YDPA institusi unik negara

SUATU lakaran sejarah tercipta lagi pada 30 Julai 2019 lepas di mana Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah ditabalkan sebagai Yang Di Pertuan Agong ke 16.

Sejarah ini bukan hanya menjadi dekorasi dan disimpan di arkib sahaja tetapi mempunyai implikasi yang besar kepada negara.

Pertabalan ini ini adalah manifestasi keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Pemilihan Raja Melayu sebagai Yang Di Pertuan Agong tidak berlaku dimana-mana negara lain selain Malaysia.

Ia hasil daripada pemilihan Raja –Raja Melayu pada 24 Januari lepas yang menyaksikan baginda menaiki takhta untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari lepas.

Sebenarnya sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan negeri-negeri Melayu merupakan negara-negara yang berdaulat.

Negara-negara berdaulat ini dimiliki oleh Rajanya sendiri dan rakyat menundukkan ketaatan mereka kepada Raja-Raja masing-masing.

Oleh hal yang demikian tatkala menggarap persetujuan mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayu menjadi penandatangan penting kepada perjanjian tersebut kerana baginda-baginda mempunyai jajahan mereka sendiri.

Malah mewakili Negeri Sembilan, empat Dato Undang juga menjadi penandatangan persetujuan tersebut kerana setiap Dato Undang di Negeri Sembilan juga mempunyai jajahan mereka sendiri.

Begitulah peripentingnya kerajaan Melayu di Malaysia. Malah di Malaysia kita mengistilahkan penguasa di Malaysia sebagai ‘kerajaan’ bukan ‘pemerintah’.

Kalimah kerajaan mempunyai akar kata Raja yang menggambarkan kepentingan Raja itu sendiri dan bukan penguasa yang memerintah dengan istilah pemerintah seperti di Singapura dan Indonesia.

Lantas Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menukilkan kuasa eksekutif Persekutuan terletak kepada Yang Di Pertuan Agong, bukan Perdana Menteri atau pihak lain.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas kuasa eksekutif yang sebenarnya terletak kepada Yang Di Pertuan Agong.

Oleh itu bagindalah pemerintah yang sebenar kepada negara dimana jemaah menteri hanya menjalankan kuasa Yang Di Pertuan Agong yang diberikan kepada mereka.

Namun ramai yang berhujah oleh kerana Perkara 40 menyatakan Yang Di Pertuan Agong bertindak atas nasihat, jemaah menterilah yang mempunyai kuasa bagi mentadbir negara.

Hal ini terjadi kerana ramai yang masih terikat dengan tafsiran nasihat sebagai wajib diikuti sebagaimana nasihat Residen British dahulu kepada Raja-Raja Melayu.

Oleh kerana kita sudah begitu lama merdeka tafsiran sebenar perkataan nasihat perlulah ditafsirkan mengikut makna bahasanya yang sebenar bukan mengambil pendekatan sebelum merdeka.

Ini adalah disebabkan kedudukan dan penghormatan kepada Raja-Raja Melayu sebelum dan selepas merdeka sangat berbeza.

Malaysia begitu unik mempunyai mekanisme semak dan imbangnya yang tersendiri. Mungkin ada kelemahan dalam kalangan individu yang mengisi jawatan tertentu namun mempertahankan institusi Raja sangatlah perlu kerana ia merupakan jati diri negara kita.

Sistem semak dan imbang di Malaysia tidak hanya dijalankan oleh cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman tetapi Raja juga turut berperanan.

Setiap pihak sama ada Raja rakyat mahupun pimpinan kerajaan perlu akur dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Kemegahan dan gahnya institusi dan peranan bukan semata-mata atas kemuliaannya tetapi setiap pihak hendaklah berusaha memuliakan institusi yang diduduki.

Rata-ratanya rakyat Malaysia khususnya orang Melayu sangat taat kepada Raja-Raja sehinggakan kisah lagenda Hang Tuah dan Hang Jebat sentiasa meniti di hati masyarakat Melayu.

Jangan sesekali mencemarkan institusi Raja-raja Melayu apatah lagi ianya telah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Ironinya ada yang mempertikaikan institusi Raja-Raja Melayu tetapi tidak malu-malu pula apabila menerima anugerah dari Raja-Raja Melayu tanpa segan silu terus menerimanya.

Raja dan rakyat berpisah tiada ia bagai aur dengan tebing saling lengkap melengkapi. Raja-raja perlu merasai denyut nadi rakyat barulah rakyat akan bangun mempertahan Raja.

Raja perlu bersama rakyat menjalin hubungan yang intim dan bersepadu. Yang Di Pertuan Agong yang baru dipilih ini telah menzahirkan keakraban baginda bersama rakyat acapkali baginda mengabaikan protokol diraja semata-mata bagi bersama rakyat.

Sebagai ketua agama Raja-Raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan agama Islam.

Ia selaras dengan sumpah baginda memelihara agama Islam pada setiap masa.

Raja-Raja merupakan benteng terakhir umat Islam di dalam mempertahankan agama Islam di Malaysia. Hakikat ini perlu diinsafi oleh setiap rakyat dan Raja-Raja.

Marilah kita sama-sama menginsafi kedudukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan ini. Kita pertahankan jati diri negara ini.

Jangan alihkan institusi Raja- Raja Melayu ini dari istana ke muzium sebagaimana yang terjadi di beberapa negara lain. Raja dan rakyat berpisah tiada.

Oleh Datuk Haji Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Sumber : Sinar Harian Online

Tags: , , ,

No Comments

    Leave a reply