam (Baharom Kassim dan Mohd Syarul Razi Mohd Hazmi, 2018).

Islam tidak boleh lagi dilihat sebagai agama yang ekslusif yang semata-mata hanya mewakili satu kaum semata-mata. Islam perlu ditonjolkan sebagai sebuah agama universal sebagaimana ciri asalnya yang sesuai untuk semua bangsa dan meraikan diversiti budaya yang sesuai dengan syariat Islam. Kepentingan Islam tidak dilihat sebagai kepentingan untuk satu-satu kaum sahaja tetapi meliputi semua bangsa penganutnya. Ini sudah tentu akan dapat membina satu persepsi baharu bahawa Islam adalah agama sejagat. Dalam masa yang sama istilah negatif yang mengaitkan dengan sesuatu bangsa tertentu seperti ‘Cina Buta’ mestilah dibuang dan tidak lagi digunakan lagi.

Ketidakfahaman kepada Islam khususnya di kalangan orang bukan Islam amat rendah. Islam yang diamalkan sebagai budaya kehidupan orang Melayu tidak difahami oleh majoriti orang bukan Islam. Usaha untuk memberikan kefahaman dan keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam mestilah ditingkatkan lagi dalam era Malaysia baharu dengan penggunaan berbagai teknologi, media dan pendekatan (termasuk bahasa dan budaya) untuk sampai ke sasarannya dengan lebih efektif. Disamping itu aktiviti silang budaya sesama pelbagai kaum akan meningkatkan lagi pemahaman budaya dan agama masing-masing. Ini akan meningkatkan sikap hormat-menghormati, terima-menerima dan toleransi antara kaum di Malaysia. Gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia akan dapat meningkatkan pemahaman Islam kepada semua peringkat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

8.0 Kesimpulan
Islam tidak sekali-kali membenarkan sebarang bentuk kebencian dan permusuhan berlaku hanya kerana berbezanya bangsa dan etnik, atau berbeza keturunan dan warna kulit. Lebih-lebih lagi apabila satu golongan menindas atau meminggirkan golongan yang lain dalam arus pembangunan negara. Dasar permusuhan ini pasti akan menghuru-harakan masyarakat serta menghancurkan keharmonian hidup manusia. Gagasan baharu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang diperkenalkan dalam pentadbiran dan pengurusan Islam di era Malaysia Baharu akan memberi gambaran Islam sebenar yang bersifat rahmah kepada semua manusia. Islam mengakui bahawa semua manusia dilahirkan sama di sisi Allah SWT dan satu-satunya sifat yang membuat seseorang lebih unggul daripada yang lain hanyalah ketaqwaan. Semua warganegera mendapat hak secara adil.

Kertas Kerja oleh: Taufiq Yap Yun Hin
Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA)

No Comments

    Leave a reply